Saturday, January 26, 2013

Bagaimanakah Murtad Boleh Berlaku?

Soalan

Assalammualaikum Ustaz,saya nak bertanya.apakah sebab yang boleh menyebabkan seseorang murtad?dan adakah kata hati boleh menyebabkan seseorang murtad?

Jawapan

Wa'alaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh,
Murtad boleh terjadi apabila berlaku salah satu daripada tiga perkara berikut:
1.         Apabila seorang lelaki atau wanita Islam yang mukalaf meyakini terdapatnya kuasa lain selain dari Allah Subhanahu Wa Ta'ala yang boleh memberi manfaat atau mudarat kepada semua makhluk. Ringkasnya, keyakinannya bercanggah dengan hakikat akidah agama Islam yang asas.

2.         Apabila seorang lelaki atau wanita Islam yang mukalaf menuturkan kata-kata atau perkataan  yang kufur seperti menafikan kewujudan Allah, menafikan kewajipan sesuatu ibadat yang telah difardukan oleh Allah dan sebagainya.

3.         Apabila seorang lelaki atau wanita Islam yang mukalaf melakukan sesuatu perbuatan dan tindakan yang boleh menjadikannya kufur seperti melakukan penyembahan kepada sesuatu yang lain selain daripada Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

Demikianlah tiga perkara utama yang boleh menyebabkan seseorang mukalaf itu menjadi murtad.
Ringkasnya, perkataan, perbuatan dan juga keyakinan  seorang mukalaf akan terkeluar daripada Islam (menjadi murtad) apabila ketiga-tiga perkara di atas atau salah satu daripadanya tidak tunduk atau patuh kepada Tuhan yang Maha Esa, iaitu Allah Subhanahu Wa Ta'ala.
Mengenai kata hati, jika kata tersebut diyakini dan dijadikan pegangan sehingga menjadi kepercayaan dalam diri, maka ia juga boleh menjadi penyebab kepada murtad.
Oleh itu, berhati-hatilah kita dalam ketiga-tiga perkara tersebut. Ingatlah pesanan Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam dalam sabdanya yang bermaksud:
“Perbaharuiilah iman kamu semua”. Para sahabat bertanya; “Bagaimanakah caranya kami hendak memperbaharui iman kami?”. Baginda menjawab; “Hendaklah kamu memperbanyakkan ucapan “La Ilaha illallah”.
(Hadith riwayat Ahmad)

Semoga dengan ucapan tahlil tersebut dapat memperbaharui iman kita. Dari itu, perbanyakanlah bertahlil agar iman kita sentiasa diperbaharui. Wallahu 'Alam.

No comments:

Post a Comment