Thursday, February 2, 2012

Hukum Mandi Bogel

Soalan

apakah hukum mandi bogel tidak kira ketika mandi biasa atau mandi hadas.

Jawapan

Wa Alaikumussalam Warahmatullahi Wa Barakatuh,
Mandi dalam keadaan bertelanjang adalah diharamkan jika mandi beramai-ramai atau di tempat yang boleh dilihat oleh orang lain  (haram kerana berlakunya pendedahan aurat). Namun, jika mandi bersendirian atau di tempat yang tidak boleh dilihat oleh orang lain seperti di dalam bilik air yang tertutup, ia adalah diharuskan.
Walaupun harus bertelanjang dalam situasi ini, namun tindakan yang terbaik ialah mandi dengan menutup aurat dengan kain basahan atau sebagainya. Hal ini disebabkan oleh terdapatnya satu riwayat hadis dari Mu’awiyah bin Haidah
Radhiyallahu 'Anhu yang menceritakan; Aku telah bertanya Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam; “Ya Rasulullah! Bila masanya wajib kami tutup dan bila masanya boleh kami buka?”.
Jawab Baginda Sallallahu 'Alaihi Wassalam; “Jagalah aurat kamu kecuali kepada isteri kamu atau kepada hamba yang kamu miliki”.
Aku bertanya lagi; “Bagaimana jika sekiranya seseorang dari kami sedang bersendirian?”.
Nabi Sallallahu 'Alaihi Wassalam menjawab; “Allah lebih layak untuk kamu berasa malu dari manusia”.
(Hadis Riwayat Imam Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasai dan Ibnu Majah. Menurut Imam at-Tirmizi; hadis ini adalah hasan).

Wallahu 'Alam.

No comments:

Post a Comment