Showing posts with label Akidah. Show all posts
Showing posts with label Akidah. Show all posts

Friday, March 8, 2013

Lintasan Mencela Tuhan

Soalan

Salam. saya mengalami gangguan bisikan ataupun lintasan hati mencela/memaki Tuhan. Apakah akidah saya sudah terbatal? Perlukah saya mandi junub semula disebabkan bisikan mencela tuhan ini? ataupon tidak dan teruskan memohon keampunan Allah S.W.T ?

Jawapan

Wassalam,
Dalam persoalan ini, aqidah anda masih belum terbatal dengan syarat anda masih tidak melakukan perkara-perkara yang menyekutukan Allah Subhanahu Wa Ta'ala.
Anda juga tidak perlu untuk mandi wajib disebabkan apa yang anda alami.
Apa yang perlu anda lakukan ialah perbanyakan istighfar dan memohon ditetapkan iman dan tambahkan lagi dengan bertahlil. Sabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam, maksudnya:
“Perbaharuilah iman kamu sekalian. Sahabat bertanya: Bagaimanakah caranya untuk memperbaharui iman kami? Ujar baginda: Hendaklah kamu memperbanyakkan ucapan La Ilaha illallah”.
(Hadith riwayat Ahmad)

Dari itu, ucapkanlah tahlil dan tambahkan lagi dengan tasbih, tahmid dan takbir. Semoga dengan amalan mengingati Allah Subhanahu Wa Ta'ala akan membuatkan hati dan ingatan anda sentiasa bersamaNya. Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala, maksudnya:
"(iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan mengingati Allah ". Ketahuilah! Dengan "mengingati Allah" itu, tenang tenteramlah hati manusia".
(Surah Ar-Ra'd 13: 28)

Dari itu, rebutlah peluang yang ada ini untuk mendapatkan hati yang tenang, damai dan tenteram dengan mengingati Allah Subhanahu Wa Ta'ala.
Semoga dengan usaha yang sedikit ini menyebabkan hati anda kembali tenang dan damai. Wallahu 'alam.

Thursday, May 24, 2012

Aqidah Teman Sekerja

Soalan

Assalamualaikum Tuan/Puan,
Sy mpunyai seorg teman yg mmpunyai ilmu agama yang agak baik/lebih baik( belajar Tarekat) dari teman2 yg lain. x tggl solat tp minum arak.bila kami tegur minum arak haram disisi islam maka beliau jawab"x semestinya aku minum arak aku masuk neraka.hanya allah yg layak tentukan aku masuk syurga atau neraka"
Soalan sy - Bagaimanakah akidah beliau & cara terbaik menegur beliau?adakah beliau mempersendakan agama islam yg tercinta?

Jawapan


Waalaikumussalam,
Dalam kebanyakan kitab-kitab /buku-buku yang membahaskan tentang akidah,para sarjana dan alim ulamak dalam bidang usuluddin telah merumuskan bahawa akidah seseorang itu akan tergelincir/terpesong  disebabkan oleh 3 perkara, seperti berikut iaitu:
1.Perkataan-Mengatakan solat tidak wajib,hukum hudud adalah undang-undang lapuk termasuk juga yang mengatakan bahawa meminum arak ituadalah  halal.
2.Perbuatan-Meniru perbuatan agama lain dalam kegiatan harian ,contoh sembah matahari,membakar colok lalu membuat sembahan kepada patung @ tokong,mengisyaratkan tanda salib apabila berkunjung ke gereja bagi tujuan lawatan dan seumbamanya.
3.I'tikad-kepercayaan/pegangan keagamaan,kita percaya bahawa ada Tuhan selain daripada Allah,Kita percaya bahawa Allah tidak dapat melihat seseorang apabila kita berada dalam tugu atau rumah yang kukuh dan besar.
Berdasarkan kepada contoh yang panel kemukakan ini sekiranya kawan anda mempertikaikan tentang hukum meminum arak itu tidak boleh mengheret dirinya ke dalam neraka, sebenarnya anggapan beliau salah,Ini kerana akidah beliau telahpun tergelincir berdasarkan huraian panel di awal perbincangan kes ini.Perkara ini disebabkan oleh kerana hukum meminum arak itu memang jelas haram,Ia berdasarkan kepada  hukum Firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 90 dan juga hadis baginda yang bermaksud:
"...Sesungguh arak,berjudi, bertenung nasib dan menyembah patung berhala itu adalah najis maka hendaklah kamu jauhi./ hindarkan..
Dan maksud sebuah hadis baginda SAW menyatakan:
...Sesungguhnya arak itu adalah sesuatu yang memabukkan,malah setiap perkara yang memabukkan itu  adalah haram hukumnya...
Rumusan berlandaskan dari  dua sumber ini  mengatakan adalah haram sesiapa  juga yang meminum arak lebih-lebih lagi mereka yang berugama Islam.Justeru panel sarankan agar rakan anda ini cepat-cepat/bersegera  bertaubat dan memohon keampunan kepada Allah SWT.Beliau hendaklah berazam tidak akan mengulangi semula dan seterusnya menyesal di atas perbutan yang telah dilakukan selama ini.
Berbalik kepada soalan bagaimana hendak menegur rakan anda ini.Sebenarnya al-Quran telahpun menyediakan kaedah yang paling sesuai untuk diamalkan iaitu dengan menegur secara hikmah di samping memberi nasihat  sambil melahirkan rasa kasih sayang  yang mendalam sebagai seorang muslim.Panel yakin jika niat kita ikhlas,Insya’Allah akan mempermudahkan usaha kita untuk mendapatkan  natijah yang positif.Walllahu a’lam.

Friday, January 13, 2012

Bolehkah Daging Aqiqah Diberi Makan Kepada Orang Bukan Islam?

Soalan

Bolehkah daging aqiqah diberi atau dijamu kepada orang kafir? Jika jawapannya boleh, bagaimana caranya?

Jawapan

Dalam persoalan memberi atau menjamu orang bukan Islam daging Aqiqah,Jumhur Fuqaha’ berpendapat daging Aqiqah boleh diberi kepada mereka dengan syarat Aqiqah tersebut adalah Aqiqah yang sunat (tidak dinazarkan). Jika Aqiqah tersebut dinazarkan (Aqiqah yang wajib), maka ia tidak boleh diberi atau dijamu kepada orang bukan Islam.
Ringkasnya, di malaysia pendapat jumhur lebih sesuai diterima pakai kerana suasana masyarakatnya yang terdiri daripada rakyat yang berbilang kaum dan menganuti pelbagai agama dan kepercayaan.
Dengan mengambil pendapat majoriti fuqaha’ ini, sekurang-kurangnya dapat menunjukkan kepada golongan bukan Islam mengenai keindahan Islam yang turut mesra terhadap golongan bukan Islam. Semoga dengan ini dapat memperlihatkan tentang keindahan dan kesempurnaan Islam di mata mereka. Wallahu 'Alam

Tuesday, January 10, 2012

Keliru Kalau-kalau Termurtad

Soalan

jika seseorang itu melakukan sesuatu samaada kepercayaan/percakapan/perbuatan. tetapi dia tidak mengetahui secara terperinci akibat jahil, bahawa perkara itu sebenarnya bole membuatkan dia murtad. Sebelum ini, dia beranggapan perkara itu hanya berdosa, tapi tidak lah sampai kpd murtad. setelah menyedari keterlanjuran itu, dia menyesal sehingga dia keliru adakah dia masih lagi islam dan melalaikan dia dlm ibadahnya krn terlalu memikirkan perkara itu. Adakah dia betul2 telah termurtad?

Jawapan

Assalamualaikum w.b.t Terima kasih atas soalan tersebut. Mana-mana perbuatan yang dilakukan dan dianya dalam keadaan jahil tentang agama maka ia terlepas. Walaubagaimanapun, jika sudah menyedari akan kesalah dan dosa perbuatan dosa itu, maka mohonlah keampunan dari Allah swt serta memperbanyakkan amal ibadah kepadaNya.
Mohonlah taubat dari Allah swt sesungguhnya Allah maha pengampun.
.

Tuesday, July 19, 2011

CABARAN AQIDAH HARI INI

Kita meyakini Aqidah Islam. Manhaj aqidah yang kita anuti ialah manhaj Aqidah Ahlus-Sunnah wal Jamaah kerana manhaj itu menepati Aqidah yang asli dari al-Quran dan as-Sunnah. Aqidah Islam adalah keyakinan yang bersumberkan ilmu/makrifah. Ia sebagaimana diungkapkan oleh Syeikh Muhammad al-Ghazali “Iman ialah makrifah yang menjadi keyakinan”. Ia bukan keyakinan yang membuta tuli, tetapi keyakinan yang bersumber kepada ilmu. Kerana itu aqidah Islam adalah aqidah ilmu. Ilmu di sisi ulamak Islam bukan semata-mata maklumat kerana maklumat ada yang benar dan ada yang salah, ada yang meyakinkan dan ada yang semata/mata sangkaan atau waham. Ilmu dalam Islam adalah suatu maklumat yang saheh dan benar. Dalam mengungkapkan ilmu, para ulamak mendefinisikannya sebagai “Mengetahui sesuatu menepati apa yang sebenarnya”. Untuk mencapai hakikat ilmu sebegini, sumber ilmu itu amat penting. Islam menetapkan sumber ilmu yang diakui datang dari tiga sumber;
1. Wahyu
2. Aqal; analisis, pengamatan.
3. Pancaran nur Ilahi
Bagi bidang agama (aqidah, amalan, hukum-hakam dan sebagainya), sumber ilmu yang muktamad ialah wahyu iaitu al-Quran dan as-Sunnah. Adapun akal, hanyalah berfungsi untuk memahami wahyu, menyimpul/mengistibat hukum darinya dan mengesan illah dan hikmahnya. Ilmu agama tidak diserah kepada aqal semata-mata, apatahlagi kepada waham, sangkaan atau perasaan. Adapun bidang keduniaan, Islam menyerahnya kepada aqal. Manusia digalakkan oleh Islam untuk menggunakan aqalnya seluas mungkin tetapi hendaklah selari dengan wahyu. Kehadiran wahyu bukan untuk mengongkong akal, tetapi untuk memandunya kerana akal walaupun ia anugerah yang hebat namun ia mempunyai kelemahan yang perlu ditampung oleh wahyu.
Apabila kita berdepan dengan kecelaruan aqidah yang semakin banyak berlaku di tengah masyarakat Islam di Malaysia hari ini, timbul tanda-tanya; kenapa ia berlaku dan apa puncanya? Kita boleh senaraikan kecelaruan aqidah yang dihadapi oleh kita hari ini seperti berikut;
1. Semakin menularnya fahaman Syiah; kalau dulu hanya ada segelintir, tetapi sekarang mereka telah ada jamaah sendiri. Jika dulu secara sembunyi-sembunyi, sekarang sudah terang-terangan dan berani mencabar pihak berkuasa agama dalam negara.
2. Islam liberal; golongan ini juga semakin melebar pengaruhnya terutama di kalangan orang-orang terpelajar.
3. Ajaran sesat; tidak pernah habis isu ajaran sesat di Malaysia. Belum sempat selesai ditangani satu ajaran sesat, timbul pula ajaran yang lain pula.
4. Khurafat; semakin berleluasa dengan semakin banyak cerita-cerita hantu dan karut-marut di telivisyen, ditambah pula dengan ramai golongan ustaz yang turut sama terjun dalam kancah mistik.
5. Murtad; telah diakui oleh pihak berkuasa agama bahawa 686 permohonan murtad dan 135 darinya telah disahkan.
Kita telah menegaskan tadi bahawa aqidah dalam Islam ialah keyakinan yang bertunjangkan ilmu yang soheh yang datang dari sumber ilmu yang muktamad bagi agama iaitulah wahyu dan didokong oleh aqal yang benar. Kegagalan mendapat ilmu yang soheh itulah yang menjadi punca kecelaruan aqidah. Orang-orang yang berjaya dipengaruhi oleh fahaman-fahaman sesat di atas mereka terhijab dari ilmu yang soheh kerana itu kepercayaan mereka telah dipalingkan dari kepercayaan yang bersumberkan ilmu yang soheh kepada kepada kepercayaan yang berteraskan waham atau sangkaan mereka. Kita tidak akan berupaya membetulkan mereka selagi kita tidak boleh meyakinkan mereka bahawa ilmu yang ada pada mereka tidak benar dari dari itu timbul keyakinan yang tidak benar dalam hati sanubari mereka. Aqidah tidak boleh diubah dengan paksaan. Ia hanya boleh diubah dengan mengubah keyakinan dan keyakinan hanya boleh diubah dengan mengubah ilmu yang menjadi sumber keyakinan tersebut. Inilah cabaran yang perlu kita tempuhi hari ini.
Wallahu a’lam.