Wednesday, January 2, 2013

Tindakan Jika Memakan Makanan Yang Diragui Halalnya.

Soalan

Assalamualaikum.
Saya dan 4 rakan keluar bertemu dan singgah makan di Jco Donuts tak lama dulu. Ketika smpai saya dapati tiada tanda halal sma skali. Rakan saya smuanya tmpak biasa sja lalu saya tnya sorng pekerja di situ yang mnjawab bahawa produk mreka halal. Sebelum pulang saya mmbeli sdikit untuk kluarga di rmah. Dh balik tu saya check di internet. Rupanya tiada sijil halal bagi syarikat tersebut dari Jakim mahupun Indonesia (negara asal) . Smuanya sudah dimakan. Apa patut sya buat skrg?

Jawapan

Wa'alaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh,
Dalam keadaan ini, oleh sebab premis makanan tersebut masih belum mempunyai Logo Halal Malaysia, maka makanan atau minuman yang disajikan di premis tersebut juga masih belum dikenal pasti lagi tentang halal atau haramnya.
Mengenai dakwaan perkerja premis tersebut yang mendakwa makanan yang disajikan di premis makanan tersebut adalah halal, tidak boleh dijadikan sebagai panduan atau bahan bukti bagi mengesahkan status makanan di premis tersebut.
Oleh yang demikian, beristighfarlah kerana anda telah mengambil makanan yang syubhah, iaitu makanan yang masih belum dikenal pasti lagi mengenai status halalnya dan perkara ini adalah bersalahan dengan perintah Allah di dalam al-Quran yang memerintahkan supaya hamba-hambanya mengambil makanan yang halalan toi’iba (makanan halal lagi baik).
Hal ini dengan jelas ada disebut oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala di dalam firmannya yang bermaksud:
"Wahai     orang-orang     yang beriman!   Makanlah   dari   benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadaNya".
(al-Baqarah: 172)

Sabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam, maksudnya:
Daripada Abu Abdullah al-Nu'man ibn Basyer Radhiyallahu 'Anhu, beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam bersabda:
“Sesungguhnya perkara yang halal itu sudah jelas, dan perkara yang haram itu juga sudah jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara syubhat yang kesamaran yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Barangsiapa yang menjaga perkara syubhat maka sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya. Dan barangsiapa yang terjatuh dalam perkara syubhat, maka dia telah jatuh dalam perkara haram, umpama seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya. Ketahuilah bahawa setiap raja ada sempadan dan sesungguhnya sempadan Allah itu ialah perkara-perkara yang diharamkanNya. Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah hati”.
(Hadith riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim.

Oleh itu, memakan makanan yang masih belum dikenal pasti lagi status halalnya adalah tergolong di dalam kategori makanan yang syubhah.
Mengambil sesuatu makanan yang syubhah adalah dibimbangi akan menyebabkan kita terambil makanan yang diharamkan.
Oleh itu, tinggalkanlah makanan tersebut dan beralihlah kepada makanan yang halal lagi baik mutunya sebagaimana firman Allah dalam ayat di atas.
Ringkasnya, jadikanlah Logo Halal Malaysia sebagai kayu pengukur atau petanda di dalam mengenali produk makanan yang halal. Sila berhubung dengan Bahagian Halal JAKIM di talian, 03 8315 0200 untuk dapatkan maklumat yang lebih lanjut mengenainya. Wallahu 'alam.

No comments:

Post a Comment