Saturday, January 5, 2013

Bolehkah Saya Berdoa Agar Dia Menjadi Jodoh Saya?

Soalan

Saya telah jatuh hati pada seseorang. Tetapi saya tidak tahu sama ada dia masih bujang atau sudah berkahwin walaupun sudah berkawan selama setahun. Tetapi sahabat saya memberitahu dia adalah seorang 'nice person'. Kami.jarang berjumpa. Kadang-kadang masing menghantar sms mengatakan rindu. Saya tidak tahu sama ada dia ikhlas atau tidak. Bolehkah saya berdoa memohon dia menjadi jodoh saya untuk mengelak dari perkara yang tidak elok berlaku?

Jawapan

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
dalam persoalan ini, jika wanita tersebut masih belum dipinang orang ataupun masih belum berkahwin, maka tiada larangan atau halangan ke atas anda untuk berdoa semoga Allah Subhanahu Wa Ta'ala pertemukan jodoh anda dengannya.
Walau bagaimanapun, ingatlah pesanan daripada Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam tentang ciri-ciri yang perlu diperhatikan kepada seseorang wanita yang ingin dipilih sebagai pasangan hidup. Ciri-ciri tersebut ada dijelaskan di dalam hadith di bawah ini. Semoga ia dapat dijadikan panduan kepada anda di dalam memilih pasangan hidup.
Sabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam, maksudnya:
“Dikahwini seseorang wanita itu atas empat sebab, iaitu; kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka Kahwinilah dirinya atas dasar agama nescaya kamu akan mendapat kebajikan”.
(Hadis Riwayat Imam Al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud, an-Nasaa’i dan Ibnu Majah).

Semoga urusan dan hasrat anda dimakbulkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Amin. Wallahu 'alam.

No comments:

Post a Comment