Thursday, June 14, 2012

Mendapatkan Lesen Memandu

Soalan

Bagaimanakah status lesen memandu sye jika sye memperolehinye dgn campuran hasil halal dan haram

Jawapan

Oleh sebab bercampur di antara hasil halal dan haram untuk mendapatkannya, lesen tersebut boleh dihukumkan sebagai lesen yang syubhah. Perkara yang syubhah perlu dielakkan dan ditinggalkan sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam yang bermaksud:
Daripada Abu Abdullah al-Nu'man Ibnu Basyer Radhiyallahu 'Anhu, beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam bersabda:
“Sesungguhnya perkara yang halal itu sudah jelas, dan perkara yang haram itu juga sudah terang, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara syubhah yang kesamaran yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Barang siapa yang menjaga perkara syubhah maka sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya. Dan barang siapa yang terjatuh dalam perkara syubhah, maka dia telah jatuh dalam perkara haram, umpama seorang penggembala yang menggembala di sekeliling kawasan larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya. Ketahuilah bahawa setiap raja ada sempadan dan sesungguhnya sempadan Allah itu ialah perkara-perkara yang diharamkanNya. Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah hati”.
(Hadith riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim.

Oleh yang demikian, lesen memandu yang anda perolehi adalah dihukumkan syubhah kesan daripada percampuran di antara perkara yang halal dengan yang haram.
Oleh itu, untuk keberkatan dari Allah Subhanahu Wa Ta'ala anda dinasihatkan supaya mengambil lesen memandu sekali lagi dengan cara yang lebih jujur supaya ia dapat dimiliki dengan cara yang diredai dan diberkati oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala.
Semoga dengan usaha yang sedikit ini akan menambahkan lagi keberkatan dan reda dari Allah Azza Wajalla. Wallahu 'alam.

No comments:

Post a Comment