Soalan
Assalamualaikum.
Saya dan 4 rakan keluar bertemu dan singgah makan di Jco Donuts tak lama
dulu. Ketika smpai saya dapati tiada tanda halal sma skali. Rakan saya
smuanya tmpak biasa sja lalu saya tnya sorng pekerja di situ yang
mnjawab bahawa produk mreka halal. Sebelum pulang saya mmbeli sdikit
untuk kluarga di rmah. Dh balik tu saya check di internet. Rupanya tiada
sijil halal bagi syarikat tersebut dari Jakim mahupun Indonesia (negara
asal) . Smuanya sudah dimakan. Apa patut sya buat skrg?
Jawapan
Wa'alaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh,
Dalam keadaan ini, oleh sebab premis makanan tersebut masih belum
mempunyai Logo Halal Malaysia, maka makanan atau minuman yang disajikan
di premis tersebut juga masih belum dikenal pasti lagi tentang halal
atau haramnya.
Mengenai dakwaan perkerja premis tersebut yang mendakwa makanan yang
disajikan di premis makanan tersebut adalah halal, tidak boleh dijadikan
sebagai panduan atau bahan bukti bagi mengesahkan status makanan di
premis tersebut.
Oleh yang demikian, beristighfarlah kerana anda telah mengambil makanan
yang syubhah, iaitu makanan yang masih belum dikenal pasti lagi
mengenai status halalnya dan perkara ini adalah bersalahan dengan
perintah Allah di dalam al-Quran yang memerintahkan supaya
hamba-hambanya mengambil makanan yang halalan toi’iba (makanan halal
lagi baik).
Hal ini dengan jelas ada disebut oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala di dalam firmannya yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari
benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu,
dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat
kepadaNya".
(al-Baqarah: 172)
Sabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam, maksudnya:
Daripada Abu Abdullah al-Nu'man ibn Basyer Radhiyallahu 'Anhu, beliau
berkata: Aku telah mendengar Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam
bersabda:
“Sesungguhnya perkara yang halal itu sudah jelas, dan perkara yang
haram itu juga sudah jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada
perkara-perkara syubhat yang kesamaran yang kebanyakan orang tidak
mengetahuinya. Barangsiapa yang menjaga perkara syubhat maka
sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya. Dan
barangsiapa yang terjatuh dalam perkara syubhat, maka dia telah jatuh
dalam perkara haram, umpama seorang pengembala yang mengembala di
sekeliling kawasan larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke
dalamnya. Ketahuilah bahawa setiap raja ada sempadan dan sesungguhnya
sempadan Allah itu ialah perkara-perkara yang diharamkanNya. Ketahuilah
bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik
maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh
jasad. Ketahuilah ia adalah hati”.
(Hadith riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim.
Oleh itu, memakan makanan yang masih belum dikenal pasti lagi status
halalnya adalah tergolong di dalam kategori makanan yang syubhah.
Mengambil sesuatu makanan yang syubhah adalah dibimbangi akan menyebabkan kita terambil makanan yang diharamkan.
Oleh itu, tinggalkanlah makanan tersebut dan beralihlah kepada makanan
yang halal lagi baik mutunya sebagaimana firman Allah dalam ayat di
atas.
Ringkasnya, jadikanlah Logo Halal Malaysia sebagai kayu pengukur atau
petanda di dalam mengenali produk makanan yang halal. Sila berhubung
dengan Bahagian Halal JAKIM di talian, 03 8315 0200 untuk dapatkan
maklumat yang lebih lanjut mengenainya. Wallahu 'alam.