Wednesday, September 12, 2012

Solat Jemaah Di Surau

Soalan

Assalamualaikum ustaz, mohon bertanya.
Saya pernah mendengar beberapa pendapat mengenai membawa anak kecil antara 5-7 tahun contohnya yang belum bersunat bersolat di surau. (1) Tidak boleh solat di saf dewasa kerana memecah saf, belum bersunat bermaksud mungkin ada najis melekat- Elok diasingkan dari jemaah dewasa. atau, (2) Seeloknya solat ditepi ayah untuk tujuan mendisiplin supaya tidak bermain dan membuat bising. Juga untuk mendidik anak mencintai surau dari kecil lagi. Apa pendapat ustaz?

Jawapan

Wa'alaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh,
1.         Anak-anak yang belum berkhatan tidak boleh untuk dibawa bersolat di saf hadapan ataupun di tengah-tengah saf orang dewasa. Hal ini adalah kerana mereka masih membawa najis terutamanya di kamaluan mereka. Oleh sebab itulah mereka tidak boleh berada bersama-sama ayah atau ibu mereka untuk berada di saf orang dewasa.

2.         Mengenai cadangan kepada ibu dan ayah tersebut supaya bersolat di sisi atau di sebelah anak mereka, ia adalah satu cadangan yang baik dalam usaha untuk mendisplinkan anak mereka supaya menghormati jema’ah yang hendak beribadat.
Walaupun begitu, ibu dan ayah tersebut juga dibolehkan untuk bersolat di saf hadapan atau bersama-sama saf orang dewasa dengan menempatkan anak mereka di bahagian hujung saf dan beliau bersolat di sisi mereka. Melalui cara ini juga tidak akan menyebabkan saf terputus kerana anak tersebut berada di bahagian hujung saf dan dia tidak dikira memutuskan saf tersebut.
Walau apa pun, pengorbanan yang dilakukan oleh ibu dan ayah tersebut di dalam membudayakan perkara-perkara yang baik di dalam diri anak-anak mereka sudah pasti akan mendapat ganjaran yang begitu tinggi daripada Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam ada bersabda yang maksudnya:
" BARANGSIAPA yang mengadakan di dalam Islam SUNNATUN HASANAH (budaya yang

baik), kemudian ditiru dan diamalkan oleh orang lain, maka sunnahnya itu

akan diberikan pahala seperti pahala orang yang mengerjakannya dengan

tidak dikurangkan sedikit pun daripada pahala orang yang mengerjakannya,

dan barangsiapa yang mengadakan di dalam Islam Sunnatun sai'iah (budaya

buruk), kemudian diamalkan/ditiru oleh orang lain , maka akan diberikan

kepadanya dosa seperti dosa orang yang melakukannya dengan tidak

dikurangkan sedikit pun daripada dosa orang yang mengerjakannya".
(Hadis riwayat Muslim.)

Demikianlah ganjaran yang akan diperolehi oleh mereka yang berusaha untuk membudayakan satu amalan yang baik sehingga amalan tersebut menjadi budaya atau adat pada orang lain. marilah bersama-sama kita mulakannya dari dalam keluarga kita dahulu.
Semoga dengan usaha tersebut dapat menyemai rasa cinta anak-anak kepada rumah Allah dan membiasakan diri mereka untuk solat berjema’ah di masjid atau di surau. Seterusnya, mudah-mudahan reda Allah Subhanahu Wa Ta'ala menjadi milik sekeluarga. Insya Allah. Amin. Wallahu 'alam.

No comments:

Post a Comment