Monday, October 1, 2012

Menegur Bapa Tidak Solat Jumaat

Soalan

Slm ustaz/ustazah..
sy telah menegur ayh sy kerana tdk menunaikan slt jumaat selama hampir 1 bulan..
ayh skt kencing manis dan alasannya adalah disbbkan kakinya bengkak,saya menyuruhnya slt secara ddk dan itu yg mnyebbkan ayh naik angin.ayh jahil sikit bab2 agama..
ayah marah kerana mengangap saya telah bsr kepala dan hendak mengajarnya pula..
soalan sy,adakah sy diangap ank derhaka kerana membuat ayh mrhkan saya sediemikian?
saya takut dilabel ank derhaka..dan apa yg perlu sy buat?

Jawapan

Wa'alaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh,
Usaha anda untuk menegur ayah anda yang sudah 1 bulan tidak mengerjakan Solat Juma'at adalah satu usaha yang murni. Akan tetapi, anda perlu bijak di dalam memilih cara untuk menegurnya.
Dalam hal ini, cara mengajak dan menegur perlu dibuat di dalam keadaan yang lembut dan rapi agar tidak menyinggung hati dan perasaannya. Statusnya sebagai seorang ayah perlu anda hormati.
Antara cara yang boleh anda gunakan untuk mengajaknya bersolat juma’at ialah dengan bertanyakan kepadanya mengenai status kakinya terlebih dahulu. Kemudian setelah itu cuba ajukan cadangan untuk membawanya pergi mengerjakan Solat Juma'at dan seterusnya minta pandangannya mengenai cadangan tersebut.
Selain itu, anda perlu nyatakan kesanggupan diri anda untuk menyediakan segala keperluan yang diperlukannya semasa duduk mendengar khutbah dan juga semasa mengerjakan solat terutamanya menyediakan kerusi.
Ringkasnya, dalam usaha menasihatkan ayah atau ibu perlu lebih berhati-hati dan berlembut di dalam menuturkan kata-kata. Di samping itu perlu bijak memilih kaedah atau uslub yang bersesuaian agar hati mereka tidak tersinggung atau terluka disebabkan  kata-kata kita yang kasar semasa menegur kesilapan mereka. Allah berfirman, maksudnya:
"Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya kamu jangan menyembah selainNya dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa dengan sebaik baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka janganlah sesekali kamu mengatakan kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “AH", dan janganlah kamu menengking atau menyergah mereka tetapi ucapkanlah dengan perkataan yang mulia (yang bersopan-santun)".
(Surah Al-Israa’ 23)

Selain itu, Allah Subhanahu Wa Ta'ala turut menyatakan kaedah atau uslub yang perlu diaplikasikan oleh seorang pendakwah semasa berhadapan dengan orang yang didakwahkan. Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala, maksudnya:
“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk".
(Al-Nahl: 125)

Oleh itu, Panel mengingatkan supaya anda mohon maaf daripada ayah anda atas keterlanjuran sikap dan kata-kata anda terhadapnya sebelum ini. Semoga reda ibu dan ayah anda menjadi keutamaan di dalam hidup anda. sabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam, maksudnya:
“Reda Allah adalah bergantung kepada reda dua ibu bapa, dan murka Allah adalah bergantung pada murka kedua ibu bapa”.
(Hadith Riwayat al-Hakim)

Wallahu 'alam.

No comments:

Post a Comment