Soalan
Apakah hukum menghalalkan perkara yang haram dan mengharamkan yang
perkara halal. Contohnya minum arak. Seseorang itu minum arak tapi tidak
mabuk jadi dia cakap tidak haram.
Jawapan
Dalam persoalan ini, hukum mereka yang melakukannya adalah berdosa
besar, malah ia juga boleh menyebabkan dirinya terkeluar daripada Islam
kerana telah melakukan perbuatan yang bercanggah dengan aqidah Islam.
Ringkasnya, perbuatan menghalalkan perkara yang Allah Subhanahu Wa
Ta'ala haramkan dan mengharamkan perkara yang Allah Subhanahu Wa Ta'ala
halalkan adalah termasuk di dalam perbuatan yang syirik dan dosa syirik
tidak akan diampunkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Firman Allah
Subhanahu Wa Ta'ala, maksudnya:
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia
mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi siapa yang
dikehendaki-Nya. barangsiapa yang mempersekutukan Allah, Maka sungguh ia
Telah berbuat dosa yang besar”.
(Surah Al-Nisa’ 04: 48)
Oleh yang demikian, mereka yang bersikap seperti itu perlu mengubah
pendirian dan pegangannya sebelum terlambat. Ringkasnya, arak adalah
salah satu daripada perkara yang diharamkan oleh Allah Subhanahu Wa
Ta'ala dan ia telah disebut dengan jelas di dalam al-Quran dan juga
hadith Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam. Antaranya:
Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala, maksudnya:
1. "Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan
judi. Katakanlah: "Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula
beberapa manfa'at bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar
daripada manfa'atnya". Dan mereka bertanya pula kepadamu: apakah yang
mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah: "(Dermakanlah apa-apa)
yang berlebih dari keperluan (kamu)". Demikianlah Allah menerangkan
kepada kamu ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) supaya kamu
berfikir:
(Surah al-Baqarah 2: 219)
2. "Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan
judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan
batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari
perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu
berjaya".
[Surah al-Maedah 5: 90]
Sabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam, maksudnya:
1. Dari Ibnu Umar Radhiyallahu 'Anhu, Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam bersabda:
“Setiap minuman yang memabukkan adalah arak dan setiap yang memabukkan
adalah haram. Sesiapa yang meminum arak di dunia lalu meninggal dunia
dalam keadaan dia masih tetap meminumnya dan tidak bertaubat, maka dia
tidak akan dapat meminumnya di Akhirat kelak (di Syurga)”.
(Hadith Riwayat Muslim: no. 3733)
2. “Apa yang memabukkan dalam jumlah yang banyak, adalah diharamkan walaupun dalam jumlah yang sedikit”.
(Riwayat Ibnu Majah).
Oleh yang demikian, berasaskan kepada ayat dan hadith di atas jelaslah
bahawa hukum mengambil arak adalah diharamkan sekalipun dalam kuantiti
yang sedikit. Ringkasnya, sekalipun tidak memabukkan, mengambilnya
adalah dihukumkan haram ke atas setiap mukallaf.
Dari itu, berubahlah dan kembalilah ke pangkal jalan sebelum terlambat.
Semoga dengan rasa bersalah dan kembali bertaubat kepadanya menyebabkan
kita bersama mendapat rahmat dan kasih sayang darinya, Insya-Allah.
Wallahu 'alam.