Tuesday, October 30, 2012

Boleh Atau Tidak Meninggalkan Solat Jumaat Disebabkan Kerja

Soalan

Salam.Saya bekerja di pelabuhan jadi saya perlu memeriksa kapal yang masuk ke pelabuhan.Soalan saya, boleh atau tidak saya meninggalkan solat jumaat disebabkan terdapat kapal yang saya perlu periksa ketika itu?

Jawapan

Dalam persoalan ini, sebarapa daya upaya anda perlu mencari jalan keluar agar anda boleh mengerjakan Solat Juma'at. Hal ini kerana Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam ada bersabda mengenai ancaman terhadap mereka yang meninggalkan Solat Juma'at sebanyak 3 kali secara berturut-turut tanpa sebarang alasan yang dibenarkan, mereka dikira sudah menjadi seorang yang munafiq dan hati mereka tidak disinari dengan cahaya hidayah Allah Subhanahu Wa Ta'ala lagi. Sabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam, maksudnya:
“ Barang siapa yang meninggalkan solat Jumaat sebanyak 3 kali kerana mengambil mudah, maka Allah mengecap hati mereka”.
(Hadis Riwayat At-Tirmidzi)

Dari itu, adalah disyorkan kepada anda agar berbincang dengan majikan anda supaya tugas anda diambil alih oleh kakitangan yang bukan beragama Islam pada waktu anda keluar mengerjakan Solat Juma'at.
Jika tidak berjaya mendapat kebenaran untuk keluar, anda mesti berazam untuk mencari pekerjaan lain yang membolehkan anda keluar untuk mengerjakan solat tersebut.
Semoga dengan usaha dan pengorbanan yang sedikit ini menyebabkan rezeki yang anda perolehi diberkati dan dirahmati oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala, maksudnya:
"Dan  (ingatlah)  tatkala  Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi ni'matku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabku amatlah keras".
(Surah Ibrahim 14: 07)

Wallahu 'alam.

No comments:

Post a Comment