Soalan
Bagaimana jika ibu kepada bakal suami tidak memberi restu untuk anak
lelakinya berkahwin dengan perempuan yang tidak disukai oleh si ibu?
Untuk meneruskan perkahwinan atau tidak? Apa hukumnya?
Jawapan
Assalamu 'alaikum warahmatullahi wabarakatuh,Dalam perkara ini, adalah dinasihatkan kepada pengantin lelaki tersebut supaya mendahulukan restu ibunya daripada meneruskan perkahwinan tersebut.
Hal ini adalah kerana Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam telah bersabda yang maksudnya:
Dari Abdullah bin Amru bin Al-Ash Radhiyallahu 'Anhu katanya: Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam bersabda:
"Keredaan Allah berdasarkan keredaan kedua ibu bapa, dan Kemurkaan Tuhan juga berdasarkan kemurkaan kedua ibu bapa".
(Hadis Riwayat At-Tarmizi).
Dalam hal ini, walaupun seorang anak lelaki tidak perlu untuk mendapatkan izin atau kebenaran daripada kedua orang walinya (ibu dan ayah) untuk berkahwin, namun dia sepatutnya mendahulukan reda Allah Subhanahu Wa Ta'ala daripada perkara yang lain. Apalah gunanya hidup bersama dengan wanita yang dicintai sedangkan dirinya hidup di luar reda Allah Subhanahu Wa Ta'ala dan kedua ibu bapanya.
Selain itu, kebahagiaan dan kedamaian hidup berumah tangga itu adalah satu nikmat dari Allah Subhanahu Wa Ta'ala yang dikurniakan kepada insan yang menjadi pilihannya.
Apakah dengan menolak restu darinya menyebabkan kita berhak untuk mendapat nikmat tersebut?.
Dalam pada itu, cuba cari sebab utama yang menyebabkan ibunya tidak bersetuju dengan pilihan hatinya. Cuba untuk atasi masalah tersebut dengan mengadakan perbincangan dengan ibunya.
Jika masih tidak dapat mengubah pendirian ibunya, cuba untuk terima kerana reda Allah Subhanahu Wa Ta'ala adalah segala-galanya di dalam hidup seorang muslim.
Oleh itu, renungilah diri dengan akal yang waras. Sesungguhnya kita dariNya dan akan kembali kepadanya apabila tiba saatnya nanti. Apakah kita hendak kembali dengan kemurkaan ataupun keredaannya.
Semoga jawapan di atas dapat memberi sedikit penjelasan mengenai isu ini. Ringkasnya, rebutlah peluang untuk dapatkan reda Allah Subhanahu Wa Ta'ala dengan mentaati kedua ibu dan ayah kita sementara mereka masih hidup lagi. Wallahu 'Alam
No comments:
Post a Comment