Friday, May 20, 2011

HARTA SEPENCARIAN

Soalan; Assalamualaikum ustaz, Di sini saya ingin menanyakan berkenaan takrif harta sepencarian serta bagaimana cara pembahagiannya. Terima kasih.

Jawapan;

Apabila berlaku satu perkahwinan, pemilikan harta antara suami dan isteri berada dalam lingkungan tiga jenis;

1. Harta persendirian; iaitu harta yang dipunyai oleh suami atau isteri secara persendirian, yakni masing-masing memilikinya tanpa melibatkan usahasama atau perkongsian dengan pasangan seperti dari gaji, upah kemahiran, hadiah orang lain, dari harta peninggalan atau sebagainya. Menurut hukum Syariat, harta jenis ini adalah milik masing-masing (suami atau isteri) dan diurus mengikut kehendaknya. Sebagai contoh, harta isteri adalah milik penuh isteri, ia berhak menguruskannya mengikut kehendaknya tanpa terikat dengan kehendak suami.

2. Harta perkongsian; iaitu harta yang dikongsi bersama antara suami dan isteri. Ia terdiri dari tiga bentuk;

A) Harta syarikat; iaitu suami dan isteri berpakat menubuhkan satu syarikat dengan nisbah modal yang jelas dari kedua pihak seperti suami 1/2 dan isteri juga 1/2. Begitu juga, suami dan isteri berpakat membina satu rumah dengan tanah dari isteri dan rumah dari biaya suami (sebagai contoh). Bagi harta perkongsian jenis ini, jika berlaku penceraian suami-isteri atau berlaku tuntutan dari mana-mana pihak, hak masing-masing hendaklah dikembalikan mengikut bahagian masing-masing. Jika berlaku kematian, hak pasangan yang masih hidup hendaklah ditolak sebelum bahagian pasangan yang meninggal dibahagikan kepada ahli-ahli warisnya.

B) Harta sepencarian; iaitu harta yang diperolehi secara usahasama oleh suami dan isteri. Ia lebih merupakan perkongsian usaha dan wang yang tidak ketara berbanding yang pertama tadi. Bagi harta sepencarian ini yang disyaratkan ialah sumbangan pasangan terhadap perolehan harta tersebut. Sebagai contoh, isteri yang ingin menuntut sebahagian dari harta suaminya atas asas harta sepencarian, ia perlu membuktikan terdapat sumbangan beliau dalam pemerolehan harta suami itu. Sumbangan tersebut boleh berlaku dalam 3 bentuk;
i) Sumbangan dalam pengumpulan harta atau modal
ii) Usaha ke arah menambah harta yang sedia ada
iii) Sumbangan lain seperti pandangan, nasihat dan dorongan.
Sumbangan yang dinilai ialah yang berlaku sepanjang tempoh perkahwinan.

3. Pemilikan melalui pewarisan suami-isteri; ini jika ditakdirkan berlaku kematian mana-mana pasangan (suami atau isteri). Syariat telah menetapkan bahawa antara suami dan isteri akan berlaku perwarisan harta jika salah seorang dari mereka mati. Suami akan mewarisi 1/2 atau 1/4 harta isterinya (melihat kepada isterinya meninggalkan zuriat atau tidak). Isteri akan mewarisi 1/4 atau 1/8 dari harta suaminya (melihat kepada suaminya meninggalkan zuriat atau tidak).

Merujuk kepada soalan (iaitu bagaimana penentuan atau pembahagian harta sepencarian dibuat?), ada dua bentuk penentuan/pembahagian yang pernah dibuat;
A) Menilai sebagai upah, yakni sumbangan pasangan terhadap harta yang diperolehi ketika perkahwinan dinilai sebagai upah dan pasangan hanya layak menerima bahagian dari harta itu mengikut kadar yang setimpal dengan sumbangannya.
B) Menentukannya dengan bahagian, seperti diberikan kepada isteri yang menuntut harta sepencarian dari harta suaminya dengan 1/2 atau 1/3 dari harta itu dengan menilai kadar sumbangan yang diberikan ketika perkahwinan.
Penentuan yang muktamad kembali kepada penilaian hakim (qadhi) yang menilai sesuatu kes tuntutan harta sepencarian dan boleh juga ditentukan berdasarkan persetujuan/persepakatan antara suami dan isteri sendiri (dinamakan as-suluh atau perdamaian).

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Pemilikan Harta Dalam Perkahwinan, Siti Zalikhah Md. Nor, DBP.

CIUMAN DI MULUT

Soalan; Assassalamualaikum ustaz.Apa hukum bercium mulut sesama wanita islam atas dasar sahabat?? krn bersentuhan kulit antara wanita tidak haram...

Jawapan

1. Ciuman antara sesama wanita di mulut; jika dengan syahwat, hukumnya adalah haram. Adapun jika tanpa syahwat, hukumnya adalah makruh kerana dikhuatiri membangkitkan syahwat. Hukum yang sama juga bagi sesama lelaki dan ciuman sesama mahram (yakni antara lelaki dan wanita yang ada hubungan mahram).

2. Diharamkan sama sekali antara lelaki dan wanita yang bukan mahram sama ada dengan syahwat atau tanpa syahwat kerana di antara mereka haram bersentuhan, apatahlagi berciuman.

3. Ciuman antara suami isteri adalah harus tanpa makruh kerana seluruh badan isteri atau suami adalah tempat yang diharuskan istimta' (berseronok).

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, perkataan "Famun".
2. Fatwa Syeikh Soleh al-Munajjid  (Islamqa.com), no. 36837.

Sunday, May 15, 2011

MEMBUKA TUDUNG DAN BERSALAMAN DENGAN ABANG/ADIK IPAR

Soalan; Salam ustaz, saya ada sedikit masalah. Saya akan berkahwin. Bakal suami saya adalah anak bongsu kepada 4 beradik lelaki. Saya faham aurat saya dengan bakal abang ipar nanti. Saya harus memakai tudung di dlm rumah dan tidak boleh bersalam dgn mereka. Saya ada berbincang isu ini dengan tunang saya,dalam keluarganya kedua-dua kakak iparnya tidak memakai tudung dan dia juga bersalam dengan mereka sebagai tanda hormat. Dia bimbang sekiranya saya memakai tudung di dalam rumah dan tidak bersalam dengan abangnya, abgnya akan menganggap saya sebagai orang luar dan tidak hormat pada mereka. Apa yang saya harus lakukan? Adakah saya boleh membuka aurat saya dengan menganggap mereka sebagai adik beradik.

Jawapan;

1. Hubungan antara seorang wanita dan abang/adik iparnya hanyalah mahram muaqqat (mahram sementara), bukan mahram muabbad (mahram selamanya), di mana dia dibolehkan berkahwin dengan abang/adik iparnya itu jika ditakdirkan berlaku penceraian dengan suaminya atau suaminya meninggal. Oleh itu, tidak harus ia membuka aurat di hadapan abang/adik iparnya, bersalaman dengannya dan berduaan termasuk keluar bermusafir tanpa orang lain.

2. Pandangan Allah terhadap kita perlu kita utamakan dari pandangan manusia. Sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-; “Sesiapa berusaha mencapai keredhaan manusia dengan menjadikan Allah murka kepadanya, Allah akan menyerahkannya kepada manusia. Sesiapa menjadikan manusia marah kepadanya dengan kerana ia mencari redha Allah, Allah akan mencukupkannya dari pergantungan kepada manusia” (HR Imam at-Tirmizi dari ‘Aisyah r.a.. Menurut Imam as-Suyuti; hadis ini hasan. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 8394)

3. Kuatkan diri, berpegang teguh dengan Syariat dan mohon kekuatan dari Allah, insya Allah mereka yang akan ikut saudari nantinya, bukan saudari yang ikut mereka. Banyak cara lain yang diharuskan Syariat untuk saudari mengeratkan hubungan kekeluargaan (dengan keluarga sebelah suami), antaranya sering menziarahi mereka (bersama suami), peramah, suka membantu, tidak lokek wang ringgit dan sebagainya (semua itu akan memadamkan segala kesangsian orang lain terhadap saudari di samping mereka akan menghormati saudari, malah sampai masanya mereka akan mengikuti cara saudari).

Berbincanglah dengan bakal suami tentang hal tersebut dan capai kata sepakat sebelum berkahwin agar tidak ada perbalahan dengan suami apabila telah berkahwin nanti. Bagi seorang isteri, memadai dengan suami memahami pendiriannya pada peringkat awal sebelum orang lain turut memahaminya.

Wallahu a'lam.

Monday, May 9, 2011

SUAMI DAN FACEBOOK ISTERI

Soalan; Salam ustaz, Saya seorang suami. Saya amat berbesar hati sekiranya ustaz dapat memberikan saya jawapan dan penjelasan atas soalan-soalan saya dibawah: -
1. Sekiranya seorang isteri mempunyai akaun jaringan sosial seperti facebook, yahoo messenger, email peribadi dan seumpamanya, patutkah seorang isteri tersebut memberikan akses kepada akaun akaun tersebut kepada suaminya agar dapat berkongsi sama melihat kandungan, rakan, gamabr, nota, korespondences yang terdapat di dalamnya?
2. Haruskah seorang isteri berkongsi alamat email peribadi kepada lelaki lain yang bukan muhrim walaupun atas dasar berkawan?
3. Haruskah seorang isteri menerima tawaran atau panggilan untuk mejadi kawan/sahabat dari lelaki yang bukan muhrim melalui jaringan social atau email seperti diatas?
4. Salahkah seorang suami meminta seorang isteri meberitahu suaminya sekiranya si isteri ada menerima panggilan atau tawaran dari lelaki lain untuk menjadi sahabat atau rakan dari jaringan social atau email?
5. Sekiranya si isteri tidak bersetuju dengan nasihat dan pandangan suami atas perkara-perkara diatas, apakah yang patut dilakukan oleh si suami?
6. Adakah seorang suami itu bersikap terlalu cemburu kepada isterinya sekiranya si suami berpandangan sedemikian?
Wassalam

Jawapan;

1. Wajib suami menjaga ahli keluarga (isteri dan anak-anak) dari perkara yang boleh memabawa mereka kepada dosa yang akhirnya membawa ke neraka. Firman Allah; “Wahai orang-orang beriman, selamatkanlah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari api neraka” (Surah at-Tahrim, ayat 6). Di antara yang dipesan oleh Rasululllah ialah berhati-hati dalam memilih kawan sebagaimana sabda baginda ; “Seseorang itu berada di atas agama kawannya, maka hendaklah setiap dari kamu memerhati dengan siapa dia berkawan” (HR Imam Abu Daud dan at-Tirmizi dari Abu Hurairah. Menurut at-Tirmizi; hadis ini hasan). Facebook adalah jaringan kawan-kawan dan kenalan, maka suami mempunyai hak untuk memantau dengan siapa isteri dan anak-anaknya berhubungan demi membolehkannya melaksanakan kehendak ayat dan hadis tadi.

2. Suami tidak boleh terlalu menyekat isteri dari bergaul dengan orang sekeliling terutama berhubungan dengan keluarga dan rakan-rakan wanita yang solehah. Namun suami wajib menegah isteri dari terlibat dengan hubungan yang dilarang agama seperti hubungan dengan lelaki yang bukan mahram tanpa ada keperluan, bergaul denagn wanita-wanita fasik (yang tidak menjaga agama), bertandang ke tempat maksiat atau yang mendorong kepada maksiat. Suami mempunyai hak untuk menegah isteri dari terlibat dalam pergaulan sedemikian dan ia termasuk dalam kewajipan mencegah munkar (atau menutup ruang kepada mungkar) dengan kuasa yang dimiliki. Sabda Nabi; “Sesiapa dari kamu melihat kemungkaran, hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya. Jika tidak mampu, dengan lidah. Jika tidak mampu, dengan hati dan ia adalah selemah-lemah iman” (HR Imam Muslim dari Abi Sa’id al-Khudri). Menurut ulamak; antara maksud mencegah dengan tangan ialah menggunakan kuasa yang ada untuk mengubah kemungkaran. Dinisbah kepada keluarga, bapa atau suami adalah orang yang berkuasa ke atas ahli-ahli keluarga.

3. Syariat Islam amat mengambil berat hubungan antara lelaki dan perempuan yang ajnabi (yakni yang tiada hubungan mahram atau hubungan suami-isteri) di mana ia menyempitkan hubungan dan pergaulan antara keduanya hanya kepada keperluan sahaja (bukan kebebasan). Ini kerana kebebasan akan mendorong kepada zina. Ini sebagaimana kata Nabi; “Tidak berduaan seorang lelaki dan seorang wanita melainkan syaitan akan menjadi orang ketiga” (HR Imam at-Tirmizi dari Ibnu ‘Umar). Jadi, apabila seorang lelaki dan wanita bebas berhubung dan bercating, syaitan akan membisikkan kepada setiap mereka dan menimbulkan ghairah dan seronok, lalu ingin bertemu dan akhirnya terjerumuslah ke dalam maksiat sekalipun telah bersuami. Kejadian ini tidaklah asing lagi hari ini.

4. Islam tidaklah menyekat kebebasan umatnya, namun Islam memberi peringatan; kebebasan yang terlalu luas akan menjahanamkan. Oleh itu suami perlu mengimbangi kehidupan keluarganya antara kebebasan dan sekatan. Jangan memberi kebebasan tanpa batasan dan jangan pula terlalu mengongkong. Terbaik ialah pertengahan. Suami boleh membenarkan, tetapi pada masa yang sama perlu bertegas dalam perkara tertentu. Sebagai contoh, bila isteri minta nak berlaman sosial, suami menjawab; “Boleh, tetapi saya hanya benarkan dengan wanita sahaja dan jika lelaki, saya hanya benarkan dengan keluarga sahaja”.

5. Sikap cemburu suami jika berasas, itu adalah tanda iman. Namun cemburu tanpa berasas, itu adalah tanda penyakit hati. Sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-; “Cemburu ada dua; satunya disukai Allah dan satu lagi dibenci Allah. Cemburu jika berpunca dari keraguan/kegusaran, ia disukai Allah. Namun jika tidak datang dari sebarang keraguan, ia dibenci Allah” (HR Imam Ahmad, at-Thabrani dan al-Hakim dari ‘Uqbah bin ‘Amir. Menurut as-Suyuti; hadis ini soleh. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 5783). Menurut ulamak; maksud cermburu tanpa keraguan ialah cemburu buta, yang timbul dalam hati tanpa sebarang sebab iaitu semata-mata buruk sangka dari suami terhadap isteri atau dari isteri terhadap suami (Faidhul-Qadier).

Di dalam hadis, Rasulullah bersabda; “Tidak akan masuk syurga lelaki yang dayus” (HR Imam at-Tayalisi dari ‘Ammar). Maksud dayus ialah; lelaki yang hilang perasaan cemburu terhadap nilai dirinya di mana ia tidak kesah siapa lelaki yang bersama dengan isteri atau anak perempuannya, dengan siapa mereka keluar dan ia tidak mengambil berat akhlak dan tingkah laku mereka (al-Fiqh ‘Ala al-Mazahib al-Arba’ah). Sabda Nabi juga; “Tiga manusia akan diharamkan Allah dari Syurga;
1. Orang yang ketagih arak
2. Orang yang menderhakai dua ibu-bapanya
3. Lelaki yang dayus, iaitu yang berdiam diri atau menyetujui perbuatan zina yang di kalangan ahli keluarganya.
(HR Imam Ahmad dari Ibnu ‘Umar. Hadis Soheh. Al-Jami’ as-Saghier, no. 3503)

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Faidhul-Qadier, Imam an-Minawi, Syarah hadis no. 5783.
2. Fatawa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah, 10/172.
3. Al-Fiqh ‘Ala al-Mazahib al-Arba’ah, Syeikh Abd Rahman al-Jazairi, juz. 5.

BAGAIMANA NIAT MANDI SELEPAS HABIS HAID?

Soalan; Saya seorang perempuan berumur awal 20an dan telah berkahwin. Saya ingin bertanya, apakah niat untuk mandi wajib bagi wanita selepas haid dan selepas bersama suami? Ini kerana, sebelum ini saya hanya berniat "Sahaja aku mengangkatkan hadas besar kerana Allah Taala" sebelum mandi wajib selepas haid / bersama suami. Bagaimanapun, beberapa kenalan saya memberitahu bahawa niat tersebut tidak sah untuk mandi wajib selepas haid dan niat yang sepatutnya adalah "Sahaja aku mandi wajib, disebabkan haid, kerana Allah Taala". Oleh itu, yang manakah betul diantara kedua-dua niat tersebut? Sekiranya niat yang saya gunakan sebelum ini tidak sah, bagaimana solat dan puasa
saya sebelum-sebelum ini dan adakan saya perlu mandi sekali lagi dengan
niat yang betul? Sekian, terima kasih.

Jawapan;

Kedatangan haid dan nifas, jimak (melakukan persetubuhan) dan keluar mani adalah perkara-perkara yang menyebabkan hadas besar. Hadas besar dihilangkan dengan mandi. Oleh demikian, memadai dengan kita meniatkan di dalam hati ketika mandi; "Sahaja aku mandi untuk menghilangkan hadas besar kerana Allah" sama ada mandi kerana haid, kerana nifas, kerana jimak atau kerana keluar mani. Selain itu, menurut ulamak, harus juga meniatkan "Sahaja aku melakukan mandi yang diwajibkan kerana Allah" atau "Sahaja aku mandi untuk mengharuskan perkara yang dilarang tanpa mandi kerana Allah".

Niat mandi wajib dihadirkan di permulaan mandi iaitu ketika mula-mula menjirus air ke mana-mana bahagian badan.

Untuk penjelasan lengkap tentang Mandi, sila baca di blog Fiqh Anda (MANDI).

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. A-Fiqh as-Syafiie al-Muyassar, Syeikh Said bin Abdullah at-Tidi, hlm. 26.

BERSENTUHAN ANAK ZINA DAN BAPA ZINANYA

Soalan; Salam ustaz. Saya musykil tentang hukum wudhu.
1.Apabila bersentuh kulit antara bapa dengan anak perempuan(anak luar nikah).
2.Kalau anak luar nikah itu lelaki adakah sah wudhu ibunya jika bersentuhan dengan anak itu.
Dari yang saya tahu batal jika bersentuh bapa dr benih anak luar nikah dengan anak perempuan wlaupun itu anak itu dari benih nya. Tetapi adakah di kira anak susuan jika selepas berkahwin bayi itu telah di beri susu badan dr isterinya(ibu anak tersebut).Yang saya tahu tidak batal jika bersentuhan dengan anak susuan. Kerana haram bernikah. Harap ustaz dapat menjawab soalan saya untuk pengetahuan lagi.

Jawapan;

1. Anak luar nikah adalah mahram bagi sebelah ibunya kerana itu antara dia dan ibunya (begitu juga dengan datuk, nenek, bapa-bapa saudara, ibu-ibu saudara dari sebelah ibu) harus bersentuhan, berduaan dan membuka aurat yang diharuskan di hadapan mahram. Adapun bagi sebelah bapa zinanya, ia bukan mahram kerana tiada hubungan nasab antara mereka berdua yang diakui Syariat, maka antara anak zina dan bapa zinanya (serta kaum keluarga dari sebelah bapa zinanya) sama seperti ajnabi yang lain.

2. Apabila seorang lelaki berkahwin dengan seorang wanita, setelah mensetubuhi wanita itu, haram ia mengahwini anak perempuan isterinya buat selamanya. Maka anak perempuan isterinya itu (yakni anak tirinya) telah menjadi mahramnya dan tertakluk denagn hukum mahram tadi.

3. Bagi seorang lelaki, anak susuannya hanya akan timbul jika isterinya menyusui seorang bayi dari susu yang datang dari kelahiran anak hasil perkongsian dengannya melalui akad nikah yang sah. Sebagai contoh; Ali berkahwin dengan Fatimah dan mendapat anak bernama Usman. Ali dan Fatimah kemudian mengambil seorang bayi bernama Faiz dan disusui oleh Fatimah. Maka Faiz adalah anak susuan Ali (di samping anak susuan Fatimah) kerana Fatimah menyusuinya dengan susu yang datang dari kelahiran anak Ali (iaitu Usman) melalui akad yang sah. Adapun jika Fatimah menyusui seorang Bayi, kemudian setelah itu ia berkahwin dengan Ali, bayi itu menjadi anak tiri susuan bagi Ali. Menurut jumhur, anak tiri kerana susuan juga merupakan mahram sama seperti anak tiri kerana nasab (yakni nasab antara anak dengan isterinya). Namun dalam kes di atas, tidak timbul anak tiri susuan kerana bayi yang disusui oleh wanita yang dizinai itu bukanlah bayi orang lain tetapi bayinya sendiri. Jadi yang betulnya ialah apabila seorang lelaki mengahwini wanita yang dizinainya, anak wanita itu akan menjadi anak tirinya dari segi hukum Syariat (walaupun anak itu dari benihnya).

Merujuk kepada soalan tadi, kesimpulan yang dapat kita buat ialah;
1. Antara anak zina dan bapa zinanya tiada hubungan mahram, maka apabila bersentuhan batal wudhuk menurut mazhab Syafiie.
2. Anak zina adalah mahram kepada ibunya dan kepada keluarga sebelah ibunya (yakni datuk sebelah ibu, nenek sebelah ibu, bapa/ibu saudara sebelah ibu dan sebagainya) kerana hubungan rahim. Oleh demikian, tidak batal wudhuk apabila bersentuhan dengan ibu atau mana-mana mahram wanita sebelah ibu.
3. Apabila seorang lelaki berkahwin dengan wanita yang dizinainya, anak wanita itu adalah anak tirinya dan hubungan antara bapa tiri dan anak tiri adalah hubungan mahram apabila si ibu telah disetubuhi selepas perkahwinan. Oleh itu, tidak batal wudhuk apabila bapa tiri bersalaman dengan anak tirinya.

Wallahu a'lam.

WANITA HAID DAN AKAD NIKAH DALAM MASJID

Soalan; Assalamualaikum ustaz, Soalan: Saya ingin menghadiri pernikahan adik perempuan saya yang akan diadakan dimasjid tetapi saya khuatir ketika tu saya mungkin dalam keadaan haid. Begitu juga keadaan adik saya yang bakal menjadi pengantin itu. Adakah kita dilarang untuk memasuki masjid jika niat kita untuk menyelesaikan pernikahaan sahaja.

Jawapan;

Menurut jumhur/majoriti ulamak (termasuk Imam-Imam mazhab empat); Wanita yang sedang haid dilarang duduk di dalam masjid berdalilkan sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-; “Sesungguhnya tidak halal (yakni tidak harus) masjid bagi wanita haid dan orang berjunub” (Riwayat Imam al-Baihaqi, Abu Daud dan Ibnu Majah dari Aisyah r.a.). Kawasan yang dilarang itu ialah kawasan yang dikhaskan untuk tempat solat. Adapun di ruang yang bukan tempat solat (seperti di dewan masjid, ruang pejabat, kemah di luar bangunan masjid dan sebagainya), tidaklah dilarang.

Namun menurut sebahagian ulamak (antaranya Imam al-Muzani, Daud az-Zahiri dan Ibnu al-Munzir); Tidak dilarang wanita haid duduk di dalam masjid kerana tidak ada dalil yang benar-benar kuat yang menjadi hujah bagi larangan tersebut. Adapun hadis di atas, menurut mereka; ia adalah dhaif sebagaimana ditegaskan oleh Imam al-Khattabi; “Hadis tersebut telah didhaifkan oleh sekumpulan ulamak hadis” (lihat; Tafsir Ibnu Kathir). Apabila tidak ada dalil yang kuat (bagi larangan tersebut), maka ia kembali kepada hukum asal iaitu harus.

Pandangan yang diamalkan ialah yang pertama. Walaupun bersandar kepada hadis dhaif, namun hadis dhaif apabila diamalkan oleh Imam-Imam mujtahid menunjukkan hadis itu tsabit. Selain itu, dengan berpegang dengan pendapat itu kita mengelak dari pertikaian.

Tambahan;

1. Mengenai hukum berakad nikah dalam masjid; jumhur ulamak menggalakkannya kerana mengharapkan barakah. Tetapi hendaklah menjaga adab-adab ketika dalam masjid dan tidak melakukan perkara yang merosakkan kehormatan masjid termasuk pakaian pengantin dan solekan mereka. Kerana itu –untuk mengelak berlaku perkara tersebut- ulamak-ulamak mazhab Maliki hanya mengharuskan sekadar ijab dan qabul sahaja di dalam masjid, tidak harus berbuat bising, menguatkan suara, percakapan yang banyak dan seumpamanya kerana ia tidak sesuai dengan kemuliaan masjid. (al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah).

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Tafsir Ibnu Kathir, surah an-Nisa’, ayat 43.
2. Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, perkataan “Masjid”.