Soalan
Salam Ustaz, saya berniat untuk Nikah Gantung pada Mac 2014. Selepas
akad nikah selesai, maka saya akan duduk dengan family saya dan isteri
saya akan duduk dengan ayahnya. Jadi soalan saya:
1. Adakah boleh saya jimak isteri saya ketika dalam masa Nikah Gantung
itu dan menggunakan kondom untuk mengelakkan daripada hamil. Apakah
hukumnya?
2. Selepas berlakunya jimak itu dengan menggunakan kondom, adakah nafkah zahir, saya perlu tanggung?
Terima kasih uztaz...
Jawapan
Waalaikumussalam.
Dalam Islam tiada istilah nikah gantung, cuma dalam adat kita apabila
menyebut nikah gantung itu ia bermaksud nikah tanpa kenduri kahwin dan
ada juga tidak tinggal bersama sebagai suami isteri seperti isteri dan
suami tinggal dirumah ibu bapa masing-masing. Dalam Islam/syarak
apabila kita berkahwin dengan seseorang maka kita diikat dengan ikatan
perkahwinan tersebut seperti memberi nafkah zahir dan batin termasuk
makan minum, pakaian, tempat tinggal dan sebagainya. maka dengan ini
tidak timbul diharamkan jimak semasa nikah gantung dengan maksud boleh
kita berjimak dalam apa suasana sekalipun dan tidak perlu pakai kondom
dan tidak perlu mengelak dari hamil. Persoalan disini kenapa pula kita
hendak mengelak dari hamil sehingga kita ingin memakai kondom semasa
berjimak? dan apa pula alasan yang boleh menyebabkan kita ingin berbuat
sedemikian? sedangkan anak yang lahir dalam masa nikah gantung itu pun
sudah sah sebagai anaknya. Penal beranggapan perbuatan sedemikian
(nikah gantung) mungkin ada alasan yang tersendiri seperti tidak cukup
duit untuk membuat kenduri atau tinggal berjauhan atau masih lagi
menuntut di Universiti atau dirasakan umur masih muda atau tidak
bersedia untuk berkahwin dan sebagainya. Alasan sedemikian itu adalah
hanya rempah ratus dalam kehidupan rumah tangga yang perlu kita hadapi
dalam membentuk kematangan hidup dan perasaan tanggung jawab yang
sebenar-benarnya. Cuma kita boleh merancang sesuatu perkara atas alasan
untuk kepentingan bersama pasangan suami isteri dengan syarat ia
dipersetujui bersama dan tidak membebankannya. Ketahuilah bahawa rezeki
seseorang itu adalah ditangan Allah dan diharap dipercepat-cepatkan
rezeki tersebut dan anak itu adalah sebahagian dari rezeki Allah
terhadap kita manakala bala pula perlu dihindari dan sekiranya bala itu
ketentuan Allah maka biarlah ia dilambat-lambatkan serta
dikurang-kurangkan.