Friday, September 14, 2012

Duit Madrasah - Ingin Pulangkan

Soalan

Assalamualaikum. Saya telah diamanahkan untuk memberi Wang sebanyak 2000 kepada sebuah madrasah sepuluh tahun lalu. Tetapi Saya telah terpakai Wang tersebut. Sekarang Saya Ingin memulangkan Wang tersebut. Saya tahu Saya berdosa besar. Bagaimanakah Saya boleh memperbaiki keadaan? Terima Kasih.

Jawapan

Wa'alaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh,
dalam masalah ini, apa yang perlu anda lakukan sekarang ialah menyerahkan wang tersebut kepada madrasah yang berkenaan.
Jika anda dapat mengenal pasti di mana penyumbang tersebut berada sekarang, carilah dan mohonlah maaf darinya kerana kegagalan anda menyerahkan wang tersebut sebagaimana yang beliau kehendaki.
Apabila wang tersebut telah anda serahkan, ini bermakna anda telah melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang selama ini anda pikul.
Ingatlah, pecah amanah adalah salah satu daripada tanda atau sifat orang yang munafiq. Perkara ini ada disebut oleh Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam di dalam hadithnya yang bermaksud:
Dari Abu Hurairah Radhiyallahu 'Anhu, bahawasanya Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam bersabda, "Tanda orang munafik ada tiga: bila bercakap, dia berdusta, bila berjanji dia mengingkari, dan apabila diberi kepercayaan (amanah), ia khianat."
(Hadith riwayat Muttafaqun 'alaih).

Dari itu, bersyukurlah ke Hadrat Allah Subhanahu Wa Ta'ala kerana telah memberi kepada anda hidayah dan petunjuknya sebelum anda menghembuskan nafas yang terakhir. Semoga kesedaran anda ini membuatkan anda semakin hampir kepadanya dan menjadi seorang hamba yang lebih bertaqwa. Wallahu 'alam.

No comments:

Post a Comment