Thursday, November 8, 2012

Hukum Berjimak Di Bulan Ramadhan Dan Melaksanakan Kifarah

Soalan

Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Saya ingin bertanya tentang melaksanakan kifarah setelah berjimak disiang hari di bulan ramadhan. Soalan saya..bolehkah saya memilih terus untuk memberi makan kepada 60 fakir miskin sedangkan saya tidak mencuba memerdekakan hamba dan berpuasa? Berapakah nilai makanan yang sepatutnya untuk saya berikan kepada 60 fakir miskin tersebut? Dan adakah rumah anak yatim,orang-orang tua atau kebajikan masyarakat tergolong dalam "fakir miskin"?

Jawapan

Wa'alaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh,
Dalam persoalan ini, kifarah tersebut perlu dilakukan mengikut kemampuan diri anda.
Ringkasnya, disebabkan pada hari ini sudah tidak terdapat lagi golongan yang menjadi hamba, ini menyebabkan kifarah yang pertama memang sudah tidak dapat untuk dilakukan lagi.
Oleh yang demikian, anda perlu lihat kifarah yang kedua pula, iaitu berpuasa 2 bulan berturut-turut.
Jika merasakan yang diri anda tidak mampu untuk melaksanakannya, maka pilihan kifarah yang perlu anda lakukan hanya tinggal satu, iaitu memberi makan kepada 60 orang fakir miskin. Sukatan makanan yang perlu anda berikan kepada mereka adalah sebanyak 1 cupak (675 gram) makanan asasi kepada setiap seorang daripada mereka.
Oleh sebab di Malaysia makanan asasinya ialah beras, maka setiap seorang fakir miskin perlu anda berikan  675 gram beras sebagai menunaikan kifarah tersebut.
Sebagai panduan anda, golongan yang berhak untuk diberikan kifarah tersebut adalah golongan fakir dan miskin. Mereka ialah:
1.         Fakir - hanya dapat menyediakan kurang daripada 50% keperluan hariannya.
2.         Miskin - hanya mampu menyediakan sebahagian sahaja keperluan hariannya.

Dari itu, anak yatim, orang tua dan juga penghuni rumah kebajikan yang status mereka seperti di atas adalah berhak untuk anda berikan bayaran kifarah tersebut.
Walau bagaimanapun, cara yang paling mudah untuk anda membayar kifarah tersebut adalah dengan menyerahkannya kepada Pusat Pungutan Zakat yang berdekatan dengan anda.
Sila berhubung dengan Pejabat Agama Daerah yang berdekatan untuk maklumat lanjut mengenainya. Wallahu 'alam.

No comments:

Post a Comment