Showing posts with label Nifas. Show all posts
Showing posts with label Nifas. Show all posts

Friday, April 6, 2012

Soalan Mengenai Haid

Soalan

assalamualaikum.. bolehkan seorang wanita yang didatangi haid membaca surah al fatihah? kawan saya memberitahu bahawa jika baca al fatihah dengan niat untuk menuntut ilmu tidak mengapa.

Jawapan

 1. Telah ijmak (sepakat) para ulamak bahawa wanita yang dalam haid dan nifas diharamkan mengerjakan solat dan juga puasa (termasuk puasa Ramadhan). Puasa Ramadhan wajib diqadha, adapun solat tidak perlu diqadha. Dalil larangan solat dan puasa tersebut ialah hadis Dari Abu Sa’id al-Khudri r.a. yang menceritakan; Nabi s.a.w. telah bertanya kaum wanita; “Bukankah kesaksian seorang wanita sama seperti separuh kesaksian seorang lelaki?”. Mereka menjawab; “Ya”. Baginda lalu berkata; “Itu tanda kurangnya akal wanita”. Baginda bertanya lagi; “Bukankah jika kamu kedatangan haid, kamu tidak boleh mengerjakan solat dan berpuasa?”. Mereka menjawab; “Ya”. Baginda lantas berkata; “Itu tanda kurangnya agama wanita” (HR Imam al-Bukhari dari Abu Sa’id al-Khudri r.a.).
2. Adapun hukum membaca al-Quran, terdapat khilaf di kalangan ulamak seperti berikut;
A) Menurut Jumhur ulamak (yakni pandangan teramai ulamak termasuk Imam-Imam mazhab empat); Diharamkan ke atas orang yang berhadas besar membaca al-Quran dengan lidahnya sekalipun satu ayat. Mereka berdalilkan hadis dari Ibnu Umar yang menceritakan Rasulullah bersabda;”Janganlah wanita dalam haid dan orang yang berjunub membaca sesuatupun dari al-Quran” (HR Imam at-Tirmizi dan Ibnu Majah). Berdalilkan hadis ini, jumhur ulamak memutuskan; orang-orang yang berada dalam haid dan junub dilarang membaca al-Quran dengan lidah. Adapun membaca dengan hati (tanpa menggerakkan lidah), diharuskan.
B) Imam Malik berpandangan; Diharuskan wanita dalam haid dan nifas membaca al-Quran dari ayat-ayat yang dihafalnya jika dibimbangi takut hilang dari ingatannya jika tidak dibaca sepanjang tempoh haid atau nifasnya. Namun, orang berjunub dilarang sama sekali membaca al-Quran.
C) Terdapat ulamak-ulamak yang menganggahi pandangan jumhur ulamak di atas iaitulah Imam Daud az-Dzahiri, Imam Ibnu Hazm, Imam Ibnu Taimiyyah dan beberapa lagi. Menurut mereka; harus bagi orang berjunub dan begitu juga wanita yang kedatangan haid membaca al-Quran keseluruhannya. Di kalangan Salaf, pendapat ini ada diriwayatkan dari Ibnu ‘Abbas dan juga Ibnu al-Musayyab. Dalil mereka ialah hadis dari Saidatina ‘Aisyah r.a. yang menceritakan; “Sesungguhnya Nabi s.a.w. sentiasa berzikir kepada Allah pada setiap ketika/masanya” (HR Imam Muslim) dan membaca al-Quran termasuk di dalam pengertian zikir. Adapun hadis yang dijadikan dalil oleh jumhur tadi, hadis tersebut adalah dhaif mengikut penilaian ulamak-ulamak hadis.
3. Mengenai zikir dan doa, tidak ada nas (dalil dari al-Quran atau as-Sunah) yang melarang wanita yang kedatangan haid dan nifas dari melakukannya. Oleh itu, ia kekal sebagai harus (tidak dilarang). Dalam kaedah Fiqh ada dinyatakan “Sesuatu itu kekal dalam hukum asalnya selagi tidak ada dalil yang mengubahnya atau mengecualikannya dari hukum asal”.
Dari keterangan di atas, kita dapat melihat bahawa ruang untuk wanita dalam haid dan nifas beribadah adalah luas seluas ruang doa dan zikir itu sendiri walaupun mereka tidak dibolehkan solat, puasa dan membaca al-Quran (mengikut pandangan jumhur tadi). Berikut kita senaraikan dengan terperinci ibadah-ibadah yang boleh dilakukan oleh wanita-wanita yang berada dalam haid dan nifas;
1. Berdoa dengan apa sahaja doa termasuk dari al-Quran
2. Beristighfar; termasuk istighfar dari al-Quran
3. Berzikir; sama ada bertahlil, bertahmid, bertasbih dan sebagainya.
4. Berselawat kepada Nabi
5. Mendengar bacaan al-Quran
6. Menghadiri/mendengar majlis ilmu (yang diadakan di tempat lain selain masjid)
7. Mengulang hafalan al-Quran (mengikut pandangan Imam Malik tadi)
8. Membaca buku-buku agama termasuk kitab-kitab hadis
9. Bersedekah
10. Membuat kebajikan kepada orang lain
Bagi doa, istighfar dan zikir yang diambil dari al-Quran hendaklah dibaca dengan niat untuk berdoa, berzikir dan beristighfar, bukan dengan niat membaca al-Quran.
Wallahu a’lam.

Monday, March 7, 2011

DARAH SELEPAS KEGUGURAN; Adakah ia nifas?

Soalan; Assalamualaikum ustaz. selepas keguguran, darah yang keluar adakah nifas? dan berapa lamakah tempoh nifas keguguran? adakah sama dengan nifas bersalin? atau dikira sama dengan tempoh haid?

Jawapan;

1. Menurut mazhab Syafiie; Tidak disyaratkan untuk dikira darah nifas bahawa bayi yang dilahirkan itu hidup atau sempurna kejadian. Asalkan disahkan bahawa yang keluar itu adalah janin manusia maka sabitlah hukum nifas bagi darah yang keluar selepas keluarnya janin itu sekalipun janin itu belum menampakkan rupa manusia iaitu hanya berupa seketul daging semata-mata.

2. Nifas yang keluar kerana keguguran dari segi hukum sama seperti nifas kerana kelahiran. Tempoh paling singkat ialah seketika/sedetik dan paling lama ialah 60 hari (menurut mazhab Syafiie) atau 40 hari (menurut jumhur ulamak).

3. Jika nifas datang beberapa hari dan kemudian berhenti, hendaklah diperhatikan; jika tempoh berhentinya l5 hari atau lebih, ia dikira suci (yakni bersih dari nifas). Jika keluar semula darah selepas itu, ia dianggap darah haid bukan nifas lagi. Adapun jika tempoh berhentinya kurang dari 15 hari (seperti berhenti 5 hari dan datang semula darah selepas itu), ia masih dianggap darah nifas. Sehinggalah bila melepasi tempoh maksima nifas tadi (iaitu 40 hari mengikut jumhur ulamak atau 60 hari mengikut mazhab Syafiie), jika ditakdirkan darah masih keluar, ia bukan lagi darah nifas akan tetapi darah haid (jika ada tanda-tanda haid dan menepati hari kebiasaan haid) atau istihadhah (jika darah yang masih keluar itu tiada tanda-tanda haid).

4. Jika ditakdirkan seorang wanita melahirkan anak tanpa keluar darah sedikitpun selepas bersalinnya dan keadaan itu berterusan hingga 15 hari, maka ia dianggap suci secara keseluruhannya. Jika keluar darah selepas 15 hari itu, maka darah itu dikira darah haid, bukan darah nifas. Dalam kes ini, wanita tersebut dianggap tidak bernifas.

Untuk mendapat maklumat lebih terperinci tentang nifas, sila baca di laman FIQH ANDA, di bahagian Darah-Darah Wanita.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Buku Fiqh Toharah (Bersuci), Ahmad Adnan bin Fadzil.
2. Tamam al-Minnah, Syeikh ‘Adil al-‘Azzazi, 1/142.