Wednesday, July 4, 2012

Solat Istikharah

Soalan

Assalammualaikum...saya ingin meminta panduan cara melakukan istikharah dengan betul..saya telah bertunang tetapi banyak masalah berlaku...saya kurang yakin dengan hubungan sekarang. Bagaimana cara ingin melakukan solat istikharah dengan betul..Saya kurang yakin cara melakukannya..Minta tunjuk ajar Ustaz/ustazah..

Jawapan

Wa'alaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh,
Cara melakukan solat Istiharah adalah seperti berikut:
1.         Niat – “Sahaja aku solat sunat Istiharah dua raka’at kerana Allah Ta'ala”
2.         Selepas membaca Surah Al-Fatihah (raka’at pertama), baca Surah Al-Insyirah (surah ke-94).
3.         Selepas baca Surah Al-Fatihah bagi raka’at kedua, baca Surah Al-Ikhlas (surah ke-112)
4.         Dalam sujud yang terakhir, baca ayat dari Surah Al-Vaqarah 32 sebanyak 11 kali, kemudian mohonlah petunjuk dari Allah mengenai apa yang dihajati.

- sebaiknya solat ini dilakukan selepas sepertiga malam (selepas pukul 12 tengah malam).
- selepas selesai bersolat, elakkan daripada bercakap/berbual mengenai hal-hal yang tidak perlu.
- isi masa tersebut dengan membaca al-Quran, berzikir atau terus tidur.
- Petunjuk tidak semestinya melalui mimpi. Ia boleh juga melalui ketenangan hati di dalam membuat pilihan atau keyakinan diri yang lebih terhadap sesuatu yang selama ini menjadi kesamaran.

Perlu diingatkan, mengerjakan solat ini adalah tidak cukup jika hanya melakukannya Cuma satu kali sahaja, lakukanlah  7 kali berturut-turut pada setiap malam (satu malam satu kali solat).
Semoga anda beroleh petunjuk darinya. Wallahu ‘alam.

Sah Atau Tidak Solat

Soalan

Saya nak tanya sikit ni. Macam mana kalau seseorang tu murtad. Tapi dia masih solat 5waktu. Adakah sah solat tersebut?

Jawapan

Solat yang dikerjakan oleh orang murtad adalah tidak sah. Hal ini adalah kerana Islam merupakan salah satu daripada syarat yang mewajibkan seseorang itu mendirikan solat. Oleh itu, solat yang didirikan oleh orang yang murtad adalah sia-sia dan tidak diterima kerana dia bukan orang Islam. Wallahu 'alam.

Solat Ketika Demam,batuk,selesema

Soalan

As Salam,sy demam sudah 2hr.mslh waktu maghrib td tiba2 batuk sy menjadi2 ketika sy membaca surah dlm solat.sy cuba menahan batuk tp xterdaya.sy berhenti solat krn sy telah telan kahak itu.kemudian sy ulang semula solat sy.keadaan sama tetap berlaku.tp kali ini sy teruskan.dlm masa solat sy itu berkali2 sy batuk dan berkali2 juga sy menelan kahak.adakah dlm keadaan ini dimaafkan.sy rasa nak ludah sj kebwh tp rasa agak kurang sopanla pula.2)ms takbir adakah tapak tgn selari dgn tgn@melengkuk blkg

Jawapan

Wa'alaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh,
1.         Menelan kahak di dalam solat akan membatalkan solat. Ia dikira sebagai menelan sesuatu (seperti makan). Oleh itu, bagi mereka yang sedang demam/batuk/selesema dianjurkan supaya membawa bersama sapu tangan dan letakkannya di tempat yang mudah untuk dicapai oleh tangan.
Apabila batuk dan ada kahak di dalam mulut/hingus meleleh daripada hidung keluarkan kahak tersebut sehingga ke atas bibir dan sapu dengan sapu tangan/kesat hingus tersebut menggunakan sapu tangan. Hal ini dapat mengelakkan anda daripada menelan kahak dan hingus tersebut.

2.         Semasa melakukan takbir di dalam solat, anda perlu pastikan tapak tangan berada dalam keadaan lurus dengan bahagian tapaknya dihadapkan ke arah Qiblat. Ringkasnya, tapak tangan tidak dilengkungkan ataupun dihadapkan ke arah yang lain selain daripada menghadap Qiblat. Selain itu, pastikan juga hujung ibu jari tangan anda berada di bawah cuping telinga semasa melakukan takbir. Wallahu 'alam.

Mengenai Nama Ibu Kepada Si Mati

Soalan

jika nama ibu kepada si mati tidak dapat dikenalpasti, maka si mati boleh di bin/di bintikan kepada siapa?

Jawapan

Waalaikumusalam,
Sebelum dibacakan talkin untuk si mati,sepatut dan sewajarnya ahli waris atau kaum kerabat mengetahui salsilah keturunan si mati.Perkara ini perlu diusahakan  terlebih  dahulu.Setelah usaha dijalankan ternyata memang tiada orang yang betul-betul mengetahui keturunan si mati maka imam/selaku pembaca talkin bolehlah menasabkan si mati tersebut kepada Nenek kepada keturunan anak Adam iaitu Hawa.Wallahu a'lam.

Adakah Perlu Melakukan Sertu ?

Soalan

Adakah perlu untuk kita sertu sekiranya kita pijak tanah yang di lalui oleh khinzir ?

Jawapan

Waalaikumussalam,
Agama Islam itu mudah,jadi jangan anda  yang menyusahkan perkara yang telah mudah.Oleh itu ambillah pendekatan yang diharuskan oleh syarak.Jika betul-betul (yakin) anda terpijak najis @ darah khinzir yang masih basah maka ketika itu anda wajib sertu atau samak anggota yang telah terkena najis binatang tersebut.Andaikata tidak terpijak dan anda sendiri tidak pasti bahagian tanah mana yang dipijak dan dilalui oleh khinzir tersebut maka  tidak perlulah anda samak.
Perkara in dijelaskan melalui kaedah Fiqhiyyah:
"Al-Yakin layuzalu bissyaqqi" bermaksud: keyakinan tidak boleh ditewaskan /kalahkan oleh rasa syak
Berdasarkan kaedah yang dinyatakan, jika anda yakin terpijak najis babi ,eluk dan wajib kaki anda  disamak jika tidak pasti anda tidak perlulah samak kaki anda.Wallahu a'lam.

Solat Sunat Taubat

Soalan

boleh x terangkan care2 nak buat solat sunat taubat dengan betul...sy ade jumpe di laman web laen tp sy takut salah...atau memang dah ade dekat laman web jakim care menunaikan semua solat sunat cume sy je yang xjumpe...maaf kalo salah tanye...

Jawapan

Cara melakukan Solat Sunat Taubat adalah sama seperti mana  mengerjakan solat fardu dan sunat yang lain. Ia didirikan sebanyak 2 raka’at.
Ringkasnya, setelah berwuduk dan memakai pakaian yang bersih, carilah tempat yang sesuai untuk mendirikan solat, hadapkan diri ke arah Qiblat dan berniat:
“Sahaja aku solat sunat taubat dua raka’at kerana Allah Ta’ala”

Dalam raka’at pertama selepas membaca Surah Al-Fatihah, bacalah Surah Al-Fath, surah ke- 110 dan teruskan solat seperti biasa.
Dalam raka’at kedua selepas membaca Surah Al-Fatihah, bacalah Surah Al-Ikhlas, surah ke-112 dan teruskan solat hingga memberi Salam.
Kemudian berdoalah dengan doa-doa yang bersesuaian dengan niat di hati (memohon keampunan dari Allah).
Berikut beberapa contoh doa yang boleh dibaca untuk memohon ampunan dari Allah Ta’ala yang dapat dibaca setelah selesai mengerjakan Solat  Taubat:
“Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, niscaya kami tergolong di kalangan orang-orang yang rugi”
(Maksud dari Surah Al A’raaf , ayat ke-23)

“Ya Allah, sesungguhnya aku banyak menganiaya diriku dan tidak ada yang mengampuni dosa kecuali Engkau. Oleh kerana itu ampunilah dosa – dosaku dengan ampunan dari sisi-Mu dan berikan rahmat kepadaku. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan Maha Penyayang”
(Maksud hadis riwayat Al Bukhari no. 834 dan Muslim no. 2705)

Sila dapatkan buku panduan doa yang ada dijual di pasaran buku agama di tempat anda untuk mencari doa yang lain. Wallahu 'alam.

Puasa Nisfu Syaaban

Soalan

Bilakah puasa sunnat nisfu syaaban dilaksanakan? Pada 14 ke 15 syaaban. Syukran ustaZ...

Jawapan

Waalaikumusalam,
Menurut Ilmu Falak, berdasarkan tahun Qomari (Islam) ,setiap hari baru bermula apabila masuk  waktu maghrib.Ia amat berbeza sekali dengan tahun masehi yang menentukan hari baru yang  bermula selepas jam 12 tengah malam.
Berbalik kepada soalan yang dikemukakan bilakah puasa nisfu sya'aban dilaksanakan ?Berdasrkan fakta yang panel kemukakan,puasa nisfu sya'aban itu ialah pada hari kelima belas  (15) sya'aban iaitu esok ( Khamis,5.Julai 2012).
Justeru panel nasihatkan eluk anda berpuasa untuk mendapat pahala di samping memperolehi kerahmatan daripada Allah SWT bersempena dengan bulan sya'aban. Wallahu a'lam.