Friday, March 30, 2012

Was Was Mengenai Najis


Soalan

Ustaz,baru2 ini saya ada terbaca yg mencuci pakaian bernajis dalam mesin basuh akn menyebabkn semua pakaian itu brnajis kerna air tidak mengalir,hanya bertakung dlm mesin basuh. Skrg saya risau mengenai pakaian2 yg tlh sy basuh dgn cara itu sblm ini..
1)Perlukah saya basuh semua pakaian2 tu semula?Tp baju2 itu trlalu byk.
2)adakah tempat jemuran itu akn jadi brnajis juga?
3)Adakah tangan saya yg basah ketika memegang pakaian tersebut akan menyebabkan najis terkena tempat lain yg disentuh?

Jawapan

1.         Baju yang telah dibasuh dengan cara tersebut adalah dihukumkan menjadi najis. Hal ini adalah disebabkan oleh air yang berada di dalam mesin basuh tersebut yang telah menjadi najis kesan daripada najis yang termasuk ke dalamnya (yang melekat pada pakaian).
Oleh yang demikian, anda dinasihatkan supaya membasuh semula pakaian yang telah dibasuh menggunakan cara tersebut bagi menghilangkan status najis tersebut. Tindakan seperti ini dapat menghilangkan rasa was was dan ragu-ragu mengenai status pakaian tersebut dan seterusnya ibadat yang dikerjakan turut diyakini kesahannya.

2.         Tempat jemuran dan juga tangan anda tidak dihukumkan najis kerana pakaian tersebut tidak menyebabkan najis tersebut berpindah ke tempat lain. Ringkasnya, jika tidak terdapat sifat-sifat najis padanya, maka ia adalah tidak najis.
Sifat-sifat najis:
a.         warna (najis).
b.         Bau najis.
c.         Rasa (dengan sentuhan).

Wallahu 'alam.

Orgams(kepuasan


Soalan

1. seseorang bertanya saya.....sekiranya seorang yang keluar mani wajib mandi ...(samaada bersetubuh atau onani) soalan dia.. wajib mandi juga kah jika dia mencapai kepuasan(onani) tapi tak keluar mani..
2. Seorang gadis mencapai kepuasan sex dengan cara berkhayal dan memegang kemaluannya....tanpa memasukkan sesuatu ke dalam faraj....wajib mandi juga kah?
3. Adakah wanita juga keluar mani?...bagaimana untuk membezakan air mani dengan air mazi?

Jawapan

1.         Jika tidak keluar air mani, dia tidak diwajibkan untuk mandi.

2.         Jika tidak sampai mengeluarkan air mani, maka dia tidak diwajibkan untuk melakukan mandi wajib sekalipun dia merasa puas.

3.         Seorang wanita yang normal juga akan mengeluarkan air mani. Hal ini dapat dilihat melalui sabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam, maksudnya:
“Mani lelaki pekat berwarna putih, mani wanita cair berwarna kuning”.
(Hadis Riwayat Muslim)

Perbezaan di antara air mani dengan air mazi adalah seperti berikut:
*          Mazi ialah air jernih (licin) yang keluar ketika datang syahwat.
*          Mani pula ialah air yang keruh dan pekat yang keluar ketika klimaks syahwat atau sebab bermimpi.
*          Wadi ialah air keruh yang kadang2 keluar ketika kencing atau mengangkat beban berat.
*          Apabila keluar mazi atau wadi, ia membatalkan wuduk dan wajib dibasuh kemaluan dan apa yang terkena dengannya.
*          Manakala apabila keluar mani maka wajib mandi hadas dan keadaannya tidak najis. Maka sunat dibasuh apa yang terkenanya.
Wallahu 'alam.

Adat Pepatih VS Faraid


Soalan

Apa hukumnya jikalau ikut hukum adat pepatih dan buka hukum Islam? Contohnya ibu meninggal dunia, rumah pergi ke anak perempuan bukan ikut faraid? Ada juga kata kerana hak milik/ status tanah. Jikalau benar, kenapa pihak kerajaan tidak menukr undang2 yg bukan saja kolot tapi tidak berdasarkan / berpandukan ajaran Islam sebenar?

Jawapan

Waalaikumussalam,
Hukum dunia ini terbahagi kepada dua,Hukum Allah dan hukum manusia (adat).Sebagai contoh tentang pembahagian harta peninggalan ibu atau bapa yang telah meninggal.
1. Jika yang meninggal itu ayah, yang masih tinggal seorang isteri/ ibu,2 orang anak lelaki dan seorang anak perempuan.Katakan ayah meninggalkan duit dalam bank RM48,000.Sekiranya harta itu dibahagi menggunakan hukum Allah iaitu faraid (Berdasarkan ketetapan al-Quran), ini bermakna ibu dapat 1/6 (RM8,000) daripada harta yang ditinggalkan oleh suaminya yang meninggal.Manakala anak lelaki dapat 2/3 (RM26,666.67)dan anak perempuan dapat 1/3 (RM13333).Itulah keadilan yang hakiki yang tidak boleh dicabar oleh mana-mana orang Islam yang waras.
2.Sekiranya anak beranak tidak mahu menggunakan pembahagian harta dengan cara faraid disebabkan rasa tidak adil. Ini kerana anak lelaki mendapat bahagian yang agak lebih berbanding anak perempuan maka islam mengharuskan (tidak salah) umatnya menggunakan kaedah/cara hukum adat. Iaitu pembahagian yang sama rata demi menjaga kerukunanan dan tali siulaturrahim sesama adik beradik selagi hayat masih ada.
Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, setahu panel adat perpatih yang dimaksudkan sebenarnya mereka mengikut hukum manusia(adat) yang diharuskan oleh agama Islam. Cuma kadangkala kita rasa kurang selesa /adil disebabkan rumah yang ditinggalkan oleh ibu yang mati menjadi milik anak perempuan secara turun temurun dan bukannya menjadi milik anak lelaki atau dibahagi secara saksama sesama adik beradik.
Situasi ini sebenarnya adalah untuk menjaga hubungan kekeluargaan dan silaturrahim antara adik beradik.Rasionalnya apabila rumah ibu sudah menjadi miliki anak lelaki besar kemunkinan ia dijual.Jadi apabila ada majlis kenduri kendara terutama semasa perkahwinan ,hariraya atau kematian rumah itu bukan lagi menjadi tempat berkumpulnya adik beradik setelah kematian ibu.Justeru hubungan kekeluargaan semakin hari semakin renggang dan jauh. Oleh sebab itulah kebanyakan golongan cendikiawan dan agamawan di negeri berkenaan mengharuskan kaedah dan adat sedemikian diamalkan di negeri Sembilan.
Panel syor berdasarkan prinsip agama Islam, janganlah anda dek kerana hendak kejar harta pusaka yang tidak seberapa kita sanggup buang saudara dan bermusuhan sampai ke mati ,fikir-fikirkan kebaikan apabila dilaksanakan hukum manusia (adat) di negeri berkenaan.Wallahu a'lam.

Masalah Bersuci


Soalan

Salam alaik, ustaz, bagaimanakah cara membersihkan seluar yg terkena percikan air kencing? adakah perlu dilalukan air atau memadai dengan memercikkan beberapa titis air sahaja?dan kalau kita tidak pasti bahagian seluar yg mana terpecik air kencing tersebut,adakah perlu kita lalukan air di semua bahagian kaki seluar?mohon penjelasan..terima kasih..

Jawapan

Wa'alaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh, cara untuk membersihkan seluar tersebut daripada air kencing adalah dengan menggunakan air yang agak banyak. Hal ini adalah kerana perlunya melalukan air di atas seluar tersebut bagi membersihkan najis tersebut.
Ringkasnya, adalah tidak memadai jika hanya sekadar menitiskan air di atas seluar tersebut kerana ia tidak dapat untuk menghilangkan najis.
Namun, jika anda tidak pasti bahagian yang manakah terkena air kencing,  apa yang perlu anda lakukan ialah dengan membersihkan keseluruhan seluar tersebut terlebih dahulu sebelum memasukkannya ke dalam mesin basuh.
Dengan cara ini, cucian pakaian dengan menggunakan mesin basuh adalah lebih menepati kehendak Syara' dan dalam masa yang sama dapat menghindarkan daripada mengotorkan kesemua pakaian yang dibasuh bersama seluar tersebut. Wallahu 'alam.

Bacaan Yassin Beramai-ramai


Soalan

Dalam majlis bacaan yassin beramai-ramai, terdapat beberapa individu yang kurang mahir membaca yasssin termasuk kesilapan tajwid. Saya difahamkan bahawa membaca yassin tanpa mengikut hukum tajwid yang betul menyebabkan kita berdosa. Dalam masaalah ini, adakah dosa yang dilakukan oleh individu ini akan ditanggung sama oleh semua yang hadir termasuk individu yang mahir dalam bacaan dan tajwid. Diharap mendapat penjelasan dari pihak tuan.

Jawapan

Dalam hal ini, kesilapan yang dilakukan oleh mereka yang tidak mahir membaca Al-Quran adalah ditanggung oleh mereka sendiri. Hal ini berikutan daripada dosa yang dilakukan oleh seseorang itu adalah ditanggung oleh dirinya sendiri. Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala, maksudnya:
“Tidaklah kejahatan yang dilakukan oleh tiap-tiap orang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya.”
(Surah al-An’am: 164).

Oleh yang demikian, dengan berasaskan kepada ayat di atas jelaslah bahawa tidak ada sesiapa pun yang akan menanggung dosa orang lain. Ringkasnya, siapa yang melakukan kemungkaran dialah yang akan menanggungnya sendiri. Begitu jugalah dalam kes ini. Orang yang tidak membaca Al-Quran sebagaimana yang diperintahkan akan menanggungnya sendiri. Wallahu 'alam.

Hukum Sembahyang Subuh Diwaktu Imsak Sebelum Azan


Soalan

boleh kah kita sembahyang subuh dlm waktu imsak sebelum azan subuh,adakah sah solat saya?

Jawapan

Waalaikumussalam,
Salah  satu syarat sahnya   sesuatu solat itu ialah masuknya  waktu  solat tersebut. Oleh kerana waktu imsak itu belum dikira masuknya waktu solat subuh maka apabila kita tunaikan solat subuh ia dikira tidak sah.Ini kerana  waktu solat sebenar  masih belum masuk .Wallahu a'lam.

Monday, March 26, 2012

Hukum Mengetahui Karakter Diri Melalui Tarikh Lahir Dan Sbagainya

Soalan

saya ada terbaca bahawa hukum kita membaca ramalan bintang zodiak/ramalan2 yg lain adalah haram dan sembahyang kita tidak akan diterima selama 40 hari. Tapi bagaimana pula hukumnya, sekiranya kita membaca sifat/karekter diri kita berdasarkan tarikh lahir atau sbaginya?adakan hukumnya jga same?

Jawapan

Ya ianya adalah sama. Ini kerana tarikh lahir tidak boleh dijadikan petunjuk (Penentu @ hakim) tentang sifat sesaorang

TALAQ MELALUI FACEBOOK

Soalan

Saya telah bergaduh hebat dengan suami di dalam facebook dan menyebabkan suami melafazkan "aku ceraikan ko" ditaip sebanyak tiga kali tetapi dia hanya berniat cerai talaq satu sahaja dan menganggap tulisan kedua dan ketiga adalah kerana saya tidak membaca tulisan pertama disebabkan saya sedang sibuk membalas pergaduhan tanpa melihat lafaz yang diucapkan. selepas dari itu baru saya membacanya dan menyedari ada 2 tulisan lafaz cerai. saya ulang membaca lagi dan dapati rupanya ada 3 lafaz cerai.

Jawapan

Ya jatuh talak. Walau bagaimana pun untuk memastikan adakah ianya tiga atau satu saudari perlu rujuk kepada Mahkamah Syariah.

Program Kesihatan Atau Kecantikan Hari Ini

Soalan

Salam. Apakah hukumnya jika saya mengikuti program kesihatan atau kecantikan seperti menggunapakai "bracelet" untuk tujuan memperbaiki susunan gigi atau slimming program.

Jawapan

Waalaikumussalam,
Hukum mengikuti program kesihatan atau kecantikan bracelet itu adalah harus.Ia bukannya bertujuan untuk mengubah kejadian sebenar Allah SWT.Sebaiknya ia  adalah untuk memperelukkan susunan gigi agar individu @ insan tersebut  tidak dipandang rendah/hina/ditertawakan di depan oleh orang lain.Wallahu a'lam

Bolehkah Berbaik Ngn Org Yahudi??

Soalan

bolehkah kita berbaik ngn orang yahudi yang bukan zionis??

Jawapan

Secara umumnya adalah tidak boleh kerana larangan al-Quran dan apa yang dilakukan oleh yahudi terhadap ummat Islam di Palestin . Walaubagai manapun kita tidak dilarang untuk bersahabat dengan golongan yang baik dikalangan mereka yang tidak memusuhi ummat islam.

Doa Dalam Sujud

Soalan

salam
bolehkah kita berdoa didalam setiap sujud.

Jawapan

Wassalam,
Dalam persoalan ini, kita diharuskan untuk berdoa di dalam setiap sujud yang dilakukan. Hal ini berikutan daripada tiada larangan ataupun pengkhususan yang telah ditetapkan oleh Syara' mengenainya. Malah Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam ada menyatakan bahawa pada waktu sujudlah saat yang paling hampir seseorang hamba itu dengan Tuhannya Allah Rabbul ‘izzati. Sabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam, maksudnya:
"Masa seorang hamba itu paling hampir dengan Allah Subhanahu Wa Ta’ala adalah sewaktu ia sujud. Oleh itu, perbanyakanlah doa kerana ia pasti akan diperkenankan".
(Hadith riwayat Muslim)

Dari itu, perbanyakanlah berdoa di dalam mana-mana sujud yang dilakukan. Semoga Allah Subhanahu Wa Ta'ala memakbulkannya. Wallahu 'alam

Perkahwinan Atas Belas Kasihan

Soalan

saya tak tahu nak ckp mcm ner rase malu pon ader..lagi2 dengan ALLAH...raser berdoser sngt...saya dah terlamjur debgan kekasih saya dah kami msg2 dah berkahwin..sy rase berdose sngt dgan suami saye tak sngp tipu dia lg..mgkin dia tak nk maafkn saye sekirenya dia tahu hal nie...saye cbe jdi isteri y baik tapiii saye tak mampu tahan baran dia...Saye dah cube minta cerai tapi dia tk nk lepaskn saye.mcm2 sye sktkn hati dia...dia tetap tk nk tglkn saye...sye tk nk dia tggung dose sy lg...

Jawapan

Saudari berdosa dan telah melakukan perkarab yang besar, jesteru perlu bertaubat dengan taubat nasuha. suami saudari menyayangi saudari dan tidak mahu berpisah, Jesteru berbincanglah dengan suami untuk menjadi keluarga yang soleh. Mulakan dengan solat berjemaah di masjid surau magrib, isyak dan subuh. semoga kita dirahmati Allah

Friday, March 23, 2012

Perlukah Rapat Tumit Kaki Sewaktu Sujud?

Soalan

assalamualaikum..sy ada 1 soalan mengenai sujud..perlukah dirapatkan tumit kaki sewaktu sujud?

Jawapan

Wa'alaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh, anda tidak perlu untuk merapatkan tumit kaki semasa sujud kerana ia tidak disyaratkan untuk berbuat demikian.
Ringkasnya, semasa sujud hanya perlu cukupkan 7 anggota sujud sahaja, iaitu dahi, dua tapak tangan, dua kepala lutut dan anak jari kedua-dua belah kaki. Wallahu 'alam

Thursday, March 22, 2012

SAH KE SOLAT LEPAS MANDI WAJIB

Soalan

Sah ke solat selepas mandi wajib dengan tidak mangambil wudhu (air sembahyang).
(Lepas habis mandi wajib kita solat)

Jawapan

Solat yang didirikan adalah sah. Hal ini adalah kerana tuntutan untuk berwudhu’ hanya kepada mereka yang berhadas kecil. Akan tetapi bagi mereka yang berhadas besar/berjunub, mereka hanya dituntut untuk melakukan mandi wajib sahaja.
Perkara ini ada disebut di dalam Al-Quran, firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala, maksudnya:
“Wahai  orang-orang   yang   beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwudu'lah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali; dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib...”
(Surah Al-Ma’idah 6)

Ringkasnya, berasaskan kepada ayat di atas, dengan jelas Allah Subhanahu Wa Ta'ala tidak memerintahkan orang yang berjunub (berhadas besar) untuk berwudhu’ di waktu mereka hendak mengerjakan solat, tetapi Allah hanya memerintahkan mereka supaya melakukan mandi sahaja, dan ini menunjukkan bahawa mandi tersebut telah menjadikan mereka berada di dalam keadaan yang suci daripada hadas (hadas besar dan hadas kecil), dan inilah pendapat Jumhur Ulama’.

Kesimpulannya, mereka yang telah mandi wajib/hadas besar/junub tidak perlu untuk berwudhu’ lagi sekiranya mereka hendak mendirikan solat. hal ini adalah kerana mereka telah pun suci daripada kedua jenis hadas, iaitu hadas besar dan kecil. Wallahu 'Alam.

Najis Mughallazah

Soalan

Salam Panel.Apabila hujan adakah najis anjing yang terdapat di atas tanah menyebabkan kawasan sekitarnya seperti batu-batu menjadi najis mughallazah?Apabila kita memegang batu - batu tersebut dalam keadaan kering terdapat debu - debu yang melekat di tangan kita.Apabila kita menyucikan tangan dengan air membuang debu - debu tersebut adakah tangan kita menjadi najis dan perlu disamak?

Jawapan

Wassalam, batu-batu dan tempat di sekitar najis tersebut tidak dihukumkan najis sekiranya tidak terdapat padanya kesan atau ain najis tersebut. Jika ada padanya kesan atau ain najis, barulah tempat itu dihukumkan najis.
Ringkasnya, sesuatu benda itu akan dihukumkan najis apabila padanya terdapat 3 ciri/sifat najis:
1.         Terdapat warna najis padanya.
2.         Apabila dicium terdapat bau najis padanya.
3.         Apabila disentuh dengan tangan/kaki wujudnya rasa melekit, licin atau sebagainya.

Jika tiada ketiga-tiga atau salah satu daripada tiga cirri di atas, maka jelaslah bahawa tempat tersebut tidak najis.
Dari itu, tangan anda yang menyentuh batu tersebut tidak perlu disertu (disamak) jika tidak terdapat padanya tiga cirri di atas. Wallahu 'alam

Denda Yang Harus Dijelaskan

Soalan

saya telah terlanjur sebelum berkahwin,teman lelaki saya ingin bertanggungjawab dan menikahi saya,tetapi saya menangguhkan kerana keluarga menghalang saya memeluk agama islam.setelah kandungan mencecah 3 bulan keluarga masih enggan maka saya mbuat keputusan untuk bertaubat dan memeluk islam.sekarang saya ingin bertanya apakah denda dan prosedur yang perlu saya jalani sebelum saya boleh melangsungkan pernikahan dengan teman lelaki sya/\

Jawapan

Dalam masalah ini, anda bersama teman lelaki anda diminta supaya merujuk kepada Pejabat Agama Daerah yang berdekatan untuk menguruskan proses pengislaman anda (mengikut prosedur/undang-undang) dan juga membuat permohonan untuk bernikah.
Dalam pada itu, perlu diingatkan bahawa anak yang di dalam kandungan anda kini tidak boleh dinasabkan kepada teman lelaki anda apabila dilahirkan nanti. Hal ini adalah kerana dia merupakan anak tak sah taraf (anak luar nikah). Anak luar nikah tidak boleh dibin/bintikan kepada sesiapa. Nasabnya adalah kepada ibunya sendiri ataupun kepada nama Abdullah atau nama-nama Allah Subhanahu Wa Ta'ala yang lain (diletakkan “Abdul” di hadapannya)
Sila dapatkan maklumat mengenainya di Pejabat Agama Daerah tersebut. Wallahu 'alam

Munakahat,perkahwinan

Soalan

Assalamualaikum..apakah yg patut saya lakukan sekiranya telah mengetahui bahawa seorang Hamba Allah ini berkahwin sindiket.setelah merujuk kepada yg pakar terbukti pernikahan tidak sah.apakah hukum jika saya berdiam diri?atau perlu membuat

Jawapan

Wa'alaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh, dalam persoalan ini anda dikehendaki memaklumkan kepada pasangan tersebut mengenai status pernikahan mereka yang tidak sah. Minta mereka melakukan aqad nikah semula mengikut cara yang dianjurkan di dalam Islam. Jika tidak, hal ini akan membabitkan nasab keturunan anak-anak mereka yang tidak boleh dinasabkan kepada ayah mereka sendiri.
Jika mereka berdegil, anda diminta supaya membuat laporan di Pejabat Agama Daerah yang berdekatan mengenai kes tersebut. Wallahu 'alam

Wednesday, March 21, 2012

Taubat Orang Yang Menggugurkan Anak Luar Nikah

Soalan

Assalamualaikum,
1)Apakah bentuk taubat untuk perempuan yang belum berkahwin yang melakukan zina.
2)Apakah bentuk taubat untuk perempuan yang belum berkawin yang menggugurkan anak luar nikah tersebut. Apakah benar, perlu berpuasa 60 hari berturut-turut? Jika tidak berdaya untuk berpuasa adakah dibolehkan membayar fidyah sebanyak 3.5kg beras/hari selama 60 hari untuk fakir miskin atau apakah jumlah sepatutnya yang perlu dilakukan. Mohon penjelasan yang mendalam dari pihak ustaz, Terima kasih.

Jawapan

Wa'alaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh,
1.         Di dalam Islam, setiap kesalahan yang dilakukan perlu dihapuskan dengan cara bertaubat. Jika kesalahan tersebut adalah kesalahan sesama manusia, maka hanya manusia tersebut sahaja yang boleh memaafkannya. Demikian juga dengan dosa kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala, hanya Allah sahaja yang boleh mengampunkannya.
Di dalam kesalahan zina, ia adalah satu kesalahan yang telah menceroboh hak Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Hanya Allah Subhanahu Wa Ta'ala sahaja yang boleh mengampunkan kesalahan ini.
Dari itu, kepada pelaku zina apa yang perlu mereka lakukan adalah bertaubat dengan taubat nasuhah dan seterusnya memenuhi syarat-syarat taubat yang telah digariskan oleh Islam. Syarat-syarat tersebut adalah seperti berikut:
i.          Ikhlas ingin bertaubat.
ii.          Meninggalkan segala dosa.
iii.         Menyesali atas dosa yang dilakukan.
iv.         Tidak mengulangi lagi perbuatan maksiat/dosa tersebut.
v.         Dikerjakan sebelum ajal tiba.
 
Selain itu juga, perlu jauhkan diri daripada perkara-perkara yang boleh mendorong kita mengulangi lagi perbuatan dosa tersebut.
Perbanyakan ingat kematian kerana dengan cara itu dapat mendorong diri supaya sentiasa berwaspada dengan amalan dan perbuatan yang boleh menjerumuskan diri ke kancah dosa. Seterusnya sentiasa beringat mengenai bekalan yang akan dibawa untuk menghadap Allah Subhanahu Wa Ta'ala.
 
2.         Bagi perempuan yang melakukan kesalahan zina dan telah menggugurkan kandungan zinanya itu juga perlu melakukan taubat sebagaimana jawapan di atas.
Ringkasnya, dia perlu kembali ke pangkal jalan dan berusaha untuk menjadi seorang Muslimah yang solehah.
Mengenai perlu berpuasa selama 60 hari atau memberi makan kepada 60 orang fakir miskin selama 60 hari adalah satu bid'ah yang tidak ada sandarannya di dalam Islam. Masyarakat Islam perlu lebih berhati-hati dengan dakwaan-dakwaan seperti ini. Carilah orang yang berautoriti di dalam ilmu Islam untuk dijadikan tempat rujukan agar jawapan yang diterima adalah menepati dengan ajaran Syariat Islam yang sebenar.
Wallahu 'alam.

Apakah Hukum Seorang Perokok

Soalan

apakah hukum bagi seorang perokok tegar? adakah haram?

Jawapan

Dalam masalah ini, dengan berasaskan kepada keputusan fatwa yang telah dikeluarkan oleh Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan yang menyatakan bahawa tabiat merokok itu adalah dihukumkan haram. Keputusan ini adalah berdasarkan kepada berbagai kesan negatif yang timbul kesan daripada tabiat ini terutamanya dari aspek perubatan (kesihatan), sosial dan juga ekonomi.
Oleh yang demikian, hukum merokok adalah haram dan perokok tegar perlu berusaha untuk berhenti daripada terus melakukan perbuatan yang dilarang di dalam Islam, iaitu mendedahkan diri dan orang lain kepada kebinasaan/penyakit.
Semoga anda semua mendapat rahmat dan diberi kekuatan untuk berubah menjadi seorang Muslim yang taat. Wallahu 'alam.

Solat Qada Tahun-tahun Yang Lalu

Soalan

saya pernah meninggal solat pada usia remaja dahulu,anggaran 5 tahun.kini saya ingin qadar kan kembali solat2 sy yang lalu dan ingin bertaubat.soalan saya,
1. saya tak tahu jumlah yg tlh ditinggalkan?
2. bolehkah qadar solat zuhur cthnya sebanyak 3 kali qadar zuhur selepas solat zuhur dalam 1 hari terus?
3. bolehkah qadar zuhur pada waktu2 solat lain?

Jawapan

1.         Jika anda telah kenal pasti jumlah bilangan tahun yang telah ditinggalkan, maka apa yang perlu anda lakukan ialah mengira jumlah bilangan hari untuk 5 tahun tersebut. Panel mencadangkan supaya anda mengiranya mengikut bilangan hari dalam satu tahun Hijriah (354 hari).
Oleh itu, 354 hari anda darabkan dengan 5 (solat fardu dalam satu hari), dan jumlahnya adalah merujuk kepada jumlah solat fardu yang perlu anda qadha'kan.
2.         Anda boleh berbuat demikian (ikut kemampuan anda).
3.         Solat qadha' Zuhur boleh dibuat pada bila-bila masa sahaja (yang anda inginkan).
Wallahu 'alam

Tuesday, March 20, 2012

Hukum Dan Sebab Menjual Baja Dari Najis Ayam?

Soalan

hukum dan sebab menjual baja dari najis ayam?

Jawapan

Hukum menjual najis ayam adalah tidak sah dan duit yang diperolehi daripada urus niaga tersebut juga tidak boleh digunakan untuk memenuhi keperluan diri. Ringkasnya, urus niaga benda yang najis adalah tidak diakui di dalam sistem muamalat Islam.
Namun begitu, jika wang yang diterima adalah sebagai upah bagi kerja-kerja pengumpulan najis tersebut, ia adalah dibolehkan dan duit yang diterima juga boleh digunakan. Wallahu 'alam.

Daging Aqiqah Untuk Anak Lelaki

Soalan

Assalamualaikum. Saya berniat untuk melakukan ibadah aqiqah untuk anak lelaki saya. Saya ingin tahu benarkah daging yang dimasak untuk tujuan aqiqah tidak boleh diberi makan kepada yang bukan beragama Islam?

Jawapan

Wa'alaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh, memang benar daging Aqiqah tidak boleh diberi makan kepada orang bukan Islam. Hal ini disebabkan daging tersebut adalah dibuat atas tujuan ibadat. Oleh itu, orang bukan Islam tidak layak untuk memakannya (pendapat mazhab Syafi’i). Wallahu 'alam.

Anak Lelaki Memandikan,kafankan Dan Solatkn Jenazah Ibu..

Soalan

adakah anak lelaki boleh menguruskan jenazah ibu kandung dari memandikan,mengkafankan mengsolatkan dan mengkebumikn?

Jawapan

Mengenai pengurusan jenazah seorang ibu, adalah menjadi tanggungjawabnya sebagai seorang anak lelaki untuk menguruskan jenazah ibunya bermula daripada memandikannya, mengkafankannya, menyolatkan jenazahnya dan seterusnya mengkebumikannya. Malah, beliau lebih afdal menguruskan jenazah ibunya daripada diserahkan kepada orang lain yang belum tentu dapat menyembunyikan keaiban ibunya daripada diketahui oleh orang lain. Wallahu 'alam.

Friday, March 16, 2012

Istinjak Dengan Air Berkeladak

Soalan

Assalamua'laikum,
ketika ketiadaan air dikwsn tempat tinggal,saya telah menggunakan air paip yg disimpan dlm botol dibiar lama lalu wujud keladak dibawahnya,
Suci atau tidak beristinjak dengan air itu?
jika tidak suci,bagaimana dgn pakaian yg saya gunakan selepas beristinjak dgn air itu?
Wasalam.

Jawapan

Wa'alaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh, air tersebut boleh digunakan untuk dibuat istinjak. Hal ini adalah kerana keladak tersebut tidak dihukumkan sebagai suatu benda yang najis.
Oleh itu, air tersebut adalah air mutlaq dan boleh digunakan untuk mencuci najis ataupun mengangkat hadas. Wallahu 'alam.

Solat Jumaat Dan Hukumnya

Soalan

assalamualaikum wbt..sy de 1 soalan..adakah sah solat jumaat krn syarat wajib solat jumaat adalah baligh dan syarat sah solat jumaat adalah 40org jemaah..adakah sah solat itu jika dalam lingkungan 40 jemaah itu jemaah kanak-kanak.....

Jawapan

Wa'alaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh,
Mengenai persoalan yang diutarakan, menurut Mazhab Syafi'i antara syarat sah solat Jumaat ialah terdapatnya jemaah seramai 40 orang yang telah aqil baligh dan memenuhi syarat-syarat wajib Juma’at yang lain.
Oleh itu, jika bilangan jema’ah yang memenuhi syarat wajib juma’at tidak mencukupi, ini bermakna gugurlah kewajipan mengerjakan Solat Juma’at bagi kumpulan tersebut.
Walaupun kewajipan untuk melaksanakan tuntutan solat juma’at telah gugur, namun kewajipan untuk mendirikan solat fardu zuhur adalah berkekalan.
Oleh itu, adalah wajar jika mereka mengerjakan solat fardu zuhur secara berjema’ah sebagai menggantikan solat juma’at yang telah gugur. Wallahu 'alam

Bagaimana Cara Untuk Samak Yang Betul?

Soalan

bagaimana untuk samak?

Jawapan

Samak atau sertu adalah salah satu cara penyucian di dalam Islam.
Ia digunakan untuk membersihkan najis yang berat (najis mughallazah).
Najis mughallazah ialah najis yang berpunca daripada anjing, babi dan semua keturunannya.
Cara melakukannya adalah seperti berikut:
  1. Tempat yang terkena najis dibasuh dengan air yang telah dicampurkan dengan tanah.
 
  1. Tempat tersebut kemudiannya dibilas/dicuci pula dengan menggunakan air mutlaq biasa (boleh gunakan air paip atau sebagainya) sebanyak 6 kali bilasan.
 
Demikianlah cara melakukan sertu.
Oleh yang demikian, apabila telah melakukan kedua-dua langkah di atas, maka tempat tersebut (yang terkena najis mughallazah) telah kembali menjadi suci. Wallahu 'alam

Mandi Hamil 7 Bulan

Soalan

Assalamualaikum, saya ingin bertanya tentang adat melayu iaitu mandi hamil 7 bulan. Adakah adat ini bercanggah dengan Islam?

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t
Adat yang tidak bercanggah dengan syariat jika dilakukan dengan niat kerana Allah maka kita akan dikurniakan pahal di sis Allah.
Persoalan bahawa tentang adat seperti lenggang perut, mandi tujuh bulan dan sebagainya jika ia menganggap bahawa jika tidak dilakukan adat tersebut maka akan ditimpa celaka dan marabahaya. Ini akan menyebabkan jatuh ke lembah syirik. Jika sekadar untuk menyegarkan tubuh badan dan membersihkan kekotoran maka tiada bersalahan dari segi syarak.
Islam menolak istilah "matlamat menghalalkan cara".

Sah Wudhuk Jika Bertelanjang?

Soalan

asalamualaikum saya ingin bertanya adakah sah wudhuk, jika berwudhuk tanpa berpakaian? atau hanya bertuala bagi wanita??

Jawapan

Waalaikumussalam,
Berwuduk dalam keadaan telanjang  dalam bilik air hukumnya  adalah makruh.Manakala wuduk yang diambil itu sah.Justeru panel syorkan agar anda pakailah pakaian sekalipun hanya dengan memakai   tuala mandi bagi tujuan ambil wuduk. Ini kerana 2 maklhuk Allah yang sentiasa berdampingan setiap masa dengan kita ialah  malaikat rakid dan atid.Justeru mereka itu sebenar  tahu malu, takkan kita manusia tidak memiliki sifat sedemikian.
Justeru panel harapkan agar kita memiliki akhlak yang tinggi ketika berhadapan dengan makhluk Allah yang tidak nampak lebih-lebih lagi penciptaNya yang Maha Agung iaitu Allah SWT.Wallahu a'lam.

Melancap Perlu Mandi Hadas Ke?

Soalan

kalau kita melancap, kita nak s0lat,perlukah mandi wajib?

Jawapan

Waalaikumussalam,
Perbuatan melancap ialah mengeluarkan mani dengan apa jua cara sama ada menggunakan tangan atau menggeselkan kemaluan ke tempat-tempat tertentu sehingga ia mencapai kemuncak klimak sehingga mengeluarkan air mani itu hukumnya adalah haram dan berdosa.Justeru anda perlu bertaubat dan segera meninggalkan perbuatan tersebut di samping  menyesal di atas perbuatan dan berazam tidak akan mengulanginya kembali.
Berbalik kepada soalan jika air mani telah keluar ini bermakna anda telah berada pada tahap hadas.Akibatnya anda tidak bolerh menunaikan solat,membaca al-Quran dan berpuasa.Justeru anda perlu mandi wajib  terlebih dahulu bagi membolehkan anda menunaikan ibadah  fardu kepada Allah SWT.Wallahu a'lam.

Monday, March 12, 2012

Pewarna Rambut Bertanda Halal

Soalan

salam

saya nak tanya, adakah semua pewarna rambut yang mempunyai tanda halal boleh digunakan dan telap air?

Jawapan

Wassalam,
Dalam masalah ini, pewarna rambut yang terdapat padanya logo halal hanya merujuk kepada kandungan/ramuan pewarna itu sahaja dan ia tidak berkaitan dengan status pewarna tersebut sama ada telap air ataupun tidak.
Oleh yang demikian, untuk mengetahui status pewarna tersebut adakah ia telap air ataupun tidak para pengguna Islam perlu merujuknya kepada pihak pengeluar pewarna tersebut.
Segala kesulitan amat dikesali. Wallahu 'alam

Niat Dan Cara Qadakan Solat Fardhu 5 Waktu...

Soalan

Bagaimanakah cara meng qada kan solat fardhu 5 waktu yang terlepas atau tinggal dengan sengaja..
1 ) apakah cara qada kan solat tersebut?
2) niat qada kan solat??
3) saya terlepas solat subuh?? bagaimana mana qada kan?? apa waktu yang sesuai?? harap ustaz jelas satu per satu... mudah bagi saya faham..

Jawapan

Assalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
1.         Solat fardu yang tertinggal atau tidak didirikan pada waktunya perlu diganti (qadha’). Cara melakukannya adalah sama seperti solat fardu yang telah ditinggalkan. Sebagai contohnya, jika tertinggal Solat Zuhur yang mempunyai 4 raka’at, maka solat qadha’ bagi Solat Zuhur tersebut juga mestilah sama seperti Solat Zuhur yang didirikan dalam waktunya. Apa yang membezakan di antara kedua solat ini hanyalah pada niatnya sahaja (di dalam takbir; Ada’an/Qadha’an).

2.         Niat Qadha’ bagi solat fardu lima waktu:
1.   maghrib:
“Sahaja aku solat fardu maghrib tiga rakaat qadha’ kerana Allah Ta’ala”

 

2.     Solat Isyak:

“Sahaja aku solat fardu Isyak empat rakaat qadha’ kerana Allah Ta’ala”

3.Solat Subuh:

“Sahaja aku Solat Fardu Subuh dua rakaat qadha’ kerana Allah Ta'ala”

4. Solat Zuhur:
“Sahaja aku solat fardu Zuhur empat rakaat qadha’ kerana Allah Ta'ala”

5. Solat Asar:
“Sahaja aku solat fardu Asar empat rakaat qadha’ kerana Allah Ta'ala”

3.         Jika anda tertinggal Solat Fardu Subuh, anda sudah boleh meengerjakan solat qadha’ untuknya sebaik sahaja matahari telah terbit. Ringkasnya, ia sudah boleh dikerjakan sebaik sahaja telah tamat waktunya.

Selamat beribadat. Wallahu 'alam

Adakah Batal Wuduk Jika.......

Soalan

Assamlamualaikum ustaz, saya ingin bertanya adakah batal wuduk jika tersentuh org perempuan bukan islam..untuk pengetahuan ustaz, saya seorang kakitangan kerajaan yg perlu berdepan dgn public seawal jam 6 pg...dan satu lg saya ingin tahu aurat antara perempuan yg beragama islam apabila bersama perempuan bukan islam...terima kasih

Jawapan

Wa'alaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh,
Dalam kes ini, bersentuhan kulit diantara wanita Islam dengan wanita bukan Islam tidak membatalkan wudhu'. Hal ini adalah disebabkan semua manusia adalah suci, apa yang kotornya diri seseorang yang bukan Islam itu hanyalah aqidah dan kepercayaannya sahaja.
Mengenai aurat seorang wanita Islam semasa berada di hadapan wanita bukan Islam adalah keseluruhan tubuhnya melainkan muka dan dua tapak tangan sahaja. Wallahu 'alam.

Friday, March 9, 2012

Perasaan Was Was Terlupa Rakaat Yang Keberapa Ketika Solat...

Soalan

A'slm ustaz, jika terlupa rakaat yang keberapa ketika solat? adakah kita perlu ulang semula solat kita? bagaimana dengan wudu pulak ustaz, adakah batal atau ambil lagi semula? lagi 1 ustaz doa maner ketika sblm solat, supaya kte khusuk ketika solat?....

Jawapan

Wa’alaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh,
Jika terlupa sudah berapa raka’at yang telah dilakukan, anda tidak perlu untuk mengulang semula solat yang telah didirikan. Apa yang perlu dilakukan hanyalah mengambil bilangan raka’at yang paling kurang dan sebelum memberi salam anda disunatkan untuk melakukan Sujud Sahwi.
Dalam kes seperti ini, ia tidak menyebabkan wudhu’ yang telah diambil terbatal.
Antara cara yang boleh anda lakukan dalam usaha untuk menjaga solat yang hendak dikerjakan adalah dengan memohon perlindungan dari Allah Subhanahu Wa Ta'ala agar dipelihara daripada rasa was was yang berpunca daripada bisikan syaitan, jin dan juga manusia. Untuk itu,Anda dianjurkan supaya beristighfar dan membaca surah An-Nas sebelum bertakbir (memulakan solat). Disamping itu juga, anda perlu menjaga hati anda agar sentiasa beringat bahawa diri anda sedang menghadap Allah Subhanahu Wa Ta'ala dan dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap solat yang sedang didirikan.
Semoga anda dapat menikmati kekhusyukan di dalam solat. Wallahu 'alam

Kemusykilan Menderma Darah

Soalan

Salam. Saya ingin bertanya berkenaan derma darah yang hukumnya harus. Tapi bukankah darah merupakan najis yang boleh membatalkan wuduk? Harap dapat penjelasan pihak tuan tentang perselisihan ini terima kasih.

Jawapan

Waalaukumussalam,
Hukum menderma darah itu  adalah harus.Ia bertujuan untuk membantu mereka yang memerlukan ketika berlakunya kemalangan atau selepas pembedahan.Hukum asal darah itu  najis apabila  ia terkena kain,baju dan pakaian yang kita pakai.Adakah kita pakai darah  yang di dermakan itu di luar badan ? sedangkan Allah telah jadikan salur nadi dan pembuluh darah untuk memudahkan darah tersebut mengalir dan terus ke jantung bagi tujuan pengepaman dan menghantar keseluruhan anggota badan kita bagi membolehkan kita terus hidup?.
Justeru kita kena berfikir secara positif, darah tidak akan membatalkan wuduk jika ia diletakkan dalam saluran pembuluh darah khas yang telah Allah ciptakan di bahagian dalaman jasad manusia.Wallahu a'lam.

Penggunaan Sabun Anti-bakteria Dettol

Soalan

assalamualaikum....
saya berasa was-was tentang penggunaan sabun anti bakteria jenama dettol yang mana logo/lambangnya seakan-akan tanda SALIB. apakah kita boleh menggunakannya atau sebaliknya.

Jawapan

Wa'alaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh,
Dalam kes seperti ini, jika sudah terdapat pada produk tersebut logo halal Malaysia ini bermakna ia boleh digunakan oleh para pengguna Islam tanpa rasa was was.
Walau bagaimanapun, untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenainya, sila hubungi talian 03 83150200 untuk dapatkan maklumat lanjut. Wallahu 'alam

Bermimpi Bekas Pasangan

Soalan

apakah maksud jika kita sering bermimpi bekas kekasih, sedangkn masing2 telah berumah tangga, yang menjd persoalan suami sye sejak kebelakangan ini sering bermimpi bekas kekasih nya yg ditinggalkan 7 tahun lalu, perpisahan mereka disebabkan bekas kekasih telah mngandung anak luar nikah dengan lelaki lain. Sya menjadi tertekan apabila suami sering bercerita tentang tingkah laku bekas kekasih yg manja & pndai melayan. Suami memberitahu perasaan cinta mula berputik kembali kpd bekas kekasih.

Jawapan

Dalam kes ini, mimpi yang dialami oleh seorang muslim adalah disebabkan oleh 3 punca atau penyebab, iaitu:
1. Bisikan jiwa.
2. Gangguan syaitan.
3. Petunjuk Allah S.W.T.

Oleh yang demikian, Panel merasakan mimpi tersebut adalah disebabkan oleh dua factor yang pertama. Dari itu, suami anda dinasihatkan supaya jangan terlalu mengingatkan sejarah silam dan perbanyakan beristighfar kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala.
Anda pula dinasihatkan supaya jangan terlalu mengikutkan rasa cemburu yang keterlalulan. Cemburu itu perlu, namun ia perlu dikawal. Dalam pada itu, panjatkan juga doa ke Hadrat Allah agar dikukuhkan hati dan ditenangkan jiwa supaya hari yang dilalui dapat ditempuhi dengan penuh kesyukuran. Wallahu 'alam

Menjadi Isteri Kedua Tanpa Kebenaran Isteri Pertama

Soalan

Assalamualaikum ustaz......saya ada seorang kawan....dia baru saja berkahwin, dan menjadi isteri kedua....di sini saya ingin bertanya adakah sah pernikahan mereka, sedangkan isteri pertama tidak mengetahui tentang hal ini???.....untuk pengetahuan ustaz, isteri pertama baru saja melahirkan anak pada awal tahun ini

Jawapan

Waalaikumussalam,
Hukum perkahwinan itu sah jika rukun nikah dipatuhi walaupun si isteri tersebut tidak mengetahui.Rukun nikah tersebut ialah:
1.Pengantin Lelaki
2.Pengantin Perempuan
3.Wali
4. Dua orang Saksi
5.Lafaz ijab dan kabul
Untuk pengetahuan anda nikah kali kedua itu hukumnya harus sahaja bukan wajib.Apa yang wajib ialah berlaku adil apabila telah berkahwin dua.Adil di sini bermaksud dari segi giliran untuk kedua-dua isteri termasuk nafkah zahir dan batin.Sebab itulah Allah berfirman dalam surah al-Nisa' ayat 3 yang bermaksud:
.....Kahwinlah kamu dua,tiga,dan empat jika kamu takut untuk berlaku adil memadailah satu sahaja.
Perlu diingat bahawa mana-mana suami yang berkahwin lebih daripada seorang jika dia gagal berlaku adil maka mereka akan berjalan dalam keadaan senget/tempang pada hari akhirat kelak. Justeru perlu berhati-hati dalam urusan kahwin dua ini bukannya untuk berseronok-ronok  memuaskan nafsu semata-mata tetapi lebih kepada tanggungjawab dan amanah yang dipukul terutamanya yang berkaitan dengan  keadilan yang panel tegaskan.Wallahu a'lam.

TIDAK BACA DOA QUNUT WAKTU SOLAT SUBUH

Soalan

USTAZ,SEKIRANYA KITA TIDAK BACA DOA QUNUT WAKTU SOLAT SUBUH ADAKAH SOLAT KITA SAH.DAN SEKIRANYA KITA BACA DOA LAIN DALAM BAHASA KITA MENGGANTIKAN DOA QUNUT BOLIH TAK IKUT HUKUM.

Jawapan

Waalaikumussalam,
1.Baca qunut pada solat subuh  itu hukumnya sunat ab'ad.Jika terlupa membacanya mengikut imam Shafie kena lakukan sujud sahwi/terlupa.Sekiranya terlupa juga untuk sujud sahwi solat tersebut tetap dikira sah.
2.Sekiranya dibaca doa lain memang tidak digalakkan kerana ulamak dan para sarjana fekah telah menyusun doa tersebut yang digunakan sejak dahulu sampai sekarang.Malah doa tersebut tidak boleh dibaca menggunakan bahasa  selain bahasa Arab.Justeru membaca doa menggunakan bahasa Melayu sudah pasti membatalkan solat anda.Wallahu a'lam.

Tuesday, March 6, 2012

Duit Asb Adakah Haram? Bagaimana Jika Digunakan Untuk Belnja Selain Makan Minum?

Soalan

Assalamualaikum. Saya telah membuat pinjaman untuk asb. Akan tetapi saya baru sahaja mnedapat informasi mengenai haram nya skim asb ni. Jadi saya ingin mentup skim ini.
Baru ini sy telah menggunakan wang dividen tersebut untk belanja kepentingam diri. Seperti minyak motor. Barang.. Dan selainnya.. Jd apakah hukum duit yg sy gunakan itu. Sy tidak belanja untuk makan minum

Jawapan

Wa Alaikumussalam Warahmatullahi Wa Barakatuh,
Mengenai hukum melabur di dalam ASB/ASN adalah diharuskan. Majlis Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan keputusan fatwa mengenainya.
Berikut adalah petikan fatwa tersebut sebagai rujukan anda:
Tajuk:   Pelaburan Dalam Amanah Saham Nasional (ASN) Dan Amanah Saham Bumiputera (ASB
Persidangan Kali Ke-80.
Tarikh : 1 Hingga 3 Februari 2008.
Tempat : Primula Beach Resort Jalan Persinggahan, 20400 Kuala Terengganu.

1.     Ulasan/Hujah:

i.   Hifz al-mal merupakan salah satu masalah daruriyah yang perlu diberi perhatian serius oleh pemerintah. Soal kekukuhan ekonomi umat adalah merupakan salah satu faktor penting kepada penerusan kemajuan umat Islam. Islam menegah umatnya menjerumuskan diri dalam kemudaratan dan kefakiran yang boleh menggugat kekuatan ummah.
ii.  Setiap hukum yang diputuskan perlu memenuhi tuntutan keadilan, maslahah dan menghindar daripada kerosakan dan keruntuhan yang lebih besar.
iii.  Dalam menentukan hujah keharusan Islam dalam pelaburan ASN dan ASB ini, adalah tidak tepat hujah bersandarkan maslahah ummah ditafsirkan sebagai mengetepikan prinsip-prinsip Islam kerana maslahah juga adalah prinsip Islam yang perlu dipegang dalam penentuan sesuatu hukum.
iv.Prinsip pensyariatan Islam yang telah digariskan iaitu kewajipan menjaga lima(5) perkara iaitu agama, nyawa, akal, zuriat dan keturunan serta harta benda perlu dipertahankan kerana ia menjadi tunjang kehidupan seluruh umat Islam. Sekiranya terjejas salah satu daripada perkara ini, maka umat Islam akan ditimpa kehinaan yang akan menjejaskan agama dan kehidupan. Dalam hal ini, hukum ke atas pelaburan ASN dan ASB tidak boleh dilihat dari aspek tertentu sahaja, tetapi perlu mengambil kira semua kesan yang akan dihadapi oleh agama dan umat Islam.
v.  Dalam isu pelaburan yang bercampur antara halal dan haram, telah jelas bahawa PNB tidak melabur dalam sektor yang berkaitan dengan arak dan judi. Fuqaha’ muktabar juga tidak mengharamkan syarikat yang dikongsi oleh orang Islam dan bukan Islam.
vi.Memandangkan perkembangan Maybank sebagai salah satu institusi perbankan Islam terbesar di Asia Pasifik amat mendadak dan memberansangkan PNB perlu memastikan pelaburan berasaskan syariah sentiasa diperkukuhkan dari masa ke masa.
Sekiranya PNB melepaskan pegangan dalam Maybank, ia bukan hanya akan meruntuhkan ekonomi pemegang saham yang majoriti adalah orang Melayu Islam, bahkan ia juga akan memberi kesan besar kepada situasi ekonomi negara dan banyak organisasi berkaitan orang Islam. Begitu juga peluang pekerjaan yang melibatkan 16,531 kakitangan Bumiputera Islam juga akan turut terjejas.
vii.PNB telah melaksanakan perubahan yang terbaik khususnya dalam aspek pelaburan bagi membolehkan penguasaan umat Islam.
Dalam hal ini, maslahah umat Islam adalah penting dan kemudaratan yang lebih besar perlu dielakkan.

2.     Keputusan:

Setelah mendengar taklimat dan penjelasan serta meneliti keterangan hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa bagi menjaga kepentingan dan maslahah umat Islam serta mengelakkan kemudaratan yang lebih besar hukum melabur dalam Skim Amanah Saham Nasional (ASN) dan Skim Amanah Saham Bumiputra (ASB) serta dividen atau bonus yang diterima adalah harus.

Oleh yang demikian, anda tidak perlu untuk menutup akaun ASB/ASN kerana ia adalah skim pelaburan yang diharuskan untuk disertai oleh masyarakat Muslim di negara ini. Ringkasnya, dividen yang diperoleh daripada pelaburan tersebut adalah halal untuk digunakan sama ada untuk membeli makanan dan minuman ataupun untuk kegunaan harian yang lain. Wallahu 'alam.

Soalan

mandi wajib bersama isteri dalam keadaan bogel dan ambil wuduk dalam keadaan bogel di hadapan isteri.adakah sah?

Jawapan

Mandi wajib bersama isteri dalam keadaan berbogel dan mengambil wudhu’ dalam keadaan demikian di hadapan isteri bukanlah penyebab kepada tidak sah atau batalnya mandi wajib dan wudhu’ yang diambil.
Ikatan isteri dan suami adalah satu hubungan yang diiktiraf oleh Islam. Pengiktirafan ini telah memberi keizinan atau kelonggaran kepada setiap pasangan suami isteri untuk melihat aurat masing-masing.
Dari itu, mandi wajib bersama isteri dalam keadaan bogel adalah tidak dilarang malah mandi wajib yang dilakukan juga adalah sah selagi memenuhi syarat dan rukun mandi wajib. Demikian juga dengan wudhu’ yang diambil dalam keadaan berbogel di hadapan isteri, ia tidak menyebabkan wudhu’ yang diambil menjadi tidak sah atau terbatal dengan syarat mereka tidak bersentuhan selepas itu. Wallahu 'alam.

Jual Beli Condo

Soalan

Assalamualaikum.Saya ingin menjual sebuah condo & mmbritahu pihak pengurusan condo mengenainya. Seorang pkrja di bhg pengurusan condo telah memperkenalkan kpd saya seorang pembeli . Pada permulaannya pekerja tersebut x meminta apa2 imbuhan dari hasil penjualan tersebut. Skrg apabila saya & pembeli tersebut telah bersetuju untuk melakukan urusan jual beli & sdg dalam proses jualbeli, pekerja tersebut meminta 2% daripada hasil penjualan tersebut. Apa pndgn ustaz tntang hal ini? Adakah ianya riba?

Jawapan

Wa'alaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh,
Dalam masalah ini, tuntutan pekerja tersebut tidak tergolong di dalam bab riba. Ia lebih kepada tuntutan komisen kerana mencarikan anda pembeli untuk membeli kondo yang ingin anda jual tersebut.
Walau bagaimanapun, mengenai tuntutan 2% daripada jualan harga kondo tersebut tidak perlu untuk diberi sekiranya tiada sebarang perjanjian yang dimeterai andtara anda dengan dirinya sebelum jual beli tersebut berlaku.
Ringkasnya, 2% tersebut tidak perlu dibayar jika tidak ada sebarang perjanjian di antara anda dengan pekerja syarikat tersebut. Jika ada, ia wajib dibayar dan bayaran tersebut bukan riba. Wallahu 'alam

Masalah Tandas Awam

Soalan

asslmkm,smlm sy ke tesco.sy ada msk toilet.sebaik sj msk toilet sy dah bau hancing.then sy msk toilet tp sy x buka air apa pun sy cuma check everything s/ada suci ke x diri sy utk solat.1st adakah tapak kasut sy itu menjadi najis krn mungkn terpijak bekas2 air kencing di toilet tadi.perlukah sy mencucinya.2nd,slps solat sy terus berjln2 ditesco then tiba2 sy terperasan seluar kaki sy kotor krn maybe sms jln kena tapak kasut atau kotoran dijalanan.jd adakah ia bernajis.boleh x sy terus memakainya

Jawapan

Wa'alaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh,
1.         mengenai tapak kasut anda, ia tidak penting untuk dikenal pasti sama ada suci ataupun tidak kerana ia tidak digunakan semasa anda beribadat.
Di dalam Islam yang penting untuk dijaga dan dikawal daripada semua bentuk najis hanyalah pakaian atau peralatan yang digunakan untuk beribadat sahaja. Oleh itu, tapak kasut anda jika najis sekalipun adalah tidak mengapa dan tidak dituntut untuk dibersihkan.

2.         Jika terdapat najis padanya, ia perlu dibersihkan terlebih dahulu sebelum ia boleh digunakan untuk dipakai semasa beribadat. Cara untuk kenal pasti sama ada terdapat najis atau tidak, anda perlu perhatikan 3 perkara berikut (sifat najis):
i.          Bau.
ii.          Warna.
iii.         Rasa melalui sentuhan jari.

Jika tidak terdapat salah satu daripada 3 sifat najis di atas, seluar anda adalah suci daripada najis,. Oleh itu, ia masih boleh dipakai. Namun begitu, jika dibersihkan terlebih dahulu adalah lebih baik sebelum dibasuh/dimasukkan ke dalam mesin basuh. Wallahu 'alam

Gigitan Anjing, Perlukah Kaki Disamak

Soalan

Assalamualaikum..saya telah digigit anjing 2 minggu lepas di bahagian kaki. Doktor telah mengesahkan saya digigit walaupun tidak berdarah, hanya kesan lebam merah. Ketika itu saya berseluar panjang. Perlukah saya menyamak kaki saya dan macam mana caranya?

Jawapan

Wa'alaikumusSalam Wa RahmatulLahi Wa Barakatuh.
Saudara yang dirahmati Allah s.w.t.
1. Terima kasih kerana menggunakan sistem kemusykilan agama JAKIM sebagai medium untuk menambahkan ilmu dan pengetahuan Islam.
2. Jika kawasan anggota badan yang terkena gigitan anjing itu ada air liur atau kesan-kesan air liur anjing berkenaan, wajib bagi saudara melakukan samak. Begitu juga sekiranya anjing berkenaan berada dalam keadaan basah. Dan keadaan  basah itu terkena pada anggota badan saudara, maka wajiblah juga bagi saudara melakukan samak ke atas anggota yang terkena najis tersebut.
3. Cara melakukan samak adalah dengan membasuh anggota yang terkena najis tersebut sebanyak 7 kali basuhan. Basuhan pertama hendaklah dengan air bercampur tanah.
Wallahu'alam.

Enggan Melayan Suami

Soalan

saya tidak lagi mempunyai hati kepada suami atas sikap2nya yang tidak bertanggungjawab ats elama ini.sy tidak lagi boleh melayan kehendak batinnya kerana saya sudah tiada hati dengannya dengan sikap2nya yang tidak menghiraukan nafkah zahir saya.disebabkan ini suami sering memaki dan menyumpah saya akan mati dalm keadaan terseksa, dia tidak ampunkan saya dan katanya sy adalah ahli neraka.saya telah mohon cerai tetapi suami enggan kerana dia mahu menyiksa saya.saya tidak mahu sepanjang hidup disum

Jawapan

Dalam kes ini, anda dinasihatkan supaya membuat aduan di Unit Runding Cara Keluarga yang terdapat di Pejabat Agama Daerah yang berhampiran. Mintalah nasihat daripada pegawai yang bertugas. Jika kesuntukan waktu untuk ke pejabat tersebut, anda dicadangkan supaya menghubungi mereka melalui telefon. Sila dapatkan nombor telefon pejabat agama tersebut dengan menghubungi Telekom Malaysia di nombor 103. Wallahu 'alam

SMS TALAK DARIPADA PIHAK KETIGA

Soalan

1. Salam, saya ingin bertanya, apa patut saya lakukan kerana baru-baru ini saya mendapat sms talak "Aku ceraikan engkau dengan talak satu". Bila saya minta kepastian daripada suami, suami saya cakap bukan dia yang hantar. memang dia dipaksa untuk melafazkan talak dan menceraikan saya tapi suami telah menghantar sms tersebut ke no. orang lain dengan harapan saya tidak membaca sms tersebut. Apakah saya boleh menyaman pihak yang sengaja merosakkan perkahwinan saya?

Jawapan

Waalaikumussalam Wr Wbt...
Puan yang dirahmati Allah SWT,
Lafaz talak terbahagi kepada dua jenis iaitu:
1. Lafaz soreh atau terang-terangan menunjukkan kepada perceraian seperti, "Saya jatuhkan talak ke atas kamu" atau "saya ceraikan kamu".
2. Lafaz kinayah atau lafaz yang mengandungi maksud talak dan maksud yang lain. Ini perlu kepada niat suami itu seperti katanya, "Sekiranya begini caranya, kita berpisah", atau "Kamu pulanglah ke rumah ibu bapa kamu" dan sebagainya. Kata-kata kinayah seperti ini tidak menyebabkan jatuh talak kecuali apabila suami memang berniat hendak menjatuhkan talak.
Paksaan yang dibenarkan dalam Islam ialah apabila paksaan tersebut boleh memudharatkan sebagai contoh, jika tidak lafazkan cerai, maka akan dibunuh. Dalam hal ini, paksaan tersebut dilakukan adalah untuk menyelamatkan nyawanya.
Dalam hal puan, panel berpandangan, puan perlu membuat pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Syariah yang berhampiran dengan tempat tinggal puan. Mahkmah akan memutuskan sama ada cerai berlaku atau sebaliknya. Mudah-mudahan penjelasan ringkas ini membantu puan menyelesaikan masalah yang dialami.
Sekian, terima kasih.

Haram Ke Muzik?

Soalan

Salam.. saya nak tanya pendapat panel ye.. boleh terangkan, adakah muzik itu haram kalau di nyanyikan dengan pelbagai rentak seperti berlawanan aqidah,akhlak dan syariat..

Jawapan

Wassalam,
Muzik sebagai alat penghibur sudah tidak dapat dinafikan lagi pada hari ini. Namun begitu, berhibur menurut Islam diharuskan selagi berhibur tersebut tidak melanggar had batasan yang dibenarkan oleh Syara'.
Oleh yang demikian, jika muzik yang didendangkan mempunyai unsur-unsur yang bertentangan dengan aqidah, syariah dan juga akhlak Islam, ia adalah dilarang di dalam Islam. Wallahu 'alam

Bermimpi Dan Berjumpa Dengan Nabi Muhammad Saw

Apakah Benar Sekiranya Seseorang Itu Bermimpi Dan Berjumpa Dengan Nabi Muhammad Saw Dan Bercakap Dengan Nabi Dan Nabi Senyum Kpd Nya.

Soalan

Seseorang dikatakan telah bermimpi berjumpa dengan nabi Muhammad saw. Dalam mimpi itu dikatakan nabi bercakap dengan nya dan dikatakan nabi senyum dengan nya.

Jawapan

Dalam hal ini, berkemungkinan besar lelaki tersebut adalah Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam. Hal ini kerana syaitan tidak boleh menyerupai wajah dan diri Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam.
Walau bagaimanapun, ciri-ciri diri lelaki tersebut perlu diteliti terlebih dahulu apakah benar dia adalah diri Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam yang sebenarnya ataupun jelmaan syaitan yang cuba menyerupai diri Baginda Sallallahu 'Alaihi Wassalam.
Dalam hal ini, walaupun syaitan tidak boleh menyerupai diri Nabi Sallallahu 'Alaihi Wassalam, namun dia masih boleh mengaku dan berpura-pura sebagai Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam.
Oleh yang demikian, adalah perlu bagi kita umat Nabi Sallallahu 'Alaihi Wassalam untuk mengetahui serba sedikit ciri-ciri diri Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam sebagai cara untuk mengelakkan daripada tertipu dengan tipu daya syaitan laknatullah ‘alaihi. Wallahu 'alam.

Sah Atau Tidak Pernikahan Saya

Soalan

sah atau tidak pernikahan saya di Thailand, yang berwali hakim sedangkan wali2 yang sah masih hidup, tanpa pengetahuan kedua ibubapa hingga kini dan pernikahan itu tidak di daftarkan selepas 5 tahun berkahwin.

Jawapan

Untuk mengetahui status pernikahan tersebut, sila rujuk kepada pihak Mahkamah Syariah yang berhampiran.  Bawa bersama dokumen-dokumen yang berkaitan seperti:
1.         Surat nikah.
2.         Surat dari Majlis Agama di Thailand (yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia) dan
3.         Surat pengesahan dari Konsulat Malaysia di Thailand.

Dokumen-dokumen ini diperlukan oleh Hakim bagi mengenal pasti sama ada pernikahan yang telah dilakukan adalah sah atau sebaliknya.
Dari itu, sila buat pendaftaran pernikahan tersebut dengan kadar yang segera bagi mengenal pasti status pernikahan tersebut. Wallahu 'alam

Masih Suami Isteri Tp Hubungan Hanya Kawan

Soalan

sy & suami msh tggl srumah,tp hub. kami spt kwn.suami lbh suka sms sex di talian drp isteri sendiri.selama setahun lebih isteri tidak mdpt nafkah batin wpun mcuba berbgai2 cara.alasan suami c isteri 'panas' utk didatangi.suami bterus terang yg dia mls blj agama & suka hidup cara begini.perlukah sy mohon fasakh krn tlh menasihati pun xjln?

Jawapan

Dalam kes ini anda tidak perlu untuk menuntut fasakh. Apa yang perlu anda lakukan adalah pergi ke mana-mana Mahkamah Syariah yang berdekatan untuk menuntut ta’liq yang pernah dibuat oleh suami anda.
Di Malaysia, semua suami diminta untuk membuat ta’liq sebaik sahaja selesai majlis pernikahan.
Antara perkara yang dita’liqkan oleh suami adalah seperti berikut:
1.    suami tidak melayani isteri (muasarah) selama 4 bulan qamariah atau lebih.
2.    Suami tidak memberi nafkah zahir selama 4 bulan qamariah atau lebih dan isteri tidak dihukumkan sebagai nusyuz oleh mana-mana Mahkamah Syariah.
3.    Suami tidak memukul, menyakiti isteri.

Oleh yang demikian, jika suami anda pernah meninggalkan anda (tidak memberi nafkah batin) selama satu tahun, ini bermakna dia telah melanggar ta’liq yang pernah dilafazkannya dahulu.
Oleh itu, anda berhak untuk menuntut ta’liq tersebut dengan membuat aduan di mana-mana Mahkamah Syariah dan membuat pembayaran sebanyak RM 1/RM 10 (bagi Wilayah Persekutuan) kepada hakim,  maka Pihak Mahkamah berhak untuk menceraikan anda dengan talak satu.
Sila berhubung dengan Mahkamah Syariah yang berdekatan untuk maklumat lanjut. Wallahu 'alam

Friday, March 2, 2012

Batal Atau Tidak

Soalan

Assalammualaikum Batal Atau Tidak Solat Saya Ketika Saya Bersolat Saya Terasa Nak Terkentut Tetapi Saya Menahannya Dan Terasa Was-Was Seperti Keluar Pelahan-Pelahan.

Jawapan

Wa’alaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh, dalam kes ini Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam ada bersabda, maksudnya:
Dari ‘Ubbad bin Tamim dari bapa saudaranya yang bertanya kepada Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam tentang seorang lelaki yang ragu-ragu di dalam solatnya sama ada dia terkentut ataupun tidak. Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam menjawab; “Janganlah dia keluar dari solatnya sehinggalah ia terdengar bunyi (kentut) ataupun terhidu bau”.
(Hadis Riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim).

Melalui hadis di atas, jelas kepada kita bahawa bagi mereka yang ragu-ragu atau was was adakah dia telah terkentut ataupun tidak, perlu mengenal pasti adakah dia terdengar bunyi kentut tersebut, jika tidak terdengar, adakah dia ada terhidu bau kentutnya. Jika ada, sahlah dirinya telah terkentut dan perlu berwudhu’ dan mendirikan semula solat tersebut. Jika tidak dengar dan tidak ada bau, solatnya adalah masih sah dan perlu diteruskan sehingga selesai.

Demikian juga dengan solat anda. setelah terdengar bunyi kentut atau terhidu bau kentut, barulah terbatal solat yang sedang didirikan. Wallahu 'alam

Wanita Meninggikan Suara Ketika Membaca AlQuran

Soalan

Assalamualaikum Ustaz
Apa hukum asal bagi wanita yang belajar Al Quran (Tajwid) bersama-sama dengan lelaki ajnabi, dimana wanita tersebut terpaksa meninggikan suara ketika membaca ayat-ayat AlQuran tersebut.

Jawapan

Wa'alaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh, wanita tersebut diharuskan untuk berbuat demikian atas alasan belajar. Jika berniat yang lain, ia adalah dilarang. Wallahu 'alam

Thursday, March 1, 2012

Kemusykilan Mesin Basuh

Soalan

Assalamualaikum, ingin saya dapatkan kepastian tentang kesucian kain yang dibasuh menggunakan mesin basuh "Muatan Depan" kerana saya pernah terdengar kain yang dibasuh menggunakan mesin basuh jenis "Muatan Depan" tidak suci@ tidak boleh di pakai tidak boleh di pakai ketika solat.

Jawapan

Wa'alaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh, mengenai status pakaian yang dicuci menggunakan mesin basuh (sama ada muatan depan atau atas) adalah dikira bersih dan suci dengan syarat baju atau pakaian yang dimasukkan ke dalam mesin tersebut telah dikenal pasti terlebih dahulu mengenai statusnya sama ada bernajis atau tidak. Jika bernajis, ia dibersihkan terlebih dahulu sebelum dimasukkan ke dalam mesin tersebut.
Ringkasnya, semua baju atau pakaian yang dicuci menggunakan mesin basuh adalah bersih dan suci dengan syarat baju dan pakaian tersebut telah dikenal pasti status kebersihannya daripada najis sebelum dimasukkan ke dalam mesin untuk dicuci. Wallahu 'alam

Laragan Perempuan Di Dalam Edah (Cerai Hidup)

Soalan

Apakah Larangan bagi wanita yang di dalam edah (cerai hidup) dan apakah hukumnya jika ia melakukannya.

Jawapan

Terdapat beberapa larangan yang perlu dituruti oleh wanita yang berada di dalam tempoh idah. Larangan ini adalah sebagai satu cara untuk menjaga nama baik dan kemaslahatan wanita tersebut. Jika tidak menurutinya, dia adalah dikira berdosa kerana mengingkari larangan Allah Subhanahu Wa Ta'ala.
Berikut adalah perkara-perkara yang dilarang kepada mereka:
1.         Tidak boleh dipinang:
* penceraian hidup – dilarang sama ada pinangan secara terang-terangan ataupun sindiran.

2.         Dilarang keluar daripada rumah yang disediakan oleh bekas suami:
* Penceraian hidup - Diharamkan keluar rumah tanpa izin suami kecuali untuk keperluan syarak.

3.         Menghias diri
* Penceraian hidup - Jika dalam idah raji diharuskan berhias. Jika dalam idah bain disunatkan tidak berhias.

4.         Berkahwin
* Bagi perceraian hidup - Diharamkan berkahwin dengan lelaki bukan suami.
Wallahu 'alam

Ibadat Bersuci Dari Najis

Soalan

Asslamualaikum, saya pengidap sakit buah pinggang, kemusykilan saya ialah ketika dirawat untuk mencuci, bahan bahan dan krim semuanya mengandungi alkohol dan apabila siap dibalut kawasasan berkenaan tidak boleh kena air langsung. persoalannya ;
1)bagaimana ibadat saya sebab bersolat tanpa membasuh kawasan berkenaan ?
2)bagaimana pula keadaan tangan yang basah sentiasa tersentuh kawasan rawatan tersebut,adakah tangan sentiasa perlu dibasuh?

Jawapan

Wa'alaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh, alkohol yang dihukumkan najis hanyalah alkohol yang terdapat di dalam minuman arak sahaja. Alkohol yang lain sama ada dalam minyak wangi ataupun ubat-ubatan, ia tidak dihukumkan najis.
Oleh itu, anda tidak perlu risau mengenainya kerana alkohol yang terdapat di dalam ubat atau krim tersebut adalah tidak dihukumkan najis dan ia boleh dibawa semasa mengerjakan solat. Wallahu 'alam