Tuesday, October 30, 2012

Kahwin Dgn Saudara Belah Ayah Boleh/tidak ?

Soalan

assalamualaikum.... disini saya ada kekeliruan mengenai perkahwinan antara sepupu...
ad yg berkata haram berkahwin dengan sepupu belah ayah.... adakah benar?

Jawapan

Wa'alaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh,
Di dalam Islam, antara faktor yang menyebabkan seseorang itu tidak boleh dikahwini adalah disebabkan wujudnya hubungan mahram di antara lelaki dan perempuan tersebut.
Dalam hal ini, hubungan sepupu sama ada dari sebelah ayah ataupun ibu adalah tidak termasuk di dalam hubungan mahram yang menyebabkan terhalangnya untuk mereka berkahwin.
Walau bagaimanapun, hujah yang paling kuat di dalam menyatakan hukum perkahwinan di antara sesama sepupu baik dari sebelah ayah ataupun dari sebelah ibu adalah diharuskan di dalam Islam ialah firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala di dalam Surah Al-Ahzab, maksudnya:
Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala, maksudnya:
“Wahai Nabi, sesungguhnya Kami telah halalkan bagimu isteri-isterimu yang engkau berikan maskahwinnya, dan hamba-hamba perempuan yang engkau miliki dari apa yang telah dikurniakan Allah kepadamu sebagai tawanan perang; dan (Kami telah halalkan bagimu berkahwin dengan sepupu-sepupumu, iaitu): anak-anak perempuan bapa saudaramu (dari sebelah bapa) serta anak-anak perempuan emak saudaramu (dari sebelah bapa), dan anak-anak perempuan bapa saudaramu (dari sebelah ibu) serta anak-anak perempuan emak saudaramu (dari sebelah ibu) yang telah berhijrah bersama-sama denganmu; dan (Kami telah halalkan bagimu) mana-mana perempuan yang beriman yang memberikan dirinya kepada Nabi (untuk dikahwininya dengan tidak membayar maskahwin) kalaulah Nabi suka berkahwin dengannya; perkahwinan yang demikian adalah khas bagimu semata-mata, bukan bagi orang-orang yang beriman umumnya;- sesungguhnya Kami telah mengetahui apa yang Kami wajibkan kepada orang-orang mu'min mengenai isteri-isteri mereka dan hamba-hamba perempuan yang mereka miliki; -. supaya tidak menjadi keberatan bagimu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
(Surah Al-Ahzaab 33:50)

Oleh yang demikian, dakwaan yang menyatakan bahawa perkahwinan di antara sepupu dari sebelah ayah dihukumkan haram adalah bercanggah dengan kenyataan yang dinyatakan oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala di dalam Al-Quran sebagaimana maksud ayat di atas.
Dari itu, perkahwinan seorang lelaki dengan sepupunya (anak perempuan adik-beradik ayahnya) adalah sah dan menepati dengan apa yang dianjurkan oleh Islam. Wallahu 'alam.

No comments:

Post a Comment