Showing posts with label Mahram. Show all posts
Showing posts with label Mahram. Show all posts

Saturday, May 19, 2012

Pertanyaan Tentang Mahram

Soalan

Assalamualaikum,
Saya ada soalan berkaitan mahram yang saya keliru. Boleh saya tahu pakcik saudara suami (adik-beradik ayah mentua yang lelaki dan adik-beradik mak mentua yang lelaki mahram dengan kita @ haram untuk salam ye). Manakala macam mana pula sebelah ibu bapa saya pakcik saudara (suami kepada makcik saya - adik perempuan ayah dan suami kepada makcik saya - adik perempuan mak mahram atau tidak)
Dan semua anak lelaki kepada adik-beradik ayah saya dan ibu saya mahram atau tidak...tq.

Jawapan

Wa'alaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh,
Dalam persoalan mahram ini, bagi anda yang bertanya (perempuan), berikut adalah ringkasan yang boleh anda jadikan panduan:
1.         Adik-beradik lelaki kepada bapa mentua anda dan juga adik-beradik lelaki kepada ibu mentua anda tidak mempunyai hubungan mahram dengan anda.

2.         Suami kepada makcik (adik-beradik perempuan ayah dan emak anda) juga bukan mahram anda.

3.         Anak lelaki kepada pakcik dan makcik anda (adik-beradik emak dan ayah anda - sepupu) juga tidak mempunyai hubungan muhrim dengan anda.

Ringkasnya, bersalaman (tanpa lapik) dengan mereka semua (di atas) akan menyebabkan wudhu’ anda terbatal. Wallahu 'alam.

Wednesday, February 22, 2012

Mahram Atau Tidak ?

Soalan

suami cucu perempuan adakah maharam kepada opah cucu perempuan

Jawapan

Hubungan mereka adalah hubungan mahram. Ringkasnya, mereka tidak boleh berkahwin kerana pertalian mahram tersebut. Wallahu ‘alam.

Friday, February 18, 2011

MENCIUM MAHRAM (ANAK SAUDARA PEREMPUAN)

Soalan: Assalamualaikum, Apa hukum suami mencium pipi anak saudara perempuannya semasa bersalaman. Antara mereka berdua beza umur 8 tahun sahaja. Suami berumur 29 dan anak saudaranya 21 tahun.

Jawapan:

Secara dasarnya harus seorang lelaki mencium wanita yang menjadi mahramnya (seperti anak perempuamnya, cucu perempuannya, ibunya, anak saudaranya dan sebagainya dari wanita-wanita yang haram dikahwininya untuk selama-lamanya). Terdapat riwayat menceritakan; Nabi -sallallahu 'alaihi wasallam- mencium anaknya Fatimah (Sunan at-Tirmizi). Saidina Abu Bakar juga pernah menciuam anaknya 'Aisyah (lihat; Mughni al-Muhtaj). Namun keharusan tersebut terikat dengan syarat-syarat berikut;

1. Bebas dari syahwat. Jika ciuman menimbulkan syahwat atau dikhuatiri menimbulkan syahwat, haram menciumnya sekalipun ada ikatan mahram.
2. Bukan pada mulut. Harus mencium dahi, pipi dan sebagainya, tetapi tidak harus mencium mulut sebagaimana ditegaskan oleh Imam Ahmad. Ciuman pada mulut hanya khusus untuk suami-isteri sahaja (itupun bukan di khalayak ramai).
3. Tidak dilakukan di khalayak ramai kerana ia membangkitkan ghairah orang lain dan merupakan perlakuan yang kurang beradab yang boleh menjatuhkan nilai diri di hadapan orang lain.
4. Tidak dilakukan secara kerap, akan tetapi hanya pada sempena-sempena tertentu seperti tiba dari musafir (perjalanan jauh), menziarahi ketika sakit dan sebagainya.

Pada zaman hari ini di mana terlalu banyak faktor yang mendorong syahwat, ditambah dengan iman yang lemah, perlulah lebih berhati-hati dalam segala perkara yang membabitkan hubungan lelaki dan perempuan sekalipun ada ikatan mahram. Apatahlagi semakin banyak kes sumbang mahram yang dilaporkan berlaku hari ini. Semakin jauh ikatan mahram, semakin perlulah lebih berhati-hati. Semakin dekat ikatan kekeluargaan, akan semakin tinggi perasaan syafaqah (kasih sayang yang tulus tanpa didorong nafsu dan kepentingan) dan tipis perasaan syahwat (kecuali manusia yang bernafsu haiwan). Contohnya, antara ibu dan anak lelaki atau antara bapa dan anak perempuannya. Sebaliknya semakin jauh ikatan kekeluargaan, perasaan syafaqah semakin kurang dan perasaan syahwat pula semakin bertambah. Contohnya; antara saudara lelaki dan saudara perempuan dan antara bapa saudara dan anak saudara perempuan. Kerana itu, perlu lebih berhati-hati. Sepakat para ulamak menyatakan; antara sesama mahram jika dikhuatiri menimbulkan fitnah (yakni mendorong kepada syahwat dan akhirnya terjatuh dalam zina) diharamkan mereka berdua-duaan, bermusafir bersama dan bersentuhan. Mungkin yang lebih baik bagi ikatan mahram yang jauh ialah cukup sekadar bersalaman sahaja. Itu telah memadai untuk menzahirkan perasaan hormat dan rasa kekeluargaan.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Mughni al-Muhtaj, Imam Al-Khatib as-Syirbini, 3/172.
2. Syarah al-Bujairmi 'Ala al-Khatib.
2. Fatwa As-Syabakah al-Islamiyah (islamweb.com), no. 111222, 77365, 65794, 3222, 110935.