Friday, April 8, 2011

SOLAT TAUBAT; BOLEHKAH DILAKUKAN SETIAP MALAM?

Soalan; Assalamualaikum Ustaz...saya ada persoalan berkaitan solat taubat...Bolehkah melakukan solat sunat taubat setiap malam walaupun kita telah yakin Allah mengampunkan dosa - dosa kita pada solat sunat taubat yang lepas? saya amat berharap penjelasan dari ustaz....semoga ustaz dapat membantu saya. terima kasih.

Jawapan;

1. Telah sepakat para ulamak bahawa solat Taubat adalah solat sunat yang disyariatkan. Ia termasuk dalam solat sunat bersebab, kerana itu harus ditunaikan bila-bila masa -termasuk pada waktu-waktu dilarang solat- apabila sebabnya ada iaitu melakukan dosa -sama ada dosa besar atau kecil-. Dalil bagi solat Taubat ini ialah hadis dari Saidina Abu Bakar -radhiyallahu anhu- yang menceritakan; Aku telah mendengar Rasulullah -sallalahu 'alaihi wasallam-bersabda; "Tidak ada seorang hamba yang melakukan suatu dosa, lalu ia mengambil wudhuk dengan elok, kemudian ia bangun mengerjakan solat dua rakaat dan beristighfar kepada Allah selepasnya melainkan Allah akan mengampunkannya". Kemudian Rasulullah membaca ayat Allah (bermaksud);

"Dan orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa mereka -dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah-, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya)" (Surah Ali Imran, ayat 135). (HR Imam Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasai dan Ibnu Majah. Menurut Imam at-Tirmizi; hadis ini hasan).

Diriwayatkan dari Buraidah menceritakan; Suatu hari di pagi hari Rasulullah memanggil Bilal, lalu bertanya beliau; "Wahai Bilal, apa yang menjadikanmu mendahuluiku masuk ke syurga? Sesungguhnya aku masuk ke dalam Syurga kelmarin, lalu aku mendengar bunyi kamu berjalan di hadapanku". Bilal lalu menjawab: "Ya Rasulullah, tidak aku melakukan suatu dosa melainkan aku akan solat dua rakaat selepasnya, dan tidak menimpaku akan hadas (yakni berlaku perkara yang membatalkan wudhuk) melainkan aku akan mengambil wudhuk dan menunaikan solat dua rakaat" (HR Imam Ibnu Khuzaimah dalam Sohehnya. Lihat hadis ini dalam; Tuhfah al-Ahwazi).

2. Oleh kerana solat Taubat merupakan solat bersebab, maka tidaklah disyariatkan untuk dilakukan sentiasa tanpa didahului sebabnya iaitu melakukan dosa. Jika kita melakukan dosa, kita wajib segera bertaubat (dengan melaksanakan rukun-rukun taubat), kemudian kita disunatkan melakukan solat Taubat dan banyak beristighfar selepasnya sebagaimana dalam hadis tadi.

Selain solat Taubat, banyak lagi solat-solat sunat yang lain yang disyariatkan untuk kita mendekatkan diri dengan Allah, maka tidak perlulah kita terikat dengan solat Taubat sahaja. Sebenarnya dalam seharian, pada waktu-waktu yang kita lalui terdapat solat sunat yang paling baik kita tunaikan pada waktu tersebut. Sebagai contohnya;
- Waktu dhuha hingga sebelum matahari di tengah langit; Disyariatkan solat Dhuha. Maka pada waktu tersebut solat sunat terbaik ialah Solat Dhuha.
- Setiap kali masuk waktu solat fardhu (selepas azan); Disyariat solat Qabliyah.
- Selepas solat fardhu; Disyariatkan solat Ba'diyah (kecuali selepas Subuh dan Asar).
- Sebelum tidur; Disyariatkan solat witir.
- Di tengah malam atau dua pertiga malam hingga sebelum subuh; Disyariatkan solat Tahajjud.
- Apabila masuk ke masjid; Disyariatkan solat Tahiyyatul-Masjid.
- Setiap kali mengambil wudhuk; Disyariatkan solat sunat Wudhuk selepasnya.

3. Mengenai cara melakukan solat taubat;
a) Mulai dengan mengambil wudhuk dengan sempurna.
b) Niat di dalam hati ketika takbiratul-ihram bahawa solat yang hendak dilakukan itu adalah solat sunat taubat (yakni untuk memohon ampun kepada Allah). Contohnya menghadirkan dalam hati; “Sahaja aku menunaikan solat sunat taubat dua rakaat kerana Allah”.
b) Tiada ayat atau surah tertentu yang ditentukan oleh Nabi yang mesti dibaca selepas al-Fatihah. Oleh itu, harus dibaca mana-mana ayat atau surah dari al-Quran. Membaca surah secara penuh walaupun pendek lebih baik dari membaca potongan ayat al-Quran.
c) Selesai solat, hendaklah beristighfar sebanyak mungkin kepada Allah dengan menghadirkan penyesalan di dalam hati atas dosa yang dilakukan. Istighfar yang terbaik ialah penghulu istighfar yang diajar oleh Nabi.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. 'Aunul-Ma'bud, Kitab as-Solah, Abwab al-Witr, bab al-Istighfar.
2. Tuhfah al-Ahwazi, Kitab as-Solah, bab Ma Ja-a Fi as-Solah 'Inda at-Taubah.
3. Fatwa Syeikh Soleh al-Munajjid (islamqa.com), no. 98030.
4. Fatwa as-Syabakah al-Islamiyah (islamweb.net), no. 133099.

KEDUDUKAN UNTUNG YANG DIAMBIL OLEH BROKER/AGEN/ORANG TENGAH

Soalan; Assalamu'alaikum w.b.t. Soalan saya...Contoh: Seorang pemilik tanah ingin menjual tanahnya yg berkeluasan 100ekar dgn harga RM30000/ekar. Dia telah melantik seorang broker/agen utk mencari pembeli bagi tanah tersebut.
Kes 1 : Jika broker dpt mencari pembeli bg tanah tersebut maka pemilik tanah akan memberi komisyen spt 1% kpd broker tersebut.Pada saya ini tiada masalah.
Kes 2 : Jika broker dpt mencari pembeli bg tanah tersebut, sedangkan pemilik tanah tidak berjanji utk memberi sebarang upah kpd broker, maka jika broker menaikan harga tanah tersebut kpd RM31000/ekar dgn alasan ingin mengambil upah iaitu RM1000/ekar dan hal ini telah dipersetujui oleh pemilik...apakah hukumnya? Perlukah broker/agen memberitahu harga sebenar pemilik (RM30000/ekar) kpd pembeli? Jika diberitahu dikhuatiri broker/agen tidak akan mendapat sebarang upah....
Harap ustaz dpt memberi jawapan yg memuaskan...Terima kasih.

Jawapan;

1. Soalan di atas berkait dengan hukum menjadi orang tengah di antara penjual dan pembeli dan mendapat upah atau komisyen dari khidmat jualan atau khidmat runding yang diberikan. Dalam bahasa Arab diistilahkan sebagai as-Samsarah. Secara asasnya, ia tertakluk kepada persepakatan atau persetujuan kedua belah pihak iaitu antara pemilik barang dan juga orang tengah yang menjadi wakil jualannya. Sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-;

“Orang-orang Islam terikat dengan syarat-syarat sesama mereka selama mana syarat itu menepati kebenaran (yakni Kitab Allah)”. (Riwayat al-Hakim dari ‘Aisyah dan Anas –radhiyallahu ‘anhuma- (al-Jami’ as-Saghier, Imam as-Suyuti, hadis no. 9214, soheh).

Dalam riwayat yang lain; Dan orang-orang Islam terikat dengan syarat-syarat sesama mereka kecuali syarat yang mengharamkan yang halal dan yang menghalalkan yang haram”. (Riwayat Imam at-Tirmizi dari ‘Amru bin ‘Auf al-Muzani r.a. Menurut at-Tirmizi; hadis ini hasan soheh).

Berdalil kepada hadis tersebut, Imam al-Bukhari dalam Sohehnya (bab as-Samsarah) mengemukakan beberapa bentuk akad as-Samsarah (orang tengah) yang diharuskan oleh para salafus-soleh, iaitu;

a) Imam Ibnu Sirin, ‘Ata’, Ibrahim dan al-Hasan berpandangan; upah/komisyen as-Samsarah adalah harus.

b) Berkata Ibnu ‘Abbas –radhiyallahu ‘anhu-; Adalah harus seorang berkata kepada seorang yang lain; “Juallah pakaian ini. Bayaran yang lebih dari harga sekian adalah milik kamu”. (*Akad ini mirip kepada yang ditanya dalam soalan di atas)

c) Berkata Imam Ibnu Sirin; Jika seorang berkata; “Juallah barang ini dengan harga sekian. Untungnya adalah milik kamu atau kita bahagi bersama”, hukumnya adalah harus.
(Soheh Imam al-Bukhari, Kitab al-Ijarah, bab Ajr as-Samsarah)

Keharusan aktiviti orang tengah dengan akad seperti di atas menjadi pegangan Imam Ahmad. Namun di sisi Mazhab Syafiie dan Hanafi; akad seperti itu tidak harus kerana terdapat unsur gharar dan jahalah (yakni unsur ketidakpastian atau ketidakjelasan dalam akad) di mana orang tengah tidak pasti berapa upah/komisyen yang bakal diperolehinya kerana ia bergantung kepada terjual atau tidaknya barang tersebut. Ini kerana mazhab Syafiie meletakkan aktiviti as-Samsarah (orang tengah) sebagai akad ijarah (upah) dan dalam akad ijarah (upah), tidak harus berlaku gharar dan jahalah dengan sepakat para ulamak.

Adapun Imam Ahmad, akad di atas tidak dianggap sebagai akad ijarah (upah), akan tetapi akad yang mirip kepada mudharabah iaitu persepakatan antara pemodal dan orang yang menguruskan modal di mana untung yang diperolehi akan sama-sama dikecapi dan jika ditakdirkan rugi akan sama-sama ditanggung. Menyokong pandangan Imam Ahmad ini, Imam Ibnu Qudamah menegaskan dalam kitabnya al-Mughni; Jika seorang berkata kepada seorang yang lain; “Juallah pakaian ini (untukku) dengan harga 10. Jika kamu menjual lebih dari harga itu, yang lebih itu adalah milikmu”, akad ini adalah sah dan orang yang menjual itu berhak terhadap lebihan tersebut…Dalil keharusan akad ini ialah; (pertama) Ibnu ‘Abbas berpandangan ia adalah harus, (kedua) penjual menjual dengan keizinan pemiliknya, maka sahlah syarat keuntungan tersebut untuknya sebagaimana sahnya keuntungan yang diperolehi oleh mudharib (pengurus modal) dan ‘amil (pekerja) dalam akad musaqah” . (al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah, Kitab al-Wakalah).

2. Namun sebagaimana dijelaskan oleh hadis tadi, persepakatan hanya harus jika tidak melanggar Kitab Allah dan hukum halal dan haram yang ditetapkan oleh Syariat. Kerana itu dalam aktiviti as-Samsarah (orang tengah), bukan persepakatan antara pemilik dan orang tengah sahaja yang perlu diperhatikan –untuk menentukan harus atau tidaknya aktiviti tersebut- tetapi juga kepatuhan kepada rukun dan syarat-syarat jual-beli dan memastikan tiada sebarang unsur yang ditegah Syarak dilakukan, antara yang utama ialah;
a) Barang yang dijual adalah halal. Tidak harus menjadi orang tengah untuk menjual atau mempromosi barang yang haram.
b) Tidak menipu pembeli dengan memberi maklumat palsu tentang barang yang dijual.
c) Tidak menjual dengan harga yang terlalu tinggi berbanding dengan harga di pasaran bagi barang yang sama atau hampir sama. Sebahagian ulamak menetapkan beza harga di pasaran itu jangan melebihi 1/3 (atau 34%). Contohnya; jika suatu barang di pasaran biasa dijual dengan harga RM1000, jika kita menjualnya dengan harga RM1200 atau RM1300, tidak dianggap harga terlalu tinggi. Namun jika kita menjualnya lebih dari RM1340 –seperti menjualnya hingga RM1500 atau RM2000-, jualan kita dianggap terlalu tinggi.
d) Tidak melibatkan riba, perjudian, gharar, khidmat-khidmat yang haram dan sebagainya lagi yang ditegah Syarak.

3. Mengenai harga barang, tidaklah wajib kita memberi tahu pembeli berapa modal kita mendapatkan barang yang dijual (atau berapa untung yang kita ambil) sekalipun pembeli bertanya. Namun jika kita bersetuju memberitahunya, tidak harus kita memberi tahu melainkan yang sebenar. Menurut jumhur ulamak; tidak wajib penjual memberitahu pembeli kadar untung yang diambilnya. Sekalipun untung yang diambilnya tinggi dan pembeli tidak mengetahuinya, jual-beli atau perniagaan adalah sah selama tidak terdapat penipuan atau pemalsuan dalam aqad.

Berkata Imam al-Ghazali; “Selama tidak terdapat penipuan atau pemalsuan, maka mengambil untung tambahan tidaklah dikatakan zalim” (Ihya’ Ulumiddin). Berkata al-Jazairi; “Syarak tidak menegah dari mengambil untuk dalam jual-beli dan tidak menghadkan kadar tertentu bagi untung. Apa yang ditegah oleh Syarak ialah penipuan, pemalsuan, memuji barang/produk dengan keistimewaan yang sebenarnya tidak ada, menyembunyikan kecacatan barang dan sebagainya” (al-Fiqh ‘Ala al-Mazahib al-Arba’ah).

Walaupun tiada batasan tertentu bagi untung yang harus diambil, hendaklah diraikan harga pasaran sebagaimana di atas tadi.

4. Merujuk kepada soalan di atas, bentuk akad yang ditanya itu adalah harus jika memenuhi syarat-syarat di bawah;
a) Dengan persetujuan pemilik tanah
b) Tidak ada sebarang penipuan dilakukan seperti menambah-nambah keterangan palsu tentang tanah tersebut supaya pembeli tertarik membelinya dengan harga tinggi.
c) Harga yang dijual tidak terlalu tinggi berbanding harga tanah di sekitarnya atau yang sebanding dengannya.
c) Jika ditanya tentang harga asal tanah, broker (orang tengah) boleh memilih sama ada ingin memberitahu atau tidak. Namun jika ia ingin memberitahu, hendaklah dengan maklumat sebenar, tidak harus menipu. Jika tidak, lebih baik ia senyap sahaja dan terserah kepada pembeli ingin meneruskan belian atau tidak.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Soheh Imam al-Bukhari, juzuk 8, Kitab al-Ijarah, bab Ajr as-Samsarah.
2. Al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah, juzuk 10, Kitab al-Wakalah.
3. Soal-Jawab MLM Syariah, Ustaz Ahmad Adnan bin Fadzil.
4. Fatwa Syeikh Soleh al-Munajjid (islamqa.com), no. 121386.

PERWARISAN CUCU DARI HARTA NENEK

Soalan; Assalamualaikum ustaz. Saya ingin bertanya mengenai pembahagian harta dan hak kepada cucu. Sekiranya nenek masih hidup dan anaknya (lelaki) telah meninggal dunia, adakah cucu-cucunya(anak kepada anak lelakinya yang meninggal dunia) akan mendapat bahagian kepada hak ayah yang telah meninggal dunia setelah nenek meninggal.Sekarang nenek hanya mempunyai seorang anak perempuan sahaja dan suami dan ibubapanya telah lama meninggal dunia dan nenek tidak mempunyai adik beradik yang lain.

Jawapan;

Harta seseorang tidak harus dibahagikan kepada waris-warisnya melainkan setelah ia disahkan meninggalkan dunia. Ini kerana dalam perwarisan Islam, ada dua syarat yang mesti dipenuhi sebelum pengagihan harta pusaka dibuat;
1. Telah benar-benar dipastikan kematian orang yang akan diwarisi hartanya.
2. Orang yang bakal mewarisi ia masih hidup pada ketika berlaku kematian tersebut. Jika ia telah meninggal, ia tidak akan mewarisi dari orang yang mati kemudian darinya.

Dalam kes di atas, oleh kerana nenek saudara masih hidup hartanya tidak harus dibahagikan. Yang perlu dibahagikan ialah harta bapa saudara kerana ia telah sah meninggal dunia. Harta milik ayah saudara itu hendaklah dibahagikan segera sebaik kematiannya, bukan dengan menunggu hingga ibunya (yakni nenek saudara) meninggal.

Adapun apabila nenek saudara meninggal nanti, apakah saudara adik-beradik (iaitu cucu-cucunya) akan mewarisi? Jawapannya; Syariat telah menetapkan hukum perwarisan cucu adalah seperti berikut;

1. Cucu yang berhak mewarisi ialah cucu kepada anak lelaki sahaja (cucu lelaki dan cucu perempuan), yakni; anak lelaki kepada anak lelaki dan anak perempuan kepada anak lelaki.[1]

2. Cucu-cucu hanya akan mewarisi jika si mati tidak mempunyai anak lelaki yang masih hidup. Jika ia mempunyai anak lelaki yang masih hidup, anak lelaki itu akan menghadang cucu-cucu dari mewarisi harta kerana ia lebih hampir dengan si mati dari mereka.

3. Jika si mati hanya mempunyai anak perempuan sahaja, hendaklah diperhatikan keadaan berikut;
A) Jika cucu-cucu yang ada terdiri dari lelaki sahaja atau lelaki dan perempuan, mereka (yakni cucu-cucu) akan mewarisi baki harta setelah ditolak bahagian-bahagian orang lain yang diberi hak mewarisi oleh Syariat. (*Cucu lelaki akan mendapat sekali ganda dari bahagian cucu perempuan)
B) Jika cucu yang ada itu perempuan sahaja, ia akan mewarisi 1/6 harta jika si mati hanya mempunyai seorang sahaja anak perempuan. Jika si mati mempunyai ramai anak perempuan, tidak ada bahagian untuk cucu perempuan.

4. Jika si mati tidak mempunyai anak langsung (sama ada anak lelaki atau anak perempuan), mereka akan mengambil tempat anak-anak si mati, iaitu mewarisi sebagaimana berikut;
A) Jika semua mereka lelaki sahaja atau lelaki dan perempuan, mereka akan mewarisi  baki harta setelah ditolak bahagian-bahagian orang lain. (Cucu lelaki mendapat sekali ganda dari bahagian cucu perempuan).
B) Jika perempuan sahaja (yakni cucu perempuan sahaja yang ada, tiada cucu lelaki); sekiranya seorang sahaja, ia akan mendapat 1/2 dan jika ramai, akan mendapat 2/3 (iaitu dikongsi bersama).

Merujuk kepada soalan di atas, jika waris-waris nenek saudara kekal seperti sekarang jika ia mati nanti, maka pembahagiannya adalah seperti berikut;
- Suaminya; mendapat 1/4
- Anak perempuannya; 1/2
- Saudara adik-beradik (cucu-cucunya; lelaki dan perempuan); mendapat baki setelah ditolak bahagian-bahagian di atas. Cucu lelaki diberi bahagian sekali ganda dari bahagian cucu perempuan.
(Sebagai contoh, jika harta yang ditinggalkan RM 40 000; Suami mendapat RM 10 000, anak perempuan mendapat RM 20 000. Baki iaitu RM 10 000 diberikan kepada cucu-cucu dengan cucu lelaki mendapat sekaliganda dari yang diperolehi cucu perempuan).

Wallahu a'lam.

Wednesday, April 6, 2011

TEMPOH HARUS JAMAK DAN QASAR SOLAT DI SUATU TEMPAT

Soalan; Saya ada beberapa soalan :
1)Berapa harikah tempoh dikira mukim ?
2) Jika saya mengambil pandangan tempoh dikira musafir ke suatu tempat yang melebihi 2 marhalah, adalah 5 hari termasuk hari pergi dan balik, dan dalam tempoh itu, saya mengerjakan solat jamak qasar. Adakah saya perlu bergegas keluar dari kawasan tersebut pada hari ke 6 ? (kerana ada pandangan mengatakan jika kita tidak keluar, maka batallah/ tidak sahlah solat2 yang kita lakukan dalam tempoh musafir tersebut kerana telah di kira bermukim.
Terima kasih.

Jawapan;

1. Mukim bermaksud menetap di sesuatu tempat. Orang yang dianggap bermukim tidak lagi diharuskan melakukan solat secara qasar dan jamak kerana keduanya itu hanya diharuskan untuk orang yang musafir sahaja.

2. Menurut mazhab Syafiie, apabila seseorang itu berniat untuk menetap di sesuatu tempat melebihi empat (4) hari, maka ia menjadi mukim dan tidak harus ia melakukan jamak dan qasar kecuali pada hari ia masuk ke tempat itu dan hari ia keluar.

Sebagai contohnya, saudara bermastautin di Perlis, kemudian bermusafir ke Kuala Lumpur. Sepanjang perjalanan dari Perlis ke Kuala Lumpur, harus saudara melakukan solat secara jamak dan qasar. Apabila tiba di Kuala Lumpur, sekiranya saudara berniat untuk menetap di Kuala Lumpur melebihi 4 hari (tidak termasuk hari masuk dan hari keluar), saudara tidak harus lagi melakukan jamak dan qasar. Maksudnya, sepanjang tempoh saudara di Kuala Lumpur itu, saudara hendaklah mengerjakan solat fardhu secara sempurna dan mengikut waktunya. Hinggalah apabila saudara keluar dari Kuala Lumpur untuk pulang atau meneruskan perjalanan ke tempat lain, barulah boleh melakukan qasar dan jamak semula.

3. Sekiranya saudara berniat untuk menetap di Kuala Lumpur itu dalam tempoh kurang 4 hari, contohnya 2 hari atau 3 hari (tidak termasuk hari tiba dan hari akan keluar), harus saudara melakukan jamak dan qasar sepanjang 2 atau 3 hari tersebut.

4. Sekiranya saudara tidak mengetahui berapa lama akan tinggal di Kuala Lumpur itu, tetapi berniat akan segera pulang sebagai sebaik urusan selesai (yakni saudara menunggu-menunggu urusan selesai untuk segera pulang), menurut mazhab Syafiie; saudara harus melakukan jamak dan qasar hingga 18 hari (tidak termasuk hari tiba dan hari akan keluar). Ini jika saudara tidak mengetahui urusan itu akan mengambil masa lebih 4 hari. Sekiranya saudara sememangnya mengetahui urusan itu akan mengambil masa lebih 4 hari, maka ia kembali kepada yang pertama tadi iaitu tidak harus saudara melakukan qasar dan jamak kecuali hari tiba dan hari keluar sahaja.

5. Sekiranya saudara tiba di Kuala Lumpur dan saudara tinggal tanpa berniat berapa hari dan tidak pula menunggu-nunggu urusan selesai, saudara boleh melakukan jamak dan qasar, namun bila genap 4 hari saudara di situ, tidak harus lagi melakukan jamak dan qasar. Maksudnya, status saudara sebagai musafir tamat apabila genap 4 hari saudara tinggal di Kuala Lumpur itu.

5. Jika pada peringkat awal saudara berniat untuk tinggal kurang dari 4 hari, kemudian mengubah niat untuk tinggal lebih 4 hari, dengan berubah sahaja niat itu tidak harus lagi saudara melakukan jamak dan qasar. Begitu juga, jika setelah beberapa hari tinggal di Kuala Lumpur itu saudara teragak-agak antara terus tinggal atau pulang, tidak harus lagi melakukan jamak dan qasar.  

Maksud niat dalam kupasan di atas ialah apa yang ada dalam hati kita sebaik kita tiba di suatu tempat. Bagi program yang berjadual sebagai contohnya, apabila saudara memutuskan dalam hati untuk mengikuti jadual itu, itu menunjukkan niat saudara untuk tinggal di situ dengan mengikut jadual yang diatur. Sebagai contohnya, saudara menghadiri suatu kursus di Kuala Lumpur dan saudara mengetahui kursus itu akan memakan masa hingga 1 minggu, maka dengan memutuskan untuk mengikuti jadual kursus tersebut saudara telah berniat untuk bermukim di Kuala Lumpur selama seminggu. Dengan niat itu, saudara tidak harus lagi melakukan jamak dan qasar sepanjang kursus tersebut kecuali pada hari saudara tiba dan hari pulang nanti.

Merujuk kepada soalan kedua di atas, apakah perlu bergegas keluar apabila tamat tempoh keharusan melakukan jamak dan qasar? Dan benarkah jika tidak keluar semua solat yang dilakukan tidak sah?. Jawapannya; Berdasarkan penelitian saya, tidaklah begitu. Saudara hanya perlu menyedari/mengetahui berapa hari yang diharuskan saudara melakukan jamak dan qasar berdasarkan kaedah yang dijelaskan tadi. Selepas hari tersebut jika saudara terus tinggal di tempat tersebut, saudara tidak boleh lagi melakukan qasar dan jamak. Saudara tidaklah dituntut keluar dari tempat itu, hanya jangan lagi melakukan jamak dan qasar kerana tempohnya telah habis bagi saudara. Adapun jamak dan qasar yang lalu ia tetap sah kerana dilakukan ketika saudara masih dianggap musafir.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Mugni al-Muhtaj, jilid 1, hlm. 361-363.
2. Al-Majmu', jilid 4, hlm. 361-362.

Saturday, April 2, 2011

MEMAKAI JAM DI TANGAN KIRI, MAKAN DENGAN TANGAN KIRI & BEZA ANTARA SUNAT DAN SUNNAH

Soalan; Assalamualaikum. Saya ada beberapa soalan yang ingin mengetahui dengan lebih mendalam.
1. Ada pendapat yang mengatakan pemakaian jam atau gelang pada tangan kiri tak boleh mengikut Islam.
2. Seseorang itu mengunakan tangan kiri untuk mengambil makanan apakah perkara tersebut dikira BERDOSA atau sebaliknya?
3. Apakah perbezaan yang dimaksudkan mengikut sunnah Nabi s.a.w dengan perkara sunat.
Mohon Ustaz huraikan maksud soalan di atas. Ini kerana ada setengah orang menyatakan ianya adalah TIDAK BAIK . Sekian terima kasih.

Jawapan;

Makan dengan tangan kiri

1. Bagi makan dan minum, kita amat dituntut untuk makan dengan tangan kanan. Makan menggunakan kiri adalah dilarang kerana ia menyalahi arahan Nabi dan terdapat ancaman baginda terhadap orang yang melakukannya. Di antara hadisnya ialah;

Dari bin Abi Salamah -yang merupakan anak kepada Ummu Salamah iaitu isteri Nabi- menceritakan; “Aku adalah kanak-kanak yang tinggal serumah dengan Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam-. (Suatu hari aku makan bersama beliau) dan ketika makan itu tanganku bergerak ke segenap dulang (untuk mengambil makanan). Lalu beliau berkata kepadaku; “Wahai anak! Mulakanlah makan dengan menyebut nama Allah, makanlah dengan tangan kanan dan makanlah makanan yang hampir denganmu”. Sejak selepas itu, berterusan adab tersebut menjadi cara makanku. (Soheh al-Bukhari, kitab at-At’imah)

Berkata Imam as-San’ani (mengulas hadis di atas); Hadis ini menjadi dalil bahawa wajib makan dengan tangan kanan kerana Nabi mengarahkannya[1] di samping ditegaskan lagi oleh Nabi bahawa Syaitan makan dan minum dengan tangan kiri[2] dan perbuatan Syaitan diharamkan ke atas manusia untuk mengikutinya. Begitu juga, diceritakan; Seorang lelaki makan dengan tangan kiri di hadapan Nabi, lalu baginda berkata kepadanya; “Makanlah dengan tangan kanan kamu”. Lalu lelaki itu menjawab; “Aku tidak boleh”. Nabi lalu berkata (mendoakan); “Semoga kamu akan benar-benar tidak boleh” kerana tidak menghalangnya dari mematuhi arahan Nabi itu melainkan kerana sombong. Setelah itu lelaki tersebut tidak dapat lagi mengangkat tangannya ke mulut” (HR Imam Muslim). Nabi tidak akan mendoakan yang tidak baik melainkan ke atas orang yang meninggalkan perkara wajib (menunjukkan makan dengan tangan kanan itu adalah wajib). (Subulussalam, Imam as-Son’ani, kitab an-Nikah, bab al-Walimah)

Dikecualikan jika seseorang itu tidak berdaya, seperi tangan kanannya terpotong, lumpuh, sakit atau sebagainya, maka ketika itu haruslah ia makan dengan tangan kiri kerana seseorang tidak disuruh lebih dari kemampuannya.

Maksud makan ialah kita menyuap makanan ke dalam mulut. Itu yang dituntut dengan tangan kanan. Adapun memindahkan makanan dari hidangan ke dalam pinggan kita (seperti menceduk makanan dari bekas di hadapan kita ke dalam pinggan kita), itu tidaklah dinamakan makan. Jika kita dapat menggunakan tangan kanan, itulah yang sebaik-baiknya. Namun jika kita merasakan memegang sudu dengan tangan kanan yang telah dicemari makanan akan menimbulkan perasaan tidak enak orang lain yang makan bersama kita, tidak mengapa kita menceduk dengan tangan kiri. Ini kerana adat dan pandangan manusia setempat juga di ambil kira oleh Islam selagi ia tidak bertentangan dengan Syariat.

Urusan-urusan yang disunatkan dengan tangan kanan

2. Adapun urusan-urusan yang lain, para ulamak membahagikannya kepada dua jenis;
a) Urusan-urusan yang mulia
b) Urusan-urusan yang tidak mulia atau kurang mulia berbanding yang pertama.

Urusan-urusan yang mulia, disunatkan kita menggunakan tangan kanan atau mendahulukan tangan kanan. Contohnya ; mengambil wudhuk (sunat mendahulukan anggota kanan dari yang kiri), mandi wajib atau mandi sunat (sunat memandikan sebelah kanan badan terlebih dahulu), memakai pakaian, kasut dan selipar, memakai seluar, memasuki masjid, bersugi (memberus gigi), bercelak, memotong kuku, menipiskan misai, mencabut bulu ketiak, mencukur rambut, memberi salam di hujung solat, keluar dari tandas, makan, minum, berjabat tangan, melambai Hajar Aswad, mengambil sesuatu dari orang lain dan memberi sesuatu dan urusan-urusan lain yang semakna.

Adapun urusan-urusan yang tidak mulia atau kurang mulia berbanding di atas, disunatkan kita menggunakan tangan kiri atau mendahulukan yang kiri dari yang kanan. Contohnya; membuang hingus, beristinjak (membasuh kencing dan berak), memasuki tandas, keluar dari masjid, ketika menanggalkan sepatu/kasut, seluar, pakaian dan selipar, melakukan perkara-perkara yang kotor dan yang seumpamanya lagi.

Dalil bagi kaedah atau ukuran di atas ialah hadis-hadis yang banyak, antaranya;

a) Dari ‘Aisyah menceritakan; “Rasulullah menyukai (mendahulukan) sebelah kanan bagi semua urusannya; ketika bersuci, ketika menyisir rambut dan ketika memakai sepatu” (HR Imam al-Bukhari dan Muslim). Sebahagian ulamak mengulas; Rasulullah suka mendahukan sebelah kanan adalah untuk membina harapan baik kerana ahli syurga adalah dari golongan kanan (Ashabil-Yamin). (Fathul-Bari)

b) Aisyah menceritakan juga; “Adalah tangan kanan Rasulullah beliau gunakan untuk bersuci (wudhuk) dan makan. Adapun tangan kirinya beliau gunakan untuk membasuh kencing dan berak dan urusan yang kotor/jijik” (HR Imam Abu Daud. Menurut Imam an-Nawawi; sanad hadis ini adalah soheh. Lihat dalam al-Majmu’).

c) Dari Hafsah menceritakan; “Rasulullah menggunakan tangan kanannya untuk makanannya, minumannya dan pakaiannya dan tangan kirinya untuk urusan-urusan selainnya” (HR Imam Abu Daud. Menurut Imam an-Nawawi; sanad hadis ini jayyid. Lihat dalam al-Majmu’).

d) Dari Ummu ‘Atiyah menceritakan; Rasulullah memerintahkan kepada perempuan-perempuan yang memandikan jenazah anak perempuannya; “Mulakan dengan memandikan sebelah kanannya dan dari anggota-anggota wudhuknya” (HR Imam al-Bukhari dan Muslim)

e) Dari Abu Hurairah menceritakan; Rasulullah bersabda; “Apabila kamu memakai pakaian dan apabila kamu mengambil wudhuk, mulailah dari sebelah kanan kamu” (HR Imam Abu Daud dan at-Tirmizi dengan sanad yang soheh).

f) Dari Abu Hurairah juga; Rasulullah bersabda; “Apabila kamu memakai sepatu/kasut, mulailah dengan kaki sebelah kanan dan apabila kamu menanggalnya, mulailah dengan kaki sebelah kiri supaya yang kanan menjadi yang paling awal kamu pakai dan yang paling akhir kamu tanggalkan” (HR Imam al-Bukhari dan Muslim).

g) Dari Anas yang berkata; “Menjadi sunnah Nabi apabila kamu ingin memasuki masjid, mulailah dengan kaki kanan dan apabila kamu keluar darinya, mulailah dengan kaki kiri” (HR Imam al-Hakim. Hadis soheh mengikut syarat Imam Muslim).

Memakai jam dan gelang di tangan kiri

3. Berbalik kepada soalan di atas, iaitu mengenai memakai jam dan gelang tangan, oleh kerana ia adalah perhiasan, melihat kepada ukuran dan kaedah di atas; disunatkan di sebelah kanan kerana memakai perhiasan termasuk dalam kategori urusan-urusan yang mulia. Ia tidaklah wajib kerana tiada nas yang mewajibkannya tidak sepertimana wajib makan dengan tangan kanan tadi kerana ada nas yang mewajibkannya. Malah jika kita melihat kepada pemakaian cincin oleh Rasulullah, ada hadis menceritakan Rasulullah memakai cincin di sebelah kanan dan ada juga hadis baginda memakainya di sebelah kiri (Sila baca dalam blog ini; Bagaimana Rasulullah memakai cincin?).

Perbezaan Sunat dan Sunnah

2. Mengenai perbezaan Sunat dan Sunnah;

a) Sunat merujuk kepada hukum iaitu perbuatan atau percakapan yang disunatkan iaitu jika dilakukan akan mendapat pahala dan jika ditinggalkan tidaklah berdosa. Ia adalah salah satu dari lima hukum taklifi (yakni hukum Syariat yang ditetapkan ke atas perbutan-perbuatan manusia) iaitu; wajib, sunat, harus, haram dan makruh.

b) Adapun sunnah atau as-Sunnah, ia bermaksud cara hidup Nabi atau apa yang datang dari Nabi. Pengertian Sunnah lebih luas dari sunat kerana Sunnah terangkum di dalamnya semua yang diwarisi dari Nabi meliputi perbuatan Nabi, percakapan Nabi, pengakuan Nabi, sifat-sifat Nabi (sama ada sifat kejadian atau sifat akhlak) dan seerah hidup baginda (dari mula kelahiran hingga kewafatannya). Sunnah ada yang wajib kita amalkan, ada yang sunat diamalkan dan ada yang elok untuk diikuti. Sebagai contoh tadi; makan dengan tangan kanan, ia termasuk dalam sunnah yang wajib diamalkan. Adapun yang lain-lainnya (berwudhuk mulai dari anggota kanan, memakai pakaian, sepatu bermula dari kanan dulu, melangkah kaki kanan dulu untuk masuk masjid dan sebagainya tadi) ia adalah sunnah yang termasuk dalam kategori sunat.
(*Untuk membaca kupasan lebih terperinci tentang as-Sunnah, sila baca di blog al-Qalam, tajuk; “Kedudukan Serban Mengikut Penilaian Ulamak Islam”).

Wallahu a’lam.

Nota;

[1] Sebahagian ulamak berkata arahan Nabi dalam hadis-hadis di atas adalah arahan sunat. Orang yang melanggarnya tidaklah melakukan perbuatan yang haram, akan tetapi makruh kerana meninggalkan perbuatan yang disunatkan. Inilah yang menjadi pegangan kebanyakan ulamak-ulamak mazhab Syafiie. Namun mengikut pandangan Imam Syafiie sendiri –sebagaimana yang diriwayatkan darinya-; arahan dalam hadis tersebut adalah arahan wajib. (Fathul-Bari, 9/522, bab at-Tasmiah ‘ala at-Tha’am aw al-Akl bi al-Yamin).

[2] Merujuk kepada hadis dari Ibnu Umar yang menceritakan; Rasulullah bersabda; “Janganlah sesiapa dari kamu makan dan minum dengan tangan kirinya kerana Syaitan makan dan minum dengan tangan kirinya” (HR Imam al-Bukhari).

Rujukan;

1. Al-Majmu’, Imam an-Nawawi, 1/384, Kitab at-Toharah, Bab as-Siwak.
2. Fathul-Bari, Imam Ibnu Hajar, 1/273, Kitab al-Wudhu’, Bab at-Tayammun fi al-Wudhu’ wa al-Ghusl.
3. Subulussalam, Imam as-Son’ani, kitab an-Nikah, bab al-Walimah.
4. Al-Madkhal Lid-Dirasah as-Sunnah an-Nabawiyyah, Dr. Yusuf al-Qaradhawi.
5. Buhus Fi as-Sunnah al-Mutahharah, Dr. Muhammad Muhammad Mahmud Farghali.

Friday, April 1, 2011

MEMBERI ZAKAT KEPADA SEPUPU

Soalan; Assalamualaikum....soalan saya :" bolehkah saya memberi zakat wang secara terus kepada adik sepupu yg miskin....selain drpd membayar kepada Jabatan Agama...?
Jazakallah khair....

Jawapan;

Harus zakat diberikan kepada sepupu jika mereka miskin kerana mereka tidak wajib dinafkahi. Hanya yang tidak harus diberikan ialah kepada usul kita dan furu' kita. Usul ialah ibu-bapa, datuk-nenek dan ke atas (iaitulah asal datangnya kita). Furu' pula ialah anak-cucu dan cucu-cicit (iaitulah zuriat kita). Mereka sahaja dari kaum keluarga yang tidak harus menerima zakat dari kita kerana jika mereka miskin atau tidak mampu mencari nafkah sendiri, kita wajib menanggung nafkah mereka jika kita mampu.

Adapun kaum keluarga yang lain seperti saudara-saudara (adik, abang, kakak), bapa-bapa saudara, ibu-ibu saudara, anak-anak saudara, anak-anak bapa saudara (sepupu), kita tidak wajib menanggung nafkah mereka sekalipun jika mereka miskin, kerana itu harus kita memberi zakat kita kepada mereka jika mereka layak menerimanya (yakni termasuk dalam golongan yang layak terima zakat). Malah memberi zakat kepada mereka lebih utama dari orang lain kerana kit
a akan mendapat dua ganjaran; ganjaran zakat dan ganjaran menghubung silaturrahin. Ini sebagaimana sabda Nabi;

Sabda Nabi; "Memberi sedekah kepada orang miskin adalah sedekah. Adapun memberi kepada orang yang mempunyai ikatan rahim (yakni memberi kepada orang miskin dari kalangan keluarga) akan mendapat pahala sedekah dan juga pahala silaturrahim" (HR Imam at-Tirmizi dari Salman bin 'Amir. Menurut Imam at-Tirmizi; hadis ini hasan).

Maksud lebih utama bukanlah bermaksud memberi zakat kepada orang lain tidak baik atau kurang pahala, akan tetapi bermaksud; jika bertembung antara dua orang yang memerlukan dan keadaan mereka sama atau hampir sama, jika salah seorang dari mereka berdua ada ikatan kekeluargaan dengan kita sekalipun jauh, dialah lebih utama mendapat zakat kita dari seorang lagi kerana dia mempunyai dua hak; hak sebagai orang miskin dan hak keluarga/kerabat.

Wallahu a'lam.

Thursday, March 31, 2011

SOLAT HAJAT SELEPAS AZAN ASAR DAN SEBELUM SOLAT ASAR

Soalan; Ustaz telah menerangkan bahawa haram solat hajat selepas menunaikan Solat Asar hingga matahari terbenam sepenuhnya.
1. Bagaimana pula hukumnya kita melakukan solat hajat sebaik sahaja selesai Azan Asar menandakan masuk waktu iaitu sebelum kita melakukan Solat Fardhu Asar?( Solat Hajat dahulu dan kemudian barulah solat Fardhu Asar).
2. Bolehkah melakukan Solat Hajat secara berjamaah.
Sekian, terima kasih.

Jawapan;

Ada lima waktu kita dilarang solat;
1.       Selepas solat subuh hingga terbit matahari
2.       Selepas solat asar hingga terbenam matahari
3.       Ketika terbit matahari hinggalah meninggi dengan kadar segalah (yakni 15 – 20 minit selepas terbit matahari, iaitu masuknya waktu dhuha)
4.       Ketika matahari di tengah langit hinggalah ia tergelincir (yakni hingga masuk waktu zohor); dikecualikan hari jumaat bagi orang hadir ke masjid untuk solat jumaat.
5.       Ketika matahari menguning hingga terbenam matahari.[1]

Dalil larangan tersebut ialah hadis-hadis Nabi berikut;

a)      Sabda Nabi –sallallahu ‘alahi wasallam-; “Tidak ada solat selepas solat subuh hingga matahari meninggi dan tidak ada solat selepas solat asar hinggalah matahari terbenam” (HR Imam al-Bukhari dari Abi Sa’id al-Khudri, Bab La Tataharra as-Solah Qabla Ghurub as-Syams).
b)      Abu Hurairah menceritakan; “Rasulullah menegah dari mengerjakan solat selepas asar hingga terbenam matahari dan selepas subuh hingga terbit matahari” (HR Imam Muslim dari Abu Hurairah. Bab al-Auqat allati Nuhiya ‘an as-Solah fiha).
c)       Dari ‘Uqbah bin ‘Amir menceritakan; “Tiga waktu Rasulullah menegah kami dari mengerjakan solat dan mengkebumikan jenazah-jenazah kami pada waktu-waktu tersebut, iaitu; (1) Ketika terbit matahari hinggalah matahari meninggi, (2) Ketika bayang-bayang tengahari berdiri (yakni berhenti) (*bermaksud; matahari berada di tengah langit) dan (3) Ketika matahari condong untuk terbenam (*yakni ketika menguning di waktu petang)” (HR Imam Muslim, Abu Daud dan at-Tirmizi).

Daripada lima waktu si atas, dua waktu berkait dengan perbuatan solat, iaitu yang pertama dan yang kedua (selepas solat subuh dan selepas solat asar), maksudnya, kita dilarang solat bukan semata-mata apabila masuk waktu subuh atau masuk waktu asar, akan tetapi kita dilarang solat apabila kita telah melakukan solat subuh dan telah melakukan solat asar. Maka merujuk kepada soalan di atas, adalah harus kita melakukan solat hajat apabila masuk waktu asar selagi kita belum menunaikan solat asar. Itu adalah dari segi keharusan. Adapun dari segi yang sepatutnya, apabila masuk waktu solat fardhu, kita sebaiknya hendaklah menyibukkan diri untuk menunaikan solat dalam waktu tersebut (sebaiknya secara berjamaah) dan juga solat sunat yang disyariat khusus pada waktu tersebut  (iaitulah sunat qabliyah). Adalah tidak tepat jika kita melakukan solat hajat pada ketika itu hingga kita terluput solat sunat qabliyah atau terlepas solat berjamaah atau terlepas takbir pertama bersama imam.

Adapun tiga waktu selebihnya, larangan adalah berkait dengan waktu. Maksudnya, apabila tiba sahaja waktu matahari berada di tengah langit atau matahari menguning atau matahari terbit, dilarang kita mengerjakan solat hinggalah tamat waktu larangan tersebut.

Solat yang dilarang kita melakukannya dalam waktu-waktu tadi ialah solat-solat yang tidak bersebab. Adapun solat-solat yang bersebab diharuskan kita melakukannya pada bila-bila masa sekalipun pada waktu-waktu yang dilarang di atas. Maksud solat-solat sunat bersebab ialah solat-solat yang didahului oleh suatu sebab (yakni sebab datang dahulu, kemudian baru disusuli dengan solat). Di antaranya;
1.       Solat–solat yang terluput sama ada solat fardhu atau solat sunat, yakni ia boleh diqadha sekalipun dalam waktu-waktu dilarang di atas.
2.       Solat yang dinazarkan
3.       Solat jenazah
4.       Sujud tilawah dan sujud syukur
5.       Solat gerhana.
6.       Solat sunat tawaf
7.       Solat sunat wudhuk
8.       Solat istisqa (minta hujan)
9.       Solat tahiyyatul-masjid (dengan syarat seseorang itu masuk ke dalam masjid untuk tujuan iktikaf, menuntut ilmu, menunggu solat atau tujuan-tujuan lainnya. Adapun jika ia masuk masjid semata-mata ingin mengerjakan solat tahiyyatul-masjid, dilarang solat pada waktu-waktu tersebut).

Solat-solat di atas diharuskan untuk dilakukan pada waktu-waktu dilarang solat tadi kerana ia bersebab. Adapun solat-solat yang dilarang kerana tidak bersebab ialah;
1.       Solat istikharah
2.       Solat hajat
3.       Solat sunat ihram
4.       Solat sunat mutlak

Mengenai soalan kedua (hukum solat hajat berjamaah), akan dijawab dalam sesi lain, insya Allah.

Wallahu a'lam.

Nota;

[1] Ada ulamak meringkas lima waktu di atas kepada tiga sahaja, iaitu;
A) Selepas solat subuh hingga matahari meninggi.
B) Selepas solat asar hingga matahari terbenam
C) Ketika matahari berada di tengah langit hingga tergelincir.
Namun yang rajih ialah pembahagian kepada lima tadi.

Rujukan;

1. Al-Majmu’, Imam an-Nawawi, 4/150 (kitab as-Solah, bab as-Saat allati Nuhiya an as-solah fiha).
2. Tamam al-Minnah, Syeikh 'Adil Yusuf al-Azzazi, 1/356.