Wednesday, March 30, 2011

MENGHIBAH HARTA KEPADA ANAK-ANAK SEBELUM MATI

Soalan; Assalamualaikum wbt. Bapa saya yg masih lagi hidup telah membahagikan hartanya kepada kami adik-beradik seramai 8 orang ( 6 lelaki dan 2 perempuan). Masing2 telah diperuntukkannya dgn hartanya yg berupa tanah dan rumah. Semuanya mendapat bahagian masing2. Soalan saya ialah, adakah pembahagian ini dipanggil hibah atau wasiat dan adakah ianya sah disegi syarak. Jika ianya tidak sah, bagaimanakah caranya yg sah?

Jawapan;

Harus pemilik harta ketika ia sihat dan berakal waras menghibahkan hartanya kepada sesiapa yang ia kehendaki, tanpa berniat menganiayai waris-warisnya. Jika dengan niat tersebut, ia berdosa kerana niat jahat tersebut sekalipun hibah tersebut terlaksana kerana seseorang berhak membelanjakan harta miliknya mengikut keputusannya. Adapun menghibahkan harta kepada anak-anak, wajib berlaku adil kepada semua anak-anak, yakni; tanpa mengecualikan seorangpun dari mereka. Ini sebagaimana terdapat dalam Soheh Imam al-Bukhari riwayat dari an-Nukman bin Basyir yang menceritakan bahawa bapanya memberi kepadanya satu pemberian, lalu ia berjumpa Nabi supaya Nabi menjadi saksi terhadap pemberian tersebut. Maka Nabi bertanya kepadanya; "Adakah semua anak-anak kamu kamu berikan pemberian yang sama?". Jawab bapaku; "Tidak". Lantas Nabi berkata; "Bertakwalah kepada Allah dan berlaku adillah sesama anak-anak kamu". Lalu bapaku pulang dan dan mengambil kembali pemberian tersebut. (HR Imam al-Bukhari dan Muslim). Dalam riwayat yang lain, Nabi berkata; "Jangan bersaksikan aku, kerana sesungguhnya aku tidak akan menjadi saksi atas suatu kezaliman".

Berdasarkan hadis tersebut, adalah dituntut oleh Syariat hibah (pemberian) kepada anak-anak dilakukan sama rata, tanpa pilih kasih termasuk antara lelaki dan perempuan. Sebahagian ulamak berkata; diberikan kepada anak lelaki sekali ganda dari yang diberikan kepada anak perempuan (iaitu sebagaimana dalam faraid).

Jika seorang bapa melakukan pilih kasih, apakah hibahnya itu sah? Terdapat beza pandangan di kalangan ulamak;
1. Sebahagian ulamak (antaranya as-Sauri, Imam Ahmad dan Daud az-Zahiri) menyatakan; hibah tersebut haram, tidak sah (batal) dan wajib ditarik kembali. Dikecualikan jika ada suatu sebab tertentu seperti ada anak yang kurang upaya, ketika itu harus ia dilebihkan dari anak-anak lain mengikut pandangan Imam Ahmad.
2. Menurut jumhur ulamak (merangkumi mazhab Imam Abu Hanifah, Malik dan Syafiie); hibah tersebut makruh (tidak haram) dan ianya sah (yakni tidak batal dan tidak wajib ditarik kembali).  Hanya disunatkan sahaja bapa mengambil kembali hibah tersebut dan membahaginya sama rata kepada semua anaknya. Jumhur ulamak memahami tegahan Nabi dalam hadis di atas sebagai tegahan makruh, bukan tegahan haram berbeza dengan golongan pertama tadi.

Adapun perbezaan antara hibah dan wasiat; hibah ialah pemberian yang diberikan ketika masih hidup. Adapun wasiat, ia adalah pemberian yang diikat dengan selepas mati, seperti seorang berkata; "Bila aku mati nanti, tanahku di tempat sekian sekian hendaklah diwakafkan kepada pihak sekian sekian". Hibah harus diberikan kepada anak-anak atau waris-waris lain dengan syarat berlaku adil tadi. Adapun wasiat tidak harus diberikan kepada orang akan mewarisi harta selepas mati termasuk anak-anak. Ini sebagaimana sabda Nabi; "Sesungguhnya Allah telah memberikan kepada setiap yang berhak akan haknya. Oleh demikian, tidak ada wasiat untuk orang yang bakal mewarisi" (HR Imam Abu Daud dan at-Tirmizi dari Abi Umamah. Menurut at-Tirmizi; hadis ini hasan).    

Wallahu a'lam.      

Rujukan;

1. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, Kitab al-Hibaat, bab Karahati Tafdhil Baina al-Aulad Fi al-Hibah.
2. Fathul-Bari, Imam Ibnu Hajar, Kitab al-Hibah..., bab al-Hibah Lil-Walad. 

IMAM TERLEBIH RAKAAT; APA YANG PERLU MAKMUM LAKUKAN?

Soalan; Assalamualaikum wbt,Jika imam telebih satu rakaat sebagai contoh: Sembahyang isyak. Selepas rakaat keempat imam terlupa dan terus bangun( walaupun di tegur oleh makmum) untuk rakaat yang kelima dan setelah selesai tahiyad akhir imam terus sujud sahwi dan seterusnya memberi salam. Persaolan:
1. Sabagai makmum adakah saya perlu terus mengikuti imam atau saya perlu berniat keluar drpd jemaah dan meneruskan tahiyad akhir saya pada rakaat yang keempat.
Sekian Terima Kasih.


Jawapan;

1. Dalam kes seperti di atas, makmum hendaklah memperingatkan imam dengan mengucapkan tasbih (Subhanallah). Bagi perempuan, hendaklah memperingatkan imamnya dengan menepuk di atas belakang tangannya. Ini sebagaimana sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-; “Jika berlaku sesuatu di hadapan kamu ketika sedang solat[1] (dan kamu ingin memperingatkan/memberitahu tentangnya), hendaklah orang lelaki bertasbih, adapun perempuan hendaklah ia menepuk (di atas belakang tangannya)[2]” (HR Bukhari dan Muslim dari Sahl bin Sa’ad as-Sa’idiy).

2. Jika imam tidak memberi perhatian dengan peringatan yang diberikan (yakni ia tidak kembali duduk), hendaklah makmum berpisah dari imam (yakni berniat mufaraqah) dan menyempurnakan solat secara sendirian. Jika makmum terus mengikut imam, batallah solatnya kerana ia mengikuti imam pada perbuatan yang tidak dikira solat.

Wallahu a’lam.

Nota;

[1] Maksud berlaku sesuatu di hadapan kamu ialah seperti imam lupa, ada seseorang memohon izin dari kita (dan dia tidak mengetahui kita sedang solat), kita melihat ada seorang buta yang hampir terjatuh ke dalam lubang atau kita ingin memberitahu sesuatu kepada orang lain dan sebagainya. Dalam semua keadaan tersebut, jika kita ingin memberitahu atau memperingatkan orang terbabit hendaklah dengan bertasbih atau dengan menepuk (bagi perempuan). (al-Majmu’, Imam an-Nawawi, 4/92)

[2] Iaitu tapak tangan kanan menepuk belakang tangan kiri. Dilarang menepuk antara kedua tapak tangan kanan dan kiri dan jika dengan tujuan bermain-main, batallah solat. (Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi).

Rujukan;

1. al-Majmu’, Imam an-Nawawi, jil. 4, hlm 92 (Kitab as-Solah, bab Ma Yufsidu as-Solah…) dan hlm. 208 (bab Solat al-Jamaah).
2. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, juz. 4, kitab as-Solah, bab Taqdim al-Jamaah Man Yushalli bihim..
3. Faidhul-Qadier, syarah hadis no. 3402.

Sunday, March 20, 2011

PENGHALALAN DARI ORANG YANG DIRAMPAS HAKNYA; APAKAH GUGUR DOSA DARI ORANG YANG MERAMPAS?

Soalan; Assalamualaikum wbt. Arwah kawan ada meninggalkan sebiji loket. Jika dijual, perlukah dibahagi mengikut hukum faraid. Yang ada suami dan 2 orang anak lelaki. Menurut suami, sebenarnya ada lagi barang kemas arwah tetapi diambil oleh adik beradik dan arwah ibunya. Mustahil untuk mengambilnya semula. Perlukah dia beritahu kepada ipar2 secara lisan untuk menghalalkan ataupun cukup sekadar niatnya sahaja.
Terima kasih.

Jawapan;

 1. Semua bentuk harta peninggalan si mati sama ada berupa wang, harta boleh alih (kereta, motor dan sebagainya) atau tidak boleh alih (tanah, rumah dan sebagainya) dan barang-barang berharga -dari sekecil-kecil hingga sebesar-besarnya- mesti diagihkan kepada ahli-ahli warisnya yang berhak mengikut hukum faraid yang ditetapkan Allah dan Rasul. Harus dibahagikan secara persepakatan dengan syarat mendapat persetujuan semua ahli waris yang berhak tanpa terkecuali seorang pun. Dikecualikan jika ada ahli waris yang belum baligh, maka haknya mesti diberikan penuh mengikut yang diperuntukkan dalam hukum faraid, kerana persetujuannya tidak dipakai.

2. Membolot harta si mati sedangkan ada ahli-ahli waris lain yang turut berhak atas atas harta itu, perbuatan tersebut merupakan dosa besar kerana memakan harta orang lain secara batil. Firman Allah (bermaksud); "Dan janganlah kamu memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil" (Surah al-Baqarah, ayat 188). Memakan harta orang secara batil bermaksud melalui jalan yang haram termasuklah mencuri, merampas hak orang lain dan sebagainya (Lihat; Tafsir al-Jalalain; Surah al-Baqarah, ayat 188). Sabda Nabi; "Tidak halal bagi seseorang mengambil sesuatu dari harta saudaranya yang lain kecuali dengan keredhaan darinya" (HR Imam Ahmad dari Amrin bin Yasribi r.a.. Juga diriwayatkan dari Khifah ar-Raqasyi r.a.. Lihat; Ziyadah al-Jami' as-Saghier, no. 3891. Menurut Syeikh al-Albani, hadis ini soheh).

3. Sekalipun orang yang dirampas haknya menghalalkan haknya yang dirampas, itu tidak mencukupi untuk menggugurkan dosa dari orang yang merampas. Ini kerana syarat taubat bagi orang yang melakukan dosa yang berkait dengan hak manusia lain ada empat;
A) Ia meninggalakan perbuatan dosa itu
B) Ia menyesali ketelanjuran melakukannya.
C) Ia bertekad/berazam tidak akan mengulanginya lagi
D) Ia memulangkan hak orang lain yang dirampasnya atau memohon halal dari mereka.

Dengan penghalalan dari orang yang dirampas haknya, ia hanya menggugurkan tuntutan harta dari orang yang merampas iaitu menyelesaikan syarat ke 4 (D) di atas. Adapun tiga syarat sebelumnya tidak terlaksana dengan semata-mata penghalalan tersebut. Ia mesti datang hari kesedaran hati orang yang terlibat dengan dosa tersebut.

Oleh demikian, hendaklah ada orang yang memperingatkan ibu dan sudara-saudara si mati tentang perbuatan mereka yang salah di sisi agama itu (merampas harta orang lain). Tindakan suami si mati menghalalkan haknya yang dirampas, ia mendapat pahala dengan tindakan itu. Namun ia tidak menggugurkan dosa dari mertua dan adik-beradik iparnya jika mereka tidak bertaubat. Lagi pula harta itu membabitkan juga anak-anak si mati, tidak cukup dengan penghalalan dari suami sahaja. Lebih-lebih lagi jika ada anak yang belum baligh di mana persetujuan mereka tidak dipakai, bermakna; hak mereka mesti diberi secara penuh tanpa digugurkan sebarang hak pun.

Wallahu a'lam.

Tuesday, March 15, 2011

ZAKAT PERNIAGAAN IBU TUNGGAL

Soalan; Assalamualaikum w.b.t Tuan, Saya hamba yang kurang pengetahuan ini ada satu persoalan yang saya inginkan penjelasan. Adakah seorang ibu tunggal (telah kematian suami) yang meniaga sendiri untuk menyara keluarganya dan katakanlah telah mendapat keuntungan bersih hasil perniagaannya berjumlah RM10,000.00 setahun, wajib untuk membayar zakat perniagaannya sedangkan dia yang mempunyai 5 orang anak dimana 2 daripadanya telah bekerja (cukup untuk menyara diri sendiri) manakala 3 darinya masih menuntut (seorang di Universiti Awam, seorang di Matrikulasi Kerajaan dan seorang lagi masih belajar di tingkatan 4). Harap dapat dibantu. Terima Kasih.

Jawapan;

1. Zakat wajib dikeluarkan apabila seorang itu kaya. Dalam hadis yang menceritakan Nabi menghantar Muaz ke Yaman untuk menjadi Gabenor, antara yang dipesan Nabi kepadanya ialah; "Apabila mereka telah patuh kewajipan Solat lima waktu, beritahu pula kepada mereka bahawa Allah mewajibkan ke atas mereka sedekah (yakni zakat) iaitu dipungut dari orang-orang kaya di kalangan mereka dan diberikan kepada orang-orang miskin di antara mereka" (HR Imam Muslim dari Ibnu 'Abbas). Kewajipan zakat ini tidak terkecuali dari sesiapapun asalkan harta yang dimiliki adalah milik sempurna dan memenuhi syarat-syarat diwajibkan zakat, termasuklah harta anak yatim, ibu tunggal atau sebagainya.

Maksud kaya dalam istilah Syariat bukan bermaksud seorang itu mempunyai simpanan wang berjuta, beratus ribu atau puluhan ribu. Jika seseorang mempunyai lebihan wang setelah ditolak keperluan asas dirinya dan keluarganya dan lebihan itu menyamai atau melebihi nisab yang ditetapkan (yakni kadar minima pemilikan harta yang mewajibkan zakat), ia dianggap kaya di sisi Syariat dan wajiblah mengeluarkan zakat. Jika ia tidak mempunyai lebihan atau lebihan yang ada tidak sampai nisab yang ditetapkan, ia tidak dianggap kaya dan tidak wajib zakat.

2. Bagi zakat perniagaan, wajib dikeluarkan zakat apabila harta perniagaan yang dimiliki mencukupi nisab yang ditetapkan Syariat iaitu nilai semasa 85 gram emas. Zakat dikeluarkan setelah ditolak keperluan diri dan keluarga (termasuk kos pengajian anak-anak). Jika lebihan setelah ditolak belanja keperluan mencapai nisab, barulah diwajibkan zakat. Ikut langkah-langkah berikut untuk mengira zakat;
1. Tetapkan tarikh hitungan zakat bagi setiap tahun. Contoh; 1 Ramadhan atau 1 Muharram atau sebagainya. Ini kerana zakat perniagaan hanya wajib sekali sahaja pada setiap tahun.
2. Bila tiba tarikh tersebut, buat perkiraan terhadap semua barang-barang perniagaan yang ada di kedai atau di stor simpanan.* Hitung dalam nilai wang. Kemudian campurkan nilai itu dengan wang yang ada dalam tangan dan dalam simpanan (di bank dan sebagainya).
3. Tolak hutang semasa sama ada hutang perniagaan atau hutang keperluan hidup.
4. Tolak kos keperluan hidup semasa merangkumi untuk diri dan keluarga.
5. Setelah itu, perhatikan berapa yang berbaki. Jika baki sampai nisab tadi (nilai semasa 85 gram emas), wajiblah dikeluarkan zakat ke atas baki tadi iaitu sebanyak 2.5% sahaja. Jika tak sampai, tak wajiblah zakat.

(*Perlu diketahui; yang perlu dihitung ialah barang-barang perniagaan sahaja. Adapun aset-aset yang tidak diperniagaankan seperti kerusi-meja, perabot, komputer, mesin-mesin dan sebagainya, tidaklah termasuk dalam hitungan).

3. Mengeluarkan zakat banyak hikmah dan kebaikannua. Selain melaksanakan kewajipan kita sebagai hamba Allah, ia menjadi simpanan pahala untuk kita di akhirat, membersihkan harta dan mengundang keberkatan kepada harta. Harta yang dikeluarkan zakat, harta itu akan semakin bertambah, Insya Allah.

Wallahu a'lam.

JAM EMAS

Soalan; Assalamualaikum Ustaz..Saya ada pertanyaan..Apakah hukum bagi seorang lelaki memakai jam tangan yang disadurkan dengan emas? Sekian, terima kasih.

Jawapan;

1. Terdapat larangan yang jelas dari Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- terhdaap orang lelaki memakai perhiasan dari emas. Sabda Nabi (bermaksud); “Diharamkan memakai sutera dan emas ke atas lelaki-lelaki umatku dan dihalalkan kepada wanita-wanita mereka” (HR Imam at-Tirmizi dari Abu Musa al-Asy’ari –radhiyallahu ‘anhu-. Menurut Imam at-Tirmizi; hadis ini hasan soheh).

Oleh itu, jam yang dibuat dari emas haram lelaki memakainya.[1] Begitu juga, jam yang bukan keseluruhannya dari emas, akan tetapi terdapat bahagian tertentu dibuat dari emas –seperti jarumnya, lingkungan mukanya, tangannya atau sebagainya- juga diharamkan lelaki memakainya kerana ia juga termasuk dalam makna menjadikan emas sebagai perhiasan.[2]

2. Adapun jam yang bersalut emas; jika salutan emas itu adalah tiruan (yakni bukan emas, tetapi air emas atau bahan lain yang berwarna seperti emas), tidaklah dilarang. Namun jika salutan itu sememangnya emas (yakni jam yang dibuat dari logam lain, kemudian disalut dengan lapisan emas di luarnya), para ulamak berbeza pandangan;

a) Menurut jumhur ulamak (iaitu mazhab Hanafi, Maliki dan Syafiie); jika salutan emas itu banyak, ia adalah haram dipakai oleh lelaki. Jika ia sedikit, tidak haram memakainya, akan tetapi makruh. Ukuran untuk menentukan banyak atau sedikit ialah; jika emas itu masih dapat dipisahkan dari logam yang disalutinya –dengan cara peleburan, pengikisan atau seumpamanya-, ia dianggap banyak. Jika sudah tidak dapat dipisahkan –dengan apa cara sekalipun-, ia dikira sedikit.[3]

b) Menurut mazhab Hanbali; diharamkan memakainya sama ada salutan emas banyak atau sedikit, sama ada emas itu dapat dipisahkan atau tidak lagi dapat dipisahkan, kerana larangan Nabi dalam hadis tadi adalah umum merangkumi pengertian emas secara amnya (tanpa diikat dengan sedikit atau banyak). (al-Insaf, 1/478)

Tindakan terbaik ialah kita tidak memakainya kerana jumhur ulamak yang mengharuskannya tadi mereka mengharuskannya dengan hukum makruh (yakni sekalipun tidak haram memakainya, akan tetapi makruh). Lagipun apabila terdapat khilaf di kalangan ulamak, jika kita dapat mengambil jalan untuk lari dari khilaf (dengan tidak melakukannya), itulah tindakan terbaik.

Wallahu a’lam.

Nota;

[1] Begitu juga, diharamkan ke atas kanak-kanak. Namun oleh kerana kanak-kanak belum mukallaf, yang menanggung dosa ialah orang yang memakaikan kepadanya sama ada ibunya, bapanya atau sebagainya. (Lihat; Tuhfah al-Ahwazi, 4/4-9, bab Ma Ja-a Fi al-Harir wa al-Fiddah).

[2]-Pemakaian emas oleh lelaki hanya harus ketika darurat sahaja seperti untuk menampung kecacatan di badan seperti membuat hidung palsu, gigi (termasuk mengikat gigi), hujung jari dan sebagainya jika tidak ada logam lain dapat menggantinya. Harus juga menggunakan perak. (lihat; al-Majmu’, 1/256, 6/38. Lihat juga; Fiqh al-Albisah wa az-Zinah, hlm. 348).
-Menurut ulamak; Termasuk yang dilarang ialah menjadikan emas sebagai bahan penampal, tampungan atau pengikat kepada bekas sama ada kerana keperluan (seperti menampung bekas yang pecah) atau kerana perhiasan. Ia diharamkan sama ada kadar emas itu banyak atau sedikit. Hanya diharuskan tampalan/tampungan itu ialah dengan perak, itupun untuk keperluan, bukan untuk perhiasan. Kadarnya hendaklah sedikit sahaja, tidak banyak. Menurut mazhab Syafiie; menampung bekas dengan perak, jika sedikit kadar tampungan itu dan dibuat kerana keperluan, tidaklah makruh (yakni harus). Jika dibuat untuk perhiasan, makruh. Jika kadar tampungan banyak, jika kerana ada keperluan, hukumnya makruh, dan jika kerana perhiasan (bukan keperluan), hukumnya haram. Adapun dengan emas, hukumnya haram sama ada kerana keperluan atau perhiasan, sedikit kadar emasnya atau banyak. (Lihat; al-Majmu’, 1/254, bab al-Aniyah).

[3] Tidak diharamkan memakainya kerana dengan kadar emas yang sedikit itu (dan tidak dapat dipisahkan lagi), ia seolah-olah tidak wujud melainkan warnanya sahaja yang masih tinggal. Menurut pandangan yang paling soheh; tidak diambil perkiraan lagi bagi suatu yang tidak tinggal darinya melainkan warna sahaja (Fiqh al-Albisah wa az-Zinah, hlm. 369).

Rujukan;

1. Fiqh al-Albisan wa az-Zinah, Abdul-Wahhab Abdus-Salam Tawilah, hlm. 369.
2. Al-Inshaf Fi Ma'rifati ar-Rajih Minal-Khilaf, Syeikh Alauddin Ali bin Sulaiman al-Mardawi, 1/478.
3. Tuhfah al-Ahwazi, 4/4-9, bab Ma Ja-a Fi al-Harir wa al-Fiddah.
4. Al-Majmu’, Imam an-Nawawi, 1/254 (bab al-Aniyah), 6/38 (Kitab az-Zakah, bab Nisab az-Zahab wa al-Fiddah..).

SEPUPU IBU; ADAKAH BOLEH DIKAHWINI?

Soalan; ust , sy nak tanya . apa hukum mngahwini sepupu ibu sndiri ??

Jawapan;

Sepupu sendiri, sepupu ibu atau sepupu bapa, semuanya bukan mahram. Oleh itu, harus dikahwini.
Bagi seorang lelaki, wanita-wanita yang menjadi mahramnya ialah;
1. Ibunya
2. Neneknya (sebelah bapa dan juga sebelah ibu)
3. Anak perempuannya
4. Cucu perempuannya
5. Kakak atau adik perempuannya.
6. Anak saudara perempuannya (yakni anak perempuan kepada saudara-saudara kandungnya)
7. Ibu saudaranya (sebelah bapa dan juga sebelah ibu)
8. Ibu mertua
9. Anak tiri perempuan
10. Menantu perempuan
11. Ibu tiri

Bagi seorang wanita pula, lelaki-lelaki yang menjadi mahramnya ialah;
1. Bapanya
2. Datuknya (sebelah bapa dan juga sebelah ibu)
3. Anak lelakinya
4. Cucu lelakinya
5. Abang atau adik lelakinya
6. Anak saudara lelakinya (yakni anak lelaki kepada saudara-saudara kandungnya)
7. Bapa saudaranya (sama ada sebelah bapa atau sebelah ibu)
8. Bapa mertua
9. Anak tiri lelaki
10. Menantu lelaki
11. Bapa tiri

Dari senarai di atas, sepupu-sepupu (sama sepupu sendiri, sepupu ibu atau sepupu bapa) tidak termasuk dalam senarai kerana mereka bukan mahram. Maksud mahram (khususnya mahram muabbad) ialah orang-orang yang haram dikahwini buat selamanya. Dengan mereka harus kita bersalaman, berduaan (jika aman dari fitnah), membuka aurat yang diharuskan sesama mahram (seperti tidak wajib bertudung) dan menemani mereka atau ditemani ketika safar (perjalanan jauh). Semua ini tidak harus ketika bersama sepupu kerana ia bukan mahram dan harus dikahwini.

(*Mahram-mahram di atas tidak termasuk kerana susuan. Ia ada diterangkan dalam jawapan sebelum ini. Pembaca yang ingin membacanya sila taip "susuan" di ruang carian).  

Wallahu a'lam.

Friday, March 11, 2011

TELUR YANG BERDARAH; ADAKAH MASIH HARUS DIMAKAN?

Soalan; Telur yang berdarah, apakah ia masih boleh dimakan? Apa hukum menjualnya?

Jawapan;

1. Telur jika telah berubah menjadi darah, ia adalah najis menurut mazhab empat (Hanafi, Maliki, Syafiie dan Hanbali). Adapun jika ia menjadi busuk sahaja (yakni tidak menjadi darah), para ulamak khilaf;
A) Menurut jumhur ulamak (iaitu mazhab Hanafi, Syafiie dan Hanbali); ia tidaklah menjadi najis. Hukumnya sama seperti daging yang menjadi busuk; ia tidak diianggap najis dan masih harus dimakan jika tidak memudaratkan.
B) Namun menurut mazhab Maliki; telur yang berubah menjadi busuk adalah najis dan haram dimakan.
Jika perubahannya hanya sekadar bercampur kuningnya dan putihnya -yakni belum lagi menjadi busuk- ia adalah suci tanpa khilaf.

Imam an-Nawawi menjelaskan dalam kitabnya al-Majmuk; Telur dari binatang yang suci jika ia berubah menjadi darah; menurut pandangan yang paling soheh dalam mazhab Syafiie ia adalah najis. Adapun telur yang berubah baunya iaitu yang bercampur putihnya dan kuningnya, ia masih suci tanpa ada khilaf. Begitu juga, daging yang menjadi busuk; ia masih suci mengikut pandangan yang dipakai dalam mazhab Syafiie. (al-Majmuk, 2/555, bab Izalati an-Najasah).

Walau bagaimanapun, sebahagian ulamak menjelaskan; darah yang dimaksudkan itu ialah yang mengalir. Jika darah dalam telur itu sekadar satu tompok sahaja, ia dimaafkan (yakni tidaklah dianggap najis dan tidak haram dimakan). Imam al-Qarafi menyebutkan dalam kitabnya az-Zakhirah; "Kadang-kadang di tengah kuning telur terdapat setompok darah yang berasal darinya (yakni dari kuning telur itu). Maka dengan mengambil kira bahawa darah yang dianggap najis ialah yang mengalir, tidaklah telur itu menjadi najis (dengan kerana terdapat tompokan darah pada kuningnya itu kerana ia tidak mengalir)". (az-Zakhirah (4/108), Mawahib al-Jalil (Imam al-Hattab, 4/355).

Kenyataan Imam al-Qarafi di atas (bahawa darah yang najis ialah yang mengalir) merujuk kepada firman Allah (bermaksud); "Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi - kerana sesungguhnya ia adalah kotor - atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah" (al-An'am, ayat 145). Berdasarkan ayat ini para ulamak menyimpulkan bahawa; darah yang haram dimakan ialah yang mengalir. Adapun darah yang terperangkap dalam daging, hati atau limpa, ia adalah dimaafkan (yakni harus dimakan bersama daging, hati atau limpa) kerana tidak lagi mengalir. Maka bagi kes di atas, oleh kerana setompok darah pada kuning telur itu tidak mengalir, ia juga turut dimaafkan.  

2. Jika telur telah berubah menjadi janin ayam, ia adalah najis (dengan matinya) kerana ia dikira bangkai. Tidak haruslah ia dimakan. Majlis Fatwa Arab Saudi menjelaskan; "Anak ayam (yang mati dalam telur) adalah bangkai yang tidak harus dimakan kerana ia adalah kejadian yang tercipta dalam telur. Pengharam bangkai telah sedia diketahui oleh sekelian kaum muslimin" (Fatawa al-Lujnah ad-Daimah Lil-Iftak, 22/360).

3. Apa yang kita kemukakan di atas adalah dari segi hukum suci atau najisnya dan hukum halal atau haram memakannya (*Setiap yang najis haram dimakan). Adapun hukum menjualnya (sama ada secara lansung atau setelah dimasak atau dimasukkan sebagai bahan dalam produk makanan), kita semua mengetahui bahawa kebiasaan di Malaysia orang ramai tidak menerima telur yang telah berubah bau atau warnanya (termasuk yang bertompok darah) kerana telur yang berubah bau dan warnanya itu dianggap barang rosak. Kerana itu, penjualan telur sebegitu dianggap menipu pengguna atau pembeli. Jika berlaku secara tidak sengaja, pengguna/pembeli mempunyai hak untuk memulangkannya iaitu hak khiyar aib yang ditetapkan oleh Syariat Islam. Melainkan jika pengguna atau pembeli dimaklumkan tentangnya dan mereka redha menerimanya, ketika itu sahlah jual-beli tersebut walaupun terdapat kecacatan pada barang.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, kalimah; Baidhun.
2. al-Majmuk, Imam an-Nawawi, 2/555, bab Izalati an-Najasah.
4. Fatwa Syeikh Muhammad Soleh al-Munajjid, no. 133448.