Tuesday, March 15, 2011

ZAKAT PERNIAGAAN IBU TUNGGAL

Soalan; Assalamualaikum w.b.t Tuan, Saya hamba yang kurang pengetahuan ini ada satu persoalan yang saya inginkan penjelasan. Adakah seorang ibu tunggal (telah kematian suami) yang meniaga sendiri untuk menyara keluarganya dan katakanlah telah mendapat keuntungan bersih hasil perniagaannya berjumlah RM10,000.00 setahun, wajib untuk membayar zakat perniagaannya sedangkan dia yang mempunyai 5 orang anak dimana 2 daripadanya telah bekerja (cukup untuk menyara diri sendiri) manakala 3 darinya masih menuntut (seorang di Universiti Awam, seorang di Matrikulasi Kerajaan dan seorang lagi masih belajar di tingkatan 4). Harap dapat dibantu. Terima Kasih.

Jawapan;

1. Zakat wajib dikeluarkan apabila seorang itu kaya. Dalam hadis yang menceritakan Nabi menghantar Muaz ke Yaman untuk menjadi Gabenor, antara yang dipesan Nabi kepadanya ialah; "Apabila mereka telah patuh kewajipan Solat lima waktu, beritahu pula kepada mereka bahawa Allah mewajibkan ke atas mereka sedekah (yakni zakat) iaitu dipungut dari orang-orang kaya di kalangan mereka dan diberikan kepada orang-orang miskin di antara mereka" (HR Imam Muslim dari Ibnu 'Abbas). Kewajipan zakat ini tidak terkecuali dari sesiapapun asalkan harta yang dimiliki adalah milik sempurna dan memenuhi syarat-syarat diwajibkan zakat, termasuklah harta anak yatim, ibu tunggal atau sebagainya.

Maksud kaya dalam istilah Syariat bukan bermaksud seorang itu mempunyai simpanan wang berjuta, beratus ribu atau puluhan ribu. Jika seseorang mempunyai lebihan wang setelah ditolak keperluan asas dirinya dan keluarganya dan lebihan itu menyamai atau melebihi nisab yang ditetapkan (yakni kadar minima pemilikan harta yang mewajibkan zakat), ia dianggap kaya di sisi Syariat dan wajiblah mengeluarkan zakat. Jika ia tidak mempunyai lebihan atau lebihan yang ada tidak sampai nisab yang ditetapkan, ia tidak dianggap kaya dan tidak wajib zakat.

2. Bagi zakat perniagaan, wajib dikeluarkan zakat apabila harta perniagaan yang dimiliki mencukupi nisab yang ditetapkan Syariat iaitu nilai semasa 85 gram emas. Zakat dikeluarkan setelah ditolak keperluan diri dan keluarga (termasuk kos pengajian anak-anak). Jika lebihan setelah ditolak belanja keperluan mencapai nisab, barulah diwajibkan zakat. Ikut langkah-langkah berikut untuk mengira zakat;
1. Tetapkan tarikh hitungan zakat bagi setiap tahun. Contoh; 1 Ramadhan atau 1 Muharram atau sebagainya. Ini kerana zakat perniagaan hanya wajib sekali sahaja pada setiap tahun.
2. Bila tiba tarikh tersebut, buat perkiraan terhadap semua barang-barang perniagaan yang ada di kedai atau di stor simpanan.* Hitung dalam nilai wang. Kemudian campurkan nilai itu dengan wang yang ada dalam tangan dan dalam simpanan (di bank dan sebagainya).
3. Tolak hutang semasa sama ada hutang perniagaan atau hutang keperluan hidup.
4. Tolak kos keperluan hidup semasa merangkumi untuk diri dan keluarga.
5. Setelah itu, perhatikan berapa yang berbaki. Jika baki sampai nisab tadi (nilai semasa 85 gram emas), wajiblah dikeluarkan zakat ke atas baki tadi iaitu sebanyak 2.5% sahaja. Jika tak sampai, tak wajiblah zakat.

(*Perlu diketahui; yang perlu dihitung ialah barang-barang perniagaan sahaja. Adapun aset-aset yang tidak diperniagaankan seperti kerusi-meja, perabot, komputer, mesin-mesin dan sebagainya, tidaklah termasuk dalam hitungan).

3. Mengeluarkan zakat banyak hikmah dan kebaikannua. Selain melaksanakan kewajipan kita sebagai hamba Allah, ia menjadi simpanan pahala untuk kita di akhirat, membersihkan harta dan mengundang keberkatan kepada harta. Harta yang dikeluarkan zakat, harta itu akan semakin bertambah, Insya Allah.

Wallahu a'lam.

No comments:

Post a Comment