Monday, April 9, 2012

Apa Hukum Membeli Patung?

Soalan

saya ada membeli patung hiasan menyerupai seorang manusia.apa hukumnye?

Jawapan

Dalam masalah ini, jika patung tersebut patung yang berbentuk manusia ataupun haiwan yang sempurna, ia adalah dilarang untuk disimpan.
Akan tetapi, jika patung tersebut tidak sempurna seperti patung manusia atau haiwan yang tidak berkepala ataupun yang tidak sempurna keseluruhan anggotanya, patung seperti ini boleh disimpan.
Di samping itu juga, patung yang dibuat untuk permainan kanak-kanak ataupun untuk tujuan pembelajaran, ia juga dibolehkan untuk disimpan.
Mengenai hal ini, ada riwayat yang menyatakan bahawa isteri Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam (Syaidatina Aishah Radhiyallahu 'Anha), semasa kecilnya amat sukakan permainan anak patung. Pernah satu ketika Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam bertanya kepada beliau; “Apa ini? Jawab Aishah: Ini anak-anak perempuanku (anak patung perempuanku)”, kemudian Rasulullah bertanya lagi: Apa yang di tengahnya itu? Jawab Aishah: Kuda. Rasulullah bertanya lagi: Apa yang di atasnya itu? Jawab Aishah: Itu dua sayapnya. Kata Rasulullah: Apa ada kuda yang bersayap? Jawab Aishah: Belumkah engkau mendengar, bahawa Sulaiman bin Daud ‘Alaihissalam mempunyai kuda yang mempunyai beberapa sayap? Kemudian Rasulullah tertawa sehingga nampak gigi gerahamnya.”
(Riwayat Abu Daud)

Ringkasnya, patung-patung yang dibuat khusus untuk permainan kanak-kanak dan juga untuk tujuan pembelajaran adalah tidak dilarang (tidak menyalahi hukum).
Namun begitu, halnya adalah berbeza jika patung tersebut dibuat untuk tujuan memperingati seseorang ataupun untuk disembah adalah dilarang di dalam Islam kerana ia boleh merosakkan aqidah kita. Wallahu ‘Alam.

No comments:

Post a Comment