Friday, February 18, 2011

MENCIUM MAHRAM (ANAK SAUDARA PEREMPUAN)

Soalan: Assalamualaikum, Apa hukum suami mencium pipi anak saudara perempuannya semasa bersalaman. Antara mereka berdua beza umur 8 tahun sahaja. Suami berumur 29 dan anak saudaranya 21 tahun.

Jawapan:

Secara dasarnya harus seorang lelaki mencium wanita yang menjadi mahramnya (seperti anak perempuamnya, cucu perempuannya, ibunya, anak saudaranya dan sebagainya dari wanita-wanita yang haram dikahwininya untuk selama-lamanya). Terdapat riwayat menceritakan; Nabi -sallallahu 'alaihi wasallam- mencium anaknya Fatimah (Sunan at-Tirmizi). Saidina Abu Bakar juga pernah menciuam anaknya 'Aisyah (lihat; Mughni al-Muhtaj). Namun keharusan tersebut terikat dengan syarat-syarat berikut;

1. Bebas dari syahwat. Jika ciuman menimbulkan syahwat atau dikhuatiri menimbulkan syahwat, haram menciumnya sekalipun ada ikatan mahram.
2. Bukan pada mulut. Harus mencium dahi, pipi dan sebagainya, tetapi tidak harus mencium mulut sebagaimana ditegaskan oleh Imam Ahmad. Ciuman pada mulut hanya khusus untuk suami-isteri sahaja (itupun bukan di khalayak ramai).
3. Tidak dilakukan di khalayak ramai kerana ia membangkitkan ghairah orang lain dan merupakan perlakuan yang kurang beradab yang boleh menjatuhkan nilai diri di hadapan orang lain.
4. Tidak dilakukan secara kerap, akan tetapi hanya pada sempena-sempena tertentu seperti tiba dari musafir (perjalanan jauh), menziarahi ketika sakit dan sebagainya.

Pada zaman hari ini di mana terlalu banyak faktor yang mendorong syahwat, ditambah dengan iman yang lemah, perlulah lebih berhati-hati dalam segala perkara yang membabitkan hubungan lelaki dan perempuan sekalipun ada ikatan mahram. Apatahlagi semakin banyak kes sumbang mahram yang dilaporkan berlaku hari ini. Semakin jauh ikatan mahram, semakin perlulah lebih berhati-hati. Semakin dekat ikatan kekeluargaan, akan semakin tinggi perasaan syafaqah (kasih sayang yang tulus tanpa didorong nafsu dan kepentingan) dan tipis perasaan syahwat (kecuali manusia yang bernafsu haiwan). Contohnya, antara ibu dan anak lelaki atau antara bapa dan anak perempuannya. Sebaliknya semakin jauh ikatan kekeluargaan, perasaan syafaqah semakin kurang dan perasaan syahwat pula semakin bertambah. Contohnya; antara saudara lelaki dan saudara perempuan dan antara bapa saudara dan anak saudara perempuan. Kerana itu, perlu lebih berhati-hati. Sepakat para ulamak menyatakan; antara sesama mahram jika dikhuatiri menimbulkan fitnah (yakni mendorong kepada syahwat dan akhirnya terjatuh dalam zina) diharamkan mereka berdua-duaan, bermusafir bersama dan bersentuhan. Mungkin yang lebih baik bagi ikatan mahram yang jauh ialah cukup sekadar bersalaman sahaja. Itu telah memadai untuk menzahirkan perasaan hormat dan rasa kekeluargaan.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Mughni al-Muhtaj, Imam Al-Khatib as-Syirbini, 3/172.
2. Syarah al-Bujairmi 'Ala al-Khatib.
2. Fatwa As-Syabakah al-Islamiyah (islamweb.com), no. 111222, 77365, 65794, 3222, 110935.

No comments:

Post a Comment