Thursday, March 31, 2011

SOLAT HAJAT SELEPAS AZAN ASAR DAN SEBELUM SOLAT ASAR

Soalan; Ustaz telah menerangkan bahawa haram solat hajat selepas menunaikan Solat Asar hingga matahari terbenam sepenuhnya.
1. Bagaimana pula hukumnya kita melakukan solat hajat sebaik sahaja selesai Azan Asar menandakan masuk waktu iaitu sebelum kita melakukan Solat Fardhu Asar?( Solat Hajat dahulu dan kemudian barulah solat Fardhu Asar).
2. Bolehkah melakukan Solat Hajat secara berjamaah.
Sekian, terima kasih.

Jawapan;

Ada lima waktu kita dilarang solat;
1.       Selepas solat subuh hingga terbit matahari
2.       Selepas solat asar hingga terbenam matahari
3.       Ketika terbit matahari hinggalah meninggi dengan kadar segalah (yakni 15 – 20 minit selepas terbit matahari, iaitu masuknya waktu dhuha)
4.       Ketika matahari di tengah langit hinggalah ia tergelincir (yakni hingga masuk waktu zohor); dikecualikan hari jumaat bagi orang hadir ke masjid untuk solat jumaat.
5.       Ketika matahari menguning hingga terbenam matahari.[1]

Dalil larangan tersebut ialah hadis-hadis Nabi berikut;

a)      Sabda Nabi –sallallahu ‘alahi wasallam-; “Tidak ada solat selepas solat subuh hingga matahari meninggi dan tidak ada solat selepas solat asar hinggalah matahari terbenam” (HR Imam al-Bukhari dari Abi Sa’id al-Khudri, Bab La Tataharra as-Solah Qabla Ghurub as-Syams).
b)      Abu Hurairah menceritakan; “Rasulullah menegah dari mengerjakan solat selepas asar hingga terbenam matahari dan selepas subuh hingga terbit matahari” (HR Imam Muslim dari Abu Hurairah. Bab al-Auqat allati Nuhiya ‘an as-Solah fiha).
c)       Dari ‘Uqbah bin ‘Amir menceritakan; “Tiga waktu Rasulullah menegah kami dari mengerjakan solat dan mengkebumikan jenazah-jenazah kami pada waktu-waktu tersebut, iaitu; (1) Ketika terbit matahari hinggalah matahari meninggi, (2) Ketika bayang-bayang tengahari berdiri (yakni berhenti) (*bermaksud; matahari berada di tengah langit) dan (3) Ketika matahari condong untuk terbenam (*yakni ketika menguning di waktu petang)” (HR Imam Muslim, Abu Daud dan at-Tirmizi).

Daripada lima waktu si atas, dua waktu berkait dengan perbuatan solat, iaitu yang pertama dan yang kedua (selepas solat subuh dan selepas solat asar), maksudnya, kita dilarang solat bukan semata-mata apabila masuk waktu subuh atau masuk waktu asar, akan tetapi kita dilarang solat apabila kita telah melakukan solat subuh dan telah melakukan solat asar. Maka merujuk kepada soalan di atas, adalah harus kita melakukan solat hajat apabila masuk waktu asar selagi kita belum menunaikan solat asar. Itu adalah dari segi keharusan. Adapun dari segi yang sepatutnya, apabila masuk waktu solat fardhu, kita sebaiknya hendaklah menyibukkan diri untuk menunaikan solat dalam waktu tersebut (sebaiknya secara berjamaah) dan juga solat sunat yang disyariat khusus pada waktu tersebut  (iaitulah sunat qabliyah). Adalah tidak tepat jika kita melakukan solat hajat pada ketika itu hingga kita terluput solat sunat qabliyah atau terlepas solat berjamaah atau terlepas takbir pertama bersama imam.

Adapun tiga waktu selebihnya, larangan adalah berkait dengan waktu. Maksudnya, apabila tiba sahaja waktu matahari berada di tengah langit atau matahari menguning atau matahari terbit, dilarang kita mengerjakan solat hinggalah tamat waktu larangan tersebut.

Solat yang dilarang kita melakukannya dalam waktu-waktu tadi ialah solat-solat yang tidak bersebab. Adapun solat-solat yang bersebab diharuskan kita melakukannya pada bila-bila masa sekalipun pada waktu-waktu yang dilarang di atas. Maksud solat-solat sunat bersebab ialah solat-solat yang didahului oleh suatu sebab (yakni sebab datang dahulu, kemudian baru disusuli dengan solat). Di antaranya;
1.       Solat–solat yang terluput sama ada solat fardhu atau solat sunat, yakni ia boleh diqadha sekalipun dalam waktu-waktu dilarang di atas.
2.       Solat yang dinazarkan
3.       Solat jenazah
4.       Sujud tilawah dan sujud syukur
5.       Solat gerhana.
6.       Solat sunat tawaf
7.       Solat sunat wudhuk
8.       Solat istisqa (minta hujan)
9.       Solat tahiyyatul-masjid (dengan syarat seseorang itu masuk ke dalam masjid untuk tujuan iktikaf, menuntut ilmu, menunggu solat atau tujuan-tujuan lainnya. Adapun jika ia masuk masjid semata-mata ingin mengerjakan solat tahiyyatul-masjid, dilarang solat pada waktu-waktu tersebut).

Solat-solat di atas diharuskan untuk dilakukan pada waktu-waktu dilarang solat tadi kerana ia bersebab. Adapun solat-solat yang dilarang kerana tidak bersebab ialah;
1.       Solat istikharah
2.       Solat hajat
3.       Solat sunat ihram
4.       Solat sunat mutlak

Mengenai soalan kedua (hukum solat hajat berjamaah), akan dijawab dalam sesi lain, insya Allah.

Wallahu a'lam.

Nota;

[1] Ada ulamak meringkas lima waktu di atas kepada tiga sahaja, iaitu;
A) Selepas solat subuh hingga matahari meninggi.
B) Selepas solat asar hingga matahari terbenam
C) Ketika matahari berada di tengah langit hingga tergelincir.
Namun yang rajih ialah pembahagian kepada lima tadi.

Rujukan;

1. Al-Majmu’, Imam an-Nawawi, 4/150 (kitab as-Solah, bab as-Saat allati Nuhiya an as-solah fiha).
2. Tamam al-Minnah, Syeikh 'Adil Yusuf al-Azzazi, 1/356.

HUKUM MEMBATALKAN PUASA SUNAT

Soalan; Salam Ustaz, Saya ada beberapa soalan berkenaan dengan puasa sunat kerana jarang kita dengar ulasan berkenaan puasa ini.
1. Apakah hukum membatalkan puasa sunat dengan sengaja sama ada makan atau minum atau jimak?
2. Adakah perlu mengantikannya semula?
3. Jika melakukan jimak, adakah wajib kaffarah?
Secara keseluruhannya adakah hukum membatalkan puasa sama ada puasa sunat atau puasa dibulan ramadhan adalah sama? Harap ustaz dapat menjelaskan pertanyaan ini.
Sekian, wassalam.

Jawapan;

Terdapat hadis di mana Rasulullah –sallalahu ‘alaihi wasallam- bersabda; “Orang yang berpuasa sunat adalah pemimpin dirinya sendiri. Kalau dia mahu ia boleh meneruskan puasanya dan jika ia mahu ia boleh berbuka” (Riwayat Imam Ahmad, Tirmizi dan Hakim dari Ummu Hani r.a.. Lihat hadis ini dalam al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 5122. Menurut as-Suyuti; hadis ini soheh).

Berdasarkan hadis ini, jumhur ulamak (Imam Syafiie, Imam Ahmad, Sufyan as-Sauri, Ishaq dan sebagainya) berpandangan; puasa sunat tidak wajib disempurnakan sebagaimana puasa fardhu (sama ada puasa Ramadhan, puasa Qadha atau Nazar), yakni seorang yang berpuasa sunat harus ia membatalkannya mengikut kehendaknya. Namun jika ia membatalkannya tanpa sebarang keuzuran, hukumnya makruh dan tidaklah haram. Tidaklah wajib menggantikan/mengqadha puasa sunat yang dibatalkan itu, hanya disunatkan sahaja menggantinya. Dari Abi Sa’id menceritakan; Aku telah memasak makanan untuk Nabi. Apabila aku menghidangnya, seorang lelaki (yang datang bersama Nabi) berkata; ‘Aku berpuasa’. Nabi lantas berkata kepadanya; “Saudaramu telah menjemputmu dan bersusah payah (memasak) untukmu. Berbukalah dan gantilah puasamu itu pada hari lain jika kamu mahu” (HR Imam al-Baihaqi. Menurut Imam Ibnu Hajar dalam Fathul-Bari; sanadnya hasan. Dinaqalkan dari Tuhfah al-Ahwazi, juz. 2, bab Ja-a Fi Iftar as-Saim al-Mutatawwi’).

Imam Abu Hanifah dan Imam Malik berbeza pandangan dengan jumhur di mana menurut mereka; puasa sunat wajib disempurnakan apabila seseorang telah mula berpuasa berdalilkan firman Allah (bermaksud); “Dan janganlah kamu membatalkan amalan-amalan kamu” (Surah Muhammad, ayat 33). Dan sesiapa membatalkannya, wajiblah ia mengganti/mengqadhanya. Namun jumhur ulamak menjawab; larangan ayat tersebut ialah khusus bagi ibadah-ibadah fardhu sahaja, yakni ditegah seseorang membatalkan pahala ibadah fardhunya. Adapun ibadah sunat tidaklah ditegah membatalkannya kerana ia tidaklah diwajibkan. Lagipun, terdapat hadis yang mengharuskannya. (Tafsir al-Qurtubi, surah Muhammad, ayat 33).

Wallahu a’lam.

Wednesday, March 30, 2011

MENGHIBAH HARTA KEPADA ANAK-ANAK SEBELUM MATI

Soalan; Assalamualaikum wbt. Bapa saya yg masih lagi hidup telah membahagikan hartanya kepada kami adik-beradik seramai 8 orang ( 6 lelaki dan 2 perempuan). Masing2 telah diperuntukkannya dgn hartanya yg berupa tanah dan rumah. Semuanya mendapat bahagian masing2. Soalan saya ialah, adakah pembahagian ini dipanggil hibah atau wasiat dan adakah ianya sah disegi syarak. Jika ianya tidak sah, bagaimanakah caranya yg sah?

Jawapan;

Harus pemilik harta ketika ia sihat dan berakal waras menghibahkan hartanya kepada sesiapa yang ia kehendaki, tanpa berniat menganiayai waris-warisnya. Jika dengan niat tersebut, ia berdosa kerana niat jahat tersebut sekalipun hibah tersebut terlaksana kerana seseorang berhak membelanjakan harta miliknya mengikut keputusannya. Adapun menghibahkan harta kepada anak-anak, wajib berlaku adil kepada semua anak-anak, yakni; tanpa mengecualikan seorangpun dari mereka. Ini sebagaimana terdapat dalam Soheh Imam al-Bukhari riwayat dari an-Nukman bin Basyir yang menceritakan bahawa bapanya memberi kepadanya satu pemberian, lalu ia berjumpa Nabi supaya Nabi menjadi saksi terhadap pemberian tersebut. Maka Nabi bertanya kepadanya; "Adakah semua anak-anak kamu kamu berikan pemberian yang sama?". Jawab bapaku; "Tidak". Lantas Nabi berkata; "Bertakwalah kepada Allah dan berlaku adillah sesama anak-anak kamu". Lalu bapaku pulang dan dan mengambil kembali pemberian tersebut. (HR Imam al-Bukhari dan Muslim). Dalam riwayat yang lain, Nabi berkata; "Jangan bersaksikan aku, kerana sesungguhnya aku tidak akan menjadi saksi atas suatu kezaliman".

Berdasarkan hadis tersebut, adalah dituntut oleh Syariat hibah (pemberian) kepada anak-anak dilakukan sama rata, tanpa pilih kasih termasuk antara lelaki dan perempuan. Sebahagian ulamak berkata; diberikan kepada anak lelaki sekali ganda dari yang diberikan kepada anak perempuan (iaitu sebagaimana dalam faraid).

Jika seorang bapa melakukan pilih kasih, apakah hibahnya itu sah? Terdapat beza pandangan di kalangan ulamak;
1. Sebahagian ulamak (antaranya as-Sauri, Imam Ahmad dan Daud az-Zahiri) menyatakan; hibah tersebut haram, tidak sah (batal) dan wajib ditarik kembali. Dikecualikan jika ada suatu sebab tertentu seperti ada anak yang kurang upaya, ketika itu harus ia dilebihkan dari anak-anak lain mengikut pandangan Imam Ahmad.
2. Menurut jumhur ulamak (merangkumi mazhab Imam Abu Hanifah, Malik dan Syafiie); hibah tersebut makruh (tidak haram) dan ianya sah (yakni tidak batal dan tidak wajib ditarik kembali).  Hanya disunatkan sahaja bapa mengambil kembali hibah tersebut dan membahaginya sama rata kepada semua anaknya. Jumhur ulamak memahami tegahan Nabi dalam hadis di atas sebagai tegahan makruh, bukan tegahan haram berbeza dengan golongan pertama tadi.

Adapun perbezaan antara hibah dan wasiat; hibah ialah pemberian yang diberikan ketika masih hidup. Adapun wasiat, ia adalah pemberian yang diikat dengan selepas mati, seperti seorang berkata; "Bila aku mati nanti, tanahku di tempat sekian sekian hendaklah diwakafkan kepada pihak sekian sekian". Hibah harus diberikan kepada anak-anak atau waris-waris lain dengan syarat berlaku adil tadi. Adapun wasiat tidak harus diberikan kepada orang akan mewarisi harta selepas mati termasuk anak-anak. Ini sebagaimana sabda Nabi; "Sesungguhnya Allah telah memberikan kepada setiap yang berhak akan haknya. Oleh demikian, tidak ada wasiat untuk orang yang bakal mewarisi" (HR Imam Abu Daud dan at-Tirmizi dari Abi Umamah. Menurut at-Tirmizi; hadis ini hasan).    

Wallahu a'lam.      

Rujukan;

1. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, Kitab al-Hibaat, bab Karahati Tafdhil Baina al-Aulad Fi al-Hibah.
2. Fathul-Bari, Imam Ibnu Hajar, Kitab al-Hibah..., bab al-Hibah Lil-Walad. 

IMAM TERLEBIH RAKAAT; APA YANG PERLU MAKMUM LAKUKAN?

Soalan; Assalamualaikum wbt,Jika imam telebih satu rakaat sebagai contoh: Sembahyang isyak. Selepas rakaat keempat imam terlupa dan terus bangun( walaupun di tegur oleh makmum) untuk rakaat yang kelima dan setelah selesai tahiyad akhir imam terus sujud sahwi dan seterusnya memberi salam. Persaolan:
1. Sabagai makmum adakah saya perlu terus mengikuti imam atau saya perlu berniat keluar drpd jemaah dan meneruskan tahiyad akhir saya pada rakaat yang keempat.
Sekian Terima Kasih.


Jawapan;

1. Dalam kes seperti di atas, makmum hendaklah memperingatkan imam dengan mengucapkan tasbih (Subhanallah). Bagi perempuan, hendaklah memperingatkan imamnya dengan menepuk di atas belakang tangannya. Ini sebagaimana sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-; “Jika berlaku sesuatu di hadapan kamu ketika sedang solat[1] (dan kamu ingin memperingatkan/memberitahu tentangnya), hendaklah orang lelaki bertasbih, adapun perempuan hendaklah ia menepuk (di atas belakang tangannya)[2]” (HR Bukhari dan Muslim dari Sahl bin Sa’ad as-Sa’idiy).

2. Jika imam tidak memberi perhatian dengan peringatan yang diberikan (yakni ia tidak kembali duduk), hendaklah makmum berpisah dari imam (yakni berniat mufaraqah) dan menyempurnakan solat secara sendirian. Jika makmum terus mengikut imam, batallah solatnya kerana ia mengikuti imam pada perbuatan yang tidak dikira solat.

Wallahu a’lam.

Nota;

[1] Maksud berlaku sesuatu di hadapan kamu ialah seperti imam lupa, ada seseorang memohon izin dari kita (dan dia tidak mengetahui kita sedang solat), kita melihat ada seorang buta yang hampir terjatuh ke dalam lubang atau kita ingin memberitahu sesuatu kepada orang lain dan sebagainya. Dalam semua keadaan tersebut, jika kita ingin memberitahu atau memperingatkan orang terbabit hendaklah dengan bertasbih atau dengan menepuk (bagi perempuan). (al-Majmu’, Imam an-Nawawi, 4/92)

[2] Iaitu tapak tangan kanan menepuk belakang tangan kiri. Dilarang menepuk antara kedua tapak tangan kanan dan kiri dan jika dengan tujuan bermain-main, batallah solat. (Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi).

Rujukan;

1. al-Majmu’, Imam an-Nawawi, jil. 4, hlm 92 (Kitab as-Solah, bab Ma Yufsidu as-Solah…) dan hlm. 208 (bab Solat al-Jamaah).
2. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, juz. 4, kitab as-Solah, bab Taqdim al-Jamaah Man Yushalli bihim..
3. Faidhul-Qadier, syarah hadis no. 3402.

Sunday, March 20, 2011

PENGHALALAN DARI ORANG YANG DIRAMPAS HAKNYA; APAKAH GUGUR DOSA DARI ORANG YANG MERAMPAS?

Soalan; Assalamualaikum wbt. Arwah kawan ada meninggalkan sebiji loket. Jika dijual, perlukah dibahagi mengikut hukum faraid. Yang ada suami dan 2 orang anak lelaki. Menurut suami, sebenarnya ada lagi barang kemas arwah tetapi diambil oleh adik beradik dan arwah ibunya. Mustahil untuk mengambilnya semula. Perlukah dia beritahu kepada ipar2 secara lisan untuk menghalalkan ataupun cukup sekadar niatnya sahaja.
Terima kasih.

Jawapan;

 1. Semua bentuk harta peninggalan si mati sama ada berupa wang, harta boleh alih (kereta, motor dan sebagainya) atau tidak boleh alih (tanah, rumah dan sebagainya) dan barang-barang berharga -dari sekecil-kecil hingga sebesar-besarnya- mesti diagihkan kepada ahli-ahli warisnya yang berhak mengikut hukum faraid yang ditetapkan Allah dan Rasul. Harus dibahagikan secara persepakatan dengan syarat mendapat persetujuan semua ahli waris yang berhak tanpa terkecuali seorang pun. Dikecualikan jika ada ahli waris yang belum baligh, maka haknya mesti diberikan penuh mengikut yang diperuntukkan dalam hukum faraid, kerana persetujuannya tidak dipakai.

2. Membolot harta si mati sedangkan ada ahli-ahli waris lain yang turut berhak atas atas harta itu, perbuatan tersebut merupakan dosa besar kerana memakan harta orang lain secara batil. Firman Allah (bermaksud); "Dan janganlah kamu memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil" (Surah al-Baqarah, ayat 188). Memakan harta orang secara batil bermaksud melalui jalan yang haram termasuklah mencuri, merampas hak orang lain dan sebagainya (Lihat; Tafsir al-Jalalain; Surah al-Baqarah, ayat 188). Sabda Nabi; "Tidak halal bagi seseorang mengambil sesuatu dari harta saudaranya yang lain kecuali dengan keredhaan darinya" (HR Imam Ahmad dari Amrin bin Yasribi r.a.. Juga diriwayatkan dari Khifah ar-Raqasyi r.a.. Lihat; Ziyadah al-Jami' as-Saghier, no. 3891. Menurut Syeikh al-Albani, hadis ini soheh).

3. Sekalipun orang yang dirampas haknya menghalalkan haknya yang dirampas, itu tidak mencukupi untuk menggugurkan dosa dari orang yang merampas. Ini kerana syarat taubat bagi orang yang melakukan dosa yang berkait dengan hak manusia lain ada empat;
A) Ia meninggalakan perbuatan dosa itu
B) Ia menyesali ketelanjuran melakukannya.
C) Ia bertekad/berazam tidak akan mengulanginya lagi
D) Ia memulangkan hak orang lain yang dirampasnya atau memohon halal dari mereka.

Dengan penghalalan dari orang yang dirampas haknya, ia hanya menggugurkan tuntutan harta dari orang yang merampas iaitu menyelesaikan syarat ke 4 (D) di atas. Adapun tiga syarat sebelumnya tidak terlaksana dengan semata-mata penghalalan tersebut. Ia mesti datang hari kesedaran hati orang yang terlibat dengan dosa tersebut.

Oleh demikian, hendaklah ada orang yang memperingatkan ibu dan sudara-saudara si mati tentang perbuatan mereka yang salah di sisi agama itu (merampas harta orang lain). Tindakan suami si mati menghalalkan haknya yang dirampas, ia mendapat pahala dengan tindakan itu. Namun ia tidak menggugurkan dosa dari mertua dan adik-beradik iparnya jika mereka tidak bertaubat. Lagi pula harta itu membabitkan juga anak-anak si mati, tidak cukup dengan penghalalan dari suami sahaja. Lebih-lebih lagi jika ada anak yang belum baligh di mana persetujuan mereka tidak dipakai, bermakna; hak mereka mesti diberi secara penuh tanpa digugurkan sebarang hak pun.

Wallahu a'lam.

Tuesday, March 15, 2011

ZAKAT PERNIAGAAN IBU TUNGGAL

Soalan; Assalamualaikum w.b.t Tuan, Saya hamba yang kurang pengetahuan ini ada satu persoalan yang saya inginkan penjelasan. Adakah seorang ibu tunggal (telah kematian suami) yang meniaga sendiri untuk menyara keluarganya dan katakanlah telah mendapat keuntungan bersih hasil perniagaannya berjumlah RM10,000.00 setahun, wajib untuk membayar zakat perniagaannya sedangkan dia yang mempunyai 5 orang anak dimana 2 daripadanya telah bekerja (cukup untuk menyara diri sendiri) manakala 3 darinya masih menuntut (seorang di Universiti Awam, seorang di Matrikulasi Kerajaan dan seorang lagi masih belajar di tingkatan 4). Harap dapat dibantu. Terima Kasih.

Jawapan;

1. Zakat wajib dikeluarkan apabila seorang itu kaya. Dalam hadis yang menceritakan Nabi menghantar Muaz ke Yaman untuk menjadi Gabenor, antara yang dipesan Nabi kepadanya ialah; "Apabila mereka telah patuh kewajipan Solat lima waktu, beritahu pula kepada mereka bahawa Allah mewajibkan ke atas mereka sedekah (yakni zakat) iaitu dipungut dari orang-orang kaya di kalangan mereka dan diberikan kepada orang-orang miskin di antara mereka" (HR Imam Muslim dari Ibnu 'Abbas). Kewajipan zakat ini tidak terkecuali dari sesiapapun asalkan harta yang dimiliki adalah milik sempurna dan memenuhi syarat-syarat diwajibkan zakat, termasuklah harta anak yatim, ibu tunggal atau sebagainya.

Maksud kaya dalam istilah Syariat bukan bermaksud seorang itu mempunyai simpanan wang berjuta, beratus ribu atau puluhan ribu. Jika seseorang mempunyai lebihan wang setelah ditolak keperluan asas dirinya dan keluarganya dan lebihan itu menyamai atau melebihi nisab yang ditetapkan (yakni kadar minima pemilikan harta yang mewajibkan zakat), ia dianggap kaya di sisi Syariat dan wajiblah mengeluarkan zakat. Jika ia tidak mempunyai lebihan atau lebihan yang ada tidak sampai nisab yang ditetapkan, ia tidak dianggap kaya dan tidak wajib zakat.

2. Bagi zakat perniagaan, wajib dikeluarkan zakat apabila harta perniagaan yang dimiliki mencukupi nisab yang ditetapkan Syariat iaitu nilai semasa 85 gram emas. Zakat dikeluarkan setelah ditolak keperluan diri dan keluarga (termasuk kos pengajian anak-anak). Jika lebihan setelah ditolak belanja keperluan mencapai nisab, barulah diwajibkan zakat. Ikut langkah-langkah berikut untuk mengira zakat;
1. Tetapkan tarikh hitungan zakat bagi setiap tahun. Contoh; 1 Ramadhan atau 1 Muharram atau sebagainya. Ini kerana zakat perniagaan hanya wajib sekali sahaja pada setiap tahun.
2. Bila tiba tarikh tersebut, buat perkiraan terhadap semua barang-barang perniagaan yang ada di kedai atau di stor simpanan.* Hitung dalam nilai wang. Kemudian campurkan nilai itu dengan wang yang ada dalam tangan dan dalam simpanan (di bank dan sebagainya).
3. Tolak hutang semasa sama ada hutang perniagaan atau hutang keperluan hidup.
4. Tolak kos keperluan hidup semasa merangkumi untuk diri dan keluarga.
5. Setelah itu, perhatikan berapa yang berbaki. Jika baki sampai nisab tadi (nilai semasa 85 gram emas), wajiblah dikeluarkan zakat ke atas baki tadi iaitu sebanyak 2.5% sahaja. Jika tak sampai, tak wajiblah zakat.

(*Perlu diketahui; yang perlu dihitung ialah barang-barang perniagaan sahaja. Adapun aset-aset yang tidak diperniagaankan seperti kerusi-meja, perabot, komputer, mesin-mesin dan sebagainya, tidaklah termasuk dalam hitungan).

3. Mengeluarkan zakat banyak hikmah dan kebaikannua. Selain melaksanakan kewajipan kita sebagai hamba Allah, ia menjadi simpanan pahala untuk kita di akhirat, membersihkan harta dan mengundang keberkatan kepada harta. Harta yang dikeluarkan zakat, harta itu akan semakin bertambah, Insya Allah.

Wallahu a'lam.

JAM EMAS

Soalan; Assalamualaikum Ustaz..Saya ada pertanyaan..Apakah hukum bagi seorang lelaki memakai jam tangan yang disadurkan dengan emas? Sekian, terima kasih.

Jawapan;

1. Terdapat larangan yang jelas dari Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- terhdaap orang lelaki memakai perhiasan dari emas. Sabda Nabi (bermaksud); “Diharamkan memakai sutera dan emas ke atas lelaki-lelaki umatku dan dihalalkan kepada wanita-wanita mereka” (HR Imam at-Tirmizi dari Abu Musa al-Asy’ari –radhiyallahu ‘anhu-. Menurut Imam at-Tirmizi; hadis ini hasan soheh).

Oleh itu, jam yang dibuat dari emas haram lelaki memakainya.[1] Begitu juga, jam yang bukan keseluruhannya dari emas, akan tetapi terdapat bahagian tertentu dibuat dari emas –seperti jarumnya, lingkungan mukanya, tangannya atau sebagainya- juga diharamkan lelaki memakainya kerana ia juga termasuk dalam makna menjadikan emas sebagai perhiasan.[2]

2. Adapun jam yang bersalut emas; jika salutan emas itu adalah tiruan (yakni bukan emas, tetapi air emas atau bahan lain yang berwarna seperti emas), tidaklah dilarang. Namun jika salutan itu sememangnya emas (yakni jam yang dibuat dari logam lain, kemudian disalut dengan lapisan emas di luarnya), para ulamak berbeza pandangan;

a) Menurut jumhur ulamak (iaitu mazhab Hanafi, Maliki dan Syafiie); jika salutan emas itu banyak, ia adalah haram dipakai oleh lelaki. Jika ia sedikit, tidak haram memakainya, akan tetapi makruh. Ukuran untuk menentukan banyak atau sedikit ialah; jika emas itu masih dapat dipisahkan dari logam yang disalutinya –dengan cara peleburan, pengikisan atau seumpamanya-, ia dianggap banyak. Jika sudah tidak dapat dipisahkan –dengan apa cara sekalipun-, ia dikira sedikit.[3]

b) Menurut mazhab Hanbali; diharamkan memakainya sama ada salutan emas banyak atau sedikit, sama ada emas itu dapat dipisahkan atau tidak lagi dapat dipisahkan, kerana larangan Nabi dalam hadis tadi adalah umum merangkumi pengertian emas secara amnya (tanpa diikat dengan sedikit atau banyak). (al-Insaf, 1/478)

Tindakan terbaik ialah kita tidak memakainya kerana jumhur ulamak yang mengharuskannya tadi mereka mengharuskannya dengan hukum makruh (yakni sekalipun tidak haram memakainya, akan tetapi makruh). Lagipun apabila terdapat khilaf di kalangan ulamak, jika kita dapat mengambil jalan untuk lari dari khilaf (dengan tidak melakukannya), itulah tindakan terbaik.

Wallahu a’lam.

Nota;

[1] Begitu juga, diharamkan ke atas kanak-kanak. Namun oleh kerana kanak-kanak belum mukallaf, yang menanggung dosa ialah orang yang memakaikan kepadanya sama ada ibunya, bapanya atau sebagainya. (Lihat; Tuhfah al-Ahwazi, 4/4-9, bab Ma Ja-a Fi al-Harir wa al-Fiddah).

[2]-Pemakaian emas oleh lelaki hanya harus ketika darurat sahaja seperti untuk menampung kecacatan di badan seperti membuat hidung palsu, gigi (termasuk mengikat gigi), hujung jari dan sebagainya jika tidak ada logam lain dapat menggantinya. Harus juga menggunakan perak. (lihat; al-Majmu’, 1/256, 6/38. Lihat juga; Fiqh al-Albisah wa az-Zinah, hlm. 348).
-Menurut ulamak; Termasuk yang dilarang ialah menjadikan emas sebagai bahan penampal, tampungan atau pengikat kepada bekas sama ada kerana keperluan (seperti menampung bekas yang pecah) atau kerana perhiasan. Ia diharamkan sama ada kadar emas itu banyak atau sedikit. Hanya diharuskan tampalan/tampungan itu ialah dengan perak, itupun untuk keperluan, bukan untuk perhiasan. Kadarnya hendaklah sedikit sahaja, tidak banyak. Menurut mazhab Syafiie; menampung bekas dengan perak, jika sedikit kadar tampungan itu dan dibuat kerana keperluan, tidaklah makruh (yakni harus). Jika dibuat untuk perhiasan, makruh. Jika kadar tampungan banyak, jika kerana ada keperluan, hukumnya makruh, dan jika kerana perhiasan (bukan keperluan), hukumnya haram. Adapun dengan emas, hukumnya haram sama ada kerana keperluan atau perhiasan, sedikit kadar emasnya atau banyak. (Lihat; al-Majmu’, 1/254, bab al-Aniyah).

[3] Tidak diharamkan memakainya kerana dengan kadar emas yang sedikit itu (dan tidak dapat dipisahkan lagi), ia seolah-olah tidak wujud melainkan warnanya sahaja yang masih tinggal. Menurut pandangan yang paling soheh; tidak diambil perkiraan lagi bagi suatu yang tidak tinggal darinya melainkan warna sahaja (Fiqh al-Albisah wa az-Zinah, hlm. 369).

Rujukan;

1. Fiqh al-Albisan wa az-Zinah, Abdul-Wahhab Abdus-Salam Tawilah, hlm. 369.
2. Al-Inshaf Fi Ma'rifati ar-Rajih Minal-Khilaf, Syeikh Alauddin Ali bin Sulaiman al-Mardawi, 1/478.
3. Tuhfah al-Ahwazi, 4/4-9, bab Ma Ja-a Fi al-Harir wa al-Fiddah.
4. Al-Majmu’, Imam an-Nawawi, 1/254 (bab al-Aniyah), 6/38 (Kitab az-Zakah, bab Nisab az-Zahab wa al-Fiddah..).