Tuesday, June 28, 2011

MENGURUSKAN ANGGOTA YANG TERPOTONG DARI BADAN

Soalan; Saya nak tahu cara nak tanam anggota badan yang di potong contoh kaki.

Jawapan; Anggota yang terpotong dari badan seseorang ketika ia masih hidup, yang dituntut untuk dilakukan ialah membalutnya, kemudian menanamnya sebagai menghormati jasad manusia. Adapun membasuhnya, diharuskan tetapi tidaklah diwajibkan mahupun disunatkan. Tidak disyariatkan menyembahyangkannya. Hukumnya sama seperti bayi yang keguguran sebelum usianya 6 bulan dan tidak lahir bernyawa; ia hanya perlu dibalut dan ditanam, harus memandikannya dan tidak perlu disolatkan.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Al-Majmu', Imam an-Nawawi, kitab al-Janaiz, bab as-Solati Ala al-Mayyit (5/254).
2. Mughni al-Muhtaj, Imam al-Khatib as-Syirbini, Kitab al-Janaiz (4/266)

Friday, June 24, 2011

SUJUD TANPA KAKI MENYENTUH LANTAI (CARA SUJUD)

Soalan: Ustaz, 1. Adakah sah sujud sembahyang fardu, jika tidak ada perut jari sebelah kaki mengenai tempat sujud? 2. Adakah perut kedua-dua tangan mesti menyentuh tempat sujud sebagai syarat sah sujud sembahyang?

Jawapan;

Sabda Nabi s.a.w.; “Aku diperintahkan supaya sujud di atas tujuh tulang (yakni tujuh anggota) iaitu; dahi –baginda menunjukkan dengan tangannya ke atas hidungnya-, dua tangan, dua lutut dan jari-jari dari dua kaki…” (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Ibnu ‘Abbas r.a.). Berdasarkan hadis ini, anggota sujud hendaklah merangkumi;
1. Dahi dan hidung
2. Dua tangan
3. Dua lutut
4. Dua kaki

Ketika sujud, wajib ke semua tujuh anggota di atas diletakkan di atas lantai. Bagi dahi, memadai meletakkan sebahagian dahi sahaja di atas lantai. Bagi tangan yang dikira ialah tapak tangan dan bagi kaki pula ialah perut-perut anak jari kaki. Memadai dengan meletakkan sebahagian sahaja dari perut-perut anak jari kaki itu. Jika seseorang itu sujud di atas belakang tangan atau belakang anak-anak jari kakinya, tidak sah sujudnya.

Anggota-anggota sujud selain dahi telah sepakat para ulamak menyatakan tidak wajib didedahkan. Yang dituntut hanyalah meletakkannya di atas tanah/lantai. Oleh itu, harus seseorang menunaikan solat dengan memakai sarung tangan atau stokin. Adapun dahi, maka ia terdapat khilaf di kalangan ulamak;

Pertama; pandangan ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie; dahi wajib didedahkan dan mengenai secara lansung tempat sujud (tanpa ada penghadang). Tidak sah sujud jika semua bahagian dahi berlapik sehingga tidak ada sedikitpun darinya yang terdedah dan mengenai tempat sujud secara langsung. Termasuk tidak sah ialah lapik dari pakaian yang dipakai ketika solat. Oleh demikian, tidak harus seseorang sujud di atas kain serban yang dipakainya atau di atas lengan bajunya atau di atas kain telekungnya atau benda-benda lain di badannya yang mengikuti pergerakan badannya.

Kedua; pandangan jumhur ulamak (termasuk Imam Malik, Abu Hanifah dan Imam Ahmad); dahi sama seperti anggota-anggota sujud yang lain iaitu tidak wajib didedahkan. Yang dituntut hanyalah meletakkannya di atas tempat sujud. Oleh itu, bagi jumhur ulamak, tidak menjadi kesalahan jika seseorang itu sujud di atas kain serbannya atau kain telekungnya. Mereka berdalilkan hadis dari Anas bin Malik r.a. yang menceritakan; “Kami mengerjakan solat bersama Rasulullah s.a.w. ketika panas yang bersangatan. Apabila sesiapa dari kami tidak dapat meletakkan dahinya di atas tanah kerana panas, ia bentangkan pakaiannya dan sujud di atasnya”. (Riwayat Imam Muslim).
(Dalail al-Ahkam, 1/ 298-299).

Wallahu a'lam.

USTAZ TIDAK BERJANGGUT DAN BERJUBAH

Soalan; salam, ustaz;
1. ustaz seperti yg di maklum kpd saya... ulma 4 mazhab meletakkn hukum wajib untuk org islam b'janggut...sya agk kecewa dengan ustaz2 @ ulama malaysia yg tidak menhirau kan sunnah ini...melalui pemerhatian saya ada yg sggp mencukur janggt tsbt dgn sengaja...bila bab hukum ahkam bukan main lagi ustaz...bila ceramah bab keperibadian rasulullah...sampai nmpk urat leher...mcm mana sya nk ikut kata2 seorng sendiri tak mgamalkn yg apa dia katakan...ada yg misai lbh pjg dr janggut...ini kah ulama kita masa kini ustaz.....bila b'pakaian mereka lbh rela memakai baju kot dari memakai baju jubah...adakah mereka lbh bgga dgn bju yg d reka oleh org yahudi dr bju yg d reka oleh kekasih kita....sepatut nya mereka yg menunjukn kepada kami(org jahil ttg agama) ttg keperibadian rasulullh...tetapi keperibadian hnya di mulut2 mereka shj ustaz...bila saya prgi ke kuliah ustaz2 sya mjadi mrh ttg ini ustz..tapi apakn daya ustaz...ilmu ttg agma sya kurang...dsmping ustaz & ulama adlah pwaris nabi saw...sila terang kn kpd saya ustaz...
2. ustaz...sya da terbca sebuah hadis nabi, klu kita mengikut cara sesuatu bangsa, di akhrat klk kita akn d bangkit kan dgn bangsa tersbt..
dan klu kita mgikut cara hidup bngsa melayu, dan akn d bngkitkn dengan bgsa melayu...dan bukan dibangkit kan di bsama dengan kekasih kita rasulullah saw...sila terangkan kpd saya ustaz..
sekian terima kasih..

Jawapan;

1. Perbuatan/amalan Nabi ada yang wajib dan ada yang mustahab (sunat). Menyimpan janggut adalah amalan yang wajib kerana ada arahan Nabi yang cukup jelas supaya lelaki umatnya menyimpan janggut. Adapun pakaian, yang wajib ialah berpakaian menutup aurat kerana ia adalah perintah yang jelas dari al-Quran dan as-Sunnah. Adapun memakai jubah, ia adalah mustahab (digalakkan dan berpahala jika berniat mengikut pakaian Nabi). Jika tidak memakai jubah tidaklah berdosa kerana tiada dalil al-Quran mahupun as-Sunnah mewajibkan pemakaian jubah. Yang diwajibkan oleh al-Quran dan as-Sunnah ialah berpakaian menutup aurat tanpa ditentukan fesyen tertentu.

2. Ya, terdapat hadis (bermaksud); "Sesiapa menyerupai suatu kaum, ia dari kalangan mereka". Menurut ulamak; penyerupaan yang dilarang ialah yang meniru identiti khusus penganut agama kafir seperti memakai salib, kopiah yahudi atau sebagainya. Adapun perkara yang bersifat umum dilakukan oleh suatu bangsa (yang tidak khusus menjadi identiti agama), ia tidaklah dilarang. Contoh; kain pelikat dipakai oleh orang beragama Islam (di India dan di Malaysia) dan dipakai juga oleh penganut hindu (di benua India). Jubah dan serban pada zaman Nabi dipakai oleh orang Arab yang memeluk Islam dan juga orang Arab yang masih musyrikin, malah hari ini di Negara Arab, orang-orang Arab beragama kristian ada yang berjubah kerana ia telah menjadi pakaian tradisi orang Arab tanpa mengira agama.

3. Tidak sewajarnya para ulamak dan ustaz meninggalkan amalan Nabi yang wajib. Adapun amalan yang mustahab, sebolehnya mereka mempraktikkannya -sekalipun tidak sepanjang masa- agar menjadi contoh kepada orang lain dan agar tidak mati amalan tersebut.

Wallahu a'lam.

HUKUM JANGGUT DAN MISAI

Soalan; Assalamu alaikm, ustaz. Minta ustaz jelaskan lanjut tentang hukum mencukur janggut. Misai pula macam mana? Terima kasih.

Jawapan;

HUKUM JANGGUT

1. Terdapat arahan dari Nabi s.a.w.;

خالفوا المشركين: وفروا اللحى، وأحفوا الشوارب
“Hendaklah kamu berbeza dengan orang-orang Musyrikin; kerana itu biarkanlah janggut dan buanglah misai” (HR Imam al-Bukhari dari Ibnu ‘Umar r.a.).

Berdasarkan hadis ini, para ulamak melarang lelaki muslim mencukur janggutnya. Menurut jumhur ulamak (termasuk mazhab-mazhab empat); arahan menyimpan janggut dalam hadis di atas adalah arahan wajib. Berkata Qadhi ‘Iyadh; “Dimakruhkan mencukur janggut. Adapun membuang sebahagian dari panjang atau lebarnya jika terlalu lebat, maka itu adalah baik/elok”. Imam Malik memakruhkan janggut yang terlalu panjang. Sebahagian ulamak menggalakkan dipotong janggut yang melebihi satu genggaman tangan. Dalam Soheh Imam al-Bukhari ada diceritakan; Ibnu Umar r.a. bila mengerjakan haji atau umrah, beliau akan menggenggam janggungnya, yang lebih (dari genggaman) akan dipotongnya” (Riwayat Imam al-Bukhari). Namun ada juga ulamak (antaranya Imam an-Nawawi) yang berpandangan; janggut hendaklah dibiarkan tanpa diganggu kerana Nabi s.a.w. menyebutkan di dalam hadis tadi; “….biarkanlah janggut..”. (Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi).

HUKUM MISAI

2. Berbeza dengan janggut, misai pula diperintahkan (dalam hadis tadi) supaya dibuang (digunting/dicukur); “..buanglah misai..”. Tentang had yang perlu dibuang, para ulamak berbeza pandangan;

a) Pandangan pertama; menurut ulamak-ulamak mazhab Hanafi dan Hanbali; yang terbaik ialah mencukurnya (yakni membuang habis). Mereka berdalilkan beberapa sabda Nabi s.a.w. antaranya;

جُزُّوا الشَّوَارِبَ، وَأَرْخُوا اللِّحَى، خَالِفُوا الْمَجُوسَ
“Potonglah misai (hingga habis) dan biarkanlah janggut. Hendaklah kamu berbeza dengan orang Majusi”. (Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Menurut pandangan ini; Perkataan al-jazz dalam hadis di atas memberi makna menggunting misai dan bulu hingga sampai ke kulit.

Di dalam hadis yang lain, Nabi s.a.w. bersabda;

خالفوا المشركين: وفروا اللحى، وأحفوا الشوارب
“Hendaklah kamu berbeza dengan orang-orang Musyrikin; kerana itu biarkanlah janggut dan buanglah misai”. (Riwayat Imam al-Bukhari)

Berkata Imam Ibnu Hajar; perkataan al-Jazz dan al-Ihfa’ menunjukkan kepada tuntutan agar bersungguh-sungguh dalam membuang misai. Al-Jazz bermaksud; menggunting hingga ke kulit. Al-Ihfa’ pula bermaksud; membuang habis. Kerana itu Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad mensunatkan dibuang habis misai dengan mencukurnya. (Faidhul-Qadier, hadis no. 3586. Tuhfah al-Ahwazi)

b) Pandangan kedua; menurut ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie dan Maliki; yang disunatkan hanyalah mengguntingnya sahaja supaya kelihatan bibir mulut (yakni menggunting bahagian yang memanjang ke atas bibir mulut). Adapun mencukurnya adalah dilarang, di mana hukumnya adalah makruh. Dalil mereka ialah hadis dari Ibnu ‘Abbas r.a. yang menceritakan; Nabi menggunting sebahagian misainya dan berkata; “Nabi Ibrahim melakukannya” (HR Imam at-Tirmizi. Menurut Imam at-Tirmizi; hadis ini hasan gharib). Imam al-Baihaqi meriwayatkan (dalam Sunannya) dari Syurahbil bin Muslim al-Khaulani (seorang Tabiin) yang menceritakan; Aku telah melihat 5 orang sahabat Rasulullah iaitu Abu Umamah, Abdullah bin Bisr, Utbah bin Abd as-Sulami, al-Hajjaj bin ‘Amir dan al-Miqdam bin Ma’di Yakrib, mereka menggunting misai selari dengan pangkal bibir mulut”. (al-Majmu’, Imam an-Nawawi).

Mengenai hadis-hadis yang dijadikan hujjah oleh pandangan pertama tadi, dijawab; yang dimaksudkan oleh Nabi dengan ucapannya “…buanglah misai..” bukanlah membuang keseluruhannya, akan tetapi membuang sebahagiannya sahaja (iaitu yang melepasi ke bibir mulut) sebagaimana yang ditunjukkan oleh sahabat Nabi tadi.

c) Pandangan ketiga; menurut Imam Ibnu Jarir at-Tabari; harus kedua-duanya, yakni kita boleh memilih sama ada hendak mengguntingnya sahaja atau mencukurnya kerana kedua-duanya sabit di dalam hadis Nabi s.a.w..

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, 1/152-155 (Kitab at-Toharah, Bab Khisal al-Fitrah).
2. Faidhul-Qadier, Imam al-Munawi, hadis no. 3586.
3. al-Mjamu’, Imam an-Nawawi, Kitab at-Toharah, bab as-Siwak (1/287).
4. Tuhfah al-Ahwazi, Kitab Abwab al-‘Ilmi, bab Ma Ja-a Fi Qassi as-Syarib (8/42).
5. Fiqh al-Albisah Wa az-Zinah, Abdul-Wahhab Abdus-Salam Tawilah, hlm. 276-280.
6. Fiqh al-‘Ibadat, Hasan Ayyub, hlm. 21.
7. Fiqh at-Thoharah, Dr. Abdul-Karim Zaidan, hlm. 42.

Friday, June 17, 2011

HUKUM SEWA ATAS SEWA

Soalan; assalamualaikum ustaz...apakah hukum sewa atas penyewa?

Jawapan;

Menurut jumhur ulamak (merangkumi mazhab empat); diharuskan orang yang menyewa barang/premis untuk menyewakannya semula kepada orang lain selama dalam tempoh sewaan yang diakadkan dengan pemilik barang/premis. Sama ada bayaran sewaan yang dikenakan sama dengan bayaran sewaan yang dibayar kepada pemilik atau lebih tinggi atau lebih rendah hukumnya adalah harus. Ini kerana akad sewaan adalah sama seperti akad jual-beli iaitu akad pertukaran. Jika akad jual beli menukarkan antara harta (yang berupa wang) dengan harta (yang berupa barang/produk), akad sewaan pula menukar harta (iaitu bayaran sewaan) dengan manfaat (iaitu kegunaan barang yang disewa). Apabila sempurna akad sewaan, manfaat barang/premis yang disewa telah menjadi milik orang yang menyewa, maka ia harus menggunanya sendiri atau menghadiahnya kepada orang lain atau menjual manfaat itu (dengan pengertian menyewanya kepada orang lain). Ia sama seperti apabila sempurna akad jual-beli, pembeli bebas menggunakan barang/produk yang dibelinya mengikut yang disukainya kerana barang/produk itu telah menjadi miliknya.

Namun keharusan menyewa semula itu terikat dengan syarat berikut;
1. Barang/premis yang terbabit itu tidak terkesan dengan sebab bertukar tangan penyewa seperti menyebabkan kerosakan atau sebagainya.
2. Penggunaan penyewa kedua ke atas barang/premis sama seperti yang diakadkan antara penyewa pertama dengan pemilik atau penggunaan yang kurang risiko darinya, contohnya; jika penyewa pertama menyewanya untuk digunakan sebagai kediaman, tidak harus ia menyewanya kepada orang lain untuk dijadikan kilang atau seumpamanya.
2. Pemilik tidak mensyaratkan barang/premisnya tidak disewakan semula kepada orang lain.[1] Jika ia mensyaratkannya, tidak harus disewakan semula kerana sabda Nabi; "Orang-orang Islam terikat dengan syarat-syarat yang dipersetujui sesama mereka selama menepati yang hak" (HR Imam al-Hakim dari Aisyah r.a. dan Anas. Menurut as-Suyuti; hadis ini soheh. Lihat: al-Jami' as-Saghier, hadis no. 9214).

Nota;

[1] Ini berdasarkan pandangan mazhab Maliki dan Hanbali di mana menurut mereka; harus pemilik barang/premis mensyaratkan barang/premis kepunyaannya hanya digunakan oleh penyewa sahaja atau mensyaratkan tidak boleh disewa kepada orang lain. Penyewa terikat dengan syarat tersebut dan jika ia melanggarinya terbatallah akad sewaan. Pandangan ini ditarjih oleh Imam Ibnu Taimiyyah. Namun mazhab Syafiie berpandangan; tidak harus meletakkan syarat tersebut dan jika diletakkan batallah akad sewaan. Mazhab Hanafi pula berpendapat; akad tidak terjejas, namun syarat yang diletakkan itu tidak terpakai (yakni sia-sia sahaja dan tidak mengikat penyewa).

Rujukan;

1. Al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 1/267, 284, 270, 286-287 (perkataan "Ijarah").
2. Al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah, Kitab al-Ijaraat (11/450).
3. Fatawa as-Syabakah al-Islamiyah, no. 118454, 103260.
4. Fatawa Syeikh Muhammad Soleh al-Munajjid, no. 82568.

CARA MELAKUKAN TAYAMMUM

Soalan; SALAM USTAZ, SAYA INGIN MENGAJU SATU PERSOALAN SEPERTI
BERIKUT:
1.KAMI BERMALAM SEMASA BERTUGAS DI PADANG PASIR YG SEJUK INI,
KEMUDIAN BERMIMPI KELUAR AIR MANI, UNTUK SOLAT SUBUH MEMERLUKAN MANDI
JUNUB ATAU SEBAGAINYA, KALAU DITEMPAT PDG PASIR YG TIADA AIR TAYAMUM
PUN DIBOLEHKAN, DAN BAGAIMANA CARA NYA TERANGKAN SATU PERSATU..
TERIMA KASIH ATAS KEPERHIHATINAN USTAZ.

Jawapan;

1. Yang dimaksudkan dengan tayammum ialah menyapukan debu ke muka dan dua tangan sebagaimana firman Allah (bermaksud); “Dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam pelayaran, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu menyentuh (atau mensetubuhi) perempuan sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk atau untuk mandi), maka hendaklah kamu bertayammum dengan debu yang bersih (صعيدا طيبا), iaitu: sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah itu” (Surah al-Maidah, ayat 6).

2. Berdasarkan ayat di atas, anggota tayammum ada dua iaitu;
a) Muka
b) Dua tangan

Muka; tiada khilaf bahawa kawasan muka yang wajib disapukan debu ialah kawasan muka yang wajib dibasuh ketika mengambil wudhuk. Adapun tangan, terdapat khilaf di kalangan ulamak seperti berikut;
a) Menurut jumhur ulamak (termasuk mazhab Syafiie); kawasan tangan yang wajib disapui debu ialah dari hujung jari hingga ke siku (iaitu kawasan yang sama yang wajib dibasuh ketika mengambil wudhuk).
b) Menurut mazhab Hanbali; kawasan tangan yang wajib disapui debu hanyalah hingga pergelangan tangan sahaja.

3. Mengenai jenis debu, terdapat khilaf sebagaimana berikut;
a) Menurut jumhur ulamak (termasuk mazhab Syafiie dan Hanbali); hanya debu tanah sahaja harus digunakan untuk tayammum, tidak harus dengan pasir, batu atau sebagainya.
b) Menurut mazhab Maliki dan Hanafi; tidak khusus kepada debu tanah sahaja. Harus tayammum dengan segala yang ada di atas permukaan bumi; tidak hanya tanah, tetapi juga pasir, kapur, batu dan seumpamanya.

Dalam situasi saudara, jika sukar untuk mendapatkan debu tanah, harus saudara beramal dengan pandangan kedua iaitu bertayammum dengan pasir atau bahan lain yang ada di atas muka bumi.

4. Tayammum tidak harus dilakukan melainkan setelah masuk waktu solat. Jadi, hendaklah dipastikan telah masuk waktu solat barulah boleh melakukan tayammum. Satu tayammum hanya untuk satu waktu solat sahaja. Dengan tayammum tersebut harus dikerjakan solat fardhu, solat-solat sunat, membaca al-Quran dan tawaf sebanyak mana dikehendaki selagi belum habis waktu. Apabila masuk waktu baru, tayammum tadi otomatik terbatal dan wajib dilakukan semula tayammum untuk waktu yang baru jika masih belum menemui air.

4. Berpandukan fiqh mazhab Syafiie, cara melakukan tayammum ialah seperti berikut;

a) Langkah pertama; tentukan kawasan tanah yang hendak diambil debu darinya. Buatkan garis segi empat dan bahagikan kepada dua bahagian (atas dan bawah).

b) Langkah kedua; lekapkan dua tapak tangan ke bahagian atas kawasan tanah yang ditentukan tadi, kemudian nipiskan sedikit debu yang melekat di tangan (jika terlalu tebal) iaitu dengan menghembusnya, kemudian sapukan debu tersebut ke muka dengan meratakannya hingga meliputi seluruh kawasan muka yang wajib dibasuh ketika mengambil wudhuk. Bagi yang berjanggut tidaklah diwajibkan menyampaikan debu ke kulit (di bawah janggut) kerana ia sukar dilakukan, maka memadai dengan menyapukan debu ke bahagian atas janggut sahaja. (al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 14/254).

c) Langkah ketiga; lekapkan dua tapak tangan ke bahagian bawahnya pula, lakukan seperti tadi, kemudian dengan debu yang ada di tapak tangan kiri sapukan ke seluruh tangan kanan iaitu dengan melurutnya dari hujung jari belakang tangan hingga ke siku dan dari siku ke pangkal tapak tangan. Elakkan dari menyentuh bahagian tapak tangan kanan untuk mengelak dari menyentuh debu di situ. Seterusnya dengan debu yang ada di tapak tangan kanan sapukan pula ke seluruh tangan kiri dengan melurutnya seperti tadi. Akhirnya geserkan antara dua tapak tangan dan silangkan antara jari-jari keduanya untuk menyampaikan debu ke celah-celah jari.

d) Akhirnya, bacalah doa sebagaimana yang disyariatkan selepas mengambil wudhuk.

Wallahu a’lam.

Tuesday, June 14, 2011

MEMBINA PREMIS DI ATAS TANAH ORANG LAIN

Soalan; Assalammualaikum. Saya ada kemuskilan, bapa saudara saya telah mendirikan rumah di atas sebidang tanah milik aruah nenek saya atas kebenaran secara lisan oleh aruah nenek. Sebelum aruah nenek meninggal dia telah menukar hak milik tanah tersebut ke atas nama bapa saya. Anak bapa saudara saya juga telah mendirikan bengkel membaiki motosikal di atas tanah tersebut tanpa sebarang kebenaran daripada bapa saya sebagai pemilik tanah. Masalahnya sekarang bapa saya ingin menjual tanah tersebut memandangkan tanah tersebut tidak diusahakan dan bapa memerlukan wang bagi menyara anak-anak yang masih belajar dan dirinya dan emak yang tidak berapa sihat. Malangnya bapa saudara dan anak-anaknya telah melemparkan kata-kata yang kesat kepada bapa saya dan masih berpegang kepada kata-kata aruah nenek yang membenarkan beliau membina rumah dan tinggal di atas tanah tersebut biarpun nenek telah tiada pada mereka itu adalah tanah pusaka dan bapa tidak berhak meminta mereka keluar biarpun bapa telah mengatakan beliau akan memberikan sejumlah wang atas ihklas beliau tetapi bapa saudara telah berkeras dan meminta pampasan berlebihan yang boleh dikirakan separuh daripada jualan tanah tersebut. Tanpa pampasan sebanyak yang dipohon mereka tidak akan keluar daripada rumah dan bengkel yang telah didirikan. Soalannya;
- Apakah bapa saya berhak untuk tidak keluar daripada tanah tersebut dan meminta sejumlah pampasan yang tinggi.
- Adakah bapa saya berhak untuk tidak memberikan sebarang pampasan
- Apakah hukum menjalankan perniagaan di atas milik orang tanpa kebenaran dan memakan duit hasil perniagaan tersebut.
              
Jawapan;

1. Selesaikanlah masalah tersebut dengan baik tanpa menjejaskan tali persaudaraan (silaturrahmi). Menjaga tali persaudaraan terutamanya antara saudara yang ada pertalian darah amat-amat dituntut oleh Syariat Islam.

2. Penyelesaian secara sepakat dan saling bertolak ansur adalah yang terbaik. Jika tidak dapat dilakukan, maka penyelesaiannya mengikut hukum Fiqh adalah seperti berikut;

A) Rumah bapa saudara; oleh kerana ia membinanya dengan kebenaran pemilik asal (nenek saudara), apabila tanah itu berpindah milik, pemilik baru perlulah membayar nilai rumah di atas tanah tersebut (dengan harga semasa) jika ia ingin mengambil kembali tanah tersebut. Ini kerana rumah itu dibina dengan kebenaran dari pemilik tanah yang asal.

B) Bengkel anak saudara; oleh kerana bengkel itu dibina tanpa kebenaran pemilik tanah, pemilik tanah berhak merobohnya tanpa sebarang pampasan. Ini kerana ia membina bangunan di atas tanah orang lain tanpa kebenarannya, maka itu termasuk dalam menceroboh dan merampas hak orang lain. Sabda Nabi; "Sesiapa menghidupkan tanah mati (yakni tanah yang tidak berpemilik) tanah itu miliknya. Tidak ada sebarang hak bagi orang yang membina/menanam secara zalim (di atas tanah orang lain)" (HR Imam at-Tirmizi dari Said bin Zaid. Kitab al-Ahkam 'an Rasulillah, bab Ma Zukira Fi Ihya' Ardhi al-Mawat, no. 1378. Turut diriwayatkan oleh Abi Daud dari 'Urwah yang meriwayatkan dari bapanya. Lihat; Sunan Abi Daud, kitab al-Kharaj wa al-Imarah wa al-Fai', bab Fi Ihya' al-Mawat, no. 3073).

Berkata Imam al-Khattabi; "Maksud hadis ini ialah seorang lelaki menanam pokok di atas tanah yang bukan tanahnya tanpa keizinan tuan tanah atau ia membina suatu binaan di atas tanah orang lain tanpa izin tuannya, maka ia diperintahkan supaya mencabutnya kecualilah jika tuan tanah meredhainya, maka dibiarkan" ('Aunul-Ma'bud, Syarah Sunan Abi Daud).      

C) Perniagaan di atas tanah orang lain; jika perniagaan yang dijalankan adalah halal (yakni menjual produk atau perkhidmatan yang halal) pendapatan yang terhasil darinya juga halal, namun ia berdosa kerana menjalankan perniagaan di atas tanah orang lain tanpa keizinanannya. Wajib ia memohon ampun kepada Allah dan menyerahkan harta yang bukan haknya kepada pemiliknya atau memohon keizinannya untuk terus berniaga di situ. Tuan tanah berhak mengadu kepada pihak berkuasa untuk menuntut dikembalikan haknya dan bayaran sewa dari tanah tersebut sepanjang ia dicerobohi.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Tuhfah al-Ahwazi (Syarah Sunan at-Tirmizi), Kitab al-Ahkam 'an Rasulillah, bab Ma Zukira Fi Ihya' Ardhi al-Mawat, no. 1378.
2. Aunul-Ma'bud (Syarah Sunan Abi Daud), kitab al-Kharaj wa al-Imarah wa al-Fai', bab Fi Ihya' al-Mawat, no. 3073.

HUKUM KESALAHAN DALAM BACAAN FATIHAH

Soalan; Salam Ustaz. Apa hukum solat jika membaca Al-Fatihah salah tajwid, iaitu merangkumi:
- tidak menyebut syaddah pada huruf yang bertasydid, seperti pada iyyaka dibaca iyaka
- salah makhraj, seperti dho disebut zho pada waladhdhollin
- tidak memelihara hukum mad, seperti dho pada waladhdhollin panjang 6 harakat dibaca 2 harakat sahaja.
Harap penjelasan ustaz.

Jawapan;

Para ulamak menjelaskan;
1. Surah al-Fatihah wajib dibaca di dalam solat dengan merangkumi segala huruf dan syaddah-syaddahnya. Jika jatuh satu huruf darinya atau diringankan huruf yang sepatutnya disyaddahkan atau diganti satu dengan huruf lain, tidak sah bacaannya sama ada huruf dhodnya atau huruf lainnya.
2. Dari segi sebutan huruf; jika bertukar sebutan dhod (ض) menjadi dzo (ظ) menurut satu pandangan (dari fuqahak mazhab Syafiie); tidak menjejaskan bacaan (yakni bacaan masih sah kerana agak sukar bagi orang awam untuk memebezakan antara dua huruf tersebut, jadi ia dimaafkan). Namun pandangan yang rajih (al-Asah); tidak sah bacaan, kecualilah bagi orang yang tidak mampu untuk belajar, maka ia dimaafkan. Jika sebutan dhod itu dibaca dengan selain dzo, tidak sah bacaan tanpa ada khilaf. Begitu juga, tidak sah bacaan jika bertukar dzal (ذ) menjadi dal (د). Namun jika huruf qaf (ق) disebut hampir kepada kaf (ك) (yakni sebutan antara qaf dan kaf), bacaan masih sah namun makruh.    
3. Jika berlaku kesalahan pada baris; jika mengubah makna seperti ta pada (أ نعمت) dibaca dengan baris dhammah atau kasrah, atau kaf pada (إياك) dibaca dengan baris kasrah, tidak sah bacaan fatihah. Jika tidak sampai mengubah makna, tidak batal bacaan Fatihah (yakni masih sah bacaan).
4. Kesalahan tajwid dalam bacaan tidaklah membawa kepada tidak sahnya bacaan Fatihah selama tidak menjejaskan makna seperti yang dijelaskan tadi. Oleh demikian, memendekkan mad pada (ولا الضالين) dari 6 kepada 2 tidaklah membatalkan bacaan kerana ia tidak mengubah makna.

Kesalahan-kesalahan yang boleh menjejaskan bacaan yang dinyatakan di atas jika dilakukan dengan sengaja, akan batallah solat. Jika berlaku tanpa disengajakan, solat tidak batal namun wajib diulangi bacaan. Jika tidak diulangi bacaan yang salah itu, batallah solat.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Raudhatu at-Thalibin, Imam an-Nawawi, 1/348 (kitab as-Solah, al-Bab ar-Rabi'; Sifati as-Solah).
2. Al-Fiqh al-Manhaji, Syeikh Dr Mustafa al-Khin, Dr Mustafa al-Bugha dan 'Ali as-Syarbaji, 1/132.
3. Mughni al-Muhtaj, Syeikh al-Khatib as-Syirbini, 2/299-301.
4. Fatawa as-Syabakah al-Islamiyah, no. 33960, 79718, 73321.

LAFAZ TALAK TANPA NIAT & TALAK 3 SEKALIGUS

Soalan; assalamualaikum ustaz.
1. isteri saya telah pulang kerumah ibunya. pada malam harinya. saya telah menghantar sms berbunyi "kalau tak balik kerumah malam ni, jatuh talak 3". saya menghantar sms tersebut tanpa niat. bertujuan menyuruh isteri saya balik. adakah jatuh talak tersebut?
2. sebelum ini saya pernah bertengkar. dan saya lafaz "kita putus" juga tanpa niat. adakah jatuh talak?

Jawapan;

1. Lafaz pertama adalah lafaz sharih iaitu lafaz yang tidak difahami oleh orang yang mendengar melainkan dengan makna talak. Ucapan talak/cerai dengan lafaz sharih tidak dirujuk kepada niat, yakni; semata-mata suami melafazkannya dengan mulutnya jatuhlah talak sekalipun suami mendakwa ia melafazkannya bukanlah dengan niat cerai tetapi gurauan, marah, ancaman atau sebagainya. Lafaz sharih ini ialah dengan menggunakan perkataan talak atau cerai. Hukum tersebut adalah kerana Rasulullah bersabda; "Tiga perkara sungguhnya adalah sungguh dan gurauannya juga adalah sungguh;
A) Nikah
B) Talak
C) Rujuk
(HR Imam at-Tirmizi dari Abu Hurairah. Menurut Imam at-Tirmizi; hadis hasan gharib. Lihat: Sunan at-Tirmizi, kitab At-Thalaq wa al-Li'an, bab Ma Ja-a Fi al-Jaddi wa al-Hazli Fi at-Thalaq, no. 1101. Juga diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dan Ibnu Majah).

Berkata Imam al-Khattabi; "Telah sepakat sekelian ulamak bahawa lafaz talak yang sharih jika dituturkan oleh seorang lelaki (yakni suami) yang baligh (sampai umur) dan berakal, ia diambil perkiraan dengannya dan tidak berguna ucapannya "Aku mengucapkannya main-main sahaja atau hanya gurauan atau aku tidak berniat talak dengannya" atau alasan-alasan lain seumpamanya" (Aunul-Ma'bud, kitab at-Thalaq, bab at-Thalaq fi al-Hazl, hadis no. 2194).  

Jadi dalam kes di atas jika suami mengakui ia menghantar sms tersebut dan berlaku perkara yang dita'liqkan (yakni diikatkan) dalan ucapan talak/cerai yang dilafazkan itu, jatuhlah talak. Adakah jatuh talak satu atau talak tiga? Perkara ini menjadi khilaf di kalangan ulamak;

A) Menurut jumhur ulamak (merangkumi mazhab empat; Hanafi, Maliki, Syafiie dan Hanbali); talak tiga sekaligus akan menjatuhkan tiga talak. Jadi suami yang melafazkan talak 3 sekaligus kepada isterinya, ia dikira menceraikan isterinya dengan 3 talak/cerai dan ia tidak boleh merujuk kembali isterinya melainkan setelah isterinya berkahwin dengan lelaki lain, berlaku persetubuhan antaranya dengan suami barunya itu, diceraikan oleh suami baru itu dan habis eddah, barulah boleh berkahwin semula dengan bekas suami tadi iaitu dengan akad dan mas kahwin baru.

B) Sebahagian ulamak (iaitu Imam Ato', Tawus, Said bin Jubair dan disokong oleh Imam Ibnu Taimiyyah dan Ibnul-Qayyim) berpandangan; talak hanya jatuh satu sahaja walaupun dilafazkan oleh suami 2 atau 3 sekaligus kerana talak menurut mereka hanya boleh berlaku satu demi satu, tidak berlaku banyak sekaligus.

2. Adapun lafaz yang kedua (kita putus) ia adalah lafaz kinayah iaitu lafaz yang boleh difahami sebagai talak/cerai dan boleh juga dengan maksud lain. Kerana itu ia bergantung kepada niat suami. Jika suami berkata ia memang berniat talak dengan ucapan itu, jatuhlah talak. Jika tidak, tidak jatuh talak.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Al-Mughni, Imam Ibnu al-Qudamah, juzuk 7, kitab at-Talaq.
2. Aunul-Ma'bud (Syarah Sunan Abi Daud), kitab at-Thalaq, bab at-Thalaq fi al-Hazl, hadis no. 2194).
3. Fiqh as-Sunnah, Syeikh Sayid Sabiq
, 2/173.

Thursday, June 9, 2011

WASIAT DAN PEMBAHAGIAN HARTA PENINGGALAN ISTERI YANG TIADA ANAK DAN IBU-BAPA

Soalan; ISTERI SUDAH MENINGGAL . SAYA TIDAK ADA ANAK. KEDUA MERTUA PUN SUDAH MENINGGAL. IPAR-IPAR SERAMAI 7 ORANG; 6 LELAKI DAN SEORANG PEREMPUAN. SEBELUM MENINGGAL ISTERI SAYA TELAH BERPESAN KEPADA SAYA. JIKA DIA MENINGGAL, SEMUA BARANG KEMAS NYA BERI KEPADA MASJID, DAN JANGAN BAGI KEPADA SESIAPA. SOALAN SAYA: MACAMMANA SAYA NAK BUAT BAGI MENYELESAIKAN PERKARA ITU. MINTA TOLONG PERINCIKAN KAN SATU PERSATU MENGIKUT MANA YANG MESTI DIDAHULUKAN . CONTOH SAPERTI BERIKUT;
1. JUAL SEMUA BARANG KEMAS
2. BERI KEPADA MANA MANA MASJID SEMUA SEKALI.
3. ?
4. ?
5. ?
MINTA TOLONG SENARAIKAN .
SEKIAN TERIMA KASIH.

Jawapan;

Harta peninggalan si mati hendaklah dibahagikan mengikut urutan berikut;

1. Diambil darinya untuk pengurusan jenazahnya; kos mandi, kafan dan pengkebumian. Jika telah ada peruntukan dari khairat kematian atau keluarga sudi menanggungnya, tidak perlu lagi ditolak.

2. Ditolak hutangnya sama ada hutang dengan Allah atau hutang dengan manusia. Hutang dengan Allah seperti zakat, fidyah, kaffarah dan sebagainya.

3. Yang berbaki, ditolak wasiatnya jika ada. Dalam kes di atas, si mati ada memberi wasiat hartanya untuk masjid, maka hendaklah dilaksanakan wasiatnya. Namun wasiat tidak boleh lebih 1/3 dari baki harta itu (yakni baki harta setelah ditolak kos pengurusan jenazah dan hutang si mati tadi). Jika lebih 1/3, maka yang lebih itu adalah hak waris-waris dan hanya boleh dilaksanakan dengan persetujuan mereka.

4. Selebihnya diagihkan kepada waris-waris si mati.

Merujuk kepada kes di atas, jika nilai barang kemas itu berada dalam lingkungan 1/3 harta si mati, harus disedekah kesemuanya kepada masjid. Namun jika barang kemas itu sahaja harta si mati, hanya 1/3 dari nilai barang kemas itu disedekahkan kepada masjid dan yang selebihnya diagihkan kepada waris-warisnya.

Berdasarkan maklumat saudara, pembahagian harta kepada waris-waris si mati ialah seperti berikut;
1. Suami; ½ (kerana si mati tidak mempunyai zuriat).
2. Saudara-saudara si mati; harta yang berbaki setelah ditolak bahagian suami di atas. Saudara lelaki mendapat sekali ganda dari bahagian saudara perempuan.

Wallahu a'lam.

PUASA ISNIN & KHAMIS DAN 3 HARI SETIAP BULAN

Soalan; Assalamualaikum ustaz, saya ingin tahu tentang puasa sunat isnin dan khamis , adakah puasa ini perlu dilakukan pada isnin dan khamis pd minggu yang sama atau minggu berlainan(isnin minggu pertama,khamis minggu kedua dsb.) atau boleh memilih antara dua hari itu yakni puasa pd isnin saja tp tidak pada khamis begitu sebaliknya?
Kedua,mengenai puasa tiga hari sebulan, apakah hukum jika saya mengambil hari isnin dan khamis sebagai hari utk melakukan puasa sunat tiga hari ini?
Maklum balas ustaz amat dihargai. Wassalam.

Jawapan;

1. Puasa isnin dan kamis boleh dilakukan pada setiap minggu, sama ada berpuasa isnin saja atau khamis saja atau kedua-duanya.

2. Maksud puasa 3 hari setiap bulan (yakni bulan Islam) ialah melakukan puasa pada 3 hari di setiap bulan. Jika seorang melakukan puasa setiap hari isnin bermakna setiap bulan ia berpuasa 4 hari dan itu telah merangkumk maksud puasa 3 hari setiap bulan itu. Namun jika ia menambah puasa dengan berpusa pada tanggal 13, 14 dan 15 setiap bulan akan lebih baik lagi kerana terdapat hadis lain menggalakkan kita berpuasa pada hari-hari putih (iaitu hari ke 13, 14 & 15 setiap bulan Islam).

BENARKAH HARUS MENUNJUKKAN GAMBAR TIDAK BERTUDUNG KEPADA LELAKI?

Soalan; salam,,,ustaz apa hukum seorang perempuan berchating secara webcam tidak menutup kepala dan tidak menampakkan auratnya yang lain kecuali rambut sahaja. saya ada mendengar hukum menunjukkan gambar tidak menutup kepala kepada orang lelaki tidak dikira berdosa kecuali mendatangkan syahwat.. saya ingin mendapatkan kepastian sebab saya adlah pelajar jurusan pengajian Islam.

Jawapan;

Terdapat larangan yang jelas dari al-Quran dan as-Sunnah ke atas wanita beriman agar menutup aurat iaitu seluruh badan kecuali muka dan dua tangan sahaja yang harus didedahkan. Lihat surah an-Nur, ayat 31. Antara yang disuruh Allah agar ditutup ialah bahagian kepala. Firman Allah (bermaksud); "Dan hendaklah mereka (yakni wanita-wanita mukmin) melabuhkan tudung-tudung kepala mereka hingga menutupi belahan leher baju mereka" (Surah an-Nur, ayat 31). Menurut ulamak tafsir; ayat ini bermaksud supaya wanita-wanita beriman menutup kepala mereka, leher serta dada mereka dengan kain-kain tudung (Lihat; Tafsir al-Jalalain).

Diriwayatkan dari Aisyah -radhiyallahu 'anhu- yang menceritakan; Asmak binti Abu Bakar suatu hari telah masuk bertemu Rasulullah -shallallahu 'alaihi wasallam- dengan memakai pakaian yang nipis, lantas baginda berpaling dari melihatnya sambil bersabda; "Wahai Asmak, sesungguhnya seorang wanita apabila telah kedatangan haid (yakni sampai umur), tidak harus dilihat badannya melainkan ini dan ini sahaja" sambil baginda menunjuk ke muka dan dua tangannya" (HR Imam Abu Daud dari Aisyah).

Maksud dari arahan menutup aurat ialah tidak mendedahkannya untuk tontonan orang lain yang tidak diizinkan Allah melihatnya, iaitulah lelaki-lelaki yang bukan mahram. Apabila seorang wanita mengambil gambar dirinya ketika ia tidak menutup aurat, kemudian ia menunjukkan gambar itu kepada lelaki yang bukan mahramnya, apakah itu tidak dinamakan mendedahkan auratnya kepada orang yang tidak diizin Allah. Jawapannya tidak lain adalah "Ya". Jadi tidak syak lagi bahawa perbuatan tersebut adalah dilarang. Kewajipan wanita Islam menutup aurat bukan atas alasan timbul syahwat orang atau tidak (jika ia mendedah aurat), tetapi kerana menyahut arahan Allah dalam al-Quran dan hadis tadi. Menjaga dari timbulnya syahwat hanyalah hikmah dari arahan menutup aurat, bukan illah (sebab) kepada menutup aurat kerana illahnya ialah arahan Allah. Contoh lain; sekalipun tiada kebimbangan berlaku zina, haram seorang wanita berduaan dengan lelaki yang bukan mahramnya kerana berduaan itu dilarang oleh Nabi. Tidak harus seorang wanita berkata; "Tidak mengapa saya berduaan dengannya kerana saya yakin dapat menjaga diri dari zina".

Selain arahan supaya menutup aurat, terdapat juga arahan supaya menjaga pandangan mata. Firman Allah (bermaksud); "Katakanlah (wahai Muhammad) kepada lelaki-lelaki mukmin; hendaklah mereka menahan pandangan-pandangan mata mereka" (Surah an-Nur, ayat 30). "Dan katakanlah kepada wanita-wanita beriman; hendaklah mereka menjaga pandangan mata mereka" (Surah an-Nur, ayat 31).  Sabda Nabi (bermaksud); "Apabila seorang lelaki muslim menahan pandangannya tatkala terlihat wanita cantik, Allah akan gantikan untuknya (bagi mujahadahnya menahan pandangan itu) dengan kemanisan beribadah" (HR Imam Ahmad dari Abi Umamah). Persoalan; apabila seorang lelaki melihat gambar wanita yang tidak menutup aurat (seperti mendedahkan rambutnya), apakah ia dianggap menjaga pandangannya? Jawapannya sudah tentu "Tidak". Oleh demikian, anggapan bahawa gambar dikecualikan dari ayat yang menyuruh menutup aurat dan ayat yang menyuruh menjaga pandangan, anggapan tersebut adalah tidak benar sama sekali. Ia bukan sahaja bertentangan dengan kehendak ayat, malah membuka jalan kepada perbuatan dosa yang lebih besar lagi iaitu melihat gambar lucah dan menonton video lucah dengan alasan ia bukan sebenar tetapi hanya foto atau rakaman. Dalam kaedah (prinsip) Fiqh ada dinyatakan "Ma Adda Ila al-Haram Fahuwa Haramun" (Sesuatu yang mendorong kepada yang haram, ia turut diharamkan".

Wallahu a'lam.

HUKUM LELAKI BERAMBUT PANJANG & MEMAKAI TOPI KETIKA SOLAT

Soalan; Assalamualaikum ustaz....Saya mempunyai sedikit kemusykilan tentang pemakaian ketika solat..Terutama pada bahagian atas kepala.saya seorang yang gemar berambut panjang namun ada segelintir yang mengatakan jika rambut panjang maka ia akan jatuh kepada haram.adakah perkara ini benar?Dan satu lagi ustaz,tentang pemakaian topi ketika solat.saya sering memakai topi salji@snowcap yg kelihatan seperti anak tudung bagi wanita.Persoalannya adakah salah jika saya mengenakannya untuk digunakan sebagai pengganti songkok@kopiah memandangkan rambut saya panjang dan khuatir jatuh di bahagian dahi dan menyebabkan solat itu terbatal?Itu sahaja ya Ustaz,harap ustaz sudi menjawab soalan saya ini.

Jawapan;

1. Lelaki ingin menyimpan rambut panjang; tidaklah dilarang agama kerana rambut Nabi -shallallahu 'alaihi wasallam- sendiri adakalanya beliau membiarkan panjang hingga ke bahu. Dalam Soheh al-Bukhari, terdapat hadis dari Anas yang menceritakan; "Rambut Rasulullah mencecah dua bahunnya" (Soheh al-Bukhari, kitab al-Libas, bab al-Ja'di, hadis no. 5452). Walau bagaimanapun, hendaklah dipastikan gaya rambut tidak menyerupai orang kafir atau orang-orang fasik kerana Nabi bersabda; "Sesiapa menyerupai suatu kaum, ia dari kalangan mereka" (HR Imam Abu Daud dari Ibnu 'Umar. Lihat; Sunan Abi Daud, kitab al-Libas, bab Fi Lubsi as-Syuhrah, hadis no. 3512).

2. Memakai kopiah tidaklah menjadi syarat sah solat. Harus mengerjakan solat dengan memakai kopiah atau tanpa memakainya. Begitu juga, memakai selain kopiah (topi dan sebagainya) tidaklah membatalkan solat jika ia bersih. Walau bagaimanapun, pakaian kita ketika solat hendaklah menggambarkan kesopanan kita di hadapan Allah. Jika topi yang saudara pakai itu topi yang elok, bersih, kemas dan nampak bersopan, tidak mengapa saudara memakainya ketika solat. Jika tidak, baiklah saudara menanggalnya ketika solat sekalipun saudara solat tanpa memakai apa-apa di atas kepala. Jika saudara tetap memakainya tidaklah akan membatalkan solat, cuma masalah kesopanan sahaja.

Wallahu a'lam.

Tuesday, June 7, 2011

HUKUM ANAK PATUNG

Soalan; assalamulaikum ustaz...saya ingin bertanya apakah hukum sbnr menyimpan anak patung....sebab saya pernah dengar orang kata kalau nak simpan anak patung boleh tapi kena cacatkan anggotanya....adakah itu benar ustaz...

Jawapan;

Patung makhluk yang bernyawa –iaitu manusia dan haiwan- menurut jumhur ulamak; haram dibuat dan haram juga memilikinya. Hukum haram ini berdalilkan hadis-hadis yang melarang peniruan terhadap makhluk-makhluk bernyawa sama ada melalui lukisan, patung atau sebagainya. Antaranya sabda Nabi (bermaksud); “Semua orang yang membuat peniruan adalah dalam neraka. Di akhirat nanti makhluk yang ditirunya akan dijelmakan menjadi satu jiwa yang akan mengazabnya di dalam neraka. Jika kamu perlu melakukannya, buatlah peniruan terhadap pokok atau benda yang tidak bernyawa” (HR Imam al-Bukhari dan Muslim dari Ibnu ‘Abbas –radhiyallahu. Lihat hadis ini dalam Nailul-Autar (Imam as-Syaukani), juzuk 2, kitab al-Libas, bab Hukmi Ma Fihi Shurah Min as-Siyab…).

Dikecualikan dari pengharaman patung makhluk bernyawa di atas, patung-patung yang mempunyai ciri berikut;
1. Patung yang dibuat untuk mainan kanak-kanak
2. Patung yang tidak dimuliakan iaitu yang diletakkan di atas tanah tanpa sebarang kebesaran. Adapun patung yang digantung didinding atau dijadikan perhiasan di atas meja dan sebagainya, diharamkan.
3. Patung yang tidak sempurna jasadnya iaitu terpotong anggotanya di mana bagi haiwan hidup dengan ketiadaan anggota itu ia tidak dapat hidup seperti patung yang tiada kepala, patung setakat dada atau seumpamanya.
4. Patung yang tidak kekal seperti patung dari coklat, tepung, ukiran dari buah atau seumpamanya.

Terdapat segolongan ulamak hanya mengharamkan patung yang dibuat untuk sembahan sahaja, iaitu patung-patung berhala. Adapun patung-patung yang lain, tidaklah diharamkan. Pandangan ini dinaqalkan oleh Imam an-Nuhhas, Makki bin Abi Thalib dan Ibnu al-Furs.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1.Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, perkataan “tashwir”.

EDDAH WANITA YANG DICERAI SUAMI

Soalan; Assalamualaikum ustaz, boleh ustaz tolong jelaskan bagaimanakan yang dimaksud kan tempoh edah selepas bercerai bagi seorang wanita. Ada yang berkata tempohnya adalah 3 bulan dari tarikh bercerai atau pun 3 kali suci. Andai kata wanita tersebut telah lepas 3 kali suci tetapi tempoh edah cerainya tidak sampai 3 bulan boleh kah wanita tadi bernikah atau mesti digenapkan masa 3 bulan tersebut barulah wanita tadi boleh bernikah. Penjelasan Ustaz diucapkan ribuan terima kasih. Wassalam.

Jawapan;

Eddah yang ditetapkan oleh Syariat ke atas wanita yang diceraikan suami adalah seperti berikut;

1. Wanita yang diceraikan suami dan ia masih kedatangan haid; eddahnya tiga kali suci (dari haid) berdalilkan ayat (bermaksud); “Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid)” (Surah al-Baqarah, ayat 228). Dikecualikan jika ia mengandung, maka eddahnya ialah eddah wanita mengandung yang akan disebutkan nanti.[1]  Maksud tiga kali suci ialah tiga kali suci selepas haid, iaitu; apabila suaminya menceraikannya ketika ia suci itu dikira suci pertama, kemudian ia kedatangan haid, kemudian disusuli suci kedua, kemudian kedatangan haid lagi, kemudian disusuli suci ketiga. Apabila habis sahaja suci yang ketiga iaitu ia kedatangan haid semula, tamatlah eddahnya.

2. Wanita yang diceraikan suami dan ia telah terputus haid (yakni sampai umur putus haid)[2] atau  belum didatangi haid (kerana masih kecil); eddahnya ialah 3 bulan berdalilkan ayat (yang bermaksud); “Dan perempuan-perempuan dari kalangan kamu yang putus asa dari kedatangan haid jika kamu keliru (yakni kamu jahil tentang hukum eddahnya), maka eddahnya ialah tiga bulan dan (demikian juga) perempuan-perempuan yang belum kedatangan haid (kerana masih kecil, eddahnya juga tiga bulan)” (Surah at-Talaq, ayat 4). Menurut mazhab Syafiie dan Hanbali; termasuk juga yang perlu bereddah tiga bulan ialah wanita yang berterusan keluar darah dari farajnya di mana ia tidak dapat membezakan lagi bila ia haid dan bila ia istihadhah. (Tafsir al-Munir, lihat pandangan Imam Mujahid dalam al-Jassas. Lihat juga; Tamam al-Minnah, al-Azzazi).

4. Wanita yang diceraikan suami dan ia mengandung; eddahnya ialah dengan melahirnya anak berdalilkan ayat (bermaksud); “Dan perempuan-perempuan mengandung, tempoh idahnya ialah hingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya” (Surah at-Talaq, ayat 4).

5. Wanita yang dicerai suaminya dan ia menjalani eddah dengan eddah penceraian tadi (iaitu 3 kali suci atau 3 bulan), kemudian sebelum tamat eddah suaminya meninggal, bagi kes ini eddahnya bertukar kepada eddah kematian suami ialah 4 bulan 10 hari (bermula dari tarikh kematian suaminya) berdalilkan firman Allah (bermaksud); “Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri, hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (bereddah) selama empat bulan sepuluh hari” (al-Baqarah, ayat 234).

6. Wanita yang diceraikan sebelum disetubuhi oleh suaminya; tiada eddah berdalilkan ayat (bermaksud); “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang beriman, kemudian kamu ceraikan mereka sebelum kamu menyentuhnya (yakni sebelum menyetubuhinya), maka tiadalah kamu berhak terhadap mereka mengenai sebarang eddah yang kamu boleh hitungkan masanya.” (Surah al-Ahzab, ayat 49). Adapun jika ia kematian suaminya, maka eddahnya ialah 4 bulan 10 hari walaupun belum sempat berlaku persetubuhan (jimak) antara dia dan suaminya berdalilkan makna umum ayat tentang eddah kematian suami tadi.

Wallahu a'lam.

Nota hujung;

[1] Ini adalah berdasarkan pandangan mazhab Syafiie dan Maliki. Adapun mazhab Hanbali dan Hanafi; eddahnya ialah tiga kali haid. Mereka mentafsirkan al-quru’ dalam ayat di atas sebagai haid, bukan suci. Berdasarkan pandangan kedua, maksud tiga kali haid ialah dengan ia melalui tiga kali kedatangan haid, iaitu; selepas ia diceraikan ia didatangi haid pertama, kemudian suci, kemudian datang haid kedua, kemudian suci, kemudian datang haid ketiga dan apabila tamat haid ketiga habislah tempoh eddahnya. (Tafsir Ibnu Kathir).

[2] Menurut mazhab Syafiie; umur putus haid ialah 62 tahun. Menurut mazhab Maliki; 60 tahun, mazhab Hanbali; 50 tahun dan Hanafi; 55 tahun. (Tafsir al-Munir)

Rujukan;

1.      Tafsir al-Jalalain, surah at-Talaq, ayat 4.
2.      Tafsir Ibnu Kathir, surah al-Baqarah, ayat 228 dan surah at-Talaq, ayat 4.
3.      Tafsir al-Munir, Dr. Wahbah az-Zuhaili, surah at-Talaq, ayat 4.
4.      At-Talaq, Dr. Muhammad Ibrahim Hafnawi, hlm.377.
5.      Tamam al-Minnah, Syeikh Adil al-‘Azzazi, 3/19.
6.      Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, perkataan “’Iddah”.

BENARKAH SEMUA MLM HARAM?

Soalan;  Assalamu alaikum, ustaz. Saya ingin mendapat pandangan sebenar tentang MLM. Saya baca satu blog (http://www.aididmuaddib.blogspot.com/), penulisnya kata semua MLM haram. Ada fatwa-fatwa ulamak beliau bawakan. Ustaz pula dalam jawapan-jawapan ustaz; MLM tidak semuanya haram, ada yang harus. Minta ustaz jelaskan lebih lanjut supaya orang seperti saya ini tidak keliru. Terima kasih.

Jawapan;

Saya membaca sedikit sebanyak blog tersebut (khusus berkait dengan MLM). Biasa sahaja sebelum ini saya mendengar pro dan kontra tentang MLM kerana antara ulamak sendiri berbeza pandangan. Namun membaca blog tersebut –khusus diruang komennya- saya agak terkejut kerana ada orang yang membicara hal agama namun dengan bahasa yang begitu kesat (apatahlagi ditujukan kepada ulamak) semata-mata kerana tidak sepandangan dengannya. “..bodohlah ulamak-ulamak yang mengharuskan MLM...” itulah antara bahasa yang digunakan dan ditujukan kepada ulamak-ulamak Mesir dan Malaysia (kerana mereka mengharuskan sebahagian MLM). Malah ungkapan seperti “..spesis b*bi hutan” juga sanggup digunakan. Saya mengungkit perkara ini sebelum menjawab soalan di atas sebagai muhasabah kepada diri saya dan pembaca; agar kita menjaga adab-adab khilaf. Kita boleh berbeza pandangan, tetapi adab-adab mesti dijaga terutamanya kepada ulamak. Penghinaan bukan sahaja haram ditujukan kepada ulamak, malah kepada sesama muslim. Sabda Nabi “Bukanlah seorang mukmin orang yang suka mencerca, melaknat dan bercakap kotor” (HR Imam Ahmad dari Abdullah bin Mas’ud).

Para ulamak berikhtilaf dalam masalah yang lebih besar dari MLM tetapi mereka tetap menjaga lidah mereka dari mencerca ulamak yang lain. Memang benarlah kata Allah (bermaksud); “Tidak sama orang berilmu dengan orang tidak berilmu...” (Surah az-Zumar, ayat 9).

1. Hingga sekarang berlaku perdebatan antara ulamak-ulamak aliran Salafiyah dan aliran Asyairah di mana ulamak-ulamak aliran Salafiyah menganggap aqidah Salafiyah mewakili Ahlussunnah, sementara ulamak-ulamak Asyairah pula menganggap aqidah ‘Asyairah lah mewakili Ahlus-Sunnah. Perdebatan berlaku dalam suasana yang ilmiah dan harmoni, cuma sebahagian ulamak Salafiyah agak keterlaluan dalam mengkritik aliran yang tidak selari dengan fahaman mereka.

2. Jumhur ulamak (mazhab Maliki, Hanafi dan Hanbali) menganggap Bai’ al-Inah adalah riba, sedang mazhab Syafiie menganggap ia harus. Pandangan mazhab Syafiie inilah yang menjadi pegangan Bank-Bank Islam di sebahagian Negara (termasuk di Malaysia) walaupun kedudukan bai’ al-‘Inah itu diperdebatkan. Majlis fatwa Arab Arab Saudi hingga sekarang tetap bertegas ia adalah riba. Namun tidak pernah kita mendengar mana-mana ulamak hari ini yang mengharamkan bai’ al-Inah itu mentohmah Bank-Bank Islam yang menggunanya sebagai bank riba. Kenapa? Kerana meraikan khilaf.

3. Aqad sewa beli (kereta, motor, rumah dan sebagainya) diharamkan oleh segolongan ulamak (antaranya ulamak-ulamak Arab Saudi), namun ramai juga ulamak-ulamak lain mengharuskannya termasuk Syeikh Wahbah az-Zuhaili (seorang ulamak terkenal dari Syiria, penulis kitab al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu).

4. Jumhur ulamak (mazhab Syafiie, Maliki dan Hanbali) mengharamkan perkahwinan tanpa wali dan menganggapnya tidak sah. Namun mazhab Hanafi mengharuskan dan menegaskan ia sah. Sekalipun menganggap tidak sah,tidak ada mana-mana ulamak jumhur tadi pernah mentohmah penganut mazhab Hanafi telah berzina kerana bersetubuh dengan berkahwin tanpa wali. Kenapa? Kerana meraikan khilaf yang berlaku.

Begitulah ulamak. Mereka menegakkan hujjah bagi pihak mereka, namun mereka tetap meraikan pandangan dan pendapat ulamak lain. Dari keperluan bersikap toleransi seperti inilah, para ulamak mensepakati satu prinsip dalam Fiqh Islam; “Tidak diingkari perkara yang diikhtilafkan, akan tetapi diingkari perkara yang telah diijmakkan”. Berkata Imam Nawawi; “Amalan-amalan dan ucapan-ucapan yang rumit yang tertakluk dengan ijtihad, tidak harus orang-orang awam menceburinya dan tidak harus mereka mengingkarinya. Hal demikian hendaklah diserahkan kepada para ulamak. Para ulamak pula mereka hanya mengingkari/menegah perkara yang telah diijmakkan. Adapun perkara yang diiktilafkan, tidak ada keingkaran terhadapnya kerana menurut salah satu dari dua mazhab (berkenaan ijtihad); setiap mujtahid adalah benar. Pandangan ini adalah yang terpilih di sisi ramai para muhaqqiqin (penganalisis) atau kebanyakan mereka. Adapun menurut satu pandangan/mazhab lagi; yang benar satu sahaja dan yang salah tidak tertentu bagi kita dan dosa terangkat darinya…”. (Untuk memahami lebih lanjut persoalan ini, sila baca tulisan saya tentang “KHILAFIYAH DAN BID’AH” dalam blog Koleksi al-Qalam).

Kembali kepada soalan, jawapan saya ialah;

1.  Apabila kita membaca fatwa, kita mesti mengetahui perbezaan fatwa dengan llmu agama yang bersifat am. Fatwa merujuk kepada soalan dan orang yang bertanya dan tasawwur mufti terhadap soalan yang ditanya. Tidak semestinya fatwa yang diberikan untuk satu kes menepati semua kes. Kerana itu, fatwa mesti dibaca dengan merujuk kepada kes yang ditanya. Jika fatwa ingin dinaqalkan untuk kes berlainan –sekalipun ada iras-iras dengan kes pertama-, ia hendaklah dinaqalkan  oleh ulamak juga yang mampu membaca fatwa itu dan memastikannya tepat dengan kehendak kes kedua (mengikut hukum Syarak).

2. Dalam blog yang dikemukakan dalam soalan di atas; sandaran untuk mengharamkan semua jenis MLM ialah Fatwa Arab Saudi (al-Lujnah ad-Daimah).  Perlu disedari bahawa Fatwa Arab Saudi bukanlah bersifat qat’ie (tidak boleh dipertikaikan), begitu juga fatwa-fatwa yang senada dengannya. Jika fatwa tersebut bersifat qat’ie, pasti tidak ada fatwa lain yang bercanggah dengannya (sebagaimana sifat semua hukum qat’ie dalam Islam). Namun realitinya ada fatwa-fatwa lain yang berbeza dengan fatwa Arab Saudi tersebut, antaranya;
a) Fatwa Majlis Fatwa Mesir (Dar al-Iftak al-Misriyyah)
b) Fatwa Majlis Ulamak Indonesia  (MUI)
c) Fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan (Malaysia).

Fatwa-fatwa ini tidak menghukum semua MLM sebagai haram. Sebagaimana mu’amalat-mu’amalat baru yang lain (perbankan, insuran dan sebagainya), MLM juga boleh menjadi halal dan boleh menjadi haram bergantung kepada apakah ia memenuhi ciri-ciri muamalah Syariat atau tidak?.

3. Fatwa Majlis Fatwa Mesir; pembaca boleh membacanya di alamat (http://www.dar-alifta.com/ViewFatwa.aspx?ID=5158).  Pembaca yang tidak memahami bahasa Arab boleh membaca sinopsis yang saya buat dalam jawapan saya sebelum ini “PENDAPATAN MELALUI MLM”.  (*Jika saya ada kelapangan, saya akan usaha terjemahan sepenuhnya insya Allah). Setelah membuat penjelasan yang panjang lebar, fatwa tersebut menegaskan; “Berdasarkan keterangan yang lalu, kami berpandangan tidak ada sebarang tegahan untuk menjalankan muamalah tersebut (yakni MLM) dan tidak ada tegahan juga untuk memberi (hadiah/bonus) dengan peratusan tertentu kepada seorang yang ia telah menjadi sebab kepada pengedaran (barang/produk) sekalipun secara tidak langsung kerana sebab yang melayakkannya untuk mendapat hadiah/bonus masih kekal dan itu mencukupi untuk mengharuskan pemberian (hadiah/bonus) kepadanya”. (*Majlis Fatwa Mesir dipengerusikan oleh Mufti Mesir; Syeikh Prof. Dr. Ali Jumaah, seorang ulamak al-Azhar yang pakar Usul Fiqh dan Ekonomi Islam).

4. Fatwa Majlis Ulamak Indonesia, boleh dibaca di (http://www.mui.or.id/index.php?option=com_docman&task=doc_view&gid=92&tmpl=component&format=raw&Itemid=90 ) atau (http://esharianomics.com/wp-content/uploads/2011/04/75-pedoman_plbs.pdf).  Di antara kenyataan yang terkandung dalam fatwa tersebut ialah; “….sistem perdagangan Multi Level Marketing (MLM) diperbolehkan oleh syari'at Islam dengan syarat-syarat sebagai berikut:
a. Transaksi (akad) antara pihak penjual (al-ba'i) dan pembeli (al-musytari) dilakukan atas dasar suka sama suka (' an taradhin), dan tidak ada paksaan;
b. Barang yang diperjualbelikan (al-mabi') suci, bermanfaat dan transparan sehingga tidak ada unsur kesamaran atau penipuan (gharar);
c. Barang-barang tersebut diperjualbelikan dengan harga yang wajar
”.

Jelas fatwa ini sama seperti fatwa Dar al-Iftak Mesir tadi iaitu MLM boleh menjadi halal jika memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Jadi, bukan semua MLM haram. Al-Hamdulillah, saya telah berdepan secara lansung dengan ulamak-ulamak MUI yang menggubal fatwa tersebut tatkala dipanggil untuk mewakili Panel Syariah HPA (di mana saya bertindak sebagai setiausahanya. Saya hadir bersama pengerusi Panel Syariah; Ustaz Ahmad Ali, lulusan M.A al-Azhar takhassus Usul-Fiqh). Kami dipanggil untuk membentangkan Plan Pemasaran MLM HPA. Hampir 5 jam kami dinilai dan disoal dalam Dewan Mesyuarat MUI oleh ulamak-ulamak dari Dewan Syariah MUI yang berjumlah hampir 10 orang dari pelbagai disiplin ilmu (termasuk seorang pakar dalam MLM). Dan diikuti pula dengan lawatan wakil MUI ke Malaysia (2 orang) untuk melawat kilang-kilang dan melihat sendiri produk HPA serta harganya. Al-Hamdulillah, akhirnya Dewan Syariah MUI telah mengeluarkan sijil pengiktirafan kepada MLM HPA sebagai MLM Syariah (Sijil MUI bertarikh 29 Disember 2010, sila lihat sijil ini di blog HPA Indonesia; http://awmithpa.blogspot.com/ (bahagian downloads)). Saya amat bersyukur kepada Allah kerana keputusan Panel Syariah HPA meluluskan MLM HPA sebagai MLM Syariah telah diakui oleh ulamak-ulamak yang lebih berilmu. Sudah tentu mereka telah menyemaknya dengan terperinci. Falillahi al-Fadhl wal-Minnah. Selain itu, Plan Pemasaran HPA juga telah dibentang di hadapan Panel yang dibentuk JAKIM  untuk mengkaji tentang sistem MLM dan al-Hamdulillah maklum balas dari mereka juga positif terutamanya terhadap buku “Garis Panduan MLM Syariah” yang digubal oleh Panel Syariah HPA .

5. Fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan boleh pembaca ikuti di laman E-Fatwa JAKIM. Dinyatakan dalam fatwa tersebut; “Muzakarah telah memutuskan bahawa konsep, struktur dan undang-undang perniagaan Multi Level Marketing (MLM) yang diluluskan Kerajaan adalah harus dan tidak bercanggah dengan konsep perniagaan Islam”  (http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-sistem-jualan-langsung-mlm-menurut-islam).

6. Mengenai Fatwa Arab Saudi jika direnungi fatwa tersebut ayat demi ayat, kita akan mendapati ia merujuk kepada Money Game. (Rujuk fatwa tersebut; al-Lujnah ad-Daimah Lil-Buhuth al-‘Ilmiyah wa al-IFta’, Kerajaan Arab Saudi. No. Fatwa; 22935. Tarikh Fatwa; 14/3/1425H).

Di antara kenyataan yang ada dalam fatwa tersebut ialah “Tujuan sebenar dari bisnes seperti itu (yakni MLM) adalah memperoleh komisyen/bonus (semata-mata), bukan produk” . Kenyataan fatwa ini jika dirujuk kepada perniagaan HPA ia tidak berlaku. Perniagaan HPA memang bertujuan untuk penjualan produk (dengan menggunakan MLM sebagai mekanisme pemasarannya). Kewujudan produk dalam MLM HPA merupakan realiti, bukan gimik semata-mata. Hingga saat ini, jumlah produk HPA telah melebihi 500 produk (di Malaysia) dan 45 produk (di Indonesia). Bonus yang diperoleh berkadaran dengan jumlah penjualan yang dibuat baik jualan individu dan juga kumpulan. Persen bonus mengikuti peranan masing-masing berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan dalam Aqad al-Ju’alah. Hakikat yang sama saya temui dalam beberapa MLM yang lain, antaranya Storm Readers (yang diasaskan oleh sahabat saya Ustaz Dr. Zahazan dan disemak plan pemasarannya oleh Ustaz Zaharuddin) yang menjalankan perniagaan buku dan bahan bacaan. Sememangnya penjualan produk  berlaku dan komisyen/bonus datang dari hasil penjualan tersebut iaitu dari keuntungan yang dikongsi bersama antara syarikat dan para pengedarnya.

Oleh demikian, fatwa Arab Saudi itu tidak mentasawwurkan semua jenis MLM, kerana itu ia tidak boleh mewakili semua jenis MLM. Ia hanya harus dibaca kepada  Money Game sahaja atau MLM yang berunsurkan Money Game. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang perbezaan antara Money Game dengan MLM dan MLM Syariah, sila dapatkan buku “SOAL-JAWAB MLM SYARIAH” (tulisan saya sendiri) dan buku “GARIS PANDUAN MLM SYARIAH” (diterbitkan oleh Panel Syariah HPA). Kesimpulan yang dapat saya buat; fatwa Arab Saudi itu tidak ada yang salahnya, cuma ia ada skopnya tersendiri. Orang yang ingin meminjam fatwa itu untuk menghukum suatu MLM ia mesti faham fatwa itu dan faham juga MLM yang ingin dinilai dengan pemahaman 100% tepat. Menjadi prinsip (kaedah) yang diamal di sisi para Fuqahak; al-Hukmu 'Ala Syai' Far'un 'An Tasawwurihi (penentuan hukum ke atas sesuatu bermula dari tasawwur yang tepat tentangnya). Antara ilmu yang mesti dimiliki (oleh orang yang ingin membuat penilaian hukum) ialah ilmu al-Asybah wa an-Nazair (iaitu kemahiran menilai masalah-masalah yang sama dan serupa) dan ilmu al-Furuq (iaitu kemahiran melihat perbezaan dua masalah yang nampak sama, tetapi hakikatnya berbeza). Sesiapa yang tiada ilmu dan kemahiran tersebut, berlapang dadalah untuk menyerah perbahasan kepada orang yang lebih tahu. Sabda Nabi; "Sesungguhnya penawar bagi orang yang tidak tahu ialah bertanya" (HR Abu Daud dari Jabir). Sabda baginda juga; "Sesiapa merendah diri kerana Allah, Allah akan mengangkat darjatnya" (HR Abu Nu'aim dari Abu Hurairah. Menurut Imam as-Suyuti; hadis ini hasan. Lihat; al-Jami' as-Saghier, hadis no. 8605).        


Wallahu a’lam.

HUKUM LELAKI BERAMBUT PANJANG & MEMAKAI TOPI KETIKA SOLAT

Soalan; Assalamualaikum ustaz....Saya mempunyai sedikit kemusykilan tentang pemakaian ketika solat..Terutama pada bahagian atas kepala.saya seorang yang gemar berambut panjang namun ada segelintir yang mengatakan jika rambut panjang maka ia akan jatuh kepada haram.adakah perkara ini benar?Dan satu lagi ustaz,tentang pemakaian topi ketika solat.saya sering memakai topi salji@snowcap yg kelihatan seperti anak tudung bagi wanita.Persoalannya adakah salah jika saya mengenakannya untuk digunakan sebagai pengganti songkok@kopiah memandangkan rambut saya panjang dan khuatir jatuh di bahagian dahi dan menyebabkan solat itu terbatal?Itu sahaja ya Ustaz,harap ustaz sudi menjawab soalan saya ini.

Jawapan;

1. Lelaki ingin menyimpan rambut panjang; tidaklah dilarang agama kerana rambut Nabi -shallallahu 'alaihi wasallam- sendiri adakalanya beliau membiarkan panjang hingga ke bahu. Dalam Soheh al-Bukhari, terdapat hadis dari Anas yang menceritakan; "Rambut Rasulullah mencecah dua bahunnya" (Soheh al-Bukhari, kitab al-Libas, bab al-Ja'di, hadis no. 5452). Walau bagaimanapun, hendaklah dipastikan gaya rambut tidak menyerupai orang kafir atau orang-orang fasik kerana Nabi bersabda; "Sesiapa menyerupai suatu kaum, ia dari kalangan mereka" (HR Imam Abu Daud dari Ibnu 'Umar. Lihat; Sunan Abi Daud, kitab al-Libas, bab Fi Lubsi as-Syuhrah, hadis no. 3512).

2. Memakai kopiah tidaklah menjadi syarat sah solat. Harus mengerjakan solat dengan memakai kopiah atau tanpa memakainya. Begitu juga, memakai selain kopiah (topi dan sebagainya) tidaklah membatalkan solat jika ia bersih. Walau bagaimanapun, pakaian kita ketika solat hendaklah menggambarkan kesopanan kita di hadapan Allah. Jika topi yang saudara pakai itu topi yang elok, bersih, kemas dan nampak bersopan, tidak mengapa saudara memakainya ketika solat. Jika tidak, baiklah saudara menanggalnya ketika solat sekalipun saudara solat tanpa memakai apa-apa di atas kepala. Jika saudara tetap memakainya tidaklah akan membatalkan solat, cuma masalah kesopanan sahaja.

Wallahu a'lam.

BENARKAH HARUS MENUNJUKKAN GAMBAR TIDAK BERTUDUNG KEPADA LELAKI?

Soalan; salam,,,ustaz apa hukum seorang perempuan berchating secara webcam tidak menutup kepala dan tidak menampakkan auratnya yang lain kecuali rambut sahaja. saya ada mendengar hukum menunjukkan gambar tidak menutup kepala kepada orang lelaki tidak dikira berdosa kecuali mendatangkan syahwat.. saya ingin mendapatkan kepastian sebab saya adlah pelajar jurusan pengajian Islam.

Jawapan;

Terdapat larangan yang jelas dari al-Quran dan as-Sunnah ke atas wanita beriman agar menutup aurat iaitu seluruh badan kecuali muka dan dua tangan sahaja yang harus didedahkan. Lihat surah an-Nur, ayat 31. Antara yang disuruh Allah agar ditutup ialah bahagian kepala. Firman Allah (bermaksud); "Dan hendaklah mereka (yakni wanita-wanita mukmin) melabuhkan tudung-tudung kepala mereka hingga menutupi belahan leher baju mereka" (Surah an-Nur, ayat 31). Menurut ulamak tafsir; ayat ini bermaksud supaya wanita-wanita beriman menutup kepala mereka, leher serta dada mereka dengan kain-kain tudung (Lihat; Tafsir al-Jalalain).

Diriwayatkan dari Aisyah -radhiyallahu 'anhu- yang menceritakan; Asmak binti Abu Bakar suatu hari telah masuk bertemu Rasulullah -shallallahu 'alaihi wasallam- dengan memakai pakaian yang nipis, lantas baginda berpaling dari melihatnya sambil bersabda; "Wahai Asmak, sesungguhnya seorang wanita apabila telah kedatangan haid (yakni sampai umur), tidak harus dilihat badannya melainkan ini dan ini sahaja" sambil baginda menunjuk ke muka dan dua tangannya" (HR Imam Abu Daud dari Aisyah).

Maksud dari arahan menutup aurat ialah tidak mendedahkannya untuk tontonan orang lain yang tidak diizinkan Allah melihatnya, iaitulah lelaki-lelaki yang bukan mahram. Apabila seorang wanita mengambil gambar dirinya ketika ia tidak menutup aurat, kemudian ia menunjukkan gambar itu kepada lelaki yang bukan mahramnya, apakah itu tidak dinamakan mendedahkan auratnya kepada orang yang tidak diizin Allah. Jawapannya tidak lain adalah "Ya". Jadi tidak syak lagi bahawa perbuatan tersebut adalah dilarang. Kewajipan wanita Islam menutup aurat bukan atas alasan timbul syahwat orang atau tidak (jika ia mendedah aurat), tetapi kerana menyahut arahan Allah dalam al-Quran dan hadis tadi. Menjaga dari timbulnya syahwat hanyalah hikmah dari arahan menutup aurat, bukan illah (sebab) kepada menutup aurat kerana illahnya ialah arahan Allah. Contoh lain; sekalipun tiada kebimbangan berlaku zina, haram seorang wanita berduaan dengan lelaki yang bukan mahramnya kerana berduaan itu dilarang oleh Nabi. Tidak harus seorang wanita berkata; "Tidak mengapa saya berduaan dengannya kerana saya yakin dapat menjaga diri dari zina".

Selain arahan supaya menutup aurat, terdapat juga arahan supaya menjaga pandangan mata. Firman Allah (bermaksud); "Katakanlah (wahai Muhammad) kepada lelaki-lelaki mukmin; hendaklah mereka menahan pandangan-pandangan mata mereka" (Surah an-Nur, ayat 30). "Dan katakanlah kepada wanita-wanita beriman; hendaklah mereka menjaga pandangan mata mereka" (Surah an-Nur, ayat 31).  Sabda Nabi (bermaksud); "Apabila seorang lelaki muslim menahan pandangannya tatkala terlihat wanita cantik, Allah akan gantikan untuknya (bagi mujahadahnya menahan pandangan itu) dengan kemanisan beribadah" (HR Imam Ahmad dari Abi Umamah). Persoalan; apabila seorang lelaki melihat gambar wanita yang tidak menutup aurat (seperti mendedahkan rambutnya), apakah ia dianggap menjaga pandangannya? Jawapannya sudah tentu "Tidak". Oleh demikian, anggapan bahawa gambar dikecualikan dari ayat yang menyuruh menutup aurat dan ayat yang menyuruh menjaga pandangan, anggapan tersebut adalah tidak benar sama sekali. Ia bukan sahaja bertentangan dengan kehendak ayat, malah membuka jalan kepada perbuatan dosa yang lebih besar lagi iaitu melihat gambar lucah dan menonton video lucah dengan alasan ia bukan sebenar tetapi hanya foto atau rakaman. Dalam kaedah (prinsip) Fiqh ada dinyatakan "Ma Adda Ila al-Haram Fahuwa Haramun" (Sesuatu yang mendorong kepada yang haram, ia turut diharamkan".

Wallahu a'lam.