Monday, January 21, 2013

Jika Air Tidak Terkena Badan

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Kalau ada sebahagian anggota badan tidak terkena air tanpa kita sedari ketika mandi wajib. Tetapi kita yakin air sudah melalui semua bahagian anggota badan. Sah atau tidak mandi wajib kita.

Jawapan

Wa'alaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh,
Dalam persoalan ini, mandi wajib yang anda lakukan adalah sah kerana tidak terkenanya air pada bahagian tersebut tidak anda sedari dan anda menyangkakan tempat tersebut telah pun terkena air semasa anda melakukan mandian tersebut.
Pesanan dari Panel, ikutilah cara bagaimana Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam melakukan mandi wajib kerana ia lebih sempurna.
Sebagai panduan, berikut adalah cara bagaimana Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam melakukan mandian tersebut:
1.   Membaca bismillah sambil berniat untuk mengangkat hadas besar .
2.   Membasuh tangan sebanyak 3 kali.
3.   Membasuh alat kelamin dari kotoran dan najis.
4.   Mengambil wuduk sebagaimana biasa kecuali kaki. Kaki dibasuh selepas mandi nanti.
5.   Membasuh keseluruhan rambut di kepala.
6.   Membasuh kepala berserta dengan telinga sebanyak 3 kali dengan 3 kali menimba air.
7.   Menjirus air ke seluruh bahagian badan di sebelah lambung kanan dari atas sampai ke bawah.
8.   Menjirus lambung kiri dari atas sampai ke bawah.
9.   Menggosok bahagian-bahagian yang sulit seperti pusat, ketiak, lutut dan lain-lain supaya terkena air.
10.Membasuh kaki.

Nota tambahan:
- Jika anda mandi dengan menggunakan “shower”, tidak perlu tiga kali, memadai sekiranya anda telah yakin air telah meratai seluruh badan dari kepala ke hujung jari kaki.
- Untuk wanita pula, oleh kerana rambut wanita lebih panjang, maka disunatkan diuraikan rambut. Jika rambut ditocang atau disanggul, sekiranya bimbnangkan air tidak sampai ke dalamnya, tocang atau sanggul tersebut hendaklah dibuka.
- Seseorang yang hendak mandi wajib dicadangkan memakai kain seperti yang diajarkan oleh Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam.
- Jika ada najis dibadan,  najis itu boleh dibasuh serentak dengan mandi wajib iaitu membasuh najis dengan mandi wajib itu boleh disekalikan (Imam Nawawi) untuk memenuhi rukun kedua mandi wajib.

No comments:

Post a Comment