Tuesday, March 6, 2012

Duit Asb Adakah Haram? Bagaimana Jika Digunakan Untuk Belnja Selain Makan Minum?

Soalan

Assalamualaikum. Saya telah membuat pinjaman untuk asb. Akan tetapi saya baru sahaja mnedapat informasi mengenai haram nya skim asb ni. Jadi saya ingin mentup skim ini.
Baru ini sy telah menggunakan wang dividen tersebut untk belanja kepentingam diri. Seperti minyak motor. Barang.. Dan selainnya.. Jd apakah hukum duit yg sy gunakan itu. Sy tidak belanja untuk makan minum

Jawapan

Wa Alaikumussalam Warahmatullahi Wa Barakatuh,
Mengenai hukum melabur di dalam ASB/ASN adalah diharuskan. Majlis Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan keputusan fatwa mengenainya.
Berikut adalah petikan fatwa tersebut sebagai rujukan anda:
Tajuk:   Pelaburan Dalam Amanah Saham Nasional (ASN) Dan Amanah Saham Bumiputera (ASB
Persidangan Kali Ke-80.
Tarikh : 1 Hingga 3 Februari 2008.
Tempat : Primula Beach Resort Jalan Persinggahan, 20400 Kuala Terengganu.

1.     Ulasan/Hujah:

i.   Hifz al-mal merupakan salah satu masalah daruriyah yang perlu diberi perhatian serius oleh pemerintah. Soal kekukuhan ekonomi umat adalah merupakan salah satu faktor penting kepada penerusan kemajuan umat Islam. Islam menegah umatnya menjerumuskan diri dalam kemudaratan dan kefakiran yang boleh menggugat kekuatan ummah.
ii.  Setiap hukum yang diputuskan perlu memenuhi tuntutan keadilan, maslahah dan menghindar daripada kerosakan dan keruntuhan yang lebih besar.
iii.  Dalam menentukan hujah keharusan Islam dalam pelaburan ASN dan ASB ini, adalah tidak tepat hujah bersandarkan maslahah ummah ditafsirkan sebagai mengetepikan prinsip-prinsip Islam kerana maslahah juga adalah prinsip Islam yang perlu dipegang dalam penentuan sesuatu hukum.
iv.Prinsip pensyariatan Islam yang telah digariskan iaitu kewajipan menjaga lima(5) perkara iaitu agama, nyawa, akal, zuriat dan keturunan serta harta benda perlu dipertahankan kerana ia menjadi tunjang kehidupan seluruh umat Islam. Sekiranya terjejas salah satu daripada perkara ini, maka umat Islam akan ditimpa kehinaan yang akan menjejaskan agama dan kehidupan. Dalam hal ini, hukum ke atas pelaburan ASN dan ASB tidak boleh dilihat dari aspek tertentu sahaja, tetapi perlu mengambil kira semua kesan yang akan dihadapi oleh agama dan umat Islam.
v.  Dalam isu pelaburan yang bercampur antara halal dan haram, telah jelas bahawa PNB tidak melabur dalam sektor yang berkaitan dengan arak dan judi. Fuqaha’ muktabar juga tidak mengharamkan syarikat yang dikongsi oleh orang Islam dan bukan Islam.
vi.Memandangkan perkembangan Maybank sebagai salah satu institusi perbankan Islam terbesar di Asia Pasifik amat mendadak dan memberansangkan PNB perlu memastikan pelaburan berasaskan syariah sentiasa diperkukuhkan dari masa ke masa.
Sekiranya PNB melepaskan pegangan dalam Maybank, ia bukan hanya akan meruntuhkan ekonomi pemegang saham yang majoriti adalah orang Melayu Islam, bahkan ia juga akan memberi kesan besar kepada situasi ekonomi negara dan banyak organisasi berkaitan orang Islam. Begitu juga peluang pekerjaan yang melibatkan 16,531 kakitangan Bumiputera Islam juga akan turut terjejas.
vii.PNB telah melaksanakan perubahan yang terbaik khususnya dalam aspek pelaburan bagi membolehkan penguasaan umat Islam.
Dalam hal ini, maslahah umat Islam adalah penting dan kemudaratan yang lebih besar perlu dielakkan.

2.     Keputusan:

Setelah mendengar taklimat dan penjelasan serta meneliti keterangan hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa bagi menjaga kepentingan dan maslahah umat Islam serta mengelakkan kemudaratan yang lebih besar hukum melabur dalam Skim Amanah Saham Nasional (ASN) dan Skim Amanah Saham Bumiputra (ASB) serta dividen atau bonus yang diterima adalah harus.

Oleh yang demikian, anda tidak perlu untuk menutup akaun ASB/ASN kerana ia adalah skim pelaburan yang diharuskan untuk disertai oleh masyarakat Muslim di negara ini. Ringkasnya, dividen yang diperoleh daripada pelaburan tersebut adalah halal untuk digunakan sama ada untuk membeli makanan dan minuman ataupun untuk kegunaan harian yang lain. Wallahu 'alam.

No comments:

Post a Comment