Thursday, May 10, 2012

ADAKAH HARI IBU HARAM

Soalan

ASSALAMU'ALAIKUM, ADA KAH BENAR HARI IBU TU HARAM,HARAP MENDAPAT PENJELASAN TERIMA KASIH

Jawapan

Hari ibu adalah satu hari yang dipilih di dalam setahun khusus untuk mengenang dan menghargai jasa dan pengorbanan seorang ibu.
Di dalam Islam, kaum ibu mendapat penghormatan dan tempat yang tinggi berbanding kaum ayah. Hal ini dapat dilihat melalui beberapa hadis rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam yang menyatakan mengenai ketinggian darjat seorang ibu. Salah satu daripadanya, sabda rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam, maksudnya:
Dari Abu Hurairah Radhiyallahu 'Anhu, ada seorang anak lelaki bertemu dengan Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam, lalu beliau bertanya kepada Baginda; “Wahai Rasulullah, siapakah dia orang yang paling berhak untuk saya buat baik?” Nabi menjawab, “Ibumu.” Beliau bertanya lagi; “Kemudian siapa?”. Baginda menjawab, “Ibumu.” Kemudian beliau bertanya lagi; “Kemudian siapa?” Nabi menjawab, “Ibumu.” Beliau masih bertanya lagi; “Kemudian siapa lagi?”, Baginda menjawab: “Bapamu”.
(HADITH RIWAYAT Imam Al-Bukhari dan Muslim).

Selain daripada riwayat ini, terdapat sebuah hadis yang lain yang turut menggambarkan kemuliaan seorang ibu sehinggakan rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam meletakkan kedudukan syurga sebuah tempat yang penuh dengan nikmat balasan bagi seorang hamba yang taat Cuma berada di bawah tapak kaki seorang ibu.
Demikianlah kedudukan dan martabat yang begitu tinggi seorang ibu di dalam Syariat Islam.
Oleh itu, adalah tidak menjadi kesalahan kepada seorang Muslim untuk menyambut hari ibu dengan syarat ia tidak dikaitkan dengan mana-mana ajaran agama yang lain dan tetap menganggap ibunya sebagai seorang insan biasa dan menghormatinya tidak lebih daripada penghormatan seorang anak kepada seorang ibu.
Ringkasnya, hari ibu boleh disambut oleh masyarakat Islam. Wallahu 'alam.

No comments:

Post a Comment