Friday, June 22, 2012

Batas Pergaulan

Soalan

adakah seorang bayi luar nikah itu berdosa jika namanya dibintikan kepada bapa kandungnya yang telah berkahwin dengan ibu kandungnya.. dan bagaimanakah batas aurat antara bayi itu dan bapa kandungnya..

Jawapan

Dalam kes ini, bayi tersebut tidak berdosa kerana dia masih tidak tahu apa-apa (bayi). Namun, yang berdosa ialah orang yang menasabkan bayi tersebut kepada lelaki yang menyebabkan ibunya hamil dan melahirkan dirinya.
Mengenai batasan aurat bayi tersebut dengan lelaki itu pada asalnya adalah seperti aurat di hadapan seorang lelaki ajnabi (wajib tutup seluruh badan) jika bayi tersebut seorang perempuan. Hal ini disebabkan oleh hubungan nasab di antara mereka adalah tidak diiktiraf oleh Syariah Islam sekalipun setelah berkahwin dengan ibu bayi tersebut.
Ringkasnya, batasan aurat bayi tersebut jika perempuan dengan suami ibunya adalah seperti aurat di antara ayah tiri dengan anak tiri. Ini bermakna jika bayi tersebut perempuan auratnya di hadapan ayah tirinya adalah seperti auratnya di hadapan muhrimnya yang lain.
Walau bagaimanapun, nasab mereka masih tidak boleh dikaitkan – mereka masih tidak mempunyai hubungan nasab walaupun selepas berkahwin dengan ibunya.
Di samping itu juga, harta tinggalan lelaki tersebut juga tidak boleh diwarisi oleh bayi tersebut kerana mereka tidak mempunyai sebarang kaitan darah daging (bukan ahli waris).
Walau bagaimanapun, apabila dia mengahwini ibu bayi tersebut dan telah melakukan persetubuhan dengannya, maka hubungan bayi tersebut dengan suami ibunya adalah seperti hubungan seorang ayah tiri dengan anak tirinya.
Oleh sebab hubungan mereka telah berubah (dari ajnabi menjadi mahram), maka batasan aurat bayi tersebut dengan suami ibunya adalah seperti aurat anak tiri dengan ayah tirinya. Ringkasnya, aurat mereka sama seperti aurat seorang anak dengan bapanya.
Walaupun begitu, bayi tersebut tetap tidak boleh dinasabkan kepada lelaki tersebut sekalipun dia telah mengahwini ibunya. Hal ini adalah kerana hubungan nasab dirinya dengan lelaki tersebut tidak diiktiraf oleh Syara'.
Selain itu, lelaki tersebut juga tidak boleh menjadi wali kepada dirinya dan hartanya juga tidak boleh diwarisi oleh bayi tersebut.
Demikianlah hubungan bayi tersebut dengan suami ibunya (lelaki yang menghamilkan ibunya)Wallahu 'alam.

No comments:

Post a Comment