Friday, May 27, 2011

BOLEHKAH MENYEBUT "SI FULAN AHLI NERAKA" ATAU "SI FULAN AHLI SYURGA"

Soalan; Assalamualaikum Ust. Saya nak tanya satu soalan. Boleh tak kalau kita menghukum seseorang berdasarkan kepada zahir amalannya, contohnya kita kata si Anu masuk syurga si Anu kafir, si Anu masuk neraka berdasarkan kepada perbuatan zahir mereka? Bukankah nabi pernah mengatakan seorg wanita masuk neraka dgn sebab dia menyiksa seekor kucing dan seorang wanita yg lain masuk syurga dgn sebab dia memberi minum seekor anjing? Minta penjelasan ust.

Jawapan;

1. Tidak boleh kita menyebut secara pasti dengan merujuk kepada individu seperti kita berkata "Si Fulan adalah ahli neraka" atau "Si Fulan ahli syurga". Ini kerana sekalipun seorang itu melakukan dosa, pintu taubat dan pemgampunan Allah masih terbuka untuknya. Hari ini ia melakukan maksiat, mungkin esok ia bertaubat dan Allah menerima taubatnya dan ia menjadi ahli syurga. Begitu juga, boleh terjadi seorang itu hari ini rajin beribadah, namun esok atau hari depan ia menjadi pelaku maksiat dan mati dalam maksiat, lalu ditempatkan Allah dalam neraka. Apa yang boleh kita ucapkan ialah dengan menyandar kepada perbuatan seperti kita berkata; "Perbuatannya itu boleh menyebabkan ia diazab dalam neraka" atau "Amalannya itu adalah amalan ahli syurga", dengan syarat terdapat nas dari al-Quran atau as-Sunnah menegaskan tentang amalan tersebut (sebagai amalan yang diredhai Allah atau dimurkaiNya, atau sebagai amalan syurga atau yang mengundang neraka).

2. Adapun Nabi, ia bercakap berdasarkan wahyu dari Allah. Jika ia berkata "Si Fulan adalah ahli syurga" (sebagaimana ia ucapkan tentang 10 sahabat yang dijamin syurga), itu adalah dari apa yang Allah khabarkan kepada baginda. Begitu juga, jika baginda berkata "Si Fulan ahli neraka" atau "Si Fulan di azab dalam kuburnya" (sebagaimana ucapan baginda tentang penghuni 2 kubur yang diazab kerana mengadu domba dan tidak menjaga kencingnya), itu juga perkhabaran dari Allah. Adapun kita hari ini, tidak ada wahyu yang turun memberitahu kita si fulan adalah ahli syurga atau si fulan ahli neraka kerana tiada Nabi lagi selepas Nabi Muhammad. Yang ada pada kita ialah al-Quran dan as-Sunnah yang menyebutkan amalan-amalan yang membawa ke syurga atau ke neraka dan golongan-golongan ahli syurga dan ahli neraka secara umum kecuali individu-individu tertentu yang disebut secara jelas sebagai ahli syurga atau ahli neraka. Maka orang lain selain individu-individu itu masa depan mereka masih tidak pasti bagi kita.

Terdapat riwayat menceritakan bahawa Umar r.a. pernah menegur di dalam khutbahnya; “Kamu sekelian selalu berkata semasa peperangan bahawa “Si Fulan adalah syahid” dan “Si Fulan telah mati sebagai seorang syahid”…Janganlah sekali-kali kamu berkata seperti itu, akan tetapi ucapkanlah sebagaimana yang diucapkan Rasulullah s.a.w.;
مَنْ مَاتَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَوْ قُتِلَ فَهُوَ شَهِيدٌ
“Sesiapa yang gugur di jalan Allah atau terbunh (di jalan Allah), maka dia adalah syahid”.
(Hadis hasan, riwayat Imam Ahmad. Lihat; Fathul-Bari, juz. 9, bab La Yaqul Fulan Syahid).

Wallahu a'lam.

HUKUM BERAMAL DENGAN PETUA DAN PANTANG LARANG MELAYU

Soalan; Assalamualaikum Ustaz, Saya ingin bertanya, apakah hukum mempercayai petua-petua, pesan dan pantang larang orang dahulu kala yang disebut 'kenan'. Sebagai contoh ada pesan orang tua mengatakan jangan menyapu rumah ketika waktu malam kerana ditakuti rezeki akan "disapu keluar".

Apakah kesan mempercayai kesan seperti ini kepada akidah kita dan apakah dalil yang ada untuk membenarkan atau menyangkal perkara ini?

Soalan tambahan saya, bagaimanakah caranya untuk kita mengenal pasti amalan orang terdahulu dalam budaya Melayu yang boleh diikuti serta tidak menjejaskan akidah dan amalan yang mana harus dielakkan?

Jawapan;

Semua jenis petua, pesan, pantang-larang atau seumpamanya harus diamalkan jika ia tidak bercanggah dengan ketetapan al-Quran dan as-Sunnah, antaranya;

1. Tidak membawa kepada kepercayaan khurafat dan karut-marut iaitu mempercayai perkara ghaib di luar dari skop yang diberitahu oleh Allah di dalam al-Quran atau melalui RasulNya di dalam as-Sunnah. Firman Allah (bermaksud): “Katakanlah; Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah”. (an-Naml: 65)

2. Tidak memalingkan seseorang dari keyakinan bahawa segala yang berlaku -sama ada baik atau buruk- adalah dari ketetapan Allah (Qadarullah). Begitu juga, keyakinan hanya Allah yang mendatangkan mudarat dan manfaat kepada manusia. Firman Allah (bermaksud): “Katakanlah; Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan tentulah aku tidak ditimpa kesusahan. Tidaklah aku melainkan hanya pemberi peringatan dan penyampai khabar gembira bagi orang-orang beriman”. (al-A’raf: 188)

3. Tidak membawa kepada pengamalan yang bercanggah dengan al-Quran dan as-Sunnah atau terpaksa meninggalkan amalan yang disuruh al-Quran dan as-Sunnah kerana ingin beramal dengan petua atau pantang larang.

4. Tidak membawa kepada mengubah hukum Allah terhadap sesuatu iaitu sama ada mengharamkan apa yang halal atau menghalalkan apa yang haram. Ini kerana hak untuk menentukan halal atau haramnya sesuatu bukan milik manusia, akan tetapi milik Allah.

5. Tidak berupa kepercayaan kepada sial sesuatu kerana kepercayaan sebegitu dilarang oleh sabda Nabi; "Tidak ada sial sesuatu (di dalam Islam)" (HR Imam al-Bukhari dari Anas). Nabi juga bersabda; “Sesiapa yang sial sesuatu (yakni kepercayaannya terhadap sial sesuatu) menghalangnya dari menyempurnakan hajat (atau urusannya), maka sesungguhnya ia telah mensyirikkan Allah” (HR Imam Ahmad, at-Thabrani dan Ibnu Sunni dari Abdullah Ibnu ‘Amru r.a./ al-Jami’ as-Saghir, no. 8701)

6. Tidak berupa tilikan atau tenungan kerana ia dilarang oleh Nabi dalam sabdanya: “Sesiapa pergi kepada seorang kahin (tukang tilik/tenung), lalu ia mempercayai apa yang ia khabarkan, maka sesungguhnya dia telah kufur terhadapy apa yang diturunkan kepada Muhammad (yakni agama Islam)”. (HR Imam Ahmad dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a./al-Jami’ as-Saghir, no. 8285)

Oleh demikian, supaya petua dan pantang larang yang hendak diamalkan tidak bercanggah dengan agama ia mesti berlandaskan dalil-dalil yang diakui Syariat iaitu sama ada diceduk dari al-Quran atau as-Sunnah atau berdasarkan kajian atau pengalaman. Petua yang tidak berdiri di atas dasar yang tidak difahami (atau dikaitkan dengan kepercayaan tertentu tanpa dalil Syarak; yakni al-Quran dan as-Sunnah) hendaklah dielakkan dari beramal dengannya. Sebagai contoh, pantang larang bagi ibu-ibu selepas bersalin selama 44 hari yang membabitkan perkara berikut;
1. Tidak boleh bersama suami (berjimak) sepanjang tempoh itu
2. Tidak boleh makan makanan sesuka hati (ada makanan yang perlu berpantang)
3. Tidak boleh turun ke tanah kerana dikhuatiri diganggu oleh jembalang tanah.

Perkara pertama ada kaitan dengan dalil Syariat di mana tempoh paling lama nifas bagi wanita bersalin ialah 40 atau 60 hari mengikut perbezaan pandangan ulamak dan dalam tempoh tersebut sememangnya tidak harus berlaku jimak, oleh demikian pantang larang tersebut harus diamalkan. Perkara kedua (berpantang makanan), ia kembali kepada pengalaman dan ia juga harus diamalkan jika kita yakin dengan pengalaman orang-orang dulu. Perkara ketiga (tidak boleh turun ke tanah), ia berkait dengan kepercayaan tentang makhluk ghaib, tidak harus diamalkan kerana ia bersifat khurafat kerana tiada dalil al-Quran maupun as-Sunnah mengesahkannya.

Begitu juga pantang larang yang dikemukakan dalam soalan di atas (jangan menyapu sampah di malam hari kerana dikhuatiri rezki akan hilang); pantang larang ini dilihat dari segi dalil al-Quran atau as-Sunnah, tiada ayat al-Quran ataupun hadis mengesahkannya. Melihat kepada kajian dan pengalaman juga tidak kuat sandarannya. Oleh demikian, tidak usahlah pantang larang sebegitu dipercayai kerana dibimbangi kita akan terbawa-bawa kepada kepercayaan khurafat dan karut-marut atau mempercai sial sesuatu yang telah sabit larangan terhadapnya oleh ayat al-Quran dan hadis di atas tadi. Jika kita perlu menyapu sampah di malam hari kerana kebetulan ada sampah yang perlu dibersihkan, lakukanlah tanpa khuatir kepada pantang larang tersebut kerana tiada nas Syarak melarang perbuatan tersebut. Jika ditakdirkan kita mengalami kerugian selepas hari tersebut, wajiblah kita mengembalikan kerugian itu kepada qadha dan qadar Allah, bukan kerana kita telah melanggar pantang larang tersebut.

Petua dan pantang larang yang jelas bercanggah dengan Syariat (al-Quran dan as-Sunnah) haram diamalkan. Dari segi kesan, jika ia menafikan aqidah yang wajib diiktiqadkan, mengamalkannya mungkin boleh membawa kepada rosaknya iman dan pelaku/pengamalnya boleh terjatuh dalam dosa syirik yang tidak diampunkan Allah, dan lebih jauh dari itu ia mungkin boleh murtad dari agama -sama ada secara sedar atau tanpa sedar-. Jika ia menyalahi amalan yang diredahi Allah, ia berdosa. Perbuatan dosa -sama ada besar atau kecil- wajib dijauhi oleh seorang muslim yang bertakwa kepada Allah.

Untuk mengenal pasti amalan orang terdahulu dalam budaya Melayu sama ada boleh diikuti atau tidak, ia mesti dibentangkan secara khusus setiap satunya di hadapan al-Quran dan as-Sunnah. Dalam ungkapan lain, ia wajib dirujuk kepada alim-ulamak sebelum mengamalkannya jika berlaku keraguan tentangnya.

Wallahu a'lam.

Wednesday, May 25, 2011

WAS-WAS TENTANG KENCING

Soalan; Assalamu'alaikum. Saya ada soalan mengenai penyakit kencing tak lawas ini. Selepas buang air kecil saya lap kemaluan saya dengan tisu, termasuklah di dalam kemaluan. Selepas saya bergerak dan sebagainya saya lihat ada air yang mula ada dalam lubang kemaluan tapi air itu tidak keluar hingga keluar, ia cuma ada di dalam dan saya lihat tidaklah sehingga ia boleh keluar kerana hanya sedikit. Tapi saya was2 sekiranya saya basuh kemaluan dengan air, dan apabila basuh, maka air akan masuk ke lubang kemaluan, saya was2 air itu akan menarik air kencing tak lawas itu keluar kerana sifat air akan bercampur kan apabila bertemu air dengan air?. Adakah saya patut fikirkan tentang was2 ini atau biarkan saja? mohon dibalas ke amail ini saja insyaAllah.

Jawapan;

Najis yang dikira ialah apabila ia telah pasti keluar, yakni telah melepasi tempat keluar najis. Selagi ia belum keluar, belum dianggap membatalkan wudhuk atau menajisi pakaian (yang perlu dicuci sebelum solat). Oleh demikian, bersandarlah kepada apa yang yakin berlaku, bukan kepada yang hanya was-was.

Pendirian yang serupa juga dipakai bagi masalah kentut. Selagi tidak berlaku perkara yang jelas menunjukkan angin telah keluar dari punggung kita iaitu sama ada punggung merasai keluar angin, atau adanya bau atau bunyi, tidaklah kita dianggap batal wudhuk kerananya. Jika hanya was-was tidaklah membatalkan wudhuk. Terdapat hadis dari ‘Ubbad bin Tamim yang meriwayatkan dari bapa saudaranya yang bertanya Nabi –shallallahu ‘alaihi wasallam- tentang seorang lelaki yang ragu-ragu semasa sedang solat; adakah keluar dari punggungnya sesuatu atau tidak?. Nabi menjawab; “Janganlah ia keluar dari solatnya sehinggalah ia terdengar bunyi (kentut) atau mendapati keluar angin”. (HR Imam al-Bukhari dan Muslim).

Wallahu a'lam.

TALAK MELALUI TELEFON BIMBIT (SMS)

menulis mesej di telefon bimbit untuk menjatuhkan talak kepada isterinya tetapi belum dihantar kepada isterinya, maka talak itu sudah jatuh atau belum. Sekian.

Jawapan;

Menurut jumhur Fuqhak (antaranya Imam Abu Hanifah, Malik dan Syafiie); menulis ucapan talak tidak dikira jatuh talak melainkan dengan niat, yakni ada niat mentalak isteri ketika menulis ucapan talak tersebut. Ini kerana orang yang menulis boleh jadi ia menulis kerana ingin merekodkan atau bertujuan penceritaan atau ingin mencuba pen/pensil, ingin melihat tulisannya atau seumpamanya, maka kerana itu dalam kes talak ia memerlukan niat talak supaya tulisan talak itu tidak bertujuan lain.

Talak dengan SMS termasuk dalam kategori talak dengan tulisan di atas. Jika SMS yang mengandungi ucapan talak itu ditulis oleh suami berserta dengan niat untuk menujukan ucapan talak itu kepada isterinya, jatuhlah talak.

Ucapan talak tidak disyaratkan dilafazkan di hadapan isteri. Sekalipun isteri tidak mengetahui suaminya ada melafazkan talak ke atasnya, talak akan tetap berlaku dengan semata-mata keluar ucapan tersebut dari suami (sama ada dengan lafaz mulut atau dengan tulisan berserta niat tadi).

Oleh demikian, merujuk kepada soalan di atas, jika ketika menulis ucapan talak dengan SMS itu ada niat untuk menceraikan isteri, jatuhlah talak walaupun SMS itu belum dihantar. Dikecualikan jika dalam tulisan itu ada dikaitkan dengan syarat sampai seperti dituliskan “Jika SMS ini sampai kepada kamu (yakni isterinya), maka kamu aku ceraikan”, maka tidak jatuh talak melainkan setelah SMS itu sampai kepada isteri.
Wallahu a’lam.

Rujukan;

1.Al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah, 16/480.
2.Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, perkataan ‘Kitaabun’.
3.Raudhatu at-Thalibin, Imam an-Nawawi, 6/42.
4.Mugni al-Muhtaj, Imam al-Khatib as-Syirbini, Kitab at-Thalaq.
5.Fatwa asy-Syabakah al-Islamiyah, no. 8656, 125399, 120148,
6.Fatwa Syeikh al-Munajjid (Islamqa.com), no. 36761, 31778, 5225.

BILA IMAN AKAN TERBATAL?

Soalan; Assalamualaikum ustaz, semasa di zaman universiti dulu saya ada belajar subjek aqidah. saya pelajar aliran sains, tapi di universiti saya ada masukkan jgk subjek2 agama. Alhamdulillah dapat la belajar sedikit sebanyak. dalam satu sesi tu, kami ada belajar tentang perkara2 yang membatalkan iman. Antaranya ialah seperti menghalalkan yang haram, mengharamkan yg halal dan juga lain2. Bila saya terfikir pasal benda ni saya jadi risau pulak ustaz. Sebab kadang2 tu kan macam bila kita ada buat dosa, pastu dalam hati kita macam tak kisah dengan perbuatan dosa kita tu...seolah-olah macam kita menghalalkan yang haram......ataupun kadang2 bila kita nampak perbuatan dosa depan mata kita, tapi kita macam tak kisah akan perbuatan tersebut....saya takut semua ini termasuk dalam kategori menghalalkan yg haram yang boleh membawa kepada batalnya iman....nauzubillah.... mohon penjelasan daripada ustaz. Syukran ustaz. Moga Allah merahmati ustaz.

Jawapan;

Iman yang sempurna terkandung di dalamnya 3 unsur;
1. Keyakinan hati
2. Pengakuan lidah
3. Amalan anggota

Unsur pertama dan kedua adalah dasar iman di mana jika tiada seorang itu adalah kafir. Jika seorang muslim hilang keduanya ia akan jadi murtad. Adapun unsur ketiga (amalan) ia adalah penyempurna kepada iman. Jika tiada, tidaklah menjadi kafir atau murtad, akan tetapi imannya tidak sempurna yakni ia masih dianggap mukmin, namun mukmin ashi (mukmin yang melakukan maksiat). Seorang mukmin yang sempurna ialah mukmin muthi' (mukmin yang taat).

Seorang muslim/mukmin akan jadi kafir/murtad jika hilang keyakinan hatinya terhadap Allah atau Rasul atau Agama (yakni mana-mana ajaran Islam yang pasti, yang tidak diragui lagi kedudukannya sebagai ajaran Islam). Jika ia mengisytiharkan ketidakyakinannya kepada orang lain, ia kafir/murtad di sisi Allah dan di sisi manusia. Jika ia tidak mengisytiharkannya, ia kafir/murtad di sisi Allah, adapun di sisi manusia ia masih Islam kerana keputusan di sisi manusia dihukum berdasarkan apa yang zahir/nampak.

Merujuk kepada soalan saudara, selagi seorang itu tetap meyakini perintah Allah dengan hatinya dan tiada tanda/bukti secara zahir ia menafikan perintah itu, ia masih mukmin walaupun ia tidak melaksanakan perintah itu. Namun jika ia meninggalkan perintah itu bersama hati yang engkar (tidak percaya lagi dengan perintah itu) atau ia bercakap mengkritik perintah itu (dalam keadaan ia tahu itu perintah Allah yang pasti, tiada keraguan), ketika itu ia jadi kafir/murtad.

Wallahu a'lam.

Friday, May 20, 2011

IBU SUSUAN; ADAKAH DISYARATKAN BAYI MENYUSU DI BADAN?

Soalan; Assalamualaikum...Saya ada memelihara bayi angkat yg kini berusia 5 bulan. Saya bercadang menyusukan bayi tersebut dan menjadi ibu susuan. Msalahnya bayi ini sudah biasa minum susu formula melalui botol susu. Sekiranya saya berjaya mengeluarkan susu sendiri melalui suntikan dan makan ubat, saya bercadang pengepam terus susu ke dalam botol untuk diminum oleh bayi.  Adakah cara ini saya masih boleh menjadi ibu susuan? Terima kasih.

Jawapan;

1. Secara ringkasnya, penyusuan yang menimbulkan ikatan mahram yakni yang menjadikan seorang wanita sebagai mahram kepada anak yang disusuinya ialah yang memenuhi syarat-syarat berikut;
a) Hendaklah dari susu manusia dan wanita, bukan susu binatang atau susu lelaki.
b) Menurut ulamak-ulamak dari mazhab Syafiie dan Hanafi; disyaratkan juga wanita yang menyusu hendaklah telah mencapai umur 9 tahun. Namun ulamak-ulamak mazhab Maliki tidak mensyaratkannya.
c) Hendaklah jumlah penyusuan tidak kurang dari lima kali.
d) Bayi yang disusui hendaklah umurnya belum mencapai dua tahun.

2. Menurut jumhur ulamak (merangkumi mazhab Hanafi, Maliki dan Syafi’ie); tidak disyaratkan wanita yang menyusui itu didahului dengan mengandung. Oleh demikian, jika seorang wanita yang masih gadis atau wanita tidak mengandung (akan tetapi ditakdirkan mempunyai susu) lalu ia menyusui seorang bayi, bayi itu akan menjadi anak susuannya jika memenuhi syarat tadi. Adapun mazhab Imam Ahmad; wanita yang masih gadis jika ia menyusui anak, anak itu tidak dianggap anak susuannya kerana susu yang terbit darinya adalah luar biasa dan tidak diterima pada adat/kebiasaan untuk menjadi makanan bayi.

3. Rentetan dari pandangan jumhur di atas, wanita yang terbit susu kerana makan ubat atau suntikan hormon, kemudian ia menyusui seorang bayi dengan susunya itu, bayi itu akan menjadi anak susuannya. Namun bayi itu tidak akan menjadi anak susu bagi suaminya kerana susu itu bukan dari suaminya (yakni bukan susu yang muncul kerana kelahiran hasil benih suaminya). Walaupun bayi itu bukan anak susunya, namun ia menjadi anak tirinya kerana susuan.

4. Penyusuan yang menimbulkan ikatan mahram (kerana penyusuan) tidaklah disyaratkan bayi menyusu di badan. Yang disyaratkan ialah masuknya susu ke dalam mulut bayi. Oleh demikian, jika seorang wanita memerah susunya kemudian memberi minum susu itu kepada bayi, maka bayi itu tetap akan menjadi anak susuannya jika memenuhi syarat-syarat tadi.

5. Disyaratkan lima kali penyusuan sekurang-kurangnya. Sekali penyusuan ialah apabila anak yang menyusu berhenti menghisap dengan pilihan sendiri, bukan kerana suatu sebab lain. Adapun jika ia berhenti kerana suatu sebab seperti kerana mengambil nafas atau untuk rehat seketika dan kemudian segera kembali menghisap atau ada sesuatu yang menarik perhatian tetapi kemudian ia segera kembali menghisap, atau dihentikan seketika oleh wanita yang menyusuinya kemudian kembali menyusuinya, semua itu tidak mengeluarkannya dari pengertian sekali penyusuan. Begitu juga, perpindahan dari satu tetek ke tetek sebelahnya juga masih dikira satu penyusuan. Apabila berlaku lima kali penyusuan mengikut makna penyusuan di atas, akan terhasillah ikatan mahram. Jika bayi hanya mengisap sekali dua, tidaklah menghasilkan ikatan mahram kerana ia tidak memenuhi pengertian sekali penyusuan dan tidak memberi kesan kepada pemakanan. Saidatina ‘Aisyah menceritakan bahawa Nabi bersabda; “Setakat sekali dua hisapan tidaklah mengharamkan (yakni tidaklah menghasilkan ikatan mahram)” (Riwayat al-Jamaah kecuali al-Bukhari).

Rujukan;

1. Tamam al-Minnah, Syeikh 'Adil al-Azzazi, 3/86-88.
2. Subulus-Salam, Bab ar-Radha'.
3. Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, perkataan “Radha’ah”.
4. As-Syabakah al-Islamiyah, no. 121933

NAJIS SERIGALA; ADAKAH SAMA SEPERTI NAJIS ANJING?

Soalan; assalamualaikum ustaz, saya ingin tahu najis serigala tergolong dalam kategori apa? sama dengan najis anjing ke? kalau boleh, saya nak keterangan yang jelas dalam masalah ini.

Jawapan;

Serigala dalam bahasa Arab disebut al-Zi’bu (الذئب). Ia adalah binatang yang wujud pada zaman Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- dan baginda pernah menyebut tentangnya di dalam beberapa hadis yang diriwayatkan darinya, namun tidak ada hadis yang menyamakannya dengan anjing dari segi cara menyucikan bekas yang dijilatnya atau najisnya. Oleh demikian, najis serigala tidaklah sama seperti najis anjing. Ia termasuk dalam kategori najis-najis haiwan buas yang lain di mana memadai dengan membasuhnya hingga hilang kesan-kesannya, tidak wajib dibasuh hingga tujuh kali (dengan basuhan pertama dengan air bercampur tanah) kerana ia tidak dianggap anjing.

Kenyataan di atas disokong oleh pandangan Imam al-Jahiz dalam kitabnya al-Hayawan iaitu kitab yang ditulis oleh ulamak silam membicarakan tentang binatang-binatang, tabiatnya dan aspek-aspek lain berkaitan binatang. Menurut beliau; Serigala bukanlah anjing walaupun ada satu dua sifatnya sama. Malah beliau menyebutkan; orang yang menganggap singa, serigala, dubuk dan musang adalah anjing sama seperti orang yang menganggap kerbau adalah kambing biri-biri atau lembu adalah kambing biri-biri. (Kitab al-Hayawan, 2/348).

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1.Kitab Al-Hayawan, Imam al-Jahiz (Amru bin Bahr al-Kannani, wafat tahun 255 Hijrah), 2/348.
2.Fatawa as-Syabakah al-Islamiyah, no. 74794.