Showing posts with label Jual-Beli. Show all posts
Showing posts with label Jual-Beli. Show all posts

Thursday, February 28, 2013

Apakah Hukum Menjual Makanan Semalam

Soalan

Salam...nak tanya apakah hukum menjual makanan semalam( yang tak habis) kepada pelanggan?ada setengah kedai makan.. menjual makanan semalam....tq

Jawapan

Waalaikumusalam,
Menipu itu hukumnya haram.Majoriti Pengguna inginkan makanan yang baru,berkhasiat dan berkualiti daripada pihak penjual/peniaga.Justeru adalah berdosa jika terdapat penjual makanan yang telah lama (semalam) kemungkinan kualiti,kebersihan dan khasiat adalah kurang terjamin.Sekiranya dijual dan laku maka rezki yang diperolehi kurang berkat disebabkan menjual makanan yang tidak fresh/segar.
Justeru  panel nasihatkan  agar mereka yang terlibat memperbetulkan niat ketika berniaga,patuhi etika  jual beli secara Islam seperti yang dianjurkan oleh baginda saw.Mohon keampunan  kepada Allah SWT dan kemaafan kepada pelanggan yang telah menjadi mangsa kealpaan selama ini.Wallahu a'lam.

Saturday, June 9, 2012

Hukum Broker Jual Beli Tanah


Soalan

Assalamualikum, Al fadhil Ustaz, Apa pandangan syarak terhadap broker yg menjalankan urusan jual beli tanah yg mengambil untung keterlaluan berbanding dgn tugas yg dilaksanaknnya. sebagai contoh tuan tanah mahu menjual tanah dgn harga rm 90,000, tetapi broker menaikkan harga hingga rm 100,000 tanpa pengetahuan penjual dan pembeli.

Jawapan

Wa'alaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh,,
Hukum menjadi broker adalah diharuskan dengan syarat barangan yang hendak dijual mestilah diketahui oleh pemiliknya terlebih dahulu ataupun pemilik itu sendiri yang hendak menjualnya dengan harga yang tertentu.
Mengenai harga barang yang dinaikkan oleh broker tanpa diketahui oleh pemilik barang ataupun pembeli barang tersebut, ia tidak dianggap sebagai satu penipuan. Ini adalah kerana lebihan harga tersebut adalah dianggap sebagai komesyen kepada broker yang berusaha untuk mencari pembeli barangan tersebut.
Walau apa pun, syarat sah jual beli adalah saling reda meredai diantara penjual dengan pembeli barangan tersebut. Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala, ertinya:
“Wahai orang-orang Yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu Dengan jalan Yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali Dengan jalan perniagaan Yang dilakukan secara reda meredai (suka sama suka) di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu”.
(Surah Al-Nisa’ 04: 29)

Oleh yang demikian, apabila seseorang pembeli itu telah reda dan bersetuju dengan harga yang ditetapkan oleh broker tersebut dan proses atau aqad jual beli pun telah dilakukan, maka majlis jual beli tersebut adalah dikira sah di dalam Islam. Wallahu 'alam

Monday, January 30, 2012

JUAL BELI EMAS MELALUI BUKU SIMPANAN

Soalan

Salam.Ustaz,apakah hukum melabur dalam akaun pelaburan emas sedangkan pelabur tidak memperoleh emas dalam bentuk fizikal, cuma gram dan amaun sahaja yang dipaparkan dalam buku pelaburan?

Jawapan

Waalaikaumussalam w.b.t
Saudari yang dirahmati Allah swt
Pelaburan emas yang disahkan patuh syarak hanyalah
Kuwait finance House dan juga Al-Rajhi sahaja.
Jika pelaburan emas di dalam akaun Maybank atau Public bank keduanya tidak patuh syarak.
Wallahua'lam

Wednesday, March 2, 2011

JUAL-BELI MELALUI MESIN

Soalan; Assalamualaikum ustaz, Saya ada satu permasalahan tentang perniagaan,yakni tentang perniagaan menjual air minuman  seperti air tin dan air R.O water yang menggunakan mesin.wang dimasukkan didalam mesin untuk membeli minuman tersebut,tiada penjual dan tiada ijab kabul.Apakah hukumnya ,adakah diharuskan didalam islam.Sebab saya ingin memulakan perniagaan ini jika diharuskan oleh islam.minta ustaz jelaskan.sekian terima kasih.

Jawapan;

Tujuan ijab dan qabul ialah untuk menzahir keredhaan/persetujuan dari kedua belah pihak untuk berjual-beli. Jual-beli tidak sah tanpa keredhaan/persetujuan kedua-belah pihak iaitu penjual dan pembeli. Firman Allah; "Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesama kamu secara batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan saling meredhai antara kamu" (Surah an-Nisa', ayat 29).

Oleh kerana keredhaan asalnya berada dalam hati, maka ia perlu dizahirkan. Menurut mazhab Syafiie; menzahirkan keredhaan wajib dengan bahasa atau ucapan iaitulah ijab dari satu pihak (yakni ucapan penawaran) dan qabul dari pihak satu lagi (iaitu ucapan penerimaan). Namun menurut jumhur (majoriti) ulamak; Untuk menzahirkan keredhaan tidaklah terhad kepada ucapan sahaja. Ia juga boleh dengan perlakuan, bahasa badan, isyarat, tulisan dan sebagainya asalkan menunjukkan keredhaan/persetujuan. Kerana itu, mereka mengharuskan jual-beli secara al-muathah (المعاطاة) iaitu saling memberi dan menerima di antara penjual dan pembeli tanpa mengeluarkan sebarang ucapan (yakni pembeli memberi wang dan mengambil barang, sementara penjual pula memberi barang dan mengambil wang, kemudian mereka berdua berlalu pergi tanpa melafazkan ijab atau qabul). Ini kerana dengan adanya saling memberi dan menerima itu sudah cukup untuk membuktikan kedua mereka redha/bersetuju dengan akad jual beli yang berlaku. Pandangan kedua inilah yang rajih. Antara yang mentarjihnya ialah Imam al-Baghawi dan Imam Nawawi (kedua-duanya ulamak besar mazhab Syafiie).

Berdasarkan pandangan kedua, jual-beli menggunakan mesin sebagaimana yang saudara sebutkan itu hukumnya adalah harus dan sah jika memenuhi syarat-syarat lain yang ditetapkan oleh Syariat ke atas jual beli (selain syarat ijab dan qabul atau saling meredhai tadi), antaranya;
1. Barang/produk yang dijual jelas ada di dalam mesin tersebut dan menepati sebagaimana iklan yang terpampang di mesin.
2. Harga bagi setiap satu produk juga jelas (tiada kesamaran atau kekeliruan).
3. Tidak menafikan hak khiyar untuk pembeli (hak mengembalikan barang) jika barang yang keluar dari mesin itu rosak atau tidak menepati sebagaimana yang diiklankan.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Tamam al-Minnah, Syeikh Adil al-'Azzazi, 3/289-290.
2. Soal-Jawab MLM Syariah, Ahmad Adnan bin Fadzil, hlm. 42.