Wednesday, February 13, 2013

Apakah Hukum Seorang Muslimah Yang Tidak Menutup Aurat Tapi Bersolat


Soalan

assalamuailaikum...
adakah solat seseorang itu tidak diterima serta amalannya ditolak kerana tidak menutup aurat walaupun dia menjaga solatnya

Jawapan

Wa'alaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh,
Dalam persoalan ini,status solat bagi wanita tersebut hanya Allah Subhanahu Wa Ta'ala sahaja yang mengetahuinya.
Walau bagaimanapun, Allah Subhanahu Wa Ta'ala ada mennyatakan di dalam firmannya bahawa dengan mendirikan solat dapat mencegah seseorang muslim itu daripada melakukan perbuatan yang keji dan mungkar.
Sebagaimana yang diketahui umum, hukum menutup aurat adalah diwajibkan ke atas setiap muslimin dan muslimat yang telah aqil baligh dan berakal. Jika meninggalkannya, maka tergolonglah dirinya di dalam kumpulan mukalaf yang berdosa kerana telah melakukan perbuatan yang mungkar dan hal ini bersalahan dengan kenyataan di dalam firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala di atas tadi.
Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa orang yang bersolat tetapi masih melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar sebenarnya ada masalah pada solatnya. Mungkin solat yang didirikan adalah bukan kerana Allah Subhanahu Wa Ta'ala tetapi kerana yang lain, ataupun mungkin solat yang didirikan hanya dianggap sebagai satu amalan yang diwarisi daripada datuk dan neneknya dahulu.
Ringkasnya, status solat dengan sikap seorang muslim yang sejati tidak dapat dipisahkan kerana Allah Subhanahu Wa Ta'ala telah mengaitkan solat dengan penyebab kepada tercegahnya daripada melakukan perbuatan yang keji dan mungkar sebagaimana yang telah dinyatakan di atas.
Oleh yang demikian, dalam kes ini dapatlah dibuat kesimpulan bahawa orang yang telah mengerjakan solat tetapi masih melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar seperti mendedahkan aurat sebenarnya mempunyai masalah terhadap status solat yang telah dikerjakan selama ini.
Jika solatnya bermutu dan memenuhi kateria yang dikehendaki oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala, nescaya dirinya tidak akan melakukan perbuatan-perbuatan yang dilarang oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala.
Dari itu, marilah muhasabah diri dengan menilai status solat yang telah didirikan. Apakah solat kita  berjaya mencegah diri daripada melakukan perbuatan yang keji dan mungkar ataupun sebaliknya.
Dari itu, perbaikilah mutu solat dan usahakan untuk dapatkan kekhusyu’kan di dalamnya. Semoga solat yang didirikan diterima Allah Subhanahu Wa Ta'ala seterusnya dapat menjadi penyeebab kepada terhindarnya daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar. Wallahu 'alam.

No comments:

Post a Comment