Tuesday, October 30, 2012

Musafir Rentas Negara

Soalan

Salam, saya sekarang tinggal di Kuala Belait, Brunei & selalu ke Miri, Sarawak yg jaraknya cuma 45km. Saya dimaklumkan & difahamkan yg perjalanan ini dikira bermusafir atas sebab merentas dua negara yg berbeza walaupun jaraknya tidak cukup 2 marhalah. Solat-2 boleh di jamak & qasar. Betul ke pemahaman saya ni? Harap dpt diperjelaskan.

Jawapan

Wassalam, perjalanan yang anda lakukan dari Kuala Belait ke Miri yang jaraknya hanya 45 KM sahaja menyebabkan anda tidak layak untuk mengerjakan Solat Jamak dan Qasar.
Ringkasnya, berikut adalah syarat yang perlu dipenuhi oleh seseorang yang melakukan perjalanan yang membolehkan dirinya melakukan Solat Jamak dan Qasar:
1.         Syarat Solat Qasar
i.          Hendaklah pelayaran atau perjalanan itu diharuskan oleh       syara’.
ii.          Jarak perjalanan tersebut mestilah tidak kurang daripada      dua marhalah (90 KM).
iii.         Berniat qasar di dalam takbiratul ihram.
iv.         Tidak berimam dengan orang yang solat tamam (sempurna/jemaah tempatan).
v.         Hendaklah solat yang diqasarkan itu terdiri dari solat        empat rakaat.

2.         Syarat Solat Jamak
a.         Solat Jamak Taqdim
i.          Hendaklah bersolat secara tertib iaitu mendahulukan solat        Zuhur daripada solat Asar dan solat Maghrib daripada solat        Isya'.
ii.          Hendaklah niat Jamak Taqdim di dalam solat pertama        sebelum salam tetapi yang afdhalnya di dalam takbiratul        ihram.
iii.         Berturut-turut di antara solat yang dijamakkan itu.
iv.         Berkekalan pelayaran atau perjalanan itu hingga takbiratul        ihram solat yang kedua.
v.         Berkeyakinan adanya waktu solat yang pertama (Zuhur        atau Maghrib) berkekalan sehingga didirikan solat yang        kedua (Asar atau Isya’).

b.         Solat Jamak Ta’khir
i.          Hendaklah berniat jamak dalam waktu pertama iaitu        Zuhur atau Maghrib.
ii.          Berkekalan pelayaran atau perjalanan hingga memberi       salam solat yang kedua.

Demikianlah syarat yang perlu anda penuhi sebelum boleh mengerjakan Solat Jamak dan Qasar.
Panel berharap jawapan di atas dapat dijadikan panduan untuk anda di dalam mengerjakan Solat Jamak dan Qasar ini. Wallahu 'alam.

No comments:

Post a Comment