Friday, June 17, 2011

HUKUM SEWA ATAS SEWA

Soalan; assalamualaikum ustaz...apakah hukum sewa atas penyewa?

Jawapan;

Menurut jumhur ulamak (merangkumi mazhab empat); diharuskan orang yang menyewa barang/premis untuk menyewakannya semula kepada orang lain selama dalam tempoh sewaan yang diakadkan dengan pemilik barang/premis. Sama ada bayaran sewaan yang dikenakan sama dengan bayaran sewaan yang dibayar kepada pemilik atau lebih tinggi atau lebih rendah hukumnya adalah harus. Ini kerana akad sewaan adalah sama seperti akad jual-beli iaitu akad pertukaran. Jika akad jual beli menukarkan antara harta (yang berupa wang) dengan harta (yang berupa barang/produk), akad sewaan pula menukar harta (iaitu bayaran sewaan) dengan manfaat (iaitu kegunaan barang yang disewa). Apabila sempurna akad sewaan, manfaat barang/premis yang disewa telah menjadi milik orang yang menyewa, maka ia harus menggunanya sendiri atau menghadiahnya kepada orang lain atau menjual manfaat itu (dengan pengertian menyewanya kepada orang lain). Ia sama seperti apabila sempurna akad jual-beli, pembeli bebas menggunakan barang/produk yang dibelinya mengikut yang disukainya kerana barang/produk itu telah menjadi miliknya.

Namun keharusan menyewa semula itu terikat dengan syarat berikut;
1. Barang/premis yang terbabit itu tidak terkesan dengan sebab bertukar tangan penyewa seperti menyebabkan kerosakan atau sebagainya.
2. Penggunaan penyewa kedua ke atas barang/premis sama seperti yang diakadkan antara penyewa pertama dengan pemilik atau penggunaan yang kurang risiko darinya, contohnya; jika penyewa pertama menyewanya untuk digunakan sebagai kediaman, tidak harus ia menyewanya kepada orang lain untuk dijadikan kilang atau seumpamanya.
2. Pemilik tidak mensyaratkan barang/premisnya tidak disewakan semula kepada orang lain.[1] Jika ia mensyaratkannya, tidak harus disewakan semula kerana sabda Nabi; "Orang-orang Islam terikat dengan syarat-syarat yang dipersetujui sesama mereka selama menepati yang hak" (HR Imam al-Hakim dari Aisyah r.a. dan Anas. Menurut as-Suyuti; hadis ini soheh. Lihat: al-Jami' as-Saghier, hadis no. 9214).

Nota;

[1] Ini berdasarkan pandangan mazhab Maliki dan Hanbali di mana menurut mereka; harus pemilik barang/premis mensyaratkan barang/premis kepunyaannya hanya digunakan oleh penyewa sahaja atau mensyaratkan tidak boleh disewa kepada orang lain. Penyewa terikat dengan syarat tersebut dan jika ia melanggarinya terbatallah akad sewaan. Pandangan ini ditarjih oleh Imam Ibnu Taimiyyah. Namun mazhab Syafiie berpandangan; tidak harus meletakkan syarat tersebut dan jika diletakkan batallah akad sewaan. Mazhab Hanafi pula berpendapat; akad tidak terjejas, namun syarat yang diletakkan itu tidak terpakai (yakni sia-sia sahaja dan tidak mengikat penyewa).

Rujukan;

1. Al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 1/267, 284, 270, 286-287 (perkataan "Ijarah").
2. Al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah, Kitab al-Ijaraat (11/450).
3. Fatawa as-Syabakah al-Islamiyah, no. 118454, 103260.
4. Fatawa Syeikh Muhammad Soleh al-Munajjid, no. 82568.

CARA MELAKUKAN TAYAMMUM

Soalan; SALAM USTAZ, SAYA INGIN MENGAJU SATU PERSOALAN SEPERTI
BERIKUT:
1.KAMI BERMALAM SEMASA BERTUGAS DI PADANG PASIR YG SEJUK INI,
KEMUDIAN BERMIMPI KELUAR AIR MANI, UNTUK SOLAT SUBUH MEMERLUKAN MANDI
JUNUB ATAU SEBAGAINYA, KALAU DITEMPAT PDG PASIR YG TIADA AIR TAYAMUM
PUN DIBOLEHKAN, DAN BAGAIMANA CARA NYA TERANGKAN SATU PERSATU..
TERIMA KASIH ATAS KEPERHIHATINAN USTAZ.

Jawapan;

1. Yang dimaksudkan dengan tayammum ialah menyapukan debu ke muka dan dua tangan sebagaimana firman Allah (bermaksud); “Dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam pelayaran, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu menyentuh (atau mensetubuhi) perempuan sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk atau untuk mandi), maka hendaklah kamu bertayammum dengan debu yang bersih (صعيدا طيبا), iaitu: sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah itu” (Surah al-Maidah, ayat 6).

2. Berdasarkan ayat di atas, anggota tayammum ada dua iaitu;
a) Muka
b) Dua tangan

Muka; tiada khilaf bahawa kawasan muka yang wajib disapukan debu ialah kawasan muka yang wajib dibasuh ketika mengambil wudhuk. Adapun tangan, terdapat khilaf di kalangan ulamak seperti berikut;
a) Menurut jumhur ulamak (termasuk mazhab Syafiie); kawasan tangan yang wajib disapui debu ialah dari hujung jari hingga ke siku (iaitu kawasan yang sama yang wajib dibasuh ketika mengambil wudhuk).
b) Menurut mazhab Hanbali; kawasan tangan yang wajib disapui debu hanyalah hingga pergelangan tangan sahaja.

3. Mengenai jenis debu, terdapat khilaf sebagaimana berikut;
a) Menurut jumhur ulamak (termasuk mazhab Syafiie dan Hanbali); hanya debu tanah sahaja harus digunakan untuk tayammum, tidak harus dengan pasir, batu atau sebagainya.
b) Menurut mazhab Maliki dan Hanafi; tidak khusus kepada debu tanah sahaja. Harus tayammum dengan segala yang ada di atas permukaan bumi; tidak hanya tanah, tetapi juga pasir, kapur, batu dan seumpamanya.

Dalam situasi saudara, jika sukar untuk mendapatkan debu tanah, harus saudara beramal dengan pandangan kedua iaitu bertayammum dengan pasir atau bahan lain yang ada di atas muka bumi.

4. Tayammum tidak harus dilakukan melainkan setelah masuk waktu solat. Jadi, hendaklah dipastikan telah masuk waktu solat barulah boleh melakukan tayammum. Satu tayammum hanya untuk satu waktu solat sahaja. Dengan tayammum tersebut harus dikerjakan solat fardhu, solat-solat sunat, membaca al-Quran dan tawaf sebanyak mana dikehendaki selagi belum habis waktu. Apabila masuk waktu baru, tayammum tadi otomatik terbatal dan wajib dilakukan semula tayammum untuk waktu yang baru jika masih belum menemui air.

4. Berpandukan fiqh mazhab Syafiie, cara melakukan tayammum ialah seperti berikut;

a) Langkah pertama; tentukan kawasan tanah yang hendak diambil debu darinya. Buatkan garis segi empat dan bahagikan kepada dua bahagian (atas dan bawah).

b) Langkah kedua; lekapkan dua tapak tangan ke bahagian atas kawasan tanah yang ditentukan tadi, kemudian nipiskan sedikit debu yang melekat di tangan (jika terlalu tebal) iaitu dengan menghembusnya, kemudian sapukan debu tersebut ke muka dengan meratakannya hingga meliputi seluruh kawasan muka yang wajib dibasuh ketika mengambil wudhuk. Bagi yang berjanggut tidaklah diwajibkan menyampaikan debu ke kulit (di bawah janggut) kerana ia sukar dilakukan, maka memadai dengan menyapukan debu ke bahagian atas janggut sahaja. (al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 14/254).

c) Langkah ketiga; lekapkan dua tapak tangan ke bahagian bawahnya pula, lakukan seperti tadi, kemudian dengan debu yang ada di tapak tangan kiri sapukan ke seluruh tangan kanan iaitu dengan melurutnya dari hujung jari belakang tangan hingga ke siku dan dari siku ke pangkal tapak tangan. Elakkan dari menyentuh bahagian tapak tangan kanan untuk mengelak dari menyentuh debu di situ. Seterusnya dengan debu yang ada di tapak tangan kanan sapukan pula ke seluruh tangan kiri dengan melurutnya seperti tadi. Akhirnya geserkan antara dua tapak tangan dan silangkan antara jari-jari keduanya untuk menyampaikan debu ke celah-celah jari.

d) Akhirnya, bacalah doa sebagaimana yang disyariatkan selepas mengambil wudhuk.

Wallahu a’lam.

Tuesday, June 14, 2011

MEMBINA PREMIS DI ATAS TANAH ORANG LAIN

Soalan; Assalammualaikum. Saya ada kemuskilan, bapa saudara saya telah mendirikan rumah di atas sebidang tanah milik aruah nenek saya atas kebenaran secara lisan oleh aruah nenek. Sebelum aruah nenek meninggal dia telah menukar hak milik tanah tersebut ke atas nama bapa saya. Anak bapa saudara saya juga telah mendirikan bengkel membaiki motosikal di atas tanah tersebut tanpa sebarang kebenaran daripada bapa saya sebagai pemilik tanah. Masalahnya sekarang bapa saya ingin menjual tanah tersebut memandangkan tanah tersebut tidak diusahakan dan bapa memerlukan wang bagi menyara anak-anak yang masih belajar dan dirinya dan emak yang tidak berapa sihat. Malangnya bapa saudara dan anak-anaknya telah melemparkan kata-kata yang kesat kepada bapa saya dan masih berpegang kepada kata-kata aruah nenek yang membenarkan beliau membina rumah dan tinggal di atas tanah tersebut biarpun nenek telah tiada pada mereka itu adalah tanah pusaka dan bapa tidak berhak meminta mereka keluar biarpun bapa telah mengatakan beliau akan memberikan sejumlah wang atas ihklas beliau tetapi bapa saudara telah berkeras dan meminta pampasan berlebihan yang boleh dikirakan separuh daripada jualan tanah tersebut. Tanpa pampasan sebanyak yang dipohon mereka tidak akan keluar daripada rumah dan bengkel yang telah didirikan. Soalannya;
- Apakah bapa saya berhak untuk tidak keluar daripada tanah tersebut dan meminta sejumlah pampasan yang tinggi.
- Adakah bapa saya berhak untuk tidak memberikan sebarang pampasan
- Apakah hukum menjalankan perniagaan di atas milik orang tanpa kebenaran dan memakan duit hasil perniagaan tersebut.
              
Jawapan;

1. Selesaikanlah masalah tersebut dengan baik tanpa menjejaskan tali persaudaraan (silaturrahmi). Menjaga tali persaudaraan terutamanya antara saudara yang ada pertalian darah amat-amat dituntut oleh Syariat Islam.

2. Penyelesaian secara sepakat dan saling bertolak ansur adalah yang terbaik. Jika tidak dapat dilakukan, maka penyelesaiannya mengikut hukum Fiqh adalah seperti berikut;

A) Rumah bapa saudara; oleh kerana ia membinanya dengan kebenaran pemilik asal (nenek saudara), apabila tanah itu berpindah milik, pemilik baru perlulah membayar nilai rumah di atas tanah tersebut (dengan harga semasa) jika ia ingin mengambil kembali tanah tersebut. Ini kerana rumah itu dibina dengan kebenaran dari pemilik tanah yang asal.

B) Bengkel anak saudara; oleh kerana bengkel itu dibina tanpa kebenaran pemilik tanah, pemilik tanah berhak merobohnya tanpa sebarang pampasan. Ini kerana ia membina bangunan di atas tanah orang lain tanpa kebenarannya, maka itu termasuk dalam menceroboh dan merampas hak orang lain. Sabda Nabi; "Sesiapa menghidupkan tanah mati (yakni tanah yang tidak berpemilik) tanah itu miliknya. Tidak ada sebarang hak bagi orang yang membina/menanam secara zalim (di atas tanah orang lain)" (HR Imam at-Tirmizi dari Said bin Zaid. Kitab al-Ahkam 'an Rasulillah, bab Ma Zukira Fi Ihya' Ardhi al-Mawat, no. 1378. Turut diriwayatkan oleh Abi Daud dari 'Urwah yang meriwayatkan dari bapanya. Lihat; Sunan Abi Daud, kitab al-Kharaj wa al-Imarah wa al-Fai', bab Fi Ihya' al-Mawat, no. 3073).

Berkata Imam al-Khattabi; "Maksud hadis ini ialah seorang lelaki menanam pokok di atas tanah yang bukan tanahnya tanpa keizinan tuan tanah atau ia membina suatu binaan di atas tanah orang lain tanpa izin tuannya, maka ia diperintahkan supaya mencabutnya kecualilah jika tuan tanah meredhainya, maka dibiarkan" ('Aunul-Ma'bud, Syarah Sunan Abi Daud).      

C) Perniagaan di atas tanah orang lain; jika perniagaan yang dijalankan adalah halal (yakni menjual produk atau perkhidmatan yang halal) pendapatan yang terhasil darinya juga halal, namun ia berdosa kerana menjalankan perniagaan di atas tanah orang lain tanpa keizinanannya. Wajib ia memohon ampun kepada Allah dan menyerahkan harta yang bukan haknya kepada pemiliknya atau memohon keizinannya untuk terus berniaga di situ. Tuan tanah berhak mengadu kepada pihak berkuasa untuk menuntut dikembalikan haknya dan bayaran sewa dari tanah tersebut sepanjang ia dicerobohi.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Tuhfah al-Ahwazi (Syarah Sunan at-Tirmizi), Kitab al-Ahkam 'an Rasulillah, bab Ma Zukira Fi Ihya' Ardhi al-Mawat, no. 1378.
2. Aunul-Ma'bud (Syarah Sunan Abi Daud), kitab al-Kharaj wa al-Imarah wa al-Fai', bab Fi Ihya' al-Mawat, no. 3073.

HUKUM KESALAHAN DALAM BACAAN FATIHAH

Soalan; Salam Ustaz. Apa hukum solat jika membaca Al-Fatihah salah tajwid, iaitu merangkumi:
- tidak menyebut syaddah pada huruf yang bertasydid, seperti pada iyyaka dibaca iyaka
- salah makhraj, seperti dho disebut zho pada waladhdhollin
- tidak memelihara hukum mad, seperti dho pada waladhdhollin panjang 6 harakat dibaca 2 harakat sahaja.
Harap penjelasan ustaz.

Jawapan;

Para ulamak menjelaskan;
1. Surah al-Fatihah wajib dibaca di dalam solat dengan merangkumi segala huruf dan syaddah-syaddahnya. Jika jatuh satu huruf darinya atau diringankan huruf yang sepatutnya disyaddahkan atau diganti satu dengan huruf lain, tidak sah bacaannya sama ada huruf dhodnya atau huruf lainnya.
2. Dari segi sebutan huruf; jika bertukar sebutan dhod (ض) menjadi dzo (ظ) menurut satu pandangan (dari fuqahak mazhab Syafiie); tidak menjejaskan bacaan (yakni bacaan masih sah kerana agak sukar bagi orang awam untuk memebezakan antara dua huruf tersebut, jadi ia dimaafkan). Namun pandangan yang rajih (al-Asah); tidak sah bacaan, kecualilah bagi orang yang tidak mampu untuk belajar, maka ia dimaafkan. Jika sebutan dhod itu dibaca dengan selain dzo, tidak sah bacaan tanpa ada khilaf. Begitu juga, tidak sah bacaan jika bertukar dzal (ذ) menjadi dal (د). Namun jika huruf qaf (ق) disebut hampir kepada kaf (ك) (yakni sebutan antara qaf dan kaf), bacaan masih sah namun makruh.    
3. Jika berlaku kesalahan pada baris; jika mengubah makna seperti ta pada (أ نعمت) dibaca dengan baris dhammah atau kasrah, atau kaf pada (إياك) dibaca dengan baris kasrah, tidak sah bacaan fatihah. Jika tidak sampai mengubah makna, tidak batal bacaan Fatihah (yakni masih sah bacaan).
4. Kesalahan tajwid dalam bacaan tidaklah membawa kepada tidak sahnya bacaan Fatihah selama tidak menjejaskan makna seperti yang dijelaskan tadi. Oleh demikian, memendekkan mad pada (ولا الضالين) dari 6 kepada 2 tidaklah membatalkan bacaan kerana ia tidak mengubah makna.

Kesalahan-kesalahan yang boleh menjejaskan bacaan yang dinyatakan di atas jika dilakukan dengan sengaja, akan batallah solat. Jika berlaku tanpa disengajakan, solat tidak batal namun wajib diulangi bacaan. Jika tidak diulangi bacaan yang salah itu, batallah solat.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Raudhatu at-Thalibin, Imam an-Nawawi, 1/348 (kitab as-Solah, al-Bab ar-Rabi'; Sifati as-Solah).
2. Al-Fiqh al-Manhaji, Syeikh Dr Mustafa al-Khin, Dr Mustafa al-Bugha dan 'Ali as-Syarbaji, 1/132.
3. Mughni al-Muhtaj, Syeikh al-Khatib as-Syirbini, 2/299-301.
4. Fatawa as-Syabakah al-Islamiyah, no. 33960, 79718, 73321.

LAFAZ TALAK TANPA NIAT & TALAK 3 SEKALIGUS

Soalan; assalamualaikum ustaz.
1. isteri saya telah pulang kerumah ibunya. pada malam harinya. saya telah menghantar sms berbunyi "kalau tak balik kerumah malam ni, jatuh talak 3". saya menghantar sms tersebut tanpa niat. bertujuan menyuruh isteri saya balik. adakah jatuh talak tersebut?
2. sebelum ini saya pernah bertengkar. dan saya lafaz "kita putus" juga tanpa niat. adakah jatuh talak?

Jawapan;

1. Lafaz pertama adalah lafaz sharih iaitu lafaz yang tidak difahami oleh orang yang mendengar melainkan dengan makna talak. Ucapan talak/cerai dengan lafaz sharih tidak dirujuk kepada niat, yakni; semata-mata suami melafazkannya dengan mulutnya jatuhlah talak sekalipun suami mendakwa ia melafazkannya bukanlah dengan niat cerai tetapi gurauan, marah, ancaman atau sebagainya. Lafaz sharih ini ialah dengan menggunakan perkataan talak atau cerai. Hukum tersebut adalah kerana Rasulullah bersabda; "Tiga perkara sungguhnya adalah sungguh dan gurauannya juga adalah sungguh;
A) Nikah
B) Talak
C) Rujuk
(HR Imam at-Tirmizi dari Abu Hurairah. Menurut Imam at-Tirmizi; hadis hasan gharib. Lihat: Sunan at-Tirmizi, kitab At-Thalaq wa al-Li'an, bab Ma Ja-a Fi al-Jaddi wa al-Hazli Fi at-Thalaq, no. 1101. Juga diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dan Ibnu Majah).

Berkata Imam al-Khattabi; "Telah sepakat sekelian ulamak bahawa lafaz talak yang sharih jika dituturkan oleh seorang lelaki (yakni suami) yang baligh (sampai umur) dan berakal, ia diambil perkiraan dengannya dan tidak berguna ucapannya "Aku mengucapkannya main-main sahaja atau hanya gurauan atau aku tidak berniat talak dengannya" atau alasan-alasan lain seumpamanya" (Aunul-Ma'bud, kitab at-Thalaq, bab at-Thalaq fi al-Hazl, hadis no. 2194).  

Jadi dalam kes di atas jika suami mengakui ia menghantar sms tersebut dan berlaku perkara yang dita'liqkan (yakni diikatkan) dalan ucapan talak/cerai yang dilafazkan itu, jatuhlah talak. Adakah jatuh talak satu atau talak tiga? Perkara ini menjadi khilaf di kalangan ulamak;

A) Menurut jumhur ulamak (merangkumi mazhab empat; Hanafi, Maliki, Syafiie dan Hanbali); talak tiga sekaligus akan menjatuhkan tiga talak. Jadi suami yang melafazkan talak 3 sekaligus kepada isterinya, ia dikira menceraikan isterinya dengan 3 talak/cerai dan ia tidak boleh merujuk kembali isterinya melainkan setelah isterinya berkahwin dengan lelaki lain, berlaku persetubuhan antaranya dengan suami barunya itu, diceraikan oleh suami baru itu dan habis eddah, barulah boleh berkahwin semula dengan bekas suami tadi iaitu dengan akad dan mas kahwin baru.

B) Sebahagian ulamak (iaitu Imam Ato', Tawus, Said bin Jubair dan disokong oleh Imam Ibnu Taimiyyah dan Ibnul-Qayyim) berpandangan; talak hanya jatuh satu sahaja walaupun dilafazkan oleh suami 2 atau 3 sekaligus kerana talak menurut mereka hanya boleh berlaku satu demi satu, tidak berlaku banyak sekaligus.

2. Adapun lafaz yang kedua (kita putus) ia adalah lafaz kinayah iaitu lafaz yang boleh difahami sebagai talak/cerai dan boleh juga dengan maksud lain. Kerana itu ia bergantung kepada niat suami. Jika suami berkata ia memang berniat talak dengan ucapan itu, jatuhlah talak. Jika tidak, tidak jatuh talak.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Al-Mughni, Imam Ibnu al-Qudamah, juzuk 7, kitab at-Talaq.
2. Aunul-Ma'bud (Syarah Sunan Abi Daud), kitab at-Thalaq, bab at-Thalaq fi al-Hazl, hadis no. 2194).
3. Fiqh as-Sunnah, Syeikh Sayid Sabiq
, 2/173.

Thursday, June 9, 2011

WASIAT DAN PEMBAHAGIAN HARTA PENINGGALAN ISTERI YANG TIADA ANAK DAN IBU-BAPA

Soalan; ISTERI SUDAH MENINGGAL . SAYA TIDAK ADA ANAK. KEDUA MERTUA PUN SUDAH MENINGGAL. IPAR-IPAR SERAMAI 7 ORANG; 6 LELAKI DAN SEORANG PEREMPUAN. SEBELUM MENINGGAL ISTERI SAYA TELAH BERPESAN KEPADA SAYA. JIKA DIA MENINGGAL, SEMUA BARANG KEMAS NYA BERI KEPADA MASJID, DAN JANGAN BAGI KEPADA SESIAPA. SOALAN SAYA: MACAMMANA SAYA NAK BUAT BAGI MENYELESAIKAN PERKARA ITU. MINTA TOLONG PERINCIKAN KAN SATU PERSATU MENGIKUT MANA YANG MESTI DIDAHULUKAN . CONTOH SAPERTI BERIKUT;
1. JUAL SEMUA BARANG KEMAS
2. BERI KEPADA MANA MANA MASJID SEMUA SEKALI.
3. ?
4. ?
5. ?
MINTA TOLONG SENARAIKAN .
SEKIAN TERIMA KASIH.

Jawapan;

Harta peninggalan si mati hendaklah dibahagikan mengikut urutan berikut;

1. Diambil darinya untuk pengurusan jenazahnya; kos mandi, kafan dan pengkebumian. Jika telah ada peruntukan dari khairat kematian atau keluarga sudi menanggungnya, tidak perlu lagi ditolak.

2. Ditolak hutangnya sama ada hutang dengan Allah atau hutang dengan manusia. Hutang dengan Allah seperti zakat, fidyah, kaffarah dan sebagainya.

3. Yang berbaki, ditolak wasiatnya jika ada. Dalam kes di atas, si mati ada memberi wasiat hartanya untuk masjid, maka hendaklah dilaksanakan wasiatnya. Namun wasiat tidak boleh lebih 1/3 dari baki harta itu (yakni baki harta setelah ditolak kos pengurusan jenazah dan hutang si mati tadi). Jika lebih 1/3, maka yang lebih itu adalah hak waris-waris dan hanya boleh dilaksanakan dengan persetujuan mereka.

4. Selebihnya diagihkan kepada waris-waris si mati.

Merujuk kepada kes di atas, jika nilai barang kemas itu berada dalam lingkungan 1/3 harta si mati, harus disedekah kesemuanya kepada masjid. Namun jika barang kemas itu sahaja harta si mati, hanya 1/3 dari nilai barang kemas itu disedekahkan kepada masjid dan yang selebihnya diagihkan kepada waris-warisnya.

Berdasarkan maklumat saudara, pembahagian harta kepada waris-waris si mati ialah seperti berikut;
1. Suami; ½ (kerana si mati tidak mempunyai zuriat).
2. Saudara-saudara si mati; harta yang berbaki setelah ditolak bahagian suami di atas. Saudara lelaki mendapat sekali ganda dari bahagian saudara perempuan.

Wallahu a'lam.

PUASA ISNIN & KHAMIS DAN 3 HARI SETIAP BULAN

Soalan; Assalamualaikum ustaz, saya ingin tahu tentang puasa sunat isnin dan khamis , adakah puasa ini perlu dilakukan pada isnin dan khamis pd minggu yang sama atau minggu berlainan(isnin minggu pertama,khamis minggu kedua dsb.) atau boleh memilih antara dua hari itu yakni puasa pd isnin saja tp tidak pada khamis begitu sebaliknya?
Kedua,mengenai puasa tiga hari sebulan, apakah hukum jika saya mengambil hari isnin dan khamis sebagai hari utk melakukan puasa sunat tiga hari ini?
Maklum balas ustaz amat dihargai. Wassalam.

Jawapan;

1. Puasa isnin dan kamis boleh dilakukan pada setiap minggu, sama ada berpuasa isnin saja atau khamis saja atau kedua-duanya.

2. Maksud puasa 3 hari setiap bulan (yakni bulan Islam) ialah melakukan puasa pada 3 hari di setiap bulan. Jika seorang melakukan puasa setiap hari isnin bermakna setiap bulan ia berpuasa 4 hari dan itu telah merangkumk maksud puasa 3 hari setiap bulan itu. Namun jika ia menambah puasa dengan berpusa pada tanggal 13, 14 dan 15 setiap bulan akan lebih baik lagi kerana terdapat hadis lain menggalakkan kita berpuasa pada hari-hari putih (iaitu hari ke 13, 14 & 15 setiap bulan Islam).