Saturday, December 22, 2012

Bersetubuh Dengan Tunang Dan Mengandung, Apakaj Hukumnya?

Soalan

asalamualaikum,saya telah bertunang dan bersetubuh dgnnya beberapakali dlm 4 bln pertama dan dia janji menikahi saya dalam tempoh yang terdekat tetapi takut dari anak dan isterinya.sekarang saya telah mengandung anak luar nikah dan sidia buat tak endah sahaja dan menuduh saya mencari lelaki lain, ibu sy pula, lebih baik gugurkan shj dan cari bakal suami yang lain.saya buntu, apa harus saya lakukan?saya cuba dail untuk membincang semula dengan tunang tetapi, isterinya menghalang daripada bercakap

Jawapan

Wa'alaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh,
Dalam masalah ini, hubungan persetubuhan yang telah anda lakukan dengan tunang anda adalah satu persetubuhan zina. Ia adalah persetubuhan yang amat dilarang di dalam Islam.
Sekalipun anda telah bertunang dengannya, tetapi ikatan tersebut tidak boleh disamakan seperti hubungan sepasang suami isteri. Selagi aqad nikah tidak dimetri, selagi itulah hubungan anda masih terbatas pada had-had yang diizinkan oleh Islam.
Mengenai bayi yang anda kandungkan sekarang, di dalam Islam anak tersebut tidak boleh dinasabkan (dibin/dibintikan) kepada ayahnya (tunang anda) kerana anak tersebut adalah anak hasil daripada persetubuhan zina.
Apabila kandungan tersebut anda lahirkan, anak tersebut perlu dinasabkan sama ada kepada diri anda ataupun kepada nama Abdullah. Perkara ini ada dinyatakan oleh Baginda Nabi Sallallahu 'Alaihi Wassalam di dalam hadisnya. Berikut adalah maksud hadith tersebut untuk renungan anda:
“Anak adalah bagi (pemilik) hamparan. Bagi penzina pula ialah al-Hajr".
(Hadith Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.).

Berasaskan kepada maksud hadith di atas, anak anda nanti akan dinasabkan kepada nama anda sendiri ataupun kepada nama “Abdullah” dan tidak boleh dibin atau dibintikan kepada nama tunang anda.
Ringkasnya, hubungan nasab di antara mereka tidak diiktiraf oleh Syara'.
Mengenai tunang anda yang telah pun mempunyai seorang isteri, sebelum beliau ingin menikahi anda, terlebih dahulu beliau perlu dapatkan kebenaran untuk berpoligami. Kebenaran tersebut boleh dipohon di mana-mana Mahkamah Syariah di negara ini.
Oleh yang demikian, dalam kes ini anda dinasihatkan supaya dapatkan nasihat daripada kaunseling keluarga yang bertugas di Pejabat Agama Daerah yang berhampiran dengan rumah anda.
Mengenai cadangan ibu anda yang mencadangkan supaya kandungan tersebut digugurkan, sebenarnya ia adalah tindakan yang agak kejam. Bayi tersebut tidak bersalah dalam masalah ini.
Walau bagaimanapun, terserahlah kepada kebijakan anda untuk membuat keputusan mengenai masa hadapannya. Namun, Panel menasihatkan supaya anda fikirkan dan renungkanlah segala keterlanjuran dan dosa yang telah anda dan tunang anda lakukan. Janganlah ia ditambah lagi dengan kesalahan dan kesilapan yang lain. Di dalam hukum Islam, menggugurkan kandungan dengan sengaja merupakan satu kesalahan jenayah.
Ringkasnya, bertaubatlah di atas semua kesilapan dan keterlanjuran yang telah dilakukan. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. Bersegeralah merebut peluang yang masih diberikan lagi. Wallahu 'alam.

No comments:

Post a Comment