Friday, January 27, 2012

Kemushkilan Status Anak

Soalan

Saya seorang isteri dan telah berzina dengan suami orang kerana cinta lama masih dihati. Namun kini saya disahkan mengandung dan tidak pasti siapakah bapa kepada kandungan saya ini. Teman lelaki memaksa saya menggugurkan kandungan dan saya enggan kerana takut akan dosa-dosa saya terhadap Allah. Sedar akan hakikat ini saya bertaubat dengan Allah dan berjanji tidak akan sekali-kali mengulangi apa yang pernah saya lakukan dan akan taat dengan suami. Bagaimanakah nasib kandungan ini? Bantulah saya.

Jawapan

Assalamualaikum w.b.t
Saudari yang dirahmati Allah
Wanita yang sudah berkahwin tidak ada istilah mempunyai teman lelaki lain selain dari suaminya sahaja sebagai teman hidup. Zina adalah dosa besar yang sangat dibenci Allah kerana ia melibatkan perkara seperti kekeliruan keturunan. Anak yang dikandung jika ia disahkan melalui ujian DNA ia adalah anak yang sah taraf iaitu anak kepada suami yang sah maka tidak menimbulkan sebarang masalah dan ia boleh di bin/bintikan kepada bapa yang sah.
Walaubagaimanapun dosa zina itu tidak terhapus sekiranya anak yang dikandung itu adalah anak yang sah taraf. Perkara yang penting adalah melakukan taubat nasuha.
Sekiranya didapati anak itu adalah anak tidak sah taraf maka anak itu tidak boleh sama sekali di bin/bintikan kepada suami puan kerana ia bukan dari darah daging suami tersebut. Kesannya ialah, bapa itu tidak boleh menjadi wali dalam pernikahan anak tersebut, dan apabila berlaku kematian anak tersebut tidak layak untuk mewarisi sebarang harta peninggalan bapanya.

No comments:

Post a Comment