Showing posts with label Kifarah. Show all posts
Showing posts with label Kifarah. Show all posts

Saturday, May 18, 2013

Tempoh Bayar Puasa Kifarah

Soalan

Saya telah bersumpah dan melanggarnya. Ini terjadi 3 tahun yg lepas, dan tahun ini telah berjaya berpuasa kifarah 3 hari berturut-turut. Soalan: adakah telah sempurna kifarah sumpah saya walau telah tertangguh lama? Dan wajibkah puasa kifarah dibuat berturut-turut 3 hari?

Jawapan

Assalamu 'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Dengan melakukan puasa selama tiga hari tersebut, ini bermakna anda telah menunaikan kafarah sumpah tersebut sekalipun telah tertunggak sejak tiga tahun dahulu.
Mengenai cara melakukan puasa tersebut, menurut Mazhab Syafi’i ia tidak diwajibkan untuk dilakukan secara berturut-turut. Dari itu, ia boleh dilakukan secara berselang-seli, iaitu hari Isnin puasa, hari Selasa dan Rabu tidak, sambung semula hari Khamis dan satu hari lagi pada hari Isnin minggu hadapannya. Demikianlah mengikut pandangan daripada Mazhab Syafi’i.
Wallahu 'Alam.

Wednesday, October 3, 2012

Membayar Kifarah Kerana Berzina Di Bulan Ramadhan

Soalan

Assalamualaikum, dimanakah boleh saya membayar kifarah secara tunai? Saya pernah cuba untuk membayarnya di Pusat Zakat negeri tetapi malangnya pegawai bertugas menyatakan yang ianya tidak boleh di bayar di pusatnya dan tidak tahu alternatif lain dimana saya boleh membayarnya. Saya tidak mampu untuk berpuasa selama 60 hari berturut-turut dan tidak tahu bagaimana hendak mencari dan memberi makan kepada 60 orang fakir. Mohon sangat bantuan dari ustaz kerana tidak sanggup menanggung beban dosa ini

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t
Saudara yang dirahmati Allah swt
Denda kaffarah berpuasa 60 hari berturut-turut wajib dilaksanakan, walaubagaimanapun sekiranya tidak mampu disebabkan  masalah kesihatan yang telah disahkan oleh doktor kesihatan maka anda boleh membayar atau mengeluarkan jumlah makanan kepada 60 orang fakir miskin. Saudara boleh meminta pertolongan dari orang yang berada di kampung pedalaman atau meminta bantuan dengan Pejabat Agama Islam atau Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi mendapatkan senarai atau nama orang-orang yang dikategorikan sebagai yang golongan miskin.
Wallahua'lam

Wednesday, August 8, 2012

Soalan Berhubung Dengan Kafarah

Soalan

assalamualaikum.. saya nak menanyakan soal kafarah, saya telah melakukan persetubuhan dengan isteri disiang hari bulan ramadhan.disebabkan kami duduk berasingan&selalu berjauhan& selalu tidak mempunyai masa bersama yang mendorong perkara itu terjadi,saya tahu saya wajib mengqada puasa, tetapi pada ketika itu tidak mengetahui yang saya akan dikenakan kafarah, adakah kerana ketidaktahuan saya tentang hukum ini ketika itu tetap menjadikan saya golongan yang wajib dikenakan kafarah.

Jawapan

Wa'alaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh,
Dalam masalah ini, ketidaktahuan mengenai hukum kifarah tersebut tidak boleh dijadikan alasan untuk melepaskan diri daripada kifarah tersebut.
Jika anda tidak mampu untuk berpuasa selama 2 bulan berturut-turut, anda boleh memilih kifarah yang lain sebagai gantinya. Berikut adalah senarai kifarah yang boleh anda pilih mengikut turutannya:
1.         Memerdekakan hamba, tetapi sekiranya tidak mampu atau tiada,
2.         Berpuasa dua bulan berturut-turut dan sekiranya tidak mampu
3.         Memberi makan kepada 60 orang fakir miskin (makanan asasi) dengan kadar secupak seorang.

Salah satu daripada kifarah di atas perlu dilakukan oleh anda (suami). Sila rujuk kepada Pejabat Agama Daerah yang terhampir untuk dapatkan maklumat dan penjelasan lanjut mengenainya.
Pesanan dari Panel, oleh kerana sering berjauhan dengan isteri, anda dinasihatkan supaya elakkan daripada duduk bersama dengannya pada siang hari. Hal ini bagi mengelakkan daripada teruja kepada dirinya dan tidak  dapat menahan nafsu yang sedang memuncak. Walau apa pun, bersabarlah untuk itu dan tunggulah sehingga waktu berbuka puasa terlebih dahulu. Ringkasnya, suburkanlah rasa taqwa di dalam diri agar madrasah Ramadhan ini benar-benar dapat mencapai objektif berpuasa iaitu melahirkan seorang hamba yang bertaqwa. Wallahu 'alam.