Showing posts with label Taubat. Show all posts
Showing posts with label Taubat. Show all posts

Saturday, May 18, 2013

Kekeliruan Tentang Taubat Nasuha

Soalan

Salam saya nak tanya tentang taubat nasuha.. adakah seseorang muslim itu hanya boleh melakukan 3 kali sahaja taubat nasuha? kemudian apabila seseorang itu melakukan semula dosa-dosa besar..adakah taubat nya tidak diterima selepas 3 kali bertaubat nasuha?

Jawapan

Waalaikumusalam,
Ulama’ telah meletakkan syarat-syarat taubat. Antaranya ialah :
1.meninggalkan dosa,
2.menyesali dosa yang dilakukannya,
3.berniat tidak mengulanginya lagi serta
4.mengembalikan hak-hak orang yang dizaliminya atau meminta halal darinya.

Namun, adakah dengan kita mengulangi perbuatan dosa tersebut menyebabkan taubat yang kita pohon tidak diterima?

Ulama’ berbeza pendapat tentang hal tersebut. Ada yang mengatakan bahawa sekiranya yang dipohon ampun itu adalah suatu dosa, dan yang diilakukan sesudah itu adalah dosa yang lain, maka taubatnya itu diteriima. Tetapi jika dia mengulangi perbuatan yang sama sesudah dia bertaubat, maka taubatnya itu tidak diterima.

Ulama’ lain pula berpendapat, walaupun yang diulangi tersebut adalah perbuatan yang dia kesali sebelum ini, taubatnya itu diterima sekiranya dia sungguh-sungguh menyesal atas perbuatannya. Allah berfirman :-

“Katakanlah, wahai hamba-hambaKu yang telah melakukan perbuatan melampau batas ke atas diri-diri mereka, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, sesungguhnya Allah mengampuni keseluruhan dosa, sesungguhnya Dia Maha Pengampun dan Maha Penyayang.”
(Al-Zumar:- 53)


Hal ini juga disabdakan oleh Baginda Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam :-

Dari Abu Hurairah r.a
"Seorang hamba melakukan dosa, dan berdoa: Ya Tuhanku, aku telah melakukan dosa maka ampunilah aku. Tuhannya berfirman: hamba-Ku mengetahui bahwa dia mempunyai Tuhan yang akan mengampuni dan menghapus dosanya, maka Aku ampuni hamba-Ku itu. Kemudian waktu berjalan dan orang itu tetap seperti itu hingga masa yang ditentukan Allah SWT, hingga orang itu kembali melakukan dosa yang lain. Orang itupun kembali berdoa: Ya Tuhanku, aku kembali melakukan dosa, maka ampunilah dosaku. Allah SWT berfirman: Hamba-Ku mengetahui bahwa dia mempunyai Tuhan Yang mengampuni dan menghapus dosanya, maka Aku ampuni hamba-Ku itu. Kemudian ia terus dalam keadaan demikian selama masa yang ditentukan Allah SWT, hingga akhirnya ia kembali melakukan dosa. Dan ia berdoa: Ya Tuhanku, aku telah melakukan dosa, maka ampunilah daku. Allah SWT berfirman: Hamba-Ku mengetahui bahwa ia mempunyai Tuhan Yang mengampuni dan menghapus dosanya. Maka Aku telah berikan ampunan kepada hamba-Ku, (diulang tiga kali) dan silakan ia melakukan apa yang ia mahu"
(hadis riwayat: Bukhari dan Muslim)

Allah sentiasa memberi pengharapan kepada hamba-hambaNYA untuk kembali kepadaNYA dengan memberi ruang dan peluang yang seluas-luasnya kepada hamba-hambaNYA. Hal ini kerana Allah lebih mengetahui sifat kita sebagai makhluk yang diciptakanNYA. Jadi, mengapa kita tidak pernah menghargai peluang yang diberi oleh Allah. Selagi mana hayat di kandung badan, dan selagi mana dunia tidak kiamat, pintu taubat sentiasa terbuka untuk seluruh manusia.

"Sesungguhnya Allah Ta'ala selalu membuka tangan-Nya di waktu malam untuk menerima taubat orang yang melakukan kesalahan di siang hari, dan Ia membuka tangan-Nya di waktu siang untuk menerima taubat orang yang berbuat salah di malam hari. Begitulah hingga matahari terbit dari arah barat."
(H.R. Muslim)

Kita telah diberi peluang. Seandainya kita sengaja mengabaikan peluang tersebut, nescaya kita termasuk di kalangan orang-orang yang menzalimi diri sendiri seperti dalam firman Allah dalam surah Al-Hujurat ayat 11 yang bermaksud :-

"Dan  Sesiapa yang tidak bertaubat maka mereka itu merupakan orang-orang yang zalim. "

Ayat ini ditujukan kepada orang-orang yang mengatakan sesuatu yang buruk kepada sesama manusia, namun setiap dosa itu sama ada dosa mengata yang buruk ataupun dosa maksiat, semuanya perlu dibersihkan dengan taubat. Dan orang yang tidak bertaubat, Allah sifatkan sebagai menzalimi diri sendiri.

Malaikat imannya statik. Tidak akan pernah mengkhianati amanah yang Allah. Namun, manusia bukannya malaikat. Manusia diciptakan bersama-sama mereka ialah nafsu serta sentiasa dilingkungi oleh hasutan-hasutan syaitan. Maka, sebab itulah seandainya manusia berjaya mengekang kedua-dua nafsu dan syaitan, darjatnya adalah lebih tinggi berbanding malaikat.

Namun, atas faktor nafsu dan syaitan, serta lemahnya iman inilah yang menyebabkan manusia selalu sahaja tersasar dari landasan yang telah ditetapkan oleh Allah. Walaupun telah bersungguh-sungguh menyesali perbuatan lampau, namun dek kerana lemahnya iman serta pegangan, manusia kembali melakukan perbuatan yang pernah ditaubatinya.

Terdapat empat kategori manusia yang memohon taubat.

Golongan pertama ialah orang yang melakukan maksiat lalu bertaubat dari maksiat tersebut dan terus kekal dalam kebaikan. Taubat inilah yang disebut sebagai taubat nasuha, taubat semata-mata kerana Allah. Golongan ini memiliki nafsu al-Mutmainnah iaitu jiwa yang tenang dan redha dengan ketentuan Allah sebagaimana firmanNya yang bermaksud :

“wahai jiwa yang tenang (suci). Kembalilah kepada Tuhanmu dengan (hati) yang redha, lagi diredhai di sisi Tuhanmu.” (al-Fajr, ayat 27-28)

Golongan kedua pula adalah orang yang telah bertaubat kepada Allah dan melakukan amal kebaikan tetapi masih terikat melakukan dosa-dosa kecil yang tidak dapat dielakkan. Apabila ia melakukan dosa, ia segera bertaubat. Mereka ini mempunyai nafsu lawwamah iaitu nafsu yang mencela kejahatan dan tidak menyenanginya.

Golongan ketiga adalah golongan yang bertaubat dan terus kekal dalam keadaan bertaubat sehingga pada suatu ketika dia tidak mengawal diri lalu terjebak semula ke dalam maksiat. Walaupun begitu dia tidak pernah lalai dengan melakukan ketaatan kepada Allah. Nafsu ini dikenali sebagai nafsu musawwalah yang bermaksud nafsu yang memperdaya.

Perkara ini dirakamkan oleh Allah dengan firmanNya yang bermaksud :

“dan sebahagian mereka yang lain mengakui akan dosa-dosa mereka. Mereka mencampuradukkan amal-amal yang baik dengan amalan yang buruk. Mudah-mudahan Allah akan menerima taubat mereka, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (al-Taubah, ayat 102)


Dan golongan keempat adalah golongan yang bertaubat dari melakukan kemaksiatan tetapi hanya seketika. Kemudian dia kembali melakukan dosa-dosa tanpa bersegera untuk bertaubat malah terus bergelumang dengan maksiat. Mereka ini termasuk dalam golongan nafsu Ammarah, iaitu nafsu yang mengajak melakukan perbuatan keji dan menjauhkan diri dari melakukan kebaikan.

Mari kita menghisab kembali diri, adakah kita merupakan golongan pertama, kedua, ketiga ataupun yang keempat. Andai kita berada dalam golongan keempat,
Justeru secara rumusan,peluang untuk bertaubat itu hanya setakat 3 kali sahaja,selepas daripada itu jika anda ulangi maka Allah tidak akan terima taubat anda lagi.Wallahu a'lam.

Thursday, November 1, 2012

Menyesal Perkara Lama

Soalan

saya telah malakukan pekara dose dengan perempuan tampa sy sedari, tpi blum sampai bersetubuh lagi,,,,
sy sngat mnyesal yg teramat sngat,,,,, ape yg sy mau lakukan???

Jawapan

Waalaikumusalam,
Panel nasihatkan agar anda cepat-cepat bertaubat nasuha (taubat sungguh-sungguh).Syarat taubat nasuhat ialah:
1.Menyesal di atas perbuatan
2.Bersegera meninggalkan perbuatan tersebut
3.Berniat tidak akan mengulangi perbuatan terkutut itu sekali lagi.
Jika berkaitan dengan orang lain iaitu memohon  kemaafannya.
Di samping itu panel nasihatkan  jika boleh ambil orang yang telah anda goda tersebut untuk dijadikan isteri.Wallahu a'lam.

Tuesday, October 23, 2012

Solat Dan Taubat

Soalan

Assalam,
Saya byk melakukn dosa dan sy ingin bertaubat.Sy melakukan solat taubat.Sy tidak mahir membaca Quran. Sy takut sekiranya sepjg sy solat ada kesilapan dlm tajwid sy. Sy ada dpt tau kalau bacaan kita ntuk al-fatihah dan tahiyat akhir tak betul,maka solat kita tidak sah. Bgmanakah solat sy sdgkn sy btul2 dlm proses belajar dn berubah. Sy akan mengerjakan umrah, sy takot taubat sy xditerima. Dan ada yg mengatakan sama sj tak bertaubat kerana jahil dlm bacaan surah,solat ttp tak diterima.

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t
Saudara yang dirahmati Allah swt
Perkara utama yang perlu anda pegang ialah Allah itu Maha Pengampun,selagi masih bernyawa maka kita diberi peluang untuk bertaubat dari sebarang dosa yang telah dilakukan.
Oleh kerana anda dalam proses belajar maka kesalahan tajwid dalam bacaan solat adalah dimaafkan dan dengan syarat anda wajib memperlajari ilmu al-Quran.
solat akan sah sekiranya dikerjakan dengan niat yang betul dan mengikut rukun yang telah ditetapkan.
Agama Islam tidak sekejam itu sehingga menjauhkan manusia dari Allah Maha pencipta. Dapatkan maklumat dari bahan bacaan yang betul dan kerap mendengar ceramah dari ilmu agama yang benar-benar mahir dan yang mendapat pengiktirafan jabatan agama islam negeri.
wallahua'lam

Monday, October 15, 2012

Pencuri Yang Bertaubat

Soalan

Assalamu'alaikum wbt ybhg. ustaz/ustazah,
Teman saya mengaku pernah mencuri sebuah buku di kedai. Namun, teman saya itu diberi hidayaah oleh Allah SWT dan bertaubat nasuha (solat taubat, istighfar dan menyesali dosanya itu) pada Ramadhan lalu. Dan buku itu telahpun dipulangkan semula dan denda jenayah telah dibayar selepas kedapatan. Soalan saya, menurut hukum hudud, pencuri mesti dipotong tangannya untuk diringkan azab neraka. Perlukah teman saya potong tangannya sendiri? Terima kasih.

Jawapan

Wa'alaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh,
Dalam keadaan ini kawan anda tidak perlu untuk memotong tangannya sendiri kerana yang menjalankan hukuman tersebut adalah pemerintah dan bukannya diri pesalah itu sendiri.
Ringkasnya, taubat yang dilakukannya dan pemulangan semula buku yang dicurinya itu kepada tuannya adalah sudah mencukupi bagi kesalahan yang telah dilakukannya itu. Wallahu 'alam.

Thursday, August 30, 2012

Taubat Nasuha Tetapi Tidak Hudud

Soalan

Assalamualaikum
Andai suatu hr nnti hudud dijalankan di
Malaysia, perlukah sy mngaku didepan hakim yg sy telah mlakukan liwat? Apakah hukuman yg sepatutnya dijalankan keatas sy? Dan Jika sy tidak dikenakan hudud adakah sy akan diseksa diakhirat kelak walaupun sy sudah taubat sebetul2 nya taubat nasuha. Cukupkah jika sy hnya bertaubat tanpa melakukan hudud? Sy msih bujang dn sy sgt insaf dgn perbuatan lalu. Tolong sy ustaz.

Jawapan

Saudara tidak perlu memberitahunya kepada hakim sebab banyak hadis-hadis yang memberi makna yang demikian. Hudud bukannya urusan individu oleh itu usah difikirkan untuk dikenakan pada diri saudara. Hudud dan perlaksanaannya memerlukan syarat yang banyak ianya adalah urusan pemerintah dan hakim. Yang penting saudara bertaubat nasuha yang sebenarnya. Jika tertangkap dan cukup syarat serta hudud dilaksanakan pada masa itu baharulah dikenakan hudud, jika tidak maka tidak dikenakan hudud begitu juga kesalahan sebelum dikuatkuasakan hudud. Adapun siksa di akhirat itu urusan Allah. w/pun Allah menjanjikan pengampunan 100% kepada hambanya yang bertaubat kecuali syirik. Jika mendapat pengampunan maka balasannya adalah syurga. Janji Allah adalah benar. Tanda sesaorang itu diterima taubatnya adalah dia meninggalkan maksiat yang lalu dan kawan-kawan maksiatnya dan berubah menjadi golongan yang taat kepada Allah.

Monday, July 16, 2012

Solat Taubat Nasuha

Soalan

salam,saya ingin bertanya jika seseorang itu melakukan sesuatu dosa...adakah dia wajib melakukan solat taubat nasuha ataupun cukuplah ia menyesalinya dan x mengulangkanye lagi??

Jawapan

Cukuplah sekadar dia menyesalinya dan x mengulangkanye lagi. Sembahyang lagi baik.

Wednesday, July 4, 2012

Solat Sunat Taubat

Soalan

boleh x terangkan care2 nak buat solat sunat taubat dengan betul...sy ade jumpe di laman web laen tp sy takut salah...atau memang dah ade dekat laman web jakim care menunaikan semua solat sunat cume sy je yang xjumpe...maaf kalo salah tanye...

Jawapan

Cara melakukan Solat Sunat Taubat adalah sama seperti mana  mengerjakan solat fardu dan sunat yang lain. Ia didirikan sebanyak 2 raka’at.
Ringkasnya, setelah berwuduk dan memakai pakaian yang bersih, carilah tempat yang sesuai untuk mendirikan solat, hadapkan diri ke arah Qiblat dan berniat:
“Sahaja aku solat sunat taubat dua raka’at kerana Allah Ta’ala”

Dalam raka’at pertama selepas membaca Surah Al-Fatihah, bacalah Surah Al-Fath, surah ke- 110 dan teruskan solat seperti biasa.
Dalam raka’at kedua selepas membaca Surah Al-Fatihah, bacalah Surah Al-Ikhlas, surah ke-112 dan teruskan solat hingga memberi Salam.
Kemudian berdoalah dengan doa-doa yang bersesuaian dengan niat di hati (memohon keampunan dari Allah).
Berikut beberapa contoh doa yang boleh dibaca untuk memohon ampunan dari Allah Ta’ala yang dapat dibaca setelah selesai mengerjakan Solat  Taubat:
“Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, niscaya kami tergolong di kalangan orang-orang yang rugi”
(Maksud dari Surah Al A’raaf , ayat ke-23)

“Ya Allah, sesungguhnya aku banyak menganiaya diriku dan tidak ada yang mengampuni dosa kecuali Engkau. Oleh kerana itu ampunilah dosa – dosaku dengan ampunan dari sisi-Mu dan berikan rahmat kepadaku. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan Maha Penyayang”
(Maksud hadis riwayat Al Bukhari no. 834 dan Muslim no. 2705)

Sila dapatkan buku panduan doa yang ada dijual di pasaran buku agama di tempat anda untuk mencari doa yang lain. Wallahu 'alam.

Tuesday, June 26, 2012

Cara Melakukan Taubat

Soalan

salam... ustaz saya ingin melakukan bertaubat tetapi kerana saya kurang pendidikan agama.. bgai mne kah cara yg sebenarnya melakukannya....

Jawapan

Ambil wuduk dan solat sunat taubat. Jika taubat berkaitan dosa dengan orang lain wajib diselesaikan terlebih dahulu seperti mencuri dan sebagainya. Lakukan kebaikan sentiasa selepas itu.

Tuesday, May 29, 2012

Peminum Dan Belum Bertaubat

Soalan

assalamualaikum. apa hukum orang yang minum arak dahulu,tapi sekarang dah insaf .belum sembahyang taubat tetapi hanya meningati tuhan dan berselawat selalu.? apa harus orang ini lakukan

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t
Saudara yang dirahmati Allah swt
Hukum minum arah ialah haram dan tergolong dalam dosa-dosa  besar. Seorang hamba yang ingin beramal ibadah maka wajib baginya untuk bertaubat dengan taubat nasuha dan berjanji tidak mahu mengulangi perbuatan tersebut.
Membersihkan diri dari sebarang dosa adalah perlu agar segala pintu Rahmat terbuka luas buatnya dan amal ibadahnya ditermai Allah swt.

Wednesday, March 21, 2012

Taubat Orang Yang Menggugurkan Anak Luar Nikah

Soalan

Assalamualaikum,
1)Apakah bentuk taubat untuk perempuan yang belum berkahwin yang melakukan zina.
2)Apakah bentuk taubat untuk perempuan yang belum berkawin yang menggugurkan anak luar nikah tersebut. Apakah benar, perlu berpuasa 60 hari berturut-turut? Jika tidak berdaya untuk berpuasa adakah dibolehkan membayar fidyah sebanyak 3.5kg beras/hari selama 60 hari untuk fakir miskin atau apakah jumlah sepatutnya yang perlu dilakukan. Mohon penjelasan yang mendalam dari pihak ustaz, Terima kasih.

Jawapan

Wa'alaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh,
1.         Di dalam Islam, setiap kesalahan yang dilakukan perlu dihapuskan dengan cara bertaubat. Jika kesalahan tersebut adalah kesalahan sesama manusia, maka hanya manusia tersebut sahaja yang boleh memaafkannya. Demikian juga dengan dosa kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala, hanya Allah sahaja yang boleh mengampunkannya.
Di dalam kesalahan zina, ia adalah satu kesalahan yang telah menceroboh hak Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Hanya Allah Subhanahu Wa Ta'ala sahaja yang boleh mengampunkan kesalahan ini.
Dari itu, kepada pelaku zina apa yang perlu mereka lakukan adalah bertaubat dengan taubat nasuhah dan seterusnya memenuhi syarat-syarat taubat yang telah digariskan oleh Islam. Syarat-syarat tersebut adalah seperti berikut:
i.          Ikhlas ingin bertaubat.
ii.          Meninggalkan segala dosa.
iii.         Menyesali atas dosa yang dilakukan.
iv.         Tidak mengulangi lagi perbuatan maksiat/dosa tersebut.
v.         Dikerjakan sebelum ajal tiba.
 
Selain itu juga, perlu jauhkan diri daripada perkara-perkara yang boleh mendorong kita mengulangi lagi perbuatan dosa tersebut.
Perbanyakan ingat kematian kerana dengan cara itu dapat mendorong diri supaya sentiasa berwaspada dengan amalan dan perbuatan yang boleh menjerumuskan diri ke kancah dosa. Seterusnya sentiasa beringat mengenai bekalan yang akan dibawa untuk menghadap Allah Subhanahu Wa Ta'ala.
 
2.         Bagi perempuan yang melakukan kesalahan zina dan telah menggugurkan kandungan zinanya itu juga perlu melakukan taubat sebagaimana jawapan di atas.
Ringkasnya, dia perlu kembali ke pangkal jalan dan berusaha untuk menjadi seorang Muslimah yang solehah.
Mengenai perlu berpuasa selama 60 hari atau memberi makan kepada 60 orang fakir miskin selama 60 hari adalah satu bid'ah yang tidak ada sandarannya di dalam Islam. Masyarakat Islam perlu lebih berhati-hati dengan dakwaan-dakwaan seperti ini. Carilah orang yang berautoriti di dalam ilmu Islam untuk dijadikan tempat rujukan agar jawapan yang diterima adalah menepati dengan ajaran Syariat Islam yang sebenar.
Wallahu 'alam.

Thursday, February 16, 2012

Solat Taubat Nasuha

Soalan

(semasa sujud akhir rakaat kedua, ucapkanlah Doa Nabi Yunus sebanyak 40 kali (bersungguh-sungguh di dalam hati memohon keampunan dari Allah Ta’ala),
ASSALAMUALAIKUM, SOALAN SAYA: Adakah Semasa sujud akhir rakaat ke2 kita tidak perlu untuk bacaan TAHIYAT AKHIR? Adakah kita hanya duduk & terus mengucapkan doa Nabi Yunus? Harap dapat penjelasan. Saya ingin melakukan solat Taubat Nasuha kerana sy byk melakukan dosa.

Jawapan

Waalaikumussalam,
Untuk makluman anda semasa melakukan 2 rakaat solat taubat nasuha perlu dibaca doa berikut pada sujud terakhir solat berkenaan iaitu:
1.Sujud terakhir- sebelum baca doa nabi Yunos anda juga perlu baca tasbih  sebanyak 3 kali.
2.Istighfar
3. 40 KALI Doa nabi Yunos, iaitu LAILA ILLA  ANTA  SUBHANAKA INNI KUNTU MANAZ ZOLIMIN
Setelah selesai Kemudian duduk antara 2 sujud dan bacalah doa tasyahud akhir  sehingga selesai dan beri salam.Wallahu a'lam

Thursday, January 5, 2012

Taubat Tp Takut

Soalan

Sy pernah bertaubat dan mendirikan solat taubat berkali-kali.saya pernah merasa taubat saya, tp semuanya tidak lama kerna sy kembali melakukan maksiat.Sekarang saya sgt takut untuk bertaubat kerna takut saya hanya mempermainkan Allah kerna saya selalu melakukan maksiat dan skrg saya cuba ntuk mendekatkan diri dgn Allah tp hati saya blum ikhlas sepenuhnya..Macam mana saya nak bertaubat dan melawan nafsu saya dan mempunyai hati y ikhlas untuk Allah kerna saya telah sebati dgn Maksiat.Salam.

Jawapan

Assalamualaikum w.b.t
Taubat adalah salah satu cara kita kembali ke jalan yang diredhai oleh Allah swt. Taubat adalah cara kita memohon keampunan dari Allah atas setiap dosa yang dilakukan. Untuk mendapatkan syurga Allah, hamba yang berdosa perlu membersihkan diri dan jiwa  dari sebarang dosa dan maksiat.
Syarat taubat itu ialah:
1. menghentikan perbuatan maksiat
2. menyesal atas pebuatan yang telah terlanjur dilakukan
3. niat bersungguh-sungguh tidka akan mengulangi lagi perbuatan dosa itu.
Bertaubatlah selagi pintu taubat itu masih terbuka, kerana dibimbangi jika hasrat bertaubat itu dilakukan diambang kematian taubatnya  adalah ditolak. Perbanyakkanlah memikirkan nikmat yang dianugerahkan oleh Allah seperti nyawa. Jika ditarik pada waktu ini, pastinya setiap hamba tidak mampu untuk hidup buat kali kedua. Tiada istilah maksiat itu sebati dalam diri, Ini kerana keistimewaan yang diberikan oleh Allah kepada manusia adalah akal fikiran yang boleh dan mampu berfikir tentang nikmat dan balasan Allah ke atas setiap hamba yang melakukan setiap perbuatan.
Nabi Muhammad saw seorang Nabi yang terpelihari dari sebarang dosa tetap memohon keampunan dari Allah swt, inikan pula kita hamba biasa di atas muka bumi yang sentiasa dikelilingi dengan godaan nafsu dan bisikan syaitan.
Azab Allah itu maha dahsyat. Tidak mampu untuk digambarkan. Begitu juga dengan nikmat Allah tidak mampu untuk diucapkan. Maka di atas tangan kitalah sama ada untuk memlih syurga atau neraka tempat tujuan kita semua. Cintailah Allah dan Rasul, perbanyakkanlah amal ibadah, dekatkanlah diri dengan orang yang berilmu. Cara sebegini dapat  mendekatkan diri kepada Allah dan mampu meningkatkan rasa takut untuk melakukan setiap perbuatan yang terkutuk dan dibenci oleh Allah swt.

Thursday, December 22, 2011

Taubat Minum Arak

Soalan

slm.
sy ingin bertanya, sekiranya seseorang itu tahu bahawa hukum minum arak itu berdosa besar dimana ibadahnya tidak akan diterima Allah 40 hari , akan tetapi telah terlanjur kerana pengaruh kawan dan telah minum arak sebnyak 2 kali, seseorang itu telah insaf dan ingin bertaubat nasuha dan tidak akan ulangi lg , adakah solat dan ibadahnya akan diterima Allah selepas itu slpas bertaubat???? ataupun slpas 40 hari itu barulah diterima ibadah dan solatnya??


Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t
Terima kasih atas soalan tersebut. Semoga Allah melimpahkan hidayah yang berterusan kepada saudara/ ri dan mendekatkan diri kepada Allah swt. Seorang hamba apabila melakukan dosa tidak kira dosa besara atau kecil dan selepas itu dia bertaubat sebelum tiba ajalnya maka dosa sudah terhapus ibarat seorang bayi yang baru dilahirkan.
Yang dimaksudkan oleh saudara/ri amalan tidak diterima selama 40 hari ialah seorang hamba yang melakukan dosa dan dalama masa yang sama mendirikan solat. Hal seperti inilah yang dikatakan amalan tidak diterima oleh Allah.
Apabila saudara/ri sudah bertaubat dengan taubat nasuha tidak mahu mengulangi dosa minum arak maka amalan saudara akan diterima oleh Allah swt. Tanamkan di dalam hati untuk tidak mendekati sebarang dosa-dosa kecil ataupun dosa besar. Perbanyakkanlah amal ibadah kepada Allah agar segala amalan kita diterima oleh Allha swt.
Wallahua'lam

Thursday, December 15, 2011

Insan Yang Mahu Bertaubat

Soalan

Dulu semasa zaman remaja saya pernah minum arak...adakah dosa saya akan diampunkan????........

Jawapan

Waalaikumussalam,Allah sentiasa mengampunkan dosa orang-orang Islam yang telah terlanjur dengan cara bertaubat.Cuma Allah tidak akan mengampunkan  dosa mereka yang syirikkan/menduakan  Allah.Taubat yang hendak dilakukan  hendaklah taubat nasuha/ yang sungguh-sungguh. Syarat sah bagi sesuatu taubat  nasuha ialah:
1.Menyesal di atas perbuatan
2.Meninggalkan maksiat secara total dan tidak akan mengulangi semula.
3.Mohon ampun kepada Allah di atas perbuatan yang lepas
4.Jika berkaitan dengan manusia mohon maaf  atas kesalahan dan minta halalkan apa yang telah termakan atau terminum tanpa keizinannya.
Panel nasihatkan agar anda ikut betul-betul syarat ini.Beriktikad tidak akan ulangi semula perbuatan yang lampau.Perbanyakkan amalan dengan melaksanakan kerja-kerja kebajikan bagi tujuan menambah dana pahala dan amalan anda. Panel  yakin dan optimis segala dosa yang telah anda lakukan akan diampunkan oleh Allah SWT.Wallahu a'lam.