Friday, October 5, 2012

Cara Mandi Wajib


Soalan
Assalammualaikum........Saya harap kamu balas massage ini........boleh terangkan saya cara mandi wajib yang SAH......sebab saya sudah keluar mani.....Harap kamu balas...

Jawapan
Wa'alaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh,
Berikut adalah cara atau kaedah mandi wajib yang pernah dilakukan oleh Baginda Rasul Sallallahu 'Alaihi Wassalam. Semoga ia bermanfa’at bagi anda.
1.         Niat.
Ini berdasarkan hadis yang popular bahawa setiap amal mestilah dengan niat.
Tempat niat adalah di dalam hati. Bagi mandi wajib/junub/haid, hendaklah berniat semasa air mencecah/sampai ke mana-mana bahagian tubuh.

2.         Membaca ‘Bismillah’.

3.         Mencuci tangan sebanyak tiga kali.

4.         Mencuci kemaluan dengan tangan kiri

5.         Membersihkan (menyucikan) tangan kiri dengan sabun.

6.         Berwudhu. Wudhu boleh dilakukan seperti wudhu untuk solat (Sahih Muslim:317) ataupun menangguhkan mencuci kaki selepas selesai mandi.

7.         Menyelat-nyelat rambut secara merata lalu menyiramnya 3 kali dengan air sepenuh dua telapak tangan. Ini berdasarkan hadis dari Aisyah di dalam sahih Al-Bukhari, maksudnya:
“Kemudian Baginda Sallallahu 'Alaihi Wassalam memasukkan jari-jarinya ke dalam air, kemudian menyelat-nyelat rambutnya, kemudian menyiram kepalanya 3 kali dengan kedua tangannya.”

Ketika menyiram kepala hendaklah dimulai dengan bahagian kanan, kemudian, bahagian kiri dan seterusnya bahagian tengah kepala. Ini berdasarkan hadis ‘Aisyah
Radhiyallahu 'Anha di dalam Sahih Muslim (318), maksudnya:
“Baginda Sallallahu 'Alaihi Wassalam menyiram kepalanya di bahagian kanan, kemudian bahagian kiri”.

Bagi wanita yang dalam keadaan junub, dibolehkan untuk tidak melepaskan ikatan rambutnya. Ini berdasarkan hadis Ummu Salamah Radhiyallahu 'Anha, maksudnya:
Dari Ummu Salamah Radhiyallahu 'Anha, beliau berkata: Aku berkata kepada Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam: “Wahai Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam sesungguhnya aku perempuan yang suka mengikat rambutku. Perlukah aku membuka ikatan tersebut ketika mandi junub? Jawab Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam: “Tidak, cukuplah bagimu dengan menyiramkan air ke atas kepalamu sebanyak 3 kali dan meratakan air ke seluruh tubuh kamu, dan kamu sudah dikira sudah bersuci”.
(Sahih Muslim:330)

Akan tetapi jika mandi untuk haid, maka wanita yang bertocang/mengikat rambutnya dianjurkan untuk melepaskan ikatan rambut. Ini berdasarkan hadis ‘Aisyah Radhiyallahu 'Anha di dalam sahih Al-Bukhari di mana beliau
kedatangan haidh ketika menunaikan haji. Lalu Baginda Sallallahu 'Alaihi Wassalam berkata:
“Tinggalkanlah umrahmu, lepaskanlah ikatan rambutmu (ketika mandi) dan sisirlah rambutmu”
8.         Memulakan dengan bahagian kanan tubuh.
Dari ‘Aisyah Radhiyallahu 'Anha: “Sesungguhnya Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam suka mendahulukan bahagian kanan pada semua urusannya, ketika memakai kasut, ketika bersikat dan ketika bersuci”.
(Sahih Muslim:268)

9.         Meratakan air ke seluruh tubuh.
Semua lipatan tubuh seperti ketiak dan lain-lain mestilah dipastikan telah terkena/sampai air kepadanya. Ini berdasarkan hadis ‘Aisyah Radhiyallahu 'Anha yang telah diriwayatkan di dalam Sunan Abi Daud: 243.

10.       Beralih dari tempat mandi dan membasuh kaki.

Demikianlah cara Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam melakukan mandi wajib. Wallahu 'Alam.

No comments:

Post a Comment