Wednesday, March 21, 2012

Taubat Orang Yang Menggugurkan Anak Luar Nikah

Soalan

Assalamualaikum,
1)Apakah bentuk taubat untuk perempuan yang belum berkahwin yang melakukan zina.
2)Apakah bentuk taubat untuk perempuan yang belum berkawin yang menggugurkan anak luar nikah tersebut. Apakah benar, perlu berpuasa 60 hari berturut-turut? Jika tidak berdaya untuk berpuasa adakah dibolehkan membayar fidyah sebanyak 3.5kg beras/hari selama 60 hari untuk fakir miskin atau apakah jumlah sepatutnya yang perlu dilakukan. Mohon penjelasan yang mendalam dari pihak ustaz, Terima kasih.

Jawapan

Wa'alaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh,
1.         Di dalam Islam, setiap kesalahan yang dilakukan perlu dihapuskan dengan cara bertaubat. Jika kesalahan tersebut adalah kesalahan sesama manusia, maka hanya manusia tersebut sahaja yang boleh memaafkannya. Demikian juga dengan dosa kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala, hanya Allah sahaja yang boleh mengampunkannya.
Di dalam kesalahan zina, ia adalah satu kesalahan yang telah menceroboh hak Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Hanya Allah Subhanahu Wa Ta'ala sahaja yang boleh mengampunkan kesalahan ini.
Dari itu, kepada pelaku zina apa yang perlu mereka lakukan adalah bertaubat dengan taubat nasuhah dan seterusnya memenuhi syarat-syarat taubat yang telah digariskan oleh Islam. Syarat-syarat tersebut adalah seperti berikut:
i.          Ikhlas ingin bertaubat.
ii.          Meninggalkan segala dosa.
iii.         Menyesali atas dosa yang dilakukan.
iv.         Tidak mengulangi lagi perbuatan maksiat/dosa tersebut.
v.         Dikerjakan sebelum ajal tiba.
 
Selain itu juga, perlu jauhkan diri daripada perkara-perkara yang boleh mendorong kita mengulangi lagi perbuatan dosa tersebut.
Perbanyakan ingat kematian kerana dengan cara itu dapat mendorong diri supaya sentiasa berwaspada dengan amalan dan perbuatan yang boleh menjerumuskan diri ke kancah dosa. Seterusnya sentiasa beringat mengenai bekalan yang akan dibawa untuk menghadap Allah Subhanahu Wa Ta'ala.
 
2.         Bagi perempuan yang melakukan kesalahan zina dan telah menggugurkan kandungan zinanya itu juga perlu melakukan taubat sebagaimana jawapan di atas.
Ringkasnya, dia perlu kembali ke pangkal jalan dan berusaha untuk menjadi seorang Muslimah yang solehah.
Mengenai perlu berpuasa selama 60 hari atau memberi makan kepada 60 orang fakir miskin selama 60 hari adalah satu bid'ah yang tidak ada sandarannya di dalam Islam. Masyarakat Islam perlu lebih berhati-hati dengan dakwaan-dakwaan seperti ini. Carilah orang yang berautoriti di dalam ilmu Islam untuk dijadikan tempat rujukan agar jawapan yang diterima adalah menepati dengan ajaran Syariat Islam yang sebenar.
Wallahu 'alam.

1 comment:

  1. Assalamualaikum, saya nak tanya. Saya terbaca satu artikel yg mengatakan jika kita keguguran dan janin itu sudah ditiup roh, maka anak itu akan tunggu kita di pintu syurga & menarik ibu bapa nya ke syurga. Adakah benar? Manakala bagaimana pula jika org yg mengandung anak luar nikah dan menggugurkan nya setelah ditiup roh & org itu telah bertaubat & menyesali perbuatan nya, adakah anak nya itu akan menunggu nya & menariknya ke syurga? Sekian soalan saya. Assalamualaikum

    ReplyDelete