Friday, March 11, 2011

TELUR YANG BERDARAH; ADAKAH MASIH HARUS DIMAKAN?

Soalan; Telur yang berdarah, apakah ia masih boleh dimakan? Apa hukum menjualnya?

Jawapan;

1. Telur jika telah berubah menjadi darah, ia adalah najis menurut mazhab empat (Hanafi, Maliki, Syafiie dan Hanbali). Adapun jika ia menjadi busuk sahaja (yakni tidak menjadi darah), para ulamak khilaf;
A) Menurut jumhur ulamak (iaitu mazhab Hanafi, Syafiie dan Hanbali); ia tidaklah menjadi najis. Hukumnya sama seperti daging yang menjadi busuk; ia tidak diianggap najis dan masih harus dimakan jika tidak memudaratkan.
B) Namun menurut mazhab Maliki; telur yang berubah menjadi busuk adalah najis dan haram dimakan.
Jika perubahannya hanya sekadar bercampur kuningnya dan putihnya -yakni belum lagi menjadi busuk- ia adalah suci tanpa khilaf.

Imam an-Nawawi menjelaskan dalam kitabnya al-Majmuk; Telur dari binatang yang suci jika ia berubah menjadi darah; menurut pandangan yang paling soheh dalam mazhab Syafiie ia adalah najis. Adapun telur yang berubah baunya iaitu yang bercampur putihnya dan kuningnya, ia masih suci tanpa ada khilaf. Begitu juga, daging yang menjadi busuk; ia masih suci mengikut pandangan yang dipakai dalam mazhab Syafiie. (al-Majmuk, 2/555, bab Izalati an-Najasah).

Walau bagaimanapun, sebahagian ulamak menjelaskan; darah yang dimaksudkan itu ialah yang mengalir. Jika darah dalam telur itu sekadar satu tompok sahaja, ia dimaafkan (yakni tidaklah dianggap najis dan tidak haram dimakan). Imam al-Qarafi menyebutkan dalam kitabnya az-Zakhirah; "Kadang-kadang di tengah kuning telur terdapat setompok darah yang berasal darinya (yakni dari kuning telur itu). Maka dengan mengambil kira bahawa darah yang dianggap najis ialah yang mengalir, tidaklah telur itu menjadi najis (dengan kerana terdapat tompokan darah pada kuningnya itu kerana ia tidak mengalir)". (az-Zakhirah (4/108), Mawahib al-Jalil (Imam al-Hattab, 4/355).

Kenyataan Imam al-Qarafi di atas (bahawa darah yang najis ialah yang mengalir) merujuk kepada firman Allah (bermaksud); "Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi - kerana sesungguhnya ia adalah kotor - atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah" (al-An'am, ayat 145). Berdasarkan ayat ini para ulamak menyimpulkan bahawa; darah yang haram dimakan ialah yang mengalir. Adapun darah yang terperangkap dalam daging, hati atau limpa, ia adalah dimaafkan (yakni harus dimakan bersama daging, hati atau limpa) kerana tidak lagi mengalir. Maka bagi kes di atas, oleh kerana setompok darah pada kuning telur itu tidak mengalir, ia juga turut dimaafkan.  

2. Jika telur telah berubah menjadi janin ayam, ia adalah najis (dengan matinya) kerana ia dikira bangkai. Tidak haruslah ia dimakan. Majlis Fatwa Arab Saudi menjelaskan; "Anak ayam (yang mati dalam telur) adalah bangkai yang tidak harus dimakan kerana ia adalah kejadian yang tercipta dalam telur. Pengharam bangkai telah sedia diketahui oleh sekelian kaum muslimin" (Fatawa al-Lujnah ad-Daimah Lil-Iftak, 22/360).

3. Apa yang kita kemukakan di atas adalah dari segi hukum suci atau najisnya dan hukum halal atau haram memakannya (*Setiap yang najis haram dimakan). Adapun hukum menjualnya (sama ada secara lansung atau setelah dimasak atau dimasukkan sebagai bahan dalam produk makanan), kita semua mengetahui bahawa kebiasaan di Malaysia orang ramai tidak menerima telur yang telah berubah bau atau warnanya (termasuk yang bertompok darah) kerana telur yang berubah bau dan warnanya itu dianggap barang rosak. Kerana itu, penjualan telur sebegitu dianggap menipu pengguna atau pembeli. Jika berlaku secara tidak sengaja, pengguna/pembeli mempunyai hak untuk memulangkannya iaitu hak khiyar aib yang ditetapkan oleh Syariat Islam. Melainkan jika pengguna atau pembeli dimaklumkan tentangnya dan mereka redha menerimanya, ketika itu sahlah jual-beli tersebut walaupun terdapat kecacatan pada barang.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, kalimah; Baidhun.
2. al-Majmuk, Imam an-Nawawi, 2/555, bab Izalati an-Najasah.
4. Fatwa Syeikh Muhammad Soleh al-Munajjid, no. 133448.

No comments:

Post a Comment