Saturday, May 19, 2012

Perkahwinan Melalui Maya

Soalan

Assalamualaikum w.b.t...di sini saya ingin bertanya tentang bagaimana perkahwinan yang di lakukan melalui maya(kamera video),apakah hukumnya beserta dalil?

Jawapan

Wa'alaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh,
Hukum pernikahan melalui maya adalah diakui sah di dalam Islam.
Dalilnya adalah berasaskan kepada keputusan fatwa yang telah dikeluarkan oleh majlis muzakarah jawatankuasa fatwa kebangsaan. Berikut adalah keputusan fatwa tersebut:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-97 yang bersidang pada 15-17 Disember 2011 telah membincangkan
mengenai Hukum Akad Nikah Menerusi Sidang Video (Video Conference). Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:

Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah menegaskan bahawa para fuqaha’ bersepakat mensyaratkan bahawa bagi memastikan
sesuatu akad nikah itu sah, ia hendaklah dilakukan dalam satu majlis (ittihad al-majlis) supaya semuanya terlibat secara langsung semasa pelaksanaan ijab
dan qabul.

Sehubungan itu, memandangkan akad nikah menerusi sidang video telah memenuhi syarat Ittihad al-Majlis kerana ia dikelaskan sebagai Ittihad al-Majazi, Muzakarah
bersetuju memutuskan bahawa adalah harus melakukan akad nikah menerusi sidang video dengan syarat-syarat seperti yang berikut :
1. Hendaklah majlis ini berlangsung ditahap al-yakin bukan al-zhan.
2. Tidak ada unsur penipuan (al-gharar) dan keraguan.
3. Cukup semua rukun dan syarat-syarat sah nikah menurut hukum syarak.
4. Digalakkan wali sendiri yang mengakad-nikahkan pasangan.
5. Terdapat halangan untuk melakukan akad nikah di tempat yang ditentukan kerana berjauhan seperti berada di luar negara dan sukar bagi kedua-dua belah
pihak berada dalam satu majlis yang sama disebabkan sakit, banjir dan sebagainya.
6. Tertakluk kepada semua peraturan dan undang-undang (seperti Enakmen Keluarga Islam Negeri-negeri) yang sedang berkuatkuasa.
Wallahu 'alam.

No comments:

Post a Comment