Saturday, October 13, 2012

IQuran Pada Tablet Android

Soalan

salam, saya ada kemusykilan mengenai 1 aplikasi Quran yang digunakan pada sistem android ( Tablet or telefon pintar ) adakah kandungan ayat-ayat Quran dalam aplikasi tersebut, betul-betul original. Saya bimbang sekiranya kandungan di dalam Quran dalam aplikasi telah diubah. Adakah pihak jakim telah meluluskan penggunaan aplikasi tersebut. Untuk makluman pihak Jakim, aplikasi ini boleh didapati di sini
https://play.google.com/store/apps/details?id=com.guidedways.iQuran&hl=en .

Jawapan

Waalaikumusalam,
Pengesahan teks Al-Qur'an sama ada resm uthmani ataupun sebaliknya yang digunakan dalam negara ini  adalah menjadi tanggungjawab bahagian penerbitan al-Qur'an di Kementerian Dalam Negeri Di Putrajaya.Lembaga pengesahan akan meneniliti keaslian teks berkenaan sebelum sesuatu kelulusan diberi untuk tujuan penerbitan bagi dijual  dalam pasaran di  negara ini.
Panel nasihatkan agar anda kemukakan masalah ini kepada bahagian penerbitan al-Quran (PQ) untuk menilai kesahihan kandungan teks al-Quran dalam ipad yang dimaksudkan.Wallahu a'lam.

Bercumbu Dan Memungkiri Berjanji

Soalan

saya pernah berjanji dengan kekasih saya yang saya tidak akan tinggalkan dia.Selepas lama berkenalan,kami mula bercumbu tanpa zina. saya sangat menyesali perbuatan itu.Disebabkan dia tidak memahami tekanan kewangan dan masa sebagai pelajar saya berasa tawar hati kepadanya dan memutuskan hubungan bagi memperbaiki diri saya dan mengumpul wang untuk berkahwin.Saya telah jatuh hati pada orang lain tetapi saya rase diri saya keji.Atas tanggung jawab perlu kembali, tapi hati saya. Apa saya perlu buat?

Jawapan

Di dalam masalah ini, perbuatan bercumbu-cumbuan dengan wanita yang bukan mahram adalah satu perbuatan maksiat. Manakala memungkiri janji pula adalah salah satu daripada sifat ataupun ciri-ciri orang munafiq. Sabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam, maksudnya:
Dari Abu Hurairah Radhiyallahu 'Anhu, bahawasanya Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam bersabda, maksudnya:
"Tanda-tanda orang yang munafik ada tiga: apabila dia bercakap dia berdusta, apabila dia berjanji dia memungkirinya, dan apabila diberi kepercayaan (amanah), ia khianat".
(Hadith riwayat Muttafaqun 'alaih).

Oleh itu, anda perlu bertaubat atas dosa yang telah dilakukan bersamanya dan cuba untuk penuhi janji yang pernah anda lafazkan terhadapnya.
Ringkasnya, bertanggungjawablah di atas perbuatan dan janji yang telah anda buat. Semoga anda dapat memperbaiki diri sebagai seorang hamba yang taat kepada perintahnya. Wallahu 'alam.

Berkenaan Status Air

Soalan

Tandas saya sempit,jadi baldi air saya letakkan di bwh,sy rasa sy was2 jika sy kencing air kencing terpercik sikit masuk dlm air yg ada dlm baldi,dan air itu digunakan utk mandi..kemudian sy lap pakai tuala,adakah kemudian esok sy kembali tuala itu,adakah ianya najis

Jawapan

Dalam keadaan ini, air di dalam baldi tersebut dihukumkan najis apabila terpercik air kencing ataupun terjatuh ke dalamnya najis sekalipun najis tersebut tidak menyebabkan berubahnya air di dalam baldi tersebut.
Oleh itu, ia sudah tidak boleh digunakan untuk bersuci lagi (termasuk untuk dibuat cebok kencing atau berak). Wallahu 'alam.

Wuduk Menggunakan Air Salji

Soalan

Salam ustaz...saya nak tanya, bila saya berada ditempat yg dipenuhi salji dan untuk mencari air sangat sukar, bagaimana caranya untuk saya mengambil wuduk?..Bolehkan salji itu saya gunakan sebagai tayammum?

Jawapan

Wassalam,
Air salji adalah tergolong di dalam kategori air mutlak dan ia bukan daripada jenis debu yang boleh dibuat tayamum.
Dari itu, air salji boleh digunakan untuk berwudhu’ sama seperti air mutlak yang lain. Wallahu 'alam.

Friday, October 12, 2012

Hukum Mandi Wajib


Soalan

assalamualaikum...sy nak bertanya mengenai hukum mandi wajib saya. kuku dan jari saya terkena gam. tetapi saya telah berusaha untuk membuangnya tetapi tidak berjaya. bagaimanakah saya hendak mandi wajib. saya memohon soalan saya dijawab dengan segera. terima kasih.

Jawapan

Waalaikumusalam,
Sekiranya anda mandi wajib dengan kuku dan jari  yang masih melekat /terkena gam, menyebabkna iar mandi tersebut tidak dapat sampai/serap.Implikasi dari segi hukum,mandi wajib yang sedang anda laksanakan itu tidak sah.Akibatnya anda tidak boleh solat,puasa dan membaca al-Quran.
Sebagai langkah yang paling wajar ialah anda kena cari alat bagi tujuan untuk mencairkan gam (tinner/spirit).Panel yakin pencair ini mampu untuk membantu anda  bagi tujuan menghilangkan kesam gam dan seterusnya anda boleh  mandi dengan sempurna tanpa ada gam yang menghalang.Wallahu a'lam.

Patung Menyerupai Manusia

Soalan

Assalamualaikum.saya ingin bertanyakan soalan,bolehkah kita menyimpan patung yang menyerupai manusia dimana anak patung tersebut boleh diberi makan,dan ia berbunyi bila menekan satu butang di tangan.ia adalah untuk permainan kanak2 semata2.

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t
Saudara/ri yang dirahmati Allah swt
Anak patung itu adalah mainan kepada kanak-kanak walau dalam apa keadaan apa sekalipun bentuk dan pergerakan. Menyimpannya juga boleh dengan syarat dilarang untuk dijadikan hiasan di dalam rumah. Kaedah menyimpan yang paling baik ialah menyimpan di dalam kotak atau sebagainya.

Permasalahan Dalam Solat Jamak

Soalan

Salam ustaz, saya ada 2 kemusykilan;
1.) Boleh x sekiranya kite jamakkan solat asar kedalam solat zuhur walaupun sudah masuk waktu asar kite masih lagi belum memulakan perjalanan?

Jawapan

Wassalam,
Dalam persoalan ini, solat jamak dan qasar hanya boleh dilakukan apabila perjalanan telah dimulakan.
Oleh itu, jika perjalanan masih belum dimulakan lagi, ini bermakna solat jamak dan qasar masih belum boleh anda lakukan lagi.
Dari itu, dalam situasi anda ini, Solat Zohor tersebut perlu anda qadha’kan kerana waktunya telah berakhir. Wallahu 'alam.