Thursday, December 15, 2011

Halal Dan Haram ASB

Soalan

ingin kepastian kerana banyak percanggahan pendapat

Jawapan

Assalamualaikum wrt. wbt
 Terima kasih kerana menggunakan portal ini untuk kemusykilan agama.
Berkaitan persoalan di atas,
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-80 yang bersidang pada 1 - 3 Februari 2008 telah membincangkan Pelaburan Dalam ASN, ASB Dan Seumpamanya. Muzakarah telah memutuskan seperti berikut:
Setelah mendengar taklimat dan penjelasan serta meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa bagi menjaga kepentingan dan maslahah umat Islam serta mengelakkan kemudharatan yang lebih besar, hukum melabur dalam skim Amanah Saham Nasional (ASN) dan Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) serta dividen atau bonus yang diterima adalah harus.

Dalam perkara yang sama, setelah dibuat kajian semula, Negeri Selangor telah mengeluarkan fatwa seperti berikut:

Setelah meneliti setiap pandangan ahli mesyuarat dan hujah-hujah yang dikemukakan, maka Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali Ke 2/2011 yang bersidang pada 12hb. April 2011M bersamaan 8 Jumadal Ula 1432H telah bersetuju memutuskan bahawa Pelaburan Amanah Saham Nasional (ASN), Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Seumpamanya adalah tidak halal kerana masih belum menepati hukum syarak dengan alasan seperti berikut:-

  1. Skim Amanah Saham Nasional ( ASN ) dan Amanah Saham Bumiputera ( ASB ) secara jelas terlibat dalam aktiviti pelaburan yang bercampur-campur antara patuh syariah dan tidak patuh syariah sebahagian besarnya adalah daripada sektor kewangan konvensional. Ini berdasarkan hadis riwayat Jabir Al-Ja’fi daripada Ibnu Mas’ud:

    مااجتمع الحلال والحرام إلاغلب الحرام الحلال
Maksudnya : “ Tidak bercampur antara yang halal dan yang haram, melainkan mengalahkan yang haram atas yang halal . ”

  1. Skim Amanah Saham Nasional ( ASN ) dan Amanah Saham Bumiputera ( ASB ) diklasifikasikan sebagai dana unit amanah tidak patuh syariah oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti kerana terlibat dalam pelaburan tidak lulus syariah iaitu pelaburan dalam kaunter perbankan konvensional berteraskan faedah melalui Maybank dan pasaran wang.
     
  2. Sumbangan kepada tidak patuh syariah adalah terbesar yang tidak bertepatan dengan kehendak syarak serta kadar yang berubah-ubah ini menyukarkan pelabur untuk membuat pembersihan terhadap hasil dividen.
Dalam hal ini panel berpandangan, terpulanglah kepada kebijaksanaan saudara  untuk memilih / berpegang dengan mana-mana keputusan yang dikeluarkan. Wallahua'lam.

No comments:

Post a Comment