Soalan
Salam saya ingin bertanya, apakah hukum bermain muzik gitar seperti di
forum-forum yg banyak dilakukan sekarang..ada yg mengatakan bahawa alat
bertali itu haram..dan ada sesetengah menghalalkan..jika kita
menghalalkannya adakah boleh jatuh kufur..
Jawapan
Wa'alaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh,Sebenarnya mengenai hukum bermain alat muzik yang bertali atau bertip seperti gitar dan lainnya tidak ada sebarang nas atau dalil yang jelas menyebut mengenai hukum memainkannya. Dan atas sebab itulah para ulama’ berbeza pendapat mengenainya (hukum main gitar).
Ada di antara mereka yang mengharamkannya sama sekali samada menyebabkan lalai ataupun tidak. Dan ada sebahagian yang lain pula yang mengharuskannya dengan syarat tidak memberi sebarang kemudaratan.
Selain itu, ada juga yang mengharuskan bermain alat muzik ini dengan syarat yang lebih terperinci:
1. Untuk sekadar hiburan sendiri sahaja.
2. Tidak bercampur dengan perkara-perkara yang diharamkan seperti penagihan dadah, percampuran di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram atau seumpamanya.
3. Tidak dijadikan sebagai sumber pendapatan.
4. Tidak menjadi lalai daripada melaksanakan segala kewajipan dan tidak menyebabkan orang lain jadi lalai.
Ringkasnya, jika anda ingin bermain alat muzik tersebut, maka pendapat terakhir ini adalah elok untuk anda ambil. Namun begitu, janganlah kerana terlalu asyik memainkannya sehingga menyebabkan anda lalai dan leka dengan hiburan tersebut sehingga terlupa segala kewajipan agama ataupun kewajipan-kewajipan yang lain. Malahan sudah tidak sempat untuk hadirkan diri ke surau dan masjid untuk menghadiri kuliah agama ataupun untuk bersolat jemaah.
Pesanan dari Panel, hiburan memang diharuskan di dalam Islam, tetapi ia hanyalah untuk menghilangkan rasa jemu atau bosan dan bukannya dijadikan sebagai perkara yang penting dalam kehidupan seharian.
Oleh yang demikian, jika hanya berhibur tapi tak pernah hadir ke masjid dan surau untuk solat berjemaah dan menghadiri kuliah untuk belajar agama, maka inilah hiburan yang diharamkan oleh Islam. Wallahu ‘alam.
No comments:
Post a Comment