Soalan
Assalam, saya bernazar puasa sebulan, rasanya diniatkan 30 hari berturutan. Perlukah saya berpuasa 30 hari berturutan atau dibolehkan dengan tidak berturutan? Pada hari ke-22 berpuasa saya sendawa, terasa ada sesuatu di kerongkong semasa sendawa dan saya telan semula yang kemudian terasa manis di tekak, saya luahkan balik tapi saya risau jika sebenarnya puasa saya telah batal? Perlukah saya mengulang berpuasa 30 hari? Boleh saya ganti puasa sebulan dengan cara lain untuk memenuhi nazar itu?
Jawapan
Wa'alaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh,Setiap nazar yang dibuat perlu dilaksanakan sebagaimana ia diniatkan. Jika anda telah berniat untuk berpuasa selama sebulan berturut-turut, maka anda perlulah melaksanakannya.
Namun begitu, jika merasakan nazar tersebut sukar untuk dilaksanakan, anda dibenarkan untuk menebus nazar tersebut dengan membayar kifarah nazar. Setelah kifarah tersebut dijelaskan, anda sudah tidak dituntut untuk melaksanakan nazar itu lagi. Sabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam, maksudnya:
“Kifarah nazar adalah kifarah sumpah”.
(Hadis Riwayat Muslim, Ahmad,, Abu Dawud, Nasa'i dan Tirmidzi)
Kifarah nazar adalah seperti berikut:
1. Memberi makan kepada 10 orang fakir miskin, atau
2. Memberi pakaian kepada 10 orang fakir miskin, atau
3. Memerdahekakan seorang hamba yang mukmin, atau
4. Berpuasa 3 hari. Bagi Mazhab Syafi’i tidak disyaratkan secara berturut-turut.
Kifarah di atas adalah lebih utama jika dilaksanakan mengikut keperluan penerima kifarah tersebut.
Walau bagaimanapun pada hari ini, sila rujuk ke Pusat Pungutan Zakat atau Baitulmal yang berdekatan untuk membuat bayaran tersebut. Wallahu 'Alam.
No comments:
Post a Comment