Showing posts with label Nafkah. Show all posts
Showing posts with label Nafkah. Show all posts

Thursday, February 28, 2013

Nafkah Yang Perlu

Soalan

Saya ingin mengetahui nafkah yang perlu diberikan kepada isteri. Saya telah menyediakan tempat tinggal, makan minum, pakaian, kenderaan dan peralatan rumah yang bersesuaian. Isteri saya menyatakan selain dari nafkah seperti yang saya sebutkan di atas saya wajib memberi wang saku kepada beliau. Kalau ikutkan memang saya ada memberi wang saku bulanan cuma kadangkala ada komitmen yang lain saya akan tangguh terlebih dahulu pemberian wang tersebut. Ini akan menyebabkan kami bergaduh.

Jawapan

Waalaikumusalam,
Mengikut pandangan Profesor Dalam bidang ilmu Fekah semasa iaitu Doktor Yusoff al-Qaradawi menjelaskan bahawa tanggungjawab seorang suami kepada isterinya dalam memberikan nafkah itu terbahagi kepada 2 iaitu :

i- Tanggungjawab nafkah zahir
( menyediakan tempat tinggal, memberi makanan, memberi pakaian, menguruskan kesihatan ,memberi pendidikan agama , menjaga keselamatan dan seumpamanya).

ii- Tanggunjawab Nafkah Batin pula ialah
( menunaikan tanggungjawab seksual /bersetubuh kepada pasangannya,memberi perhatian,memberi kasih sayang,membelai isteri dan seumpamanya).
Tanggungjawab suami memberi nafkah  zahir dan batin / seksual itu  kepada pasangannya adalah wajib.

Berbalik kepada soalan yang dikemukakan,jika suami mempunyai kewangan / yang baik  dan mantap,suami perlu bagi wang sekadar yang beliau mampu.Dengan wang inilah yang akan isteri akan membeli pakaian,kosmetik ,kasut dan duit untuk beliau berbelanja.
Justeru anda jangan panik jika  si isteri  minta haknya kepada suami.Jika  suami tidak mampu dari segi kewangan perlulah anda beri penjelasan yang meyakinkan beliau.Malah anda perlu kada' balik jika kewangan anda teguh dan mantap untuk memberi semula duit poket  yang telah sekian  lama  terabai.
Panel nasihatkan lakukanlah sekadar yang anda mampu sahaja.Panel berharap agar isteri anda akan memahami situasi kewangan anda yang sebenarnya.Wallahu a'lam

Sunday, December 30, 2012

Suami Tidak Memberi Nafkah

Soalan

ustaz, sya bru berkahwin dan slps sebulan sya mendapat tawaran kejururawatan KKM. sepanjang sya belajar suami saya tidak pernah memberi nafkah zahir kpda sya. sya meminta kpdanya tp dia byk memberi alasan tidak ada duit la, gaji sikit, byr hutang la. jika dia tiada duit dia pernah meminta duit dpda sya tp sya memberi dgn syarat dia kna ganti smula kpda sya. soalan sya, apakah hukum jika si suami tidak memberi nafkah kpda isterinya? apakah hukum jika si suami meminta duit dpda isterinya?

Jawapan

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Di dalam sistem kekeluargaan Islam,  suami memainkan peranan yang terlalu besar dan penting di dalam menguruskan persoalan rumahtangga. Baik dari aspek menanggung nakah keperluan harian ahli keluarganya, persoalan kediaman, kesihatan, pendidikan dan sebagainya.
Oleh yang demikian, dalam isu ini, jika suami anda sudah 4 bulan (bulan Islam) atau lebih tidak memberi nafkah, maka  anda boleh membuat tuntutan ta’liq. Tuntutan tersebut boleh dibuat di mana-mana Mahkamah Syariah di negara ini.
Setelah tuntutan dibuat, pihak mahkamah akan membuat siasatan dan jika sabit, pihak mahkamah akan menjatuhkan talaq ke atas anda (talaq satu).
Untuk maklumat lanjut, sila berhubung dengan Unit Runding Cara Keluarga di Pejabat Agama Daerah yang berhampiran dengan anda. Wallahu 'alam.

Tuesday, November 6, 2012

Tidak Mendapat Nafkah Batin Sepanjang 8 Tahun Berkahwin

Soalan

saya sudah berkahwin selama 8 tahun,suami saya duda anak 3..sepanjang perkahwinan saya blm pernah saya mendapat kepuasan batin semasa bersama...pernah saya bergaduh sebab perkara ini...dan pernah saya curang dengan dia...saya tahu saya berdosa... tapi suami tidak pernah faham keadaan saya...umur saya 33 tahun suami 54 tahun...belum mempunyai anak...sebab tidak pernah melakukan hubungan batin dengan sempurna...berdosakah saya minta cerai

Jawapan

dalam kes yang sedang anda hadapi ini, adalah tidak salah untuk anda menuntut cerai ataupun melaporkannya kepada pihak Mahkamah Syariah yang berhampiran dengan anda untuk membuat tuntutan ta’liq.
Sila berhubung dengan Pejabat Agama Daerah yang berdekatan untuk dapatkan nasihat mengenainya dan  juga kaunseling daripada pegawai kaunseling keluarga yang bertugas.
Semoga dengan peruntukan undang-undang keluarga Islam yang diguna pakai di negara ini dapat anda gunakan untuk membela nasib anda sebagai seorang isteri. Bersabarlah. Semoga dengan kesabaran itu menyebabkan hidup kita dirahmati oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Wallahu 'alam.

Thursday, September 13, 2012

Nafkah Zahir Isteri Dan Anak-anak.

Soalan

Salam, saya sudah berkahwin selama 10 tahun. Pada mula2 kahwin, suami ada memberi nafkah zahir seperti duit perbelanjaan utk keperluan dapur dan diri saya tetapi setelah saya mendapat pekerjaan, suami tidak lagi menyediakannya. Kalau adapun semuanya dikira 50/50..kadang2 saya diminta untuk membayar balik kepadanya manakala untuk perbelanjaan diri saya tidak langsung disediakan. Apakah hukumnya ?. Adakah saya boleh menuntut nafkah tersebut dan macammana pengiraannya?.

Jawapan

Wassalam,
Mengenai isu nafkah zahir, ia adalah kewajipan seorang suami untuk menyediakannya. Kewajipan ini ada Allah nyatakan di dalam firmannya yang bermaksud:
“Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya. dan orang yang disempitkan rezkinya hendaklah memberi nafkah dari harta yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan sekedar apa yang Allah berikan kepadanya. Allah kelak akan memberikan kelapangan sesudah kesempitan”.
(Surah At-Talaq 65:7)

Oleh itu, anda dinasihatkan supaya dapatkan nasihat daripada kaunselor keluarga yang terdapat di Pejabat Agama Daerah yang berhampiran dengan anda. mintalah pandangan dan cadangan daripada mereka di dalam menyelesaikan masalah ini.
Semoga kesabaran anda selama ini mendapat tempat di dalam pandangan Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Panel doakan anda beroleh rahmat dan reda Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Wallahu 'alam.

Friday, June 22, 2012

Nafkah Anak Luar Nikah Dan Tanggungjawab Bapa Anak Luar Nikah

Soalan

Assalamualaikum.Disini saya ada persoalan mengenai nafkah anak luar nikah.anak tersebut dilahirkan selepas 8 bulan selepas bapa dan ibunya bernikah.mengikut JPN,anak tersebut sempat menggunakan nama bapanya sekiranya lahir 6 bulan selepas ibubapanya bernikah.selepas 2 bulan anak tersebut lahir, ibu dan bapanya bercerai.bagaimanakah dengan nafkah untuk anak tersebut.Adakah wajib bapa anak tersebut menanggung nafkah anak tersebut?bagaimana soal nafkah dan apakah tggjwb bapanya?

Jawapan

Kenyataan "mengikut JPN,anak tersebut sempat menggunakan nama bapanya sekiranya lahir 6 bulan selepas ibubapanya bernikah" adalah bberdasarkan keputusan majlis fatwa yang di ambil dari satu pandanganh ulamak yang diijtihad dari nas Al-Quran dan Hadis. Anak itu 100% tanggung jawab bapa dari segi nafkah. Puan boleh memohon perintah dari Mahkamah dan boleh buat potongan gaji secara terus.

Thursday, July 7, 2011

ISTERI BERKERJA; HAK GAJI DAN NAFKAH

Soalan; Assalamualaikum Ust. Mohon huraikan berkenaan pandangan Islam terhadap wanita atau isteri yang bekerja, juga berkenaan kewajipan nafkah ke atas suami bagi isteri yang bekerja menurut pandangan ulama hari ini. Sekian. Terima kasih.
Jawapan;
   
1. Isteri tidak harus keluar rumah melainkan dengan izin suami. Oleh itu, tidak harus isteri berkerja di luar kecuali dengan keizinan suami (selama suami menunaikan tanggungjawab nafkahnya. Jika suami tidak menunaikan tanggungjawab nafkah, harus isteri keluar mencari sara hidupnya sekalipun tanpa keizinanan suami). Pekerjaan hendaklah bersesuaian dengan wanita dan berada dalam lingkungan yang diizinkan Syariat. Selain itu, isteri wajib memelihara auratnya ketika keluar berkerja, tidak bettabarruj dan menjaga adab-adab wanita Islam.
2. Gaji isteri sepenuhnya milik isteri. Suami tidak berhak mengambilnya tanpa kerelaan isteri. Kecualilah jika suami meletakkan syarat “sebahagian dari gaji itu hendaklah dibelanjakan untuk urusan rumah dan keluarga” sebagai balasan bagi keizinan yang ia berikan, maka isteri terikat dengan syarat tersebut. Sabda Nabi (bermaksud); “Orang-orang Islam terikat dengan syarat yang disepakati sesama mereka selama ia menepati yang hak (kitab Allah)”.
3. Dalam apa keadaan sekalipun, nafkah isteri wajib ditanggung oleh suami sekalipun isterinya kaya atau berkerjaya. Kecualilah isteri menggugurkan haknya dari nafkah dengan kerelaan sendiri. Oleh itu, isteri berkerja tidak boleh menjadi alasan kepada suami untuk mengabaikan kewajipannya memberi nafkah.
Wallahu a’lam.

Saturday, February 12, 2011

NAFKAH ISTERI DAN IBU-BAPA; MANA YANG DIDAHULUKAN?

Soalan; Akum. Sy ada beberapa soalan.
1. Apakah hukum suami yg selalu mengabaikan nafkah anak isteri kerana mengutamakan keluarganya di kg? - Suami bukanlah anak lelaki sulung @ anak lelaki tunggal.
2. Bolehkah keluarga di kg terutama ibu & ayah meminta duit (terlalu kerap) dari anak lelakinya padahal anak lelakinya jg perlu bertanggungjawab pada anak isteri? - Ayahnya masih berkerja tetap selalu mengalami masalah kewangan.
Syukran jazilan atas jawapan yg diberikan.

Jawapan;

1. Dalam pemberian nafkah, seorang suami hendaklah mendahulukan isteri dan anak-anak dari orang lain (termasuk ibu-bapa). Urutan nafkah adalah seperti berikut;
a) Diri sendiri
b) Isteri
c) Anak
d) Bapa
e) Ibu
f) Cucu
g) Datuk
h) Saudara
i) Ahli-ahli keluarga berikutnya.

Urutan ini adalah berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w. yang menegaskan; “Mulailah dengan diri kamu, bersedekahlah kepada diri kamu. Jika ada lebihan, maka untuk isteri kamu. Jika ada lebihan, maka untuk ahli keluarga kamu. Jika ada lebihan lagi, maka untuk begini dan begini; yakni untuk orang di hadapan kamu, di kanan dan kiri kamu” (Riwayat Imam Muslim dan an-Nasai dari Jabir r.a.. al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 46). Berkata Imam an-Nawawi mengulas hadis ini; di antara kesimpulan dari hadis ini ialah; hendaklah pemberian nafkah dimulakan mengikut tertib yang tersebut (dalam hadis). (Syarah Soheh Muslim, juz 7, Kitab az-Zakah, bab al-Ibtida’ Fi an-Nafaqah Bin-Nafsi Tsumma Ahlihi Tsumma al-Qarabah).

Perlu disebut juga di sini bahawa nafkah untuk isteri wajib diberikan oleh suami sekalipun isteri kaya dan berada. Suami yang gagal memberi nafkah sewajarnya kepada isterinya -mengikut kemampuannya- ia dianggap berhutang dengan isterinya kecualilah jika isteri menggugurkan haknya dengan kerelaannya sendiri. Begitu juga, isteri boleh menuntut fasakh di atas kegagalan suaminya memberi nafkah.

Adapun nafkah kepada orang lain selain isteri, ia tidak wajib melainkan apabila memenuhi dua syarat;

a) Mereka adalah miskin, tidak memiliki harta dan tidak mempunyai sumber pendapatan. Jika mereka mempunyai harta atau memiliki sumber pendapatan sendiri, tidaklah wajib lagi ia menyara mereka. Namun digalakkan ia meneruskan pemberiannya kepada mereka untuk mengekal kasih sayang dan silaturrahim.

b) Ia mempunyai kemampuan untuk menanggung mereka; sama ada dengan hartanya atau dengan sumber pendapatannya. Kemampuan ini merangkumi kos saraan untuk diri sendiri dan isteri. Jika ada lebihan (setelah ditolak keperluan diri dan isteri), barulah ia wajib menyara ahli-ahli keluarga yang lain.

Merujuk kepada soalan di atas, tidak harus suami mengabaikan nafkah kepada isteri dan anak-anak dengan alasan ingin membantu ibu-bapa di kampung kerana menafkahi isteri dan anak-anak adalah wajib. Jika benar ibu-bapa memerlukan nafkah darinya, ia hendaklah menafkahi mereka tanpa mengabaikan isteri dan anak-anak. Itupun jika ia mampu menampung semua mereka. Jika tidak, hendaklah ia mendahulukan isteri dan anak-anak.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi.
2. Manar as-Sabil, Ibnu Dhuyan.